Sabtu, 26 Disember 2009

Manifesto Kegagalan

Dalam kebuntuan, ada sinar yang leka menusuk ke kalbuku. Tanpa disedari diri ini terasa insaf akan sifat Maha Pengasihnya Tuhanku dalam memberi kasih sayangnya pada makhlukNya. Dunia kini terasa lebar seketika. Walaupun pada hakikatnya banyak perkara yang menjadikan dunia ini sempit, kosong dari ketaatan. Dari kehidupan yang penuh pancaroba ini, apalah sangat secebis iman yang nipis, rapuh dan seperti daun kering yang mudah dihancurkan. Dalam kekacauan ini, ada banyak lagi huru-hara yang bakal dicetuskan. Entahlah sampai bila episod kebungkaman ini kan berakhir babaknya. Satu demi satu ia dilakonkan, tanpa disedari ia membuahkan kemurkaan Allah. Puncak keredhaan makin jauh tinggi, susah digapai dan makin banyak pula halangan menujunya. Bisakah aku menggapainya dengan tangan penuh debu dosa dan maksiat ini?

Saat Allah s.w.t. mencintai seseorang, tempat pertama menerima sentuhan cinta itu ialah hati. Di situlah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa-dosa yang lalu. Kemudian diganti dengan harapan untuk berubah menjadi insan bersih. Hati kita seeloknya selalu berbisik : “Aku tahu bila Allah mencintaiku iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.”

Itulah pesanan ringkas yang datang bertandang ke telefon bimbitku. Seniorku memberi kata-kata tazkirah yang begitu anggun dan sesuai pada saat ini. Seolah-olah dia mengetahui apa yang aku alami sekarang ini. Tanpa dipinta, sekali lagi airmata kembali merembes ke pipi. Terasa perit untuk ditelan, terasa hiba bila dikenang tapi inilah hakikatnya.

Keputusan semester lalu begitu menggugah jiwa dan perasaan. Tak semena-mena aku begitu rasa terpukul. Ibarat ditimpa batu besar lagaknya. Menjadikan hati tidak keruan. Rasa kecewa, malu, sedih, rendah diri bercampur menjadi satu.

Pada mulanya, aku menangis semahu-mahunya. Menangis seperti orang yang diberitahu menghidap kanser dan hanya boleh hidup dalam masa sebulan lagi lagaknya! Aku jadi lemah, aku menderita dengan akibat yang dicipta sendiri. Hanya Allah lah tempat aku mengadu kembali setelah sekian lama aku meninggalkanNya.

Aku tahu, aku bukanlah tidak berkemampuan untuk mendapat yang lebih baik tapi lalai, malas, tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh malah jauh pula dari Allah adalah sifat yang mengekangku dari mencapai kecemerlangan.

Aku tahu Allah nak beri pengajaran kepada aku supaya aku sedar yang selama ini aku telah mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba. Aku juga tidak memenuhi hak-hak kepada manusia sekeliling.

Aku faham bahawasanya Allah menyayangi diriku, jadi dengan sebab itulah Allah beri aku ujian ini. Allah mahu aku sentiasa mendampingiNya. Allah mahu aku selalu menjadi hambaNya yang sejati, kerana Allah menyayangiku!! Betapa indahnya percaturanMu, ya Allah.

Aku tahu Allah sebenarnya mahu menguji keikhlasanku dalam berjuang dan masa yang sama menuntut ilmu keranaNya. Jika aku tidak sabar atas ujian ini, maka aku akan semakin rugi. Semakin jauh dengan Allah. Semakin tidak menyakini Allah.

Bahkan aku sedar bahawa di sebalik semua ini pasti ada hikmahnya. Ada perancangan Allah yang lain. Barangkali Allah mahu memberi kegembiraan dengan cara yang lain. Mungkin juga bukan rezeki aku kali ini. Ataupun mungkin juga jika aku mendapat apa yang ku inginkan, aku semakin alpa dan lagho malah makin jauh dari Allah. Ya Allah, mungkin juga sebab aku tak cukup rapat dengan Allah, jadi Allah nak bagi nasihat pada aku untuk sentiasa mendekatkan diri padaNya. Bukankah aku milikNya? Maka Allah berhak ke atasku. Allah mencintaiku!

Rasakan wahai diriku, ibrah dari Allah yang begitu indah ini. Rasakan aliran kasih sayang Allah yang Dia turunkan saat kau menangis kekecewaan dan penyesalan ke atas dosa-dosamu yang lalu. Bangkitlah dari tidur lenamu yang panjang yang penuh angan-angan dusta dan melekakan. Bangkitlah berdiri berjuang demi menegakkan agamamu.

Ya Allah, kau tenangkanlah jiwa hambaMu yang gelisah ini. Berikanlah kepada hamba kekuatan untuk menghadapi dugaan dunia ini. Tolonglah hamba dalam mengubati hati yang sedih. Kurniakan kepada hamba kekuatan untuk terus berjuang tanpa putus asa dan malas. Tunjukilah hamba jalan yang benar, jalan yang Engkau redhai. Pimpinlah hamba dalam mengharungi kegelapan dek kerana alpa dan leka ini. Kerana Kau adalah Tuhan yang Maha Satu. Tiada dua. Tiada tiga. Kau ampunilah dosa hamba yang segunung Uhud ini dengan sifat kepengampunanMu yang tak terbanding dengan sebesar apa pun.

Kerana cinta yang paling agung di alam maya ini ialah cintaMu terhadap makhlukMu. Kerana Kau tidak akan membebani hambaMu dengan sesuatu yang tidak mampu untuk ditanggungnya. Kerana Engkaulah yang Maha Memahami, Maha Pengampun. Terima kasih Allah!

1 ulasan:

  1. assalamualaikum,yang..

    gagal sekali tak bermakna gagal
    tuk selama2nya..re-check urself...
    aku akui..statement jauh dari ALLAH tu tepat
    kalu diletakkan ditempat aku..
    aku rasa dan dapat rasa sem lepas
    aku jauh nga ALLAH..performance aku yang terlampau teruk..dari segi akademik dan sahsiah..
    tapi bermulanya sem baru ni..
    bangkitlah dan bina semangat baru...
    ALLAH always in ur side..me too...

    perjuangan takkan manis kalu tiada ranjau yang berduri..

    selamat berjuang,yang...

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...