Memaparkan catatan dengan label ibrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ibrah. Papar semua catatan

Khamis, 5 Disember 2013

Namun,

"Mereka sudah bertatih, berjalan, berlari malah terbang ke puncak tinggi, bahkan sampai ke cinta rafiqul a'la.

Namun aku? Masih di sini, jatuh, terluka dan berdiri lagi. Cuba berpaut, sedaya upaya, agar solsadu putus asa tidak mengasak menceroboh hati."


Setelah berbulan-bulan blog bersawang dan jauh dari suasana imarah. Terasa kekok pula sign in. Padahal dulu, ini hobi dan punca cari makan rohani yang ideal selepas kelelahan di kampus. 

Papan kekunci bagai terasa asing di jari. Bahkan mahu memulakan ayat pertama di atas, aku jeda seketika. Banyak benar perkara yang menyekat suara diterjemah ke skrin. Sesuatu yang tak mungkin difahami orang, bahkan diriku sendiri. 

Alam kampus mempersembahkan segala teori, idea dan pemikiran. Namun (ada 'namun' di situ), praktikal dan realiti luar kampus tidak-tidak malu menampakkan diri. Ia menerjah dengan sangat mudah, tangkas dan jitu menumbuk-numbuk, menampar-nampar wajah diri. 

Cabaran di luar kampus tidak sekadar mempersembahkan realiti yang perlu dihela dengan nafas panjang, NAMUN menguji sejauh mana benteng pertahanan dalam diri samada boleh mengharungi luas mehnah yang tidak bertepi ini atau tenggelam dan lemas tanpa disedari (na'uzubillah).

Oleh itu, 



Kerana jihad yang paling besar adalah jihad yang melawan nafsu. Kerana itulah, perjuangan mendidik diri adalah lebih dituntut demi melangsungkan perjuangan yang mempunyai matlamat yang lebih besar dari kepentingan diri. Moga Allah permudahkan.

Selasa, 7 Ogos 2012

Muhasabah Ramadhan

30 Ramadhan 1426

Hari ini, hari terakhir aku mengerjakan ibadah puasa. Hari ini adalah hari terakhir aku menghirup udara di bulan penuh barakah ini. Hari ini ialah hari terakhir pahala dan dosaku digandakan. Hari ini, hari terakhir aku menatap wajah jejaka Ramadhan!

Wajahku duka, sayu melihat dia mengemas pakaiannya, mengebas capalnya. Seraya wajahnya yang berseri bulan purnama tersenyum padaku.

"Jangan sedih, doakan ini bukanlah pertemuan yang terakhir."

Aku peluk wajah Ramadhan. Kehangatan ku rasa, belai cinta Rabbul Izzati mengusap kemudian mengelus wajah dukaku yang penuh dosa.

Ku tangisi perpisahan ini.

1 Ramadhan 1428

Hari ini Ramadhan menjelmakan dirinya. Hatiku kegirangan tatkala mendengar pengumuman bermulanya puasa pada malam semalam. Tatkala itu, bertambahnya sinar kebahagiaan pabila mendengar azan subuh berkumandang gah pada pagi 1 Ramadhan di Masjid Muhammadi. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi peluang sekali lagi kepadaku menatap kembali wajah cemerlang Ramadhan dan mendakapnya; melepaskan kerinduan yang terperam beratus hari lamanya.

Bulan barakah ini adalah bulan kerinduan para muwahhidun, yang padanya bisa diratah ibadah, bisa dipinta selautan rahmat dan maghfirah.

Aku berkira-kira, adakah sebetulnya aku merindui Ramadhan?

18 Ramadhan 1433

Malam ini dibaluti sunyi. Mula memuhasabah diri. Ramadhan yang kian berbaki. Lailatulqadr, entah aku ketemu atau tidak. Atmosfera pesimis menghembus. Tuhan, aku bukan hamba yang baik bukan?

Sukar diurus. Ketenangan bulan barakah ini bukan milikku.

Ingin memberitahu sesuatu tapi bibir kelu. Ingin menyapa seseorang tapi hanya menghela dengan pandangan kosong. Ingin mengetuk pintu cinta Tuhan tapi terasa malu dan mahu sembunyi?

Lalu lirik lagu Ramadhan 2 Zaman aku ulang-ulang. 

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga...

Lantas sebuah hadis terngiang-ngiang, minta dinukilkan;

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, 'Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'.

(HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban)

Nah, mampukah hati merasa tenang mendengar perkhabaran ini? Jika berlalunya Ramadhan namun dosa kita tidak diampunkan, maka kita didoakan oleh Jibril AS sebagai celaka. Diaminkan pula oleh Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang pernah wujud di muka bumi ini.

Dan perubahan tidak akan terjadi selagi tubuh tidak dihayun melakukan tindakan!

Ramadhan Kareem.
 

.

Sabtu, 21 Januari 2012

Dakwah ini

Dakwah ini 
berlari deras 
andai kita tak berkejar mengikutinya, 
pasti dakwah itu akan meninggalkan kita. 

Andainya kita telah pun berhenti sejenak 
menghirup udara kerehatan 
untuk mencari kekuatan
tentu kita agak segan 
untuk berlari mendakapnya 
kerana seolah-olah 
telah jauh dakwah berlari meninggalkan kita 

Tapi,

Tiada istilah terlambat dalam kehidupan kita 
selagi mana nyawa masih ada 
selagi itu
kita takkan pernah terlambat
mengejar kembali dakwah itu 

 
Walau pada langkah awalnya
kita harus merangkak menebal muka 
dan terkial-kial dalam memahami 
namun sekurang-kurangnya 
kita berusaha untuk berjalan 
di atas jalan dakwah ini 

Jangan segan dalam terus berjalan 
walaupun lambat 
kerana memang dakwah ini berlari laju
namun 
kita takkan pernah terlambat 
dalam mengejarnya 

-quoted

Isnin, 16 Januari 2012

Rahmat Perkumpulan Itu

Menjadi sebuah kebutuhan kepada hati-hati yang damba dan cintakan kebaikan untuk kemakmuran alam ini, juga menyintai perkumpulan dan tidak suka duduk berseorangan, menanti diterkam kejahatan syaitan.

Menjadi rahmat dan nikmat bagi orang yang menyukai perkumpulan yang baik-baik. Barang yang baik-baik itu hanyalah bertepatan pada al Quran dan as Sunnah, yang diredhai Allah Azzawajalla.

Menjadi bahagia sebahagia bahagianya pabila perkumpulan rahmat itu penuh nuansa ketenangan dan kematangan, lalu medan bersua menjelma mudah di laluan masa.


Semoga hati-hati itu sentiasa berpadu, berlari-lari menuju cintaNya, tatkala rahmat dan nikmatNya turun semberono saat kesatuan menjadi kuat, saat buah fikiran sabar dihadam, saat rukun persaudaraan dilangsaikan.

Maka tersenyumlah Islam, kerana perkumpulan itu menjadi rahmat kepada penghuninya.

Rabu, 17 Ogos 2011

Ramadhan Dua Zaman :: Inteam & Nazrey


Ramadhan satu nasib tak serupa
peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gembira cemerlang
mukmin berjasa diawal zaman

Ramadhan kami malam terbuang
muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya

puasa sekadar lapar dan dahaga... 

Sabtu, 13 Ogos 2011

Hujan, Biru Langit & Disember

Pabila cuaca mendung dan suram, awan menjadi kelabu dan kemudian hujan pun turun. Kadang-kadang ianya lebat, kadang-kadang ia turun renyai-renyai. Ada juga hujan yang diiringi ribut, angin yang kencang.


Gerimis mewakili air hujan yang turun ringan. Bunyi air hujan gerimis jatuh mengenai zink rumah sangat mengujakan. Satu tabiat tegar saya ketika hujan turun ialah, saya akan duduk di tepi tingkap melihat air hujan membasahi halaman rumah. Sewaktu ketika kecil dulu, pantang hujan mesti sudah bersorak riuh rendah di luar rumah dan mandi hujan sepuasnya. Selagi hujan tak serik atau tidak dipanggil ibu, selagi itulah saya mandi hujan dengan gembiranya. Sampai biru-biru bibir sebab sejuk. Ah, indahnya zaman kanak-kanak! huhu

Saya suka hujan. Walaupun orang kata susah kalau hujan ni, banyak aktiviti tergendala dan sebagainya, namun kecintaan saya terhadap hujan tak terkesan. Kadang-kadang sengaja mencari alasan keluar ketika hujan; saja nak merasa sejuk. Selain hujan, saya suka cuaca mendung dan redup. Kalau sedang marah-marah atau sedih, cuaca mendung mempengaruhi saya. Sedikit sebanyak ia menghantar ketenangan.

Manusia terinspirasi dengan hujan. Lagu-lagu dicipta berinspirasikan hujan seperti lagu arwah Sudirman, Hujan. Lagu Gerimis, Fareast dan banyak lagi. Malah, Hujan juga adalah nama sebuah band indie yang terkenal di Malaysia!

Hujan juga tidak ketinggalan menginspirasikan lagu-lagu sentimental buat saya.

Ada juga sesetengah orang menganggap hujan adalah fenomena sedih dan muram atau menangisi sesebuah pemergian dan perpisahan. Namun hujan dalam Islam adalah sebuah rahmat malah waktu hujan merupakan antara waktu-waktu mustajab berdoa.

Dari Sahal bin Saad katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ada dua jenis doa yang tidak ditolak iaitu ketika azan dan ketika turun hujan.”

Ada sebuah doa yang elok dibaca ketika hujan turun.


Suasana mendung ketika hujan akan memancarkan warna langit yang sebenar. Warna biru langit atau di dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'azure'. Warna langit pada waktu malam akan bercampur-campur dengan warna seakan-akan jingga yang menandakan awan yang mengandungi air. Bagi saya, hujan sangat dekat dengan warna langit. Hujan, biru. Ah, mencambahkan lagi satu benda yang saya suka iaitu warna biru.


Saya peng'obses' warna biru. Hampir 80 peratus barang-barang peribadi kepunyaan saya berwarna biru. Kalau pergi membeli belah terutama pakaian, mata saya lebih cenderung kepada pakaian berwarna biru, tak kira apa pun. Lukisan saya waktu kecil dulu juga didominasi dengan warna biru, sampaikan pokok pun saya warnakan dengan warna biru!

Mengikut kajian, individu yang menyukai warna biru ini adalah seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Dia pandai berkawan dan mudah disenangi orang lain. Disebabkan itu, dia sangat mementingkan persahabatan dan suka memberikan dorongan kepada orang lain. Kadang-kadang lebih mengambil berat terhadap orang lain berbanding diri sendiri.

Satu lagi, dia seorang yang sensitif dan bersifat dalaman serta romantik. Jenis personaliti seperti ini cenderung kepada sifat yang setia, menghargai sesuatu perhubungan sesama manusia, suka pada pergaulan, kadangkala suka berimaginasi dan nampak tenang. Malah, sukakan penghargaan dan mahukan kasih sayang daripada orang lain.

Namun, satu saja keburukan orang yang suka warna biru ni iaitu kurang bercita-cita tinggi dan takut dikritik. erk, kebetulan kena dengan saya. huhu

Teori hujan, warna biru dan bulan Disember ada kaitannya.

Sewaktu zaman sekolah dulu, pernah menghadiri satu program motivasi ni. Penceramah membahagikan kami peserta kepada beberapa kumpulan mengikut bulan kelahiran. Beliau menerangkan sikap dominan setiap orang yang mewakili bulan kelahiran mereka. Saya dipanggil ke depan mewakili kumpulan saya. Selepas menanyakan beberapa soalan, beliau menyatakan, orang yang lahir bulan Disember tidak suka keluar rumah, sukakan hujan, suasana mendung kerana bulan Disember seperti yang kita tahu adalah musim hujan lebat dan musim banjir di Pantai Timur. Mungkin sebab itu orang yang lahir bulan Disember sangat 'dekat' dengan hujan. 

Beberapa personaliti yang berkaitan dengan seseorang yang lahir di bulan Disember, antaranya ; sangat setia dan pemurah. Dia bersifat patriotik dan sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Bersikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Sangat bercita-cita tinggi dan suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Beliau seronok didampingi dan suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Antara kelemahan yang dikaji, tidak pandai berpura-pura dan cepat marah serta perangai yang berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi dan benci pada kongkongan. Suka berlawak dan pandai buat lawak dan menceriakan orang lain serta berfikiran logik.

Tak jauh bezanya personaliti bulan Disember dan individu yang sukakan warna biru. Kebanyakan ciri-ciri yang dikaji itu kena dengan saya. Ada juga yang tiada kaitan langsung. Namun sekurang-kurangnya, ada ayat dan perkataan yang mengungkapkan peribadi saya.

Sebentar, ia membuatkan saya terfikir.

Kadang-kadang kita tak kenal diri sendiri pun. Kita tak tahu potensi diri kita, kelebihan dan kekurangan, apa sifat dominan kita, apa yang kita suka dan benci. Kadang kita membiarkan diri menyukai perkara yang Allah benci dan membenci sesuatu perkara yang Allah suka. Kita menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dunia dan akhirat dan kita menerima dengan senang hati perkara yang membinasakan kita.

Tak kenal maka tak cinta.
Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.
Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.
Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah?

Ya, kita lupa yang kita gagal mencintai diri sendiri apabila kita gagal mencintai Allah. Sesungguhnya hujan, warna biru langit dan Disember juga adalah ciptaan Allah dan merupakan salah satu keindahan alam dan dunia untuk saya, kamu dan kita semua manfaatkan untuk lebih mendekatiNya.

Ramadhan kareem!

Sabtu, 30 Julai 2011

Umar Abdul Aziz

Umar Abdul Aziz atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Abdul Aziz bin Marwan bin Hakam. Ibunya, Laila Ummu Ashim binti Ashim bin Umar Al-Khattab. Beliau dilahirkan pada tahun 63 Hijrah bersamaan 683 Masihi di Kota Madinah. Beliau menghafaz Al-Quran sejak berumur 15 tahun dan berguru dengan beberapa ulama di Madinah, antaranya Imam Anas bin Malik, Urwah bin Zubair, Abdullah bin Jaafar dan ramai lagi. Beliau berkahwin dengan anak Khalifah Abdul Malik bin Marwan, Fatimah.

Sebelum menjadi khalifah, beliau pernah menjadi gabenor dan dipecat kerana ada perselisihan. Namun akhirnya, beliau menjadi khalifah apabila Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik menamakan beliau sebagai pengganti keenam pada tahun 99 Hijrah.


Keperibadian beliau yang mulia membuatkan beliau disukai ramai serta sifat warak yang diwarisi moyangnya, Khalifah Umar Al-Khattab. Umar Abdul Aziz sangat berhati-hati dalam urusan harta negara dan rakyat sehinggakan beliau menyerahkan kesemua harta peribadi hatta harta isterinya kepada Baitulamal. Beliau mengembalikan semula tanah rakyat yang pernah dirampas khalifah terdahulu. Beliau juga memecat gabenor yang bertindak zalim dan digantikan dengan gabenor yang lebih baik. Beliau sangat mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya sehingga banyak kisah yang tercatat yang menggambarkan sifat beliau yang adil dan amanah.

Penghayatan agama dalam kalangan rakyatnya juga ditekan dengan memerintahkan umatnya mendirikan solat secara berjemaah dan menjadikan masjid sebagai tempat mempelajari hukum Islam sepertimana pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para zaman Khulafa’ ar-Rasyidin. Beliau juga mengarahkan para ilmuan menterjemahkan bidang ilmu daripada bahasa Greek, Latin dan Siryani ke dalam bahasa Arab. Beliau menghantar pakar-pakar hukum Islam ke negara luar seperti Afrika Utara, India, Turki demi mengukuhkan dakwah Islamiah. Sumbangan beliau yang paling besar ialah mengumpulkan hadis.

Sifat beliau yang tidak banyak bezanya dengan moyang beliau, Umar Al-Khattab. Beliau sangat dikenali dengan menjadikan keadilan sebagai keutamaan pemerintahannya. Di antara sifat-sifat Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz yang sama ialah amanah, mengamalkan kesederhanaan menjadi contoh dan disegani serta sentiasa mendahulukan orang lain dari diri sendiri.

Khamis, 21 Julai 2011

Ayat-ayat Cinta

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Taubah, ayat 40.

Ayat 40, Surah At-Taubah ini cukup bermakna kepada saya. Terutama di frasa "La tahzan, inna Allaha ma'ana". Cukup memberi kesan.

22 Januari 2005

Bersekolah di Maahad dan tinggal di asrama dan kemudian ditaklifkan menjadi ketua bilik yang dihuni oleh hampir 30 orang. Budak mentah tingkatan 3 bakal menghadapi pelbagai ragam pelajar asrama. Menjadi pengawas sekolah ditambah pula dengan jawatan ketua bilik di asrama menyebabkan segolongan pelajar yang dikatakan bermasalah jengkel terhadap saya. Sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya kadang lebih junior dari mereka.

Tanpa saya sedari, banyak tekanan tertimpa kepada saya. Aktiviti persatuan, belajar, menghadapi kerenah-kerenah rakan-rakan sebaya menyebabkan waktu remaja menjadi adalah waktu murung dan emosional.

30 April 2006

Hari ini jumpa dengan Hajar dan kemudian langsung meminta nasihat dan tazkirah darinya. Dia kata, Allah sentiasa mendengar dan memerhatikan hambaNya. Dia suruh saya buka mana-mana muka surat Al Quran selepas solat secara rambang.

Dia kata lagi, “Nantikan bicara Allah denganMu.”

Saya tersenyum dan mengangguk setuju akan melakukan hal itu.

10 Mei 2007

Selepas hari yang memenatkan, sengaja tidur lewat malam ini. Sengaja mencari waktu orang lain dibuai mimpi. Jam sudah menunjukkan 1 pagi, namun mata masih tidak mahu lelap. Saya mencapai Al Quran tafsir usai solat sunat hajat. Sebelum saya membuka mushaf, terdetik di hati saya, “Ya Allah, kau Maha Mengetahui apa yang ku alami. Berilah kata-kata semangat kepadaku untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.”

Selepas itu, Al Quran dibuka di muka surat tengah. Serta merta mata saya terpacak kepada bilahan ayat bahasa syurga itu pada bahagian, “La tahzan innaAllaha ma’ana.” Allahuakbar! Air mata terus melaju turun lebat di pipi. Saya menangis teresak-esak. Menekup mulut, bimbang esakan saya didengari rakan-rakan hostel yang lain yang sedang tidur.

Tidak pernah saya berasa begitu dihargai melainkan ketika terasa belaian Allah melalui ayat itu! Dalam esakan yang perih, segala pengharapan dan meluahkan segala yang terpendam dan terbuku di hati dinyatakan. Saya nyatakan segala kebimbangan dan kebungkaman. Saya pinta segala pintu ketenangan di depan mata. Merasakan betapa indahnya cinta Allah kepada hambaNya. Terbukti, apa yang saya dengari selama ini bahawa cinta yang paling agung di dunia ini ialah cinta Allah kepada makhlukNya.


Rasa gembira. Terasa tidak keseorangan. Terasa gagah. Terasa kuat. Menyerap kekuatan dengan kembali kepada Allah. Kalau manusia mengatakan cinta sesama mereka adalah teragung, cinta Allah kepada makhlukNya adalah segala keagungan yang dipuja di dunia ini!

21 Julai 2011

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi

Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali

Harap ampunkan hambaMu ini...

Rabu, 30 Mac 2011

Kemenangan Adalah Milik Allah

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.

Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.

Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!


Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.

Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Wallahua'lam.

-Artikel Iluvislam

Isnin, 14 Mac 2011

Reload | Aim | Shot!

Airmata ini mudah benar mengalir. Ya, kadang menangisi diri sendiri yang makin kurang hamasahnya, menginsafi kelemahan dan ketelanjuran mulut, mata, telinga dan hati sehari-harian tika berhadapan dengan manusia. Sungguh, menghadapi manusia akan membuatkan kita lelah tanpa disedari. Saya jadi terfikir-fikir, kadang Allah hantarkan petanda. Hubungan dengan manusia kacau bilau dek kerana tali ikatan cinta dengan Allah s.w.t. sudah longgar dan kendur.

Ia minta untuk diperkuatkan kembali.

Hati manusia mahu dikuasai, namun hati sendiri masih ditakluki nafsu dan syaitan. Menegakkan Islam bukannya omongan kosong, yang senang-senang dilaksanakan. Ada harga yang perlu dibayar. Harganya 'mahal' sebagai mahar untuk mendapatkan cinta Allah dan ganjaran yang dijanjikanNya.

Sesekali bila menghadapi manusia, jangan mudah berputus asa.

Pabila keindahan Islam menyapa ke dalam hati sanubari seseorang, dia boleh berubah daripada api menjadi air. Mungkin juga dari sekuntum bunga dedap menjadi melur berbau harum. Saat sapaan hidayah dan tarbiyah itu mengusap kegersangan hati, segalanya menjadi tenang dan senang kerana Allah sentiasa menemani hamba yang ikhlas padaNya.

Tanpa disangka, seseorang itu boleh berubah 360 darjah! Hanya kerana hidayah Allah menyapa. Raut wajah yang kusam dulu, kan bisa menjadi bercahaya ibarat bulan cerah mengambang.

Namun, ada hati yang masih lagi keras menyambut seruan hayya ‘alal falah itu. Terus seruan itu dihindar, ditutup telinganya, ditarik selimut buat menyelimuti tubuhnya dari kaki sampai ke kepala. Terselimut dan tertutuplah hatinya sepertimana tertutupnya tubuh dengan selimut. Aduhai, betapa rugi mereka yang menolak seruan Allah!

Sebab itu, hidayah bukan milik kita.

Saya bermuhasabah . Daie hanya penyeru, bukan penghukum. Sesekali tidak untuk berkata benci kepada mad'u, namun manifestasi benci harus diterjemah pada kemungkaran yang dilakukan.

Hate the sin, not the sinner.

Sesekali jangan bersalah sangka. Percaya bahawa Allah sedang mengatur sesuatu, yang terbaik untuk dirinya. Tegakkan Islam dan maaruf dalam diri kita, benamkan kemungkaran dan dosa yang bermaharaja lela. Teguhkan keyakinan dan keimanan dan percayalah ; tidak ada sesuatu di dalam dunia ini yang tiada hikmahnya. IKHLASkan hati, bersihkan niat hanya semata-mata kerana Allah.

Satu azimat saya sentiasa ulang-ulang, sesungguhnya Allah tidak melihat pada keputusan atau hasil tapi Allah melihat percambahan usaha dan kesungguhan kita melaksanakan dakwah ini. Tiada jalan dakwah yang sunyi dari dugaan dan cabaran.Allah.

Taqarub ila Allah.

Tiba-tiba, saya tersentak. Ya, habluminnAllah. Perkukuhkan tali ikatan cinta kita dengan yang Maha Penyayang, yang tidak pernah terlupakan untuk menghembus hamasah kekuatan pada kita. Sesungguhnya Allah mencintai hambaNya yang berdoa di sepertiga malam, menangisi dosa-dosa semalam, memohon ampunan dan rahmat yang takkan pernah terputus.

Tersenyum bila teringatkan kembali sms kak Umi Kalsom, mantan MPMUTM 10/11 yang banyak memberi tunjuk ajar semasa menjadi calon umum untuk PRK lalu yang berbunyi, "Reload-aim-shot!"

Mari kita RELOAD kekuatan dari Allah. AIM kan kembali matlamat kita. Serta jangan lupa SHOT!

Catatan-catatan ini makin kering dakwatnya

Moga Allah kuatkan saya, kamu dan kita semua untuk terus bermuhasabah, mengecas kembali iman & taqwa dan kemudian bangkit semula.

Allahuakbar!

Selasa, 8 Februari 2011

Emel dari Firdaus Muhaimin ; Suatu Kebetulan :D

Apabila Abang dapat satu e-mel daripada seseorang yang mengatakan bahawa abang diminta membuat satu artikel khusus untuk adik-adik MMP dalam buku ini, abang tak TERKEJUT. Kata orang berkenaan artikelnya mestilah berkisar tentang KERUNTUHAN akhlak remaja (adik-adik) dan langkah-langkah mengatasinya. Barangkali adik-adik semua sudah faham dan masak dengan tajuk sebegini, bukan? Itulah hakikatnya, walaupun sudah hadam dan masuk dalam perut sekalipun tapi belum berbekas dalam hati adik-adik. Barulah abang sedar bahawa masalah sebegini membelenggui remaja kita sampaikan budak sekolah agama khususnya Maahad Muhammadi turut sama TERJERUMUS ke dalam kancah runtuhnya akhlak seperti runtuhnya bangunan atau tanah kerana bencana alam. Adakah sama runtuhnya akhlak dengan runtuhnya bangunan? Betulkah tanggapan abang ini, adik-adik?

Abang tidak menyatakan semua budak Maahad terlibat, tapi segelintir yang memakai lencana Maahad yang menimbulkan ketidakfahaman tentang konsep Islam menyebabkan kesemua budak Maahad (tidak kira baik atau tidak) terkena lumpur tohmahan masyarakat yang dibawa oleh ‘kerbau’ gembala budak Maahad itu sendiri! Ketidakfahaman di sini bermaksud kurang fahamnya terhadap apakah yang dituntut oleh agama. Islam umumnya menuntut umatnya berkelakuan baik, berbudi bahasa, bersopan-santun, lebih-lebih lagi manusia yang bergelar wanita. Di sini abang terangkan, oleh kerana ramai yang tidak faham konsep Islam itu sendiri, maka pincanglah agama kerana tidak dilaksanakan konsepnya. Nampak ‘bolok' la kata orang kita kalau melaksanakan ajaran agama. Sebenarnya, siapa yang lebih kuno + jahil? Yang menjadi persoalan, kenapa budak Maahad yang dok belajar hari-hari agama, tafsir, feqah, tauhid, hadis dan Quran masih berpotensi tergolong dalam golongan yang merobohkan agama? Adakah kerana tidak cukup ilmu yang dicurahkan? Atau ilmu yang tidak diamalkan? Pengaruh keadaan sekitar? Keluarga? Atau kurangnya KEYAKINAN dan JANJI ALLAH?

Pastu yang dok bergurau senda dengan lelaki AJNABI dan berteriak, bertempik, melolong di khalayak ramai, apa pasal? Sakit hati + mata abang melihat hodohnya perilaku muslimat (sekolah agama pulak tuh). Kebejatan akhlak semakin berat, adik-adik yang dok Maahad (ulama’) pun nak menyumbang peratus jugak ke? Tak ke sumbang sumbangan tersebut? Tak sohor langsung. Belajar agama hari-hari takkan otak + perangai setakat level budak sekolah menengah biasa kot? Adik-adikku, kembalilah kepada ALLAH dan Islam. Percayalah kebaikan mendatangkan pahala dan diganjarkan syurga, manakala kejahatan dibalas dosa dan neraka!

Timbulnya isu kebobrokan akhlak kerana kejahilan remaja itu sendiri tentang puncanya. Abang percaya, budak Maahad yang berkaliber ini pasti mempunyai pengetahuan tentang semua ini. Masing-masing tahu mana baik dan buruk. Oleh itu, sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Nah! Di sini abang utarakan dua perumpaan untuk adik-adik yang abang sayangi, untuk adik-adik berfikir semasak-masaknya sampai pokok ilmu itu cepat berbuah dan masak untuk adik-adik petik buahnya dan menikmati lazatnya imu itu dengan amalnya sekali. Sebenarnya, adik-adik semua tidak percaya akan azab ALLAH, bukan? Jika adik-adik yakin dengan wujudnya azab itu, pasti amanlah Maahad dan juga dunia Islam. Buktikan yang adik-adik percaya ALLAH itu Maha Berkuasa memuliakan atau menghina sesiapa yang dikehendakiNYA. Maha Berkuasa memberikan balasan samada balasan baik atau balasan buruk kepada orang yang dikehendakiNYA.

Ikhlaskan niat kerana ALLAH, yakinlah ALLAH sedang memerhatikan kita. Sebagai pendorong untuk adik-adik berubah menjadi muslimah solehah. Di ruang yang terbatas ini sukacitanya abang menyeru kepada adik-adik, tak kira lelaki atau perempuan, letakkan kembali Islam ke tempatnya yang tertinggi semula!! Jangan jadi zalim kerana ta’rif zalim itu sendiri ialah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Oleh itu, mulakan dengan diri sendiri. Berubah dari lewat tunai solat kepada solat awal waktu, dari tidak membaca AL-QURAN dalam sehari, kepada tilawah AL-QURAN sekurang-kurangnya 2 atau 3 pipi sehari. Dari bertudung sebar kepada tubung labuh atau lebih hebat lagi bertudung bulat. Daripada tidak pernah berstokin kepada berstokin (muslimat).

Namun, berubah menjadi baik amat perlu kepada istiqamah. Jadi, istiqamahlah bila adik-adik sudah berubah. Renungilah sabda Rasulullah S.A.W:

Dari Aisyah r.a katanya: ”Pada suatu ketika, Nabi pulang ke rumah Aisyah, didapatinya dekat Aisyah duduk seorang wanita. Lalu Nabi bertanya,”Siapakah wanita itu?” Jawab Aisyah,”Inilah si Fulanah yang terkenal banyak melakukan solat.” Sabda Nabi S.A.W,”Jangan begitu!Kerjakanlah sekuasamu. Demi ALLAH! Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang malas berbuat amal. Amal(agama) yang lebih disukai di sisi ALLAH ialah amal yang dilakukan secara tetap dan teratur(berterusan)."

Setelah adik-adik pahatkan kebaikan dalam diri ikhlas kerana ALLAH S.W.T, adik-adik sebarkanlah aura kecemerlangan syakhsiah dan akhlak adik-adik kepada orang lain. Orang-orang di sekeliling adik-adik, terutamanya rakan-rakan dan keluarga adik-adik.

”Tidak beriman seseorang itu jika tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”.

Hadis Rasulullah S.A.W ini membuka tirai minda adik-adik yang selama ini boleh dikatakan selfish’. Kita tahu azab siksaan yang bakal menanti saudara seislam kita yang berbuat maksiat, tapi adakah kita menegahnya daripada berbuat maksiat? Kitalah namanya selfish, nak masuk syurga sensorang! Kan tugas berdakwah itu wajib atas setiap individu? Atau adakah adik-adik merasakan diri banyak lagi kelemahan dan amalan belum cukup mantap? Siapakah di antara kita yang lengkap dan sempurna imannya?!!!

Imam Said bin Jubir berkata, ”Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada amal makruf dan nahyu mungkar sehingga dirinya sempurna, maka tidak ada seorang pun yang akan mengajak kepada amal makruf dan nahyu mungkar.”

Imam Malik bersetuju dan menambah, ”Dan siapa di antara kita yang lengkap dan sempurna?"

Syaitan amat menyukai apabila tidak ada orang yang menyampaikan amal makruf dan nahi mungkar. Jika diabaikan perkara ini, tunggulah azab dari ALLAH dan golongan soleh juga akan turut sama terkena.

Abang mengharapkan perubahan besar yang menjurus kepada kebaikan berlaku dalam kalangan adik-adik khusususnya, dunia Islam Timur amnya. Sambutlah salam sayang dan rindu abang terhadap perubahan adik-adik yang akan menjaga kesucian Islam yang syumul ini.

ALLAHUAKBAR!!!



Sukacitanya dimaklumkan, artikel ini ditulis oleh pemilik blog ini ketika beliau masih lagi di MMP (tingkatan 4, 2006). Harap abaikan sahaja tatabahasa yang lintang pukang dan caca merba ayat yang tidak konsisten. Maaf jika tajuknya mengundang kontroversi, namun ia lebih bertujuan menarik perhatian dan 'menagih' kebaikan dari orang yang membacanya.


"Sungguh tidak sangka, saya bertemu kembali tulisan pertama saya. Lebih melucukan, pertemuan semula ini diiringi dengan pertanyaan junior-junior saya tentang siapakah Firdaus Muhaimin. Maafkan kakakmu wahai kalian. Cuma mahukan kelainan dan supaya mesej yang ingin disampaikan tidak 'pending'. :)"

Ahad, 16 Januari 2011

Laut & Jari


Sabda Rasulullah s.a.w. ; "Celuplah jarimu ke dalam air laut. Air yang menitis dari jarimu adalah nikmat dunia. Manakala baki air laut yang terbentang luas itulah nikmat syurga.."


Sesungguhnya kebahagian itu takkan datang tanpa kesabaran dan keinsafan. Semoga Allah menjadi sesuatu yang pahit itu sebagai nikmat yang menyenangkan. ~

Rabu, 24 November 2010

Hati Pemilik Diari Hijau


Diari hijau ini sudah lusuh. Namun, cerita dan kisah di dalamnya masih lagi utuh di hati saya. Peristiwa dan pengajaran yang saya dapati sewaktu meniti usia remaja masih tersimpan dan tertulis kemas. Diari hijau ini kembali saya buka dan tatap setiapkali rasa kehilangan 'aura' mendidik hati (yang sebenarnya itulah semakin lusuh). Ternyata masih lagi teguh memberi dan memulangkan diri pada yang Maha Esa.

Tatkala banyak 'rasa-rasa' bertandang ke kamar hati, saya temukan kembali catatan ini ;

Selasa, 11 September 2007

Tiba-tiba wajahmu terpamer di mataku. Sore yang panas ini menghangat suasana di sekolah. Baru habis periksa sejarah. Sejarah yang bakal mengegarkan dunia! Entah apa hatiku bilang pagi tadi, marah benar gayanya. Memarahiku kerana memungkiri janji. Gelora apakah yang bermandala di kamar hati? Bosan melayan kecamuknya yang kian menghalau titisan kesabaranku. Aku gila untuk menampungnya. Aku benci, serabut!

Ya Allah, jauhkanlah aku dari malapetaka ini. Tiap detik ku rasa gelisah akibat panahan mataku yang tak mengenal dosa. Ghadul basor yang tidak kejap mendampingiku. Uraikanlah ikatan syaitan ini. Ya Allah, aku memohon dengan sepenuh jiwa raga bakulku, rendamkanlah aku dalam clorox penghilang kotoran mazmumah. Bilaslah aku dengan vanish keimanan agar tidak pudar cintaku pada nyalaan lilin agama ini. Biar ia terus menerangi hati yang kelam ini. Tepislah rasa gelora ribut badai bencana ini. Alirkan air mata ini buat membasuh dosa-dosa silam.

Rabu, 29 Januari 2008

Maaf, sudah lama tidak mencoret di sini. Deburan ombak rindu yang melimpah mendorong ku ke tepian bingkisan hati ini. Banyak sekali yang bakal ku ceritakan di sini. Kisah kehidupanku mula lama terasa hidup dek kerana rahmat cinta Allah yang menyelinap. Tanpa ku duga, ku rapat padaNya. :)

Khamis, 12 Jun 2008

Alhamdulillah, setinggi kesyukuran aku rafakkan pada Rabbul Izzati kerana memberi peluang padaku nikmat rasa bertuhan. Segala kegelisahan yang membungkam, segala kekacauan yang bergelora, segala keraguan yang huru-hara luluh pudar seperti kotoran di baju putih yang disental dengan cecair pemutih!

Alhamdulillah, syukur. Aku melangkah penuh gagah, aku menapak penuh keyakinan, aku memandang dengan penuh optimis pada masa depan gemilang yang diiringi kebersamaan Allah. Cinta Allah itu mengalir seperti aliran sungai yang tidak henti-henti membawa kocakan dan deruannya ke muara, menggamit hati yang bermuram durja. Terima kasih ya Allah, terima kasih yang tidak terhingga. Ku mohon pada Allah agar hati sentiasa dicuci bersih dengan aliran air sungai permata berlian cinta Allah. Seperti kata kak Mastura, hati ni kena selalu bersih dan suci.

Ku pohon juga ya Allah, agar aku ditetapkan dalam golongan sedikit; kerana golongan sedikit tetap saja bersyukur kepada Allah atas nikmatMu yang tidak terhitung, kerana golongan yang sedikit saja yang mukhtarah, sudah ditapis untuk menempuh mehnah perjuangan, menelan pahit kesengsaraan, mematah badai tribulasi yang melanda, menentang arus globalisasi yang post-modern kononnya bercita-cita menghapus lilin agama ini dari terus menebar cahaya kebenarannya ke pelusuk dunia.

Catatan Selasa, Rabu dan Khamis ini ialah kisah naik turunnya iman, bertambah dan berkurangnya iman. Ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah. Namun, sikap orang beriman apabila berada di bawah, dia akan sentiasa berusaha untuk naik ke atas kembali.

Saya peluk kembali diari ini. Ketika bermunajat di sejadah perang yang juga saya gunakan buat menemani diri mengintai cinta Allah sejak umur belasan tahun. Saya menangis kerana saya dapat rasakan yang saya kehilangan sesuatu. Sesuatu yang sangat berharga. Tidak mampu dibeli dengan apa pun hatta apa saja yang disinari matahari.


Hati yang bersih dan suci.

Ya, hati yang lembut, teguh dan jernih.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud ; "Dalam tubuh manusia terdapat segumpal darah. Jika baik gumpalan darah itu, maka baiklah seluruh tubuhnya. Jika buruk gumpalan darah itu, maka buruklah kesemuanya. Ketahuilah bahawa gumpalan darah itu ialah hati."

Pentingnya hati ini dijaga kerana ia menentukan kebaikan seluruh tubuh badan kita. Hati yang hidup mendorong anggota badan melakukan kebaikan dan hati yang mati mendorong anggota tubuh melakukan kejahatan dan kemaksiatan!

Saya menangis lagi. Pedih esakan di pipi.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang berbunyi : "Sesungguhnya hati manusia itu boleh berkarat seperti berkaratnya besi."

Perkara yang boleh membuatkan hati sakit dan seterusnya mati ialah maksiat. Apabila kita melakukan maksiat, maka pada hati kita akan tumbuh bintik hitam, kepekaan kita kurang, sensitiviti kita tumpul, tubuh rasa berat untuk beribadah dan jiwa rasa jauh dari Allah.

Maka bermulalah episod penyakit hati. Iri hati, dengki, hasad, fitnah, buruk sangka, khianat, was-was, marah. Syaitan akan menggunakan penyakit-penyakit itu sebagai kuda-kudanya untuk tambah merosakkan dan menipiskan lagi keimanan manusia.

Dan penyakit-penyakit hati inilah yang meragut pergi ketenangan.

Solusinya, tidak dapat tidak kena bersihkan hati dengan membuang segala penyakit hati tersebut. Ubatilah hati kita sebelum ianya mati dan tidak mengenal pencipta. Penyakit hati boleh dirawat dengan amal yang baik.

Hadis pasal karat hati tadi belum habis. Rasululullah bersabda; "Sesungguhnya hati manusia itu boleh berkarat seperti berkaratnya besi." Maka sahabat-sahabat bertanya apakah yang boleh membersihkannya. Rasulullah s.a.w. menjawab, "Membaca al-Quran dan mengingati mati."

Melakukan kebaikan. Taubat. Istiqamah.

Sabda baginda junjungan mulia s.a.w. lagi ; "Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat bejana-bejana, iaitu hati-hati (hambaNya). Yang paling disayangiNya ialah yang paling lembut, paling jernih, paling teguh. Yang paling teguh berpegang pada agama, yang paling jernih dalam keyakinannya dan yang paling lembut kepada sahabatnya."

Rabu, 8 April 2008

Jalan yang panjang ini penuh liku, Ya Allah. Ada bencana dan bala yang menunggu di sisinya. Walau bukan fizikal yang disakiti tapi mental kian diasak tujahan godaan dan kejahatan. Kegelapan itu kembali menyelubungi. Pilu rasanya saat awan gelap hitam pekat itu berarak masuk ke kamar hati yang sedia tidak terkawal itu. Tiada penjaga iman yang segak berzikir dan pemerhati akal yang sempurna pengawasannya. Cahaya Al-Quran lama-kelamaan terhapus ditiup gelora taufan nafsu yang menggila. Tautan sunnah Rasulullah jua turut terlerai sehinggakan tertelanjang sebuah hakikat yang hipokrit dan dusta. Saat itu juga, amal jauh dari ilmu. Pohon rendang kembali kering buahnya. Tiada lagi teduhan yang nyaman. Hati yang naïf itu kembali menangis seperti dulu, saat ia dijajahi syaitan. Mencurahkan air mata dari matanya yang sudah dibutai. Seluruh anggotanya lumpuh untuk mengerjakan gerak langkah membangun rohani. 

Tapi mendung itu tidak terlalu lama singgah, tatkala sang raja empunya diri tersedar dari lenanya yang diracuni. Penawar kembali ditemui. Hati diubati, dijagai dan disucikan kembali. Curahan hidayah dan rahmat tak jemu mendatangi. Satu persatu cahaya-cahaya kembali menerangi. Menghambat pergi segala yang bernama kegelapan, kejahatan, kehitaman. 

Selangkah kita mendekati Allah, seribu langkah Allah mendekati kita. Kita berjalan menuju Allah, Allah berlari-lari menuju kita.
Allah Maha Penyayang dan tidak pernah meninggalkan kita. Dan seketika, hati memang akan merasa tenang dengan mengingatiNya. :)

Diari hijau.

Teguh.

Jernih.

Lembut.

Hati.


Isnin, 22 November 2010

Apakah Benar Engkau Pejuang :: Qatrunnada

Memuhasabah diri.. sejauh mana aku begitu mencintai sunnah Nabi ini. Apakah benar diriku pejuang sehingga banyak perkara yang aku abaikan. Meneliti kehidupan ini, apakah aku benar-benar bersungguh memartabatkan ilmu dan amal dalam kehidupan. Musim peperiksaan betul-betul memerah otakku berfikir dan banyaklah 'hasil-hasil' di dunia maya ini. hu3



Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang,
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak engkau amalkan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup terima cabaran
Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,
Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan 

yang sebenarnya apa yang
Engkau hendak perjuangkan...

Khamis, 12 Ogos 2010

Secangkir Rindu Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Rindu langsung terubat. Entah kenapa hati ini dihambat rindu kepada Ramadhan. Setiap hari, status di FB akan bertukar cerita mengenai Ramadhan. Sepanjang hidup bernafas di bumi Allah ini, sampai saat ini barulah jiwa terasa kerdil, andai kata diri ini tidak sempat bertemu Ramadhan untuk kali kedua puluh satu - seiring usia yang semakin meningkat. Terus hati dicuit kebimbangan, kerana amal entah menyamai atau tidak titisan air di hujung jari. 

1 Ramadhan 1416H
Rumah quaters Stesen Keretapi Tanah Melayu Temangan bising dengan suara keanak-anakan saya dan juga Fadhli. Riuh suara ma menyuruh abah menghentikan hilai tawa kami bergurau senda sedang sebentar lagi azan maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa akan berkumandang kurang 5 minit. Abah memeluk kami berdua, mencium pipi kami bertalu-talu. Makin kuat hilai tawa kami kerana geli digesel misai dan janggut abah yang dicukur nipis itu. Nora dengan wajah kurang mengerti, memerhati jauh dari dukungan ma.


Di depan kami sudah tersedia hidangan kegemaran abah. Antaranya kuih lompat tikam, kuah kacang dan rojak mee, tempe dan pelbagai lagi. Itu semua juga kegemaran saya dan adik beradik yang lain. Sebaik saja azan berkumandang, kami sekeluarga duduk mengelilingi hidangan, membaca doa diketuai Fadhli (dengan bahasa pelatnya!) dan diaminkan. Hidangan mula disantap, dan mulut saya yang petah mula berbicara, menanyakan itu dan ini tentang segala benda yang berkaitan dengan puasa dan Ramadhan. Sememangnya abah dan ma begitu sabar melayani keletah saya.

"Abah, puasa ni sakit tak? Boleh mati tak kalau tak makan sehari?". Abah tersenyum geli hati mendengar pertanyaan anaknya yang tak surut-surut perasaan ingin tahu.

"Abah tak mati pun. Masa abah umur 6 tahun, abah dah puasa sampai petang." pertanyaan ku dijawab motivasi. Menyuntik semangat aku untuk berpuasa penuh esoknya, kerana siang tadi aku sudah berbuka jam 11 pagi!

29 Ramadhan 1422H
Juadah berbuka puasa hari ini ala kadar saja. Tiada kuih istimewa kesukaan kami. Lalu azan maghrib berkumandang. Ma membawa dulang berisi teko dan cawan ke meja makan. Saya membawa lauk-pauk yang sekian tadi disediakan. Farid tiba-tiba menangis kerana diusik Fadhli, diambil lauk ayam gorengnya sambil membawa pinggan ke depan televisyen. Kedengaran suara abah mengerang di sudut bilik, menyatakan kejengkelannya mendengar hiruk pikuk kami di meja makan.

Lalu ma bersuara lemah, "Yang, pergi pujuk Farid." Saya patuh, langsung mendekati Farid yang sedang merengek-rengek. Memujuk dia dan melayan adik-adik yang lain agar berbuka puasa dengan tenang untuk hari terakhir Ramadhan tahun ini. Ma membawa makanan untuk abah yang sedang terlantar di bilik.

Selepas solat Maghrib, kami adik beradik berkumpul di ruang tamu. Kami bercerita tentang aktiviti pagi raya esok. Kegembiraan terpancar di wajah kami. Tiba-tiba, kedengaran bunyi mercun yang kuat sedang meletup dari luar rumah dan itu hampir membuat abah histeria memarahi kebisingan yang begitu menjengkelkan dia. Kesakitan yang dia alami makin bertambah barangkali tatkala terpaksa menelan sebarang 'pencemaran bunyi'.

Lalu, tak lama kemudian, takbir raya kedengaran dari surau berdekatan. Kami bertakbir beramai-ramai (walaupun kami berada di rumah). Hampir terlupa tentang abah, namun berasa pelik, kenapa abah tidak bising pula? Kami bising bukan kepalang lagi! Lantas, saya ke balik dinding di tepi bilik abah. Mendengar esak tangisnya mengikut takbir raya walaupun lidahnya sudah keras. Sambil mengesat air mata, ma menyuapkan makanan ke mulut abah. Abah menolak dan berkeras mengikut takbir dengan suara lemah. Saya mengeluh sendirian. Ah, jauhnya kematian.

11 Ramadhan 1426H
Saya mengusap wajah selepas menunaikan solat witir sendirian di masjid. Sengaja tidak menyertai solat witir berjemaah tadi, saya mengambil waktu membaca Al-Quran sementara. Masjid asrama kian lengang, barangkali ramai yang sudah ke urusetia menikmati juadah moreh di situ pula. Saya mencapai mushaf usai berdoa. Pandangan saya terpamit pada kalendar hijrah yang tergantung di sisi tingkap bersebelahan rak Al-Quran.

11 hari sudah berlalu di bulan ini. Peperiksaan SMU yang sedang berlangsung lantas menjelma di fikiran. Harap-harap dapat jawab! Saya menyambung bacaan Al-Quran yang terhenti tadi. Target saya Ramadhan kali ini saya dapat menghabiskan 30 juzuk! Begitu tegar menghabiskan 1 juzuk dalam sehari, saya berdoa supaya Ramadhan kali ini saya dapat berpuasa penuh. Barulah target mencapai 30 juzuk Ramadhan ini berjaya.


Setiap kali selepas solat maghrib berjemaah, saya akan menuruni tangga masjid dan duduk di kerusi batu sambil menghirup udara malam di situ. Tak ketinggalan nota pelajaran turut dibawa bersama sambil mulut terkumat-kamit menghafaz isi pelajaran. Melihat langit, rasa Ramadhan kali ini begitu membahagiakan. Kadang langit malam cemerlang dan indah disimbah cahaya bulan. Tampak jelas bintang bertaburan, berkelip indah membuatkan saya tak terlupakan. Kadang gelap zulumat menandakan cuaca bakal mendung keesokkan harinya, membawa suasana violet biru kesukaan saya. Begitu indah kekuasaan Allah s.w.t., bibir tak lekang berzikir memujiNya atau menyanyikan nasyid memuja Allah. Ah, tenang menyelimuti. Banyak permasalahan hidup saya kadang terselesai dengan beriktikaf di hamparan begitu, terus-terusan mengingati Nya.

"Kak Yang, tak nak balik blok ke? Dah pukul 11 lebih ni." suara yang ku kenal, Hafizah juniorku mengejutkan aku dari lamunan. Lantas mengingatkan aku supaya berpijak di bumi yang nyata.

2 Ramadhan 1431H
"Jadikan tentangan sebagai peluang, jadikan kesulitan sebagai kemudahan. Susah bukan untuk lemah. Senang bukan untuk selesa. Positiflah memandang kehidupan, kerana ketahuilah Allah itu maha mengetahui." Begitulah status di fb saya. Menjadikan setiap tentangan, kekangan, halangan sebagai pemangkin untuk terus maju. Memandang semua itu sebagai peluang-peluang untuk lebih ke hadapan. Tanpa menoleh ke belakang. Tanpa mendengar cakap-cakap orang. Ramadhan ini adalah sekolah tarbiyah hati dan semangat kental seperti Nabi Muhammad s.a.w. Teruskan sunnah perjuangan Rasulullah sebagai pekerjaan pendamping kehidupan yang paling mulia.

Ramadhan bukanlah kekangan untuk menjadi pasif malah kurang dinamik. Puasa menguatkan fizikal dan akal, demi menjemput sebuah keredhaan Allah s.w.t., lantas ia tidak mudah. Hanya yang tegar melalui hari-hari dengan penuh ketaqwaan, tanpa ragu-ragu meyakini hikmah Allah menjadikan manusia itu hebat di dunia dan di akhirat.

Secangkir rindu Ramadhan tetap bertamu di setiap tahun usia menjengah di kehidupan.

Insya Allah.

Ameen.

Ahad, 18 Julai 2010

Catatan Masa Lalu (2)

Hari ini saya ingin bercerita. Kisah pengalaman saya dulu,. di waktu sekolah, di maahad yang banyak membentuk jati diri saya sehingga jadi insan seperti hari ini. Menjadi antara orang yang sedar akan hakikat membina jambatan hati antara sesama insan adalah salah satu rencah dalam hubungan antara seorang daie dan mad'u, antara seorang guru dan anak muridnya, antara seorang sahabat dengan sahabatnya DAN antara seorang senior dan juniornya.


Semasa di tingkatan 4 dulu, saya dilantik menjadi penolong ketua bilik bagi bilik 5A, sebuah bilik atau dorm yang menampung hampir 40 orang pelajar lebih. Semasa di tingkatan 5, saya jadi ketua bilik di bilik 2A yang sama saiz dan kuantitinya dengan bilik 5A. Pelajar-pelajar yang menghuni dorm tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, tingkatan, sikap dan 'geng'. Seingat saya, pelajar asrama memang terkenal dengan 'geng'nya dan semangat ukhuwah sesama mereka. Walaupun dari pelbagai fahaman dan pendapat, kami tidak mengabaikan perpaduan sesama 'umat'., pada waktu itu.

Amanah sebagai pemantau atau dalam erti kata lain menjaga kebajikan, disiplin, kebersihan, dan sewaktu dengannya jatuh ke atas pundak ketua bilik dan penolongnya. Di samping itu, tidak ketinggalan juga dengan pembentukan tarbiyah untuk mereka,. mengambil berat keperluan mereka dan melayani mereka seperti adik beradik sendiri. =) Kenangan di sini sememangnya terpahat dan takkan hilang rasanya.

Namun, tak ketinggalan juga berhadapan dengan pelajar bermasalah (tidaklah bermasalah sangat pun tapi lebih kepada meladeni jiwa remaja yang sedang memberontak). Jiwa-jiwa seperti harus (la budda) dilayan sehalus mungkin,. tidak terlalu ditekan atau mengarahkan mereka mematuhi peraturan sedia ada, tapi membantu mereka mengenal potensi diri dan pencipta yang pentingnya.

Di bilik 5A, saya berkenalan dengan seorang junior bernama Farah (bukan nama sebenar) yang muda dua tahun dari saya. Kemudiannya, kami sebilik pula pada tahun seterusnya di bilik 2A. Farah yang saya kenal adalah seorang yang sangat bijak, cantik dan mempunyai nilai tambah yang tersendiri ; antaranya sangat fasih berbahasa Inggeris kerana pernah berada di USA sewaktu kecil dahulu, mengikut bapanya melanjutkan pelajaran di sana. Farah agak kebaratan sedikit ; dapat dilihat pada citarasanya, pemikiran, minat. Ayahnya seorang saintis dan berfikrah agama. Berasal dari Kuala Lumpur dan berada di maahad bukan ke atas kehendak dirinya sendiri. Biasanya pelajar yang dipaksarela berada di maahad antara pelajar yang 'memberontak' jiwa remaja mereka, kerana tidak dapat dinafikan peraturan di sekolah agama lebih-lebih lagi dikelolakan oleh kerajaan Kelantan adalah tidak 'ngam' dengan jiwa mereka.

Hobi saya dan Farah adalah sama iaitu membaca buku. Selalu saja dia menyelongkar rak buku saya, mencari apa-apa bahan menarik untuk dibaca dan saya sendiri tidak ketinggalan menanyakan buku baru setiap kali dia pulang dari keluar Kota Bharu atau dari Kuala Lumpur selepas bercuti, terutama bahan bacaan bahasa Inggeris. Saya sangat seronok berbual dengan Farah, sebab dia betul-betul mencabar minda dan cara penyampaian saya. Dia bukanlah sebarangan orang untuk menerima bulat-bulat apa yang kita perkatakan, kerana tidak dapat tidak perkara itu harus jadi darah daging perbuatan kita terlebih dahulu. Cakap memang kena serupa bikin.

Dengan Farah, saya banyak ajak dia berfikir, berdiskusi, berkongsi buku dan risalah, bercerita pengalaman, bertukar pendapat dan pandangan dalam apa saja isu. Sekurang-kurangnya darah panas yang mengalir dalam diri dapat disejukkan dengan hembusan peringatan mengenai Allah, Nabi Muhammad dan hikmah Islam meletakkan peraturan agar nafsu dapat dikandang (tengok filem Sang Murabbi).

Dia banyak mempersoalkan kembali apa-apa saja yang saya cuba utarakan. Masih segar di ingatan saya, bagaimana kami berhujah mempertahankan akal fikiran masing-masing. Sesungguhnya, agama bukan ditanggapi dengan akal. Jangan sesekali mencerna agama dengan kudrat akal fikiran kita yang terbatas ini. Banyak persoalan agama yang dia tanggapi dengan akal. Kenapa kena pakai tudung, kenapa kena solat, kenapa begitu, kenapa begini. Ah, banyak lagilah persoalan yang dia utarakan. Sedikit sebanyak mengajar saya supaya bercakap dan berhukum pada Al-Quran dan sunnah Rasul. Dari situlah saya belajar menangkis tuduhan dan anggapan palsu terhadap susunan Islam yang indah ini.

Setiap kali persoalan Farah yang tidak dapat saya jawab serta merta, saya akan meminta dia supaya 'menunggu' dulu supaya dapat saya rujuk kepada ustaz ustazah di sekolah di samping 'search' di loker buku dan maktabah sekolah. "Okey Farah, hold dulu. Nanti k.Yang tanya ustaz." Itulah ayat yang selalu saya ucapkan setiap kali perbincangan kami diakhiri tanpa kesimpulan yang kukuh.

Terkesan dengan sikap Farah, saya banyak berfikir. Di samping berfikir persoalan-persoalan dan cara untuk menyampaikannya dengan hikmah, saya juga berfikir bagaimana cara untuk mengubah caranya berfikir. Landasan fikirannya bakal membawa dia kepada aliran fikiran lojik semata-mata tanpa mempedulikan keterbatasan akal manusia. Bagus juga, kerana kita ikut agama bukan ikut-ikut. Tapi, ada bahayanya jika semata-mata bersandar hukum pada akal saja.

Semasa saya di tingkatan 6, saya tidak lagi tinggal di asrama dalam. Ustaz Lokman meminta saya menjadi musyrifah di asrama luar. Kami tidak lagi bertemu seperti biasa. Namun, cerita-cerita yang kurang enak tentang dirinya mula kedengaran di telinga saya. Saya tidak sempat bertemu dengannya sehinggalah dia dibuang sekolah kerana melakukan kesalahan yang tak dapat diterima, ditambah rekodnya yang terdahulu yang sudah banyak tercatat pelbagai kesalahan.

Selepas meninggalkan alam persekolahan, saya cuba menghubunginya. Mahu tahu perkembangan dia sekarang selepas dia meninggalkan maahad. Saya cuba bertanya kepada teman-teman rapatnya yang berada di sekolah. Khabarnya, dia berpindah ke sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Namun, ada khabar yang lebih menyedihkan ; Farah sudah mula keluar rumah tanpa bertudung!

Masya Allah... saya mengucap beberapa kali semasa mendengar berita itu dari mulut teman rapatnya. Dahla cantik...hati saya berkata-kata. Farah, kenapa jadi macam ni.. tak ingat dah ke apa yang kita bincangkan dulu. Kenapa Allah syariatkan menutup aurat, dan sebagainya. Tanpa dipinta, hati saya sebak dan air mata mula menakung di tubir mata. Dan jauh ke dalam hati saya, saya sayang Farah! Tanpa sempat, saya ucapkan sayang kepadanya, dia sudah meninggalkan saya. Sayang sebagai saudara seagama, sayang kerana dia saudaraku, sayang kerana Allah!

Cukup saya sesali. Sikap saya! Sikap saya kerana meninggalkan dia selepas meninggalkan asrama! Saya tidak follow up, saya tak mahu mendengar dengan baik masalah dan persoalan dia ketika dia berjumpa dengan saya awal tahun dulu.

Sewaktu ber'jalan-jalan' di fb, saya terjumpa namanya di fb. Gambar profilnya terpampang. Dan seperti yang dikatakan, benarlah dia sudah tidak bertudung. Sungguh! Hidayah itu bukan milik kita, mutlaknya dimiliki Allah. Saya merenung gambarnya. Hati saya terusik, sedih. Di depan laptop itu juga saya menangis serta merta berdoa ; memohon Allah membuka pintu hatinya pulang ke pangkal jalan!

Kehidupan hari ini adalah pengajaran pada fasa kehidupan yang lalu. Saya cukup belajar dari pengalaman ini. Sehingga hari ini, jika saya teringatkan Farah atau apa-apa saja yang mengingatkan saya pada dia, terdetik doa untuknya. Ya Allah, kurniakan hidayah buat adikku, bantulah dia dalam mencari petunjuk Mu,.. bantulah dia untuk mendekatiMu.. Ya Allah..

Khamis, 15 Julai 2010

Bercerita Tentang Kehidupan

Biarkan malam bertamu
Biarkan senja menjengah suasana
Biarkan warna jingga menyelubungi alam
Biarkan camar bersiponggang di kaki langit
Kan tetap berpasak jiwa nan teguh
Kan tetap berkemudi hati nan lara
Kan tetap menyinar matahari nan senja
Kan tetap bertamu redha dan sabar di musafir lalu...
Pada insan yang tulus, mulus dan bukan fulus jiwanya.

11 April 2008

Bercerita tentang kehidupan adalah bercerita tentang motivasi untuk terus berkhidmat, menjadi hamba yang diredhai Allah. Jalan perjuangan dalam mencari bekalan akhirat, la budda akan diiringi dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Samada ujian-ujian itu akan dilepasi atau tidak, bergantung kepada kita dalam menyambutnya. Tenang setenang air di kali kah atau seperti tsunami yang meribut menghempas ombak hitam ke pantai?

Ya Allah, adakah aku memandang setiap ujian Mu dengan penuh ibrah? Adakah aku betul-betul mengambil pengajaran dari setiap ujian yang kau kurniakan kepadaku? Ya, Allah memberi ibrah dalam setiap ujian yang Dia titipkan untuk kita. Tiada ungkapan indah dalam menuturkan semua ini, melainkan hati yang redha dan sabar yang mampu mengungkapkan apakah sebenarnya tujuan Allah memberi kita suatu suratan bernama UJIAN.

Ujian itu tidak semestinya setiap segala yang bernama kesusahan dan keperitan. Tapi, Allah juga mengirimkan kesenangan dan keselesaan dalam ujian yang Dia hantarkan. Namun, hakikatnya manusia akan lebih beringat dengan kesusahan dan keperitan daripada kesenangan dan keselesaan. Manusia akan lebih mudah hanyut dan tenggelam dalam kenikmatan.

Setiap kita diuji, sedang diuji dan bakal diuji. Setiap kata-kata juga diuji. Sesekali bila kita bercerita tentang kehidupan, jangan lupa untuk rasa bermotivasi menjadi hamba Allah yang taat kepadaNya. Jangan lupa untuk bermotivasi menggapai redha Allah di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Bercerita tentang kehidupan saya kini, adalah bercerita tentang hari ini yang (jika diizinkan Allah) akan lebih baik dari hari semalam. INSYA ALLAH. Dan esok lebih baik dari hari ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada Nya, dan berjihadlah di jalan Nya, agar kamu beruntung.”
Surah Al Maidah, ayat 35

Rabu, 30 Jun 2010

Besarnya Rahmat Allah...


Rasulullah s.a.w. ada bersabda, katanya, "Setiap anak Adam akan dijaga oleh dua malaikat. Malaikat yang di sebelah kanan lebih berkuasa dari yang sebelah kiri. Sekiranya seseorang anak Adam melakukan dosa maka malaikat yang di sebelah kiri akan bertanya pada malaikat di sebelah kanan katanya, "Apakah yang harus aku catit?"

Kata malaikat di sebelah kanan, "Jangan kamu catit dahulu dosanya sehingga ia melakukan 5 kesalahan. Malaikat yang di kiri bertanya lagi,"Kalau dia telah melakukan 5 kesalahan, apa yang harus aku catitkan?"

Jawab malaikat kanan, "Biarkannya, sehingga dia membuat kebaikan kerana kami telah diberitahu oleh Allah s.w.t bahawa satu kebaikan akan mendapat 10 pahala. Oleh itu hapuskanlah 5 kesalahannya yang lalu sebagai tebusan dan kami masih simpankan untuknya 5 pahala lagi."

Tercenganglah syaitan mendengarkannya lalu berkata,"Kalau macam ini sampai bilakah aku dapat merosakkan anak Adam."

Demikianlah rahmat Allah pada hambanya, kasih sayangNya melimpah ruah tiada terbatas hanya hambanya saja yang lalai dan leka dengan keseronokkan serta kemewahan dunia.

Ahad, 20 Jun 2010

Maafkan diriku!

Maaf. Suatu perkataan yang selalu keluar tatkala kita sedar kita sedang melakukan kesalahan. Kata maaf menjadi keramat buat orang yang meminta maaf. Ini kerana tanpa maaf, hidup seseorang akan menjadi tidak keruan.

Dalam hidup yang baru mencapai dua dekad ini, banyak sekali kesalahan yang saya lakukan. Ada yang sedar, dan ada yang masih lagi tidak tahu mana pangkal hujungnya. Kesalahan dan kesilapan itu dilakukan dengan Allah dan juga orang di sekeliling. Kadang-kadang kesilapan itu dilakukan dengan pemikiran yang tidak matang, kebudak-budakan dan mempunyai nilai pesimistik yang tinggi. Sehingga kini saya banyak menghitung nilai diri dengan melihat kesemua itu.

Maaf juga kerana hampir tiga minggu sudah tidak menulis apa-apa di sini. Hampir-hampir kehilangan idea. Hampir-hampir rasa luluh, lesu. Hampir-hampir putus asa. Putus asa pada diri sendiri. Lalu, bagi mengubat itu, saya banyak mencari sumber perangsang motivasi di laman-laman sesawang. Entah kenapa, jiwa jauh lebih ‘sakit’ dari fizikal.

Sepanjang pencarian itu, saya menemui sesuatu. Setiap kali kita melakukan dosa dan kesilapan kepada Allah, maka taubatlah penyelesaiannya. Jika kita melakukan kesalahan kepada manusia, maka kita dituntut untuk memohon maaf kepada orang tersebut. Namun, apabila kita bersalah dengan diri sendiri, sejauh manakah kita memaafkan diri sendiri?

Sejarah kita menzalimi diri kita sendiri sudah tersenarai panjang di dada kita sendiri. Menjauhkan diri dari rasa kebersamaan dengan Allah sudah cukup menggambarkan betapa kita ‘menzalimi’ diri sendiri dengan memisahkan fitrah kehambaan, rasa taat dan takut pada yang Maha Melihat dari diri. Tak cukup dengan itu, kita menjerumuskan diri dalam jurang yang dalam, tersepit pada dua bongkah batu, tidak dapat melepaskan diri melainkan ada kuasa yang menolak batu besar itu. Jatuh lagi pada lubang yang sama, walhal sudah berkali-kali diperingatkan.

Begitulah manusia. Tanpa pimpinan Ilahi, segalanya jadi berantakan. Ibarat kapal di tengah lautan yang diserang ombak yang ganas.

Hakikatnya, Allah s.w.t. itu Maha Pengampun. Dia bisa mengampunkan dosa manusia, sekalipun sebesar arasy atau lebih dari itu. Asalkan ikhlas, kerana ikhlas adalah syarat utama dalam apa pun. Dan manusia, ya. Harus meminta maaf kepada orang yang kita zalimi dengan perlakuan kita, samada disedari atau tidak. Soal dia memaafkan atau tidak, itu sudah di luar kemampuan kita. Sebaiknya, kita lakukan perkara yang menyenangkannya dan pasti, ikhlas tidak terkecuali menjadi syarat.

Memaafkan diri sendiri adalah susah bagi kita dari dua perkara di atas. Kita masih lagi menyalahkan diri sendiri dengan akibat hasil dari kesalahan kita, tanpa mempedulikan diri sendiri yang kian kusut. Kita masih lagi memikirkan bayangan kesilapan yang kita sesali. Betapa zalimnya kita terhadap diri sendiri, memugarkan perasaan yang boleh membawa kepada kebinasaan!

Sifat mukmin yang sejati, sedihnya diri tidak membawa sampai tidak memaafkan diri, namun meletakkan kebergantungan kepada Allah adalah lebih dia cintai. Ingatlah, diri kita sememangnya tidak lepas dari melakukan kesilapan. Namun, yang menjadikan kita berbeza dari orang lain yang melakukan kesalahan ialah TAUBAT. Maafkan diri, hormati diri sendiri kerana diri anda ada hak untuk diberi peluang menjadi yang lebih baik. Jika anda sendiri tidak memaafkan dan menghormati diri, mampukah orang lain memaafkan dan menghormati diri anda?

Tak kenal maka tak cinta.

Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.

Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.

Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah? Apa cara lain nak kenal diri kalau tak selain mencintai diri sendiri?

Anda jawab sendiri.
Ceria-cerialah wahai diri... =)

p/s ; banyaknya perkataan ‘diri sendiri’! bukan pentingkan diri…heheh. nak tambah lagi, Cintailah diri sendiri!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...