1 Ramadhan 1416H
Rumah quaters Stesen Keretapi Tanah Melayu Temangan bising dengan suara keanak-anakan saya dan juga Fadhli. Riuh suara ma menyuruh abah menghentikan hilai tawa kami bergurau senda sedang sebentar lagi azan maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa akan berkumandang kurang 5 minit. Abah memeluk kami berdua, mencium pipi kami bertalu-talu. Makin kuat hilai tawa kami kerana geli digesel misai dan janggut abah yang dicukur nipis itu. Nora dengan wajah kurang mengerti, memerhati jauh dari dukungan ma.Di depan kami sudah tersedia hidangan kegemaran abah. Antaranya kuih lompat tikam, kuah kacang dan rojak mee, tempe dan pelbagai lagi. Itu semua juga kegemaran saya dan adik beradik yang lain. Sebaik saja azan berkumandang, kami sekeluarga duduk mengelilingi hidangan, membaca doa diketuai Fadhli (dengan bahasa pelatnya!) dan diaminkan. Hidangan mula disantap, dan mulut saya yang petah mula berbicara, menanyakan itu dan ini tentang segala benda yang berkaitan dengan puasa dan Ramadhan. Sememangnya abah dan ma begitu sabar melayani keletah saya.
"Abah, puasa ni sakit tak? Boleh mati tak kalau tak makan sehari?". Abah tersenyum geli hati mendengar pertanyaan anaknya yang tak surut-surut perasaan ingin tahu.
"Abah tak mati pun. Masa abah umur 6 tahun, abah dah puasa sampai petang." pertanyaan ku dijawab motivasi. Menyuntik semangat aku untuk berpuasa penuh esoknya, kerana siang tadi aku sudah berbuka jam 11 pagi!
29 Ramadhan 1422H
Juadah berbuka puasa hari ini ala kadar saja. Tiada kuih istimewa kesukaan kami. Lalu azan maghrib berkumandang. Ma membawa dulang berisi teko dan cawan ke meja makan. Saya membawa lauk-pauk yang sekian tadi disediakan. Farid tiba-tiba menangis kerana diusik Fadhli, diambil lauk ayam gorengnya sambil membawa pinggan ke depan televisyen. Kedengaran suara abah mengerang di sudut bilik, menyatakan kejengkelannya mendengar hiruk pikuk kami di meja makan.Lalu ma bersuara lemah, "Yang, pergi pujuk Farid." Saya patuh, langsung mendekati Farid yang sedang merengek-rengek. Memujuk dia dan melayan adik-adik yang lain agar berbuka puasa dengan tenang untuk hari terakhir Ramadhan tahun ini. Ma membawa makanan untuk abah yang sedang terlantar di bilik.
Selepas solat Maghrib, kami adik beradik berkumpul di ruang tamu. Kami bercerita tentang aktiviti pagi raya esok. Kegembiraan terpancar di wajah kami. Tiba-tiba, kedengaran bunyi mercun yang kuat sedang meletup dari luar rumah dan itu hampir membuat abah histeria memarahi kebisingan yang begitu menjengkelkan dia. Kesakitan yang dia alami makin bertambah barangkali tatkala terpaksa menelan sebarang 'pencemaran bunyi'.
Lalu, tak lama kemudian, takbir raya kedengaran dari surau berdekatan. Kami bertakbir beramai-ramai (walaupun kami berada di rumah). Hampir terlupa tentang abah, namun berasa pelik, kenapa abah tidak bising pula? Kami bising bukan kepalang lagi! Lantas, saya ke balik dinding di tepi bilik abah. Mendengar esak tangisnya mengikut takbir raya walaupun lidahnya sudah keras. Sambil mengesat air mata, ma menyuapkan makanan ke mulut abah. Abah menolak dan berkeras mengikut takbir dengan suara lemah. Saya mengeluh sendirian. Ah, jauhnya kematian.
11 Ramadhan 1426H
Saya mengusap wajah selepas menunaikan solat witir sendirian di masjid. Sengaja tidak menyertai solat witir berjemaah tadi, saya mengambil waktu membaca Al-Quran sementara. Masjid asrama kian lengang, barangkali ramai yang sudah ke urusetia menikmati juadah moreh di situ pula. Saya mencapai mushaf usai berdoa. Pandangan saya terpamit pada kalendar hijrah yang tergantung di sisi tingkap bersebelahan rak Al-Quran.11 hari sudah berlalu di bulan ini. Peperiksaan SMU yang sedang berlangsung lantas menjelma di fikiran. Harap-harap dapat jawab! Saya menyambung bacaan Al-Quran yang terhenti tadi. Target saya Ramadhan kali ini saya dapat menghabiskan 30 juzuk! Begitu tegar menghabiskan 1 juzuk dalam sehari, saya berdoa supaya Ramadhan kali ini saya dapat berpuasa penuh. Barulah target mencapai 30 juzuk Ramadhan ini berjaya.
Setiap kali selepas solat maghrib berjemaah, saya akan menuruni tangga masjid dan duduk di kerusi batu sambil menghirup udara malam di situ. Tak ketinggalan nota pelajaran turut dibawa bersama sambil mulut terkumat-kamit menghafaz isi pelajaran. Melihat langit, rasa Ramadhan kali ini begitu membahagiakan. Kadang langit malam cemerlang dan indah disimbah cahaya bulan. Tampak jelas bintang bertaburan, berkelip indah membuatkan saya tak terlupakan. Kadang gelap zulumat menandakan cuaca bakal mendung keesokkan harinya, membawa suasana violet biru kesukaan saya. Begitu indah kekuasaan Allah s.w.t., bibir tak lekang berzikir memujiNya atau menyanyikan nasyid memuja Allah. Ah, tenang menyelimuti. Banyak permasalahan hidup saya kadang terselesai dengan beriktikaf di hamparan begitu, terus-terusan mengingati Nya.
"Kak Yang, tak nak balik blok ke? Dah pukul 11 lebih ni." suara yang ku kenal, Hafizah juniorku mengejutkan aku dari lamunan. Lantas mengingatkan aku supaya berpijak di bumi yang nyata.
2 Ramadhan 1431H
"Jadikan tentangan sebagai peluang, jadikan kesulitan sebagai kemudahan. Susah bukan untuk lemah. Senang bukan untuk selesa. Positiflah memandang kehidupan, kerana ketahuilah Allah itu maha mengetahui." Begitulah status di fb saya. Menjadikan setiap tentangan, kekangan, halangan sebagai pemangkin untuk terus maju. Memandang semua itu sebagai peluang-peluang untuk lebih ke hadapan. Tanpa menoleh ke belakang. Tanpa mendengar cakap-cakap orang. Ramadhan ini adalah sekolah tarbiyah hati dan semangat kental seperti Nabi Muhammad s.a.w. Teruskan sunnah perjuangan Rasulullah sebagai pekerjaan pendamping kehidupan yang paling mulia.Ramadhan bukanlah kekangan untuk menjadi pasif malah kurang dinamik. Puasa menguatkan fizikal dan akal, demi menjemput sebuah keredhaan Allah s.w.t., lantas ia tidak mudah. Hanya yang tegar melalui hari-hari dengan penuh ketaqwaan, tanpa ragu-ragu meyakini hikmah Allah menjadikan manusia itu hebat di dunia dan di akhirat.
Secangkir rindu Ramadhan tetap bertamu di setiap tahun usia menjengah di kehidupan.
Insya Allah.
Ameen.
Salam ziarah..salam mujahadah melalui universiti tarbiyyah Ramadhan.
BalasPadamSemoga Ramadhan ini menjadi yang terbaik untuk kita semua..
i like!
BalasPadam