Alam sememangnya tidak 'lepas tangan' dalam memuji penciptanya, berzikir dengan sedayanya. Membuatkan hati-hati yang hidup merasa tenang kerana dengan berada bersama alam ciptaan Allah, fitrah bertuhan kembali menyapa. Tiba-tiba saya teringatkan kisah 3 orang yang berlainan muzik kegemaran mereka. Salah seorang dari mereka meminati muzik rock yang bingit, yang seorang lagi gemarkan dangdut dan seorang ini menyukai nasyid. Namun, tatkala mereka dibawa ke dalam hutan untuk menikmati keindahan alam, fasilitator program kembara mereka menyuruh menutup mata dan dengarkan muzik alam yang asli itu. Lalu mereka mengikuti arahan dan mendengarkan geseran daun-daun yang berguguran, bunyian unggas yang berkeliaran, aliran sungai yang menimpa batu dan mengalir deras, serta embun yang menitis di dedaunan. Mereka merasakan kesejukan cinta Tuhan, hawa ketenangan yang tidak mereka dapati di dalam muzik rock, dangdut malah nasyid sekalipun.
Mengapa alunan alam begitu menenangkan? Kerana seluruh ciptaan Allah ini tanpa lelah dan lupa berzikir kepada Allah. Bukankah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang? Tak keterlaluan jika saya katakan, tanpa sedar kita akan kembali kepada fitrah asal sebenar tujuan kita diciptakan bila bersama dan dekat dengan ciptaan Tuhan yang lain seperti laut, pantai, rimbun daunan, tumbuhan hijau hatta titisan embun sekalipun. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar peraturan dan penyusunan, tak lain tak bukan ialah ALLAH, rabb saya, awak dan kita semua di alam ini yang mengatur dan mentadbir.
Aktiviti yang kami lakukan di sini tidaklah selasak mana. Mungkin kerana sudah berada di bulan Ramadhan, maka aktiviti lebih tertumpu menambahkan amal ibadat di samping slot-slot yang membina jatidiri. Dalam banyak-banyak aktiviti dan slot, ada satu slot yang sememangnya tidak boleh dilupakan. Berada di pantai pada pukul 3 pagi. Melihat langit malam yang sangat cemerlang dan luasnya lautan. Sungguh, indahnya ciptaan Allah s.w.t.!! Pertama kali merasa masinnya air laut (selepas diarah mengambil wudhuk ketika itu). Slot muhasabah menjadi lebih terharu dengan sentuhan kata-kata dari senior. Sejauh mana kita mengira kebaikan dan kejahatan kita. Semakin banyak kelakuan tidak soleh yang dilakukan, bakal membawa pelakunya terjerumus ke dalam pasir, lemas dalam lautan masin barangkali. Begitulah ibaratnya.
Sewaktu menanggapi semula apakah sebenarnya makna jatidiri bagi saya, saya langsung teringatkan lirik lagu Menjadi Diriku oleh EdCoustic. Walaupun maksudnya tidaklah menukilkan isi-isi tersirat mengenai makna jati diri, namun saya merasakan rangkap ini menasihati saya ;
Menjadi diriku
Dengan segala kekurangan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku
Dengan segala kekurangan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku
Menjadi diri kita sendiri dengan segala kekurangan dan kelebihan yang dikurniakan. Namun, kekurangan bukan bermakna menyekat potensi kita maju ke hadapan. Siapa kata kekurangan itu kekangan? Kekangan sebenar adalah pemikiran kita, paradigma sempit kita, su'u zhon kita yang berlebih-lebihan yang kadang menghambar hamasah perjuangan kita.
Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna
Wahai insan yang bernama sahabat! Anda adalah sebahagian dari hidup saya, maka terimalah diri saya seadanya. Jangan berkawan dengan saya kerana ilmu dan kelebihan saya, sehingga anda tidak mampu menegur kesalahan saya. Jangan berteman dengan saya kerana saya menghiburkan sehingga anda jengkel menemani saya saat saya kurang ceria. Jangan bersahabat dengan saya kerana saya boleh dimanfaatkan sehingga anda akan merasa saya menyusahkan jika saya memohon pertolongan anda. Bercintalah dengan saya kerana Allah, kerana jalan perjuangan ini membutuhkan itu.
Tetap ku bangga
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki
Anugerah kehidupan yang dimiliki kini adalah kebangaan kita atas apa yang dikurniakan Allah kepada kita. Berbanggalah menjadi seorang Islam, rasakan izzah tanpa mengabaikan intipati izzah itu sendiri. Bentuklah jatidiri kita menjadi diri kita yang unik, lain dari yang lain ; yang akhirnya mencambah keunggulan Islam dengan pelbagainya kekuatan dan kelebihan muslim.
Jadilah diriku ibarat ikan hidup di lautan masin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan