Memaparkan catatan dengan label kenangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kenangan. Papar semua catatan

Rabu, 22 Februari 2012

Secebis Gambar

Akhirnya, ada juga secebis kenangan. Saya jumpa gambar ini di simpanan saudara terdekat saya. Saya kurang mempunyai simpanan gambar sendiri ketika zaman kanak-kanak.

Abah, berdarah Jawa Perak, lahir di Teluk Intan, Perak pada tahun 1938. Dewasa ini, kerap juga saya berkunjung ke negeri kelahiran Abah andai berkelapangan dan berkesempatan. Menara Condong yang berada di tengah bandar Teluk Anson itu menyimpan kenangan saya bersama Abah sewaktu kecil-kecil dulu. Kami akan mengunjungi menara tersebut setiap kali pulang ke Perak. Ia begitu dekat hati saya, biarpun cerita ini sudah lebih 16 tahun berlalu.

Sewaktu Abah nazak, saya berada di asrama sekolah di Kota Bharu. Saya menerima berita kematian Abah dengan kedatangan kakak angkat saya yang dijaga Abah sejak kecil. Minggu sebelumnya, kami sebenarnya merancang untuk pulang bersama-sama ke kampung.

Saya bersedia menerima berita itu. Sudah dapat menebak kerana saya mengalami mimpi dan sebagainya; tanda orang yang membesarkan saya itu akan meninggalkan dunia ini.

Cuma, yalah. Kadang, hati ini diceroboh rindu. Keinginan untuk berbapa masih lagi utuh. Mudah saja mata ini berkaca, langsung mengundang sebak di dada.

Antara yang ingatan-ingatan yang paling terpahat ialah kami anak beranak akan solat berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak dan waktu itu, Abah akan ajar kami zikir-zikir dan selawat. Seingat saya ada 20 zikir semuanya (yang sempat diajar), tapi sekarang hampir semuanya lupa kecuali ini ;

لا اله إلا انت ، سبحانك إني كنت من الظالمين

Abah juga merupakan pengamal seni tempur persilatan (Silat Kalimah). Pada malam tertentu, Abah akan melakukan latihan silat di halaman rumah suasana (seingat saya) sebijik macam scene-scene dalam cerita Melayu purbakala! Ada kayu yang dinyalakan api akan diletak di pagar rumah (tak tahu nama spesifiknya, obor kot).

Bila bercakap tentang susuk tubuh seorang abah, ketahuilah ada helaan rindu yang cukup mendalam.

Saat diimbas kenangan belajar menunggang basikal dengan abah, adalah motivasi jatuh kemudian bangun semula.

Waktu sakit perut yang memulas memaksa tubuh budak perempuan berumur 8 tahun menahan sakit dan mengerang, abah tampil di sisi mengusap minyak, memberi ubat dan menepuk-nepuk, melenakan malam yang panjang itu.

Bila, saat dan waktu itu berlalu.. hati ini haru!

Sabtu, 14 Januari 2012

Mengundang Rindu (2)

Pabila ditoleh kembali kemanisan berjuang di wadi biah solehah itu, air mata ini cepat benar merembes ke pipi. Menandakan kerinduan begitu memuncak mendambakan saat berada di lapangan rumput hijau tarbiyah yang begitu hening terbentang di padang. Kasur perjalanan itu sungguh indah walau pahit dirasai, kerana cinta Allah yang menyelimuti hambaNya yang dhoif ini. Walau hidup dalam ramai tapi hakikatnya berseorangan dalam meneruskan perjuangan; kerana hanya orang tertentu mengerti hakikatnya.

Jauh sekali jalan itu ditinggalkan dan kini aku kembali menata lembaran hakikat kehidupan manusia yang mendamba keredhaanNya. Ya Allah, rindunya aku pada diriku yang dulu! Menjadi pelita kepada kegelapan hati insan yang mendambakan cintaMu. Ibarat membawa seseorang ke satu tempat bercahaya; pada masa yang sama keindahan cahaya itu dinikmati bersama-sama dengan orang yang dipimpin. Begitu unik dan simboliknya hukum dakwah itu sendiri. Membantu diri dan juga orang lain.


Berbahagialah sesiapa yang hidup dalam bulatan gembira ini. Penuh kasih sayang dinuansa dengan kata-kata penguat jiwa. Perjuangan yang dilalui terasa lancar dengan adanya sahabat seperjuangan yang mengingatkan Allahlah sebaik-baik penolong.

Rindu sungguh ya Allah, dengan kata-kata ‘ana uhibbuki liLLah ya ukhti’, dengan terma-terma seperti ukhuwah fillah, jihad, mehnah, usrah, qiammullail, mukhayyam, muktamar, liqa’, doa robitoh, amal jamaie, amal fardi, amal ijtimaei, munajat, wehdatul amal, wehdatul fikr dan sebagainya. Ya Allah, Subhanallah, Masya Allah, aku rindu ya Allah.. Apa daya aku untuk menjadikan diriku seperti dahulu… penuh semangat, tetap pendirian dan berbagai kehebatan jiwa yang lalu.

Aku rindu zaman ketika halaqah adalah kebutuhan, bukan sekadar mengisi waktu lapang apalagi hiburan.
Aku rindu zaman ketika membina adalah kewajiban bukan pilihan apalagi beban dan paksaan.
Aku rindu zaman ketika dauroh menjadi kebiasaan, bukan sekadar pelengkap program yang dipaksakan.
Aku rindu zaman ketika thiqah menjadi kekuatan, bukan keraguan apalagi kecurigaan.
Aku rindu zaman ketika tarbiyah adalah pengorbanan, bukan tuntutan dan mencari kepentingan.
Aku rindu zaman ketika nasihat menjadi kesenangan, bukan su’u zhon atau menjatuhkan.
Aku rindu zaman ketika kita semua memberikan segalanya untuk dakwah ini.
Aku rindu zaman ketika nasyid ghuraba' ibarat menjadi lagu kebangsaan.
Aku rindu zaman ketika hadir liqa' adalah kerinduan dan terlambat adalah kelalaian.
Aku rindu zaman ketika pergi usrah selalu membawa duit RM1, alat tulis, buku catatan dan tafsir Al Quran serta ditambah sedikit hafalan.

Aku rindu zaman itu, ya Rabb. Jangan Kau buang kenikmatan berdakwah dari hati-hati kami. Teguhkan kami di jalan yang Kau redhai...

Sabtu, 13 Ogos 2011

Hujan, Biru Langit & Disember

Pabila cuaca mendung dan suram, awan menjadi kelabu dan kemudian hujan pun turun. Kadang-kadang ianya lebat, kadang-kadang ia turun renyai-renyai. Ada juga hujan yang diiringi ribut, angin yang kencang.


Gerimis mewakili air hujan yang turun ringan. Bunyi air hujan gerimis jatuh mengenai zink rumah sangat mengujakan. Satu tabiat tegar saya ketika hujan turun ialah, saya akan duduk di tepi tingkap melihat air hujan membasahi halaman rumah. Sewaktu ketika kecil dulu, pantang hujan mesti sudah bersorak riuh rendah di luar rumah dan mandi hujan sepuasnya. Selagi hujan tak serik atau tidak dipanggil ibu, selagi itulah saya mandi hujan dengan gembiranya. Sampai biru-biru bibir sebab sejuk. Ah, indahnya zaman kanak-kanak! huhu

Saya suka hujan. Walaupun orang kata susah kalau hujan ni, banyak aktiviti tergendala dan sebagainya, namun kecintaan saya terhadap hujan tak terkesan. Kadang-kadang sengaja mencari alasan keluar ketika hujan; saja nak merasa sejuk. Selain hujan, saya suka cuaca mendung dan redup. Kalau sedang marah-marah atau sedih, cuaca mendung mempengaruhi saya. Sedikit sebanyak ia menghantar ketenangan.

Manusia terinspirasi dengan hujan. Lagu-lagu dicipta berinspirasikan hujan seperti lagu arwah Sudirman, Hujan. Lagu Gerimis, Fareast dan banyak lagi. Malah, Hujan juga adalah nama sebuah band indie yang terkenal di Malaysia!

Hujan juga tidak ketinggalan menginspirasikan lagu-lagu sentimental buat saya.

Ada juga sesetengah orang menganggap hujan adalah fenomena sedih dan muram atau menangisi sesebuah pemergian dan perpisahan. Namun hujan dalam Islam adalah sebuah rahmat malah waktu hujan merupakan antara waktu-waktu mustajab berdoa.

Dari Sahal bin Saad katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ada dua jenis doa yang tidak ditolak iaitu ketika azan dan ketika turun hujan.”

Ada sebuah doa yang elok dibaca ketika hujan turun.


Suasana mendung ketika hujan akan memancarkan warna langit yang sebenar. Warna biru langit atau di dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'azure'. Warna langit pada waktu malam akan bercampur-campur dengan warna seakan-akan jingga yang menandakan awan yang mengandungi air. Bagi saya, hujan sangat dekat dengan warna langit. Hujan, biru. Ah, mencambahkan lagi satu benda yang saya suka iaitu warna biru.


Saya peng'obses' warna biru. Hampir 80 peratus barang-barang peribadi kepunyaan saya berwarna biru. Kalau pergi membeli belah terutama pakaian, mata saya lebih cenderung kepada pakaian berwarna biru, tak kira apa pun. Lukisan saya waktu kecil dulu juga didominasi dengan warna biru, sampaikan pokok pun saya warnakan dengan warna biru!

Mengikut kajian, individu yang menyukai warna biru ini adalah seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Dia pandai berkawan dan mudah disenangi orang lain. Disebabkan itu, dia sangat mementingkan persahabatan dan suka memberikan dorongan kepada orang lain. Kadang-kadang lebih mengambil berat terhadap orang lain berbanding diri sendiri.

Satu lagi, dia seorang yang sensitif dan bersifat dalaman serta romantik. Jenis personaliti seperti ini cenderung kepada sifat yang setia, menghargai sesuatu perhubungan sesama manusia, suka pada pergaulan, kadangkala suka berimaginasi dan nampak tenang. Malah, sukakan penghargaan dan mahukan kasih sayang daripada orang lain.

Namun, satu saja keburukan orang yang suka warna biru ni iaitu kurang bercita-cita tinggi dan takut dikritik. erk, kebetulan kena dengan saya. huhu

Teori hujan, warna biru dan bulan Disember ada kaitannya.

Sewaktu zaman sekolah dulu, pernah menghadiri satu program motivasi ni. Penceramah membahagikan kami peserta kepada beberapa kumpulan mengikut bulan kelahiran. Beliau menerangkan sikap dominan setiap orang yang mewakili bulan kelahiran mereka. Saya dipanggil ke depan mewakili kumpulan saya. Selepas menanyakan beberapa soalan, beliau menyatakan, orang yang lahir bulan Disember tidak suka keluar rumah, sukakan hujan, suasana mendung kerana bulan Disember seperti yang kita tahu adalah musim hujan lebat dan musim banjir di Pantai Timur. Mungkin sebab itu orang yang lahir bulan Disember sangat 'dekat' dengan hujan. 

Beberapa personaliti yang berkaitan dengan seseorang yang lahir di bulan Disember, antaranya ; sangat setia dan pemurah. Dia bersifat patriotik dan sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Bersikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Sangat bercita-cita tinggi dan suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Beliau seronok didampingi dan suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Antara kelemahan yang dikaji, tidak pandai berpura-pura dan cepat marah serta perangai yang berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi dan benci pada kongkongan. Suka berlawak dan pandai buat lawak dan menceriakan orang lain serta berfikiran logik.

Tak jauh bezanya personaliti bulan Disember dan individu yang sukakan warna biru. Kebanyakan ciri-ciri yang dikaji itu kena dengan saya. Ada juga yang tiada kaitan langsung. Namun sekurang-kurangnya, ada ayat dan perkataan yang mengungkapkan peribadi saya.

Sebentar, ia membuatkan saya terfikir.

Kadang-kadang kita tak kenal diri sendiri pun. Kita tak tahu potensi diri kita, kelebihan dan kekurangan, apa sifat dominan kita, apa yang kita suka dan benci. Kadang kita membiarkan diri menyukai perkara yang Allah benci dan membenci sesuatu perkara yang Allah suka. Kita menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dunia dan akhirat dan kita menerima dengan senang hati perkara yang membinasakan kita.

Tak kenal maka tak cinta.
Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.
Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.
Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah?

Ya, kita lupa yang kita gagal mencintai diri sendiri apabila kita gagal mencintai Allah. Sesungguhnya hujan, warna biru langit dan Disember juga adalah ciptaan Allah dan merupakan salah satu keindahan alam dan dunia untuk saya, kamu dan kita semua manfaatkan untuk lebih mendekatiNya.

Ramadhan kareem!

Khamis, 21 Julai 2011

Ayat-ayat Cinta

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Taubah, ayat 40.

Ayat 40, Surah At-Taubah ini cukup bermakna kepada saya. Terutama di frasa "La tahzan, inna Allaha ma'ana". Cukup memberi kesan.

22 Januari 2005

Bersekolah di Maahad dan tinggal di asrama dan kemudian ditaklifkan menjadi ketua bilik yang dihuni oleh hampir 30 orang. Budak mentah tingkatan 3 bakal menghadapi pelbagai ragam pelajar asrama. Menjadi pengawas sekolah ditambah pula dengan jawatan ketua bilik di asrama menyebabkan segolongan pelajar yang dikatakan bermasalah jengkel terhadap saya. Sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya kadang lebih junior dari mereka.

Tanpa saya sedari, banyak tekanan tertimpa kepada saya. Aktiviti persatuan, belajar, menghadapi kerenah-kerenah rakan-rakan sebaya menyebabkan waktu remaja menjadi adalah waktu murung dan emosional.

30 April 2006

Hari ini jumpa dengan Hajar dan kemudian langsung meminta nasihat dan tazkirah darinya. Dia kata, Allah sentiasa mendengar dan memerhatikan hambaNya. Dia suruh saya buka mana-mana muka surat Al Quran selepas solat secara rambang.

Dia kata lagi, “Nantikan bicara Allah denganMu.”

Saya tersenyum dan mengangguk setuju akan melakukan hal itu.

10 Mei 2007

Selepas hari yang memenatkan, sengaja tidur lewat malam ini. Sengaja mencari waktu orang lain dibuai mimpi. Jam sudah menunjukkan 1 pagi, namun mata masih tidak mahu lelap. Saya mencapai Al Quran tafsir usai solat sunat hajat. Sebelum saya membuka mushaf, terdetik di hati saya, “Ya Allah, kau Maha Mengetahui apa yang ku alami. Berilah kata-kata semangat kepadaku untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.”

Selepas itu, Al Quran dibuka di muka surat tengah. Serta merta mata saya terpacak kepada bilahan ayat bahasa syurga itu pada bahagian, “La tahzan innaAllaha ma’ana.” Allahuakbar! Air mata terus melaju turun lebat di pipi. Saya menangis teresak-esak. Menekup mulut, bimbang esakan saya didengari rakan-rakan hostel yang lain yang sedang tidur.

Tidak pernah saya berasa begitu dihargai melainkan ketika terasa belaian Allah melalui ayat itu! Dalam esakan yang perih, segala pengharapan dan meluahkan segala yang terpendam dan terbuku di hati dinyatakan. Saya nyatakan segala kebimbangan dan kebungkaman. Saya pinta segala pintu ketenangan di depan mata. Merasakan betapa indahnya cinta Allah kepada hambaNya. Terbukti, apa yang saya dengari selama ini bahawa cinta yang paling agung di dunia ini ialah cinta Allah kepada makhlukNya.


Rasa gembira. Terasa tidak keseorangan. Terasa gagah. Terasa kuat. Menyerap kekuatan dengan kembali kepada Allah. Kalau manusia mengatakan cinta sesama mereka adalah teragung, cinta Allah kepada makhlukNya adalah segala keagungan yang dipuja di dunia ini!

21 Julai 2011

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi

Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali

Harap ampunkan hambaMu ini...

Selasa, 1 Mac 2011

Menulis Akar Peribadi

Menulis akar peribadi. Kerana dengan menulis kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Sekian lama sudah, saya lupa menjengah ke blog, menulis membuang rasa-rasa, melebar citra. Entah kekangan apa. Bukan sibuk seperti Nabi, tapi ya, saya sendiri kurang atur masa menulis. Hampir-hampir terlupa, menulis tu akar peribadi.

Kenapa menulis akar peribadi?

Kerana menulis menggambarkan peribadi seseorang. Salah satu cara seseorang mengeksperesi apa yang ada di mindanya. Menulis secara tidak langsung mengeluarkan apa yang terperam di minda kita. Menulis merupakan aktiviti menyeronokkan bagi saya sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Sehingga kini, tulisan-tulisan saya berupa picisan banyak sekali. Entah di mana-mana saja. Ada yang masih disimpan, ada yang hilang ditelan ribut-ribut timbunan buku yang lain dan sebagainya.

Sejarah saya menulis sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Pernah sekali seorang guru bertanyakan kepada saya apakah hobi saya ketika waktu lapang. Seingat saya ketika itu berada di darjah 1. Lantas saya menjawab, "Membaca dan menulis, cikgu!" Memang ketika itu, saya mempunyai sebuah buku kecil untuk saya catit apa saja yang saya lalui sepanjang hari. Cikgu bertanya kembali kepada saya, "kamu suka tulis apa?"

Pada ketika itu saya sering terjumpa perkataan "novel" di perpustakaan sekolah. Namun, saya tak tahu maksud yang sebenarnya. Lantas dengan penuh yakin saya menjawab, "Tulis novel cikgu!". Guru kelas saya terkesima samada tak sangka budak umur 7 tahun tahu tulis novel atau terkejut saya boleh sebut perkataan tu sedangkan pelajar-pelajar lain (tahun 1996, di sebuah sekolah kampung) tidak mampu mengenal perkataan suku kata lagi. :D

teka, mana satu saya? :D

Guru kelas saya barangkali menahan gelak lantas menjawab, "Owh, nanti dah siap kamu tunjuk kepada cikgu." Sejak hari itu, setiap kali saya mengarang, mencipta cerita-cerita pendek maka akan saya bawa tunjuk kepada cikgu kelas saya itu. Itulah 'novel' saya waktu itu.

Tidak dinafikan, 'novel' itu permulaan bagus buat saya. Menulis akar peribadi.

Ketika beumur 11 tahun, arwah abah mula sakit-sakit dan tumpuan ibu saya lebih terarah kepada abah. Sebagai anak sulung, tanggungjawab mengambil tahu hal ehwal adik-adik tertanggung di atas pundak saya. Sejak hari itu, saya tulis apa yang berlaku hari-hari dalam hidup saya di dalam sebuah buku kecil. Buku kecil itu jadi tempat luahan segala perkara. Tentang aktiviti harian, tentang abah, tentang adik-adik dan tentang yang saya cita-citakan dalam kehidupan. Sungguh, terasa seronok menulis. Buku kecil itu masih lagi saya simpan.

Bila meningkat remaja di Maahad, tulisan saya mula bertransformasi dari hal yang biasa-biasa kepada isu-isu semasa, agama, politik dan sebagainya. Tapi, itulah. Tulisan-tulisan itu terkurung di dalam diari kecil saya. Seronoknya, bila saya kaitkan isu-isu tersebut dengan kehidupan saya. Saya ceritakan apakah signifikannya hal itu dalam kehidupan saya.


Pada masa itu, saya begitu menggilai buku-buku dan tulisan Faisal Tehrani, Dr HM Tuah Iskandar, dan ramai lagi penulis-penulis muda seperti Mawar Shafei, Fahd Razy, Nimoiz TY dan siapa-siapa lagi. Saya masih ingat lagi, yang saya begitu meminati majalah Tunas Cipta ketika itu. Setiap kali keluar ke Bandar Kota Bharu, destinasi wajib saya ialah Pustaka Sri Intan dan juga Jaafar Rawas. Tak pasal-pasal pula meminati sastera dan karya-karya sastera sehinggakan saya hampir-hampir menambah subjek Kesusasteraan Melayu dalam subjek SPM saya!

Saya mula bercita-cita mempunyai blog sendiri untuk saya menulis, dan bakal menerbitkan buku tulisan sendiri suatu hari nanti.

Senyum puas. Memang menulis akar peribadi. Secara tak langsung mendidik saya membina jati diri. Boleh kan kalau saya mahu terasa bebas menulis di sini? Saya menulis apa yang saya mahu, apa yang saya rasa dan apa yang saya mahu seru!

:)

Selasa, 8 Februari 2011

Emel dari Firdaus Muhaimin ; Suatu Kebetulan :D

Apabila Abang dapat satu e-mel daripada seseorang yang mengatakan bahawa abang diminta membuat satu artikel khusus untuk adik-adik MMP dalam buku ini, abang tak TERKEJUT. Kata orang berkenaan artikelnya mestilah berkisar tentang KERUNTUHAN akhlak remaja (adik-adik) dan langkah-langkah mengatasinya. Barangkali adik-adik semua sudah faham dan masak dengan tajuk sebegini, bukan? Itulah hakikatnya, walaupun sudah hadam dan masuk dalam perut sekalipun tapi belum berbekas dalam hati adik-adik. Barulah abang sedar bahawa masalah sebegini membelenggui remaja kita sampaikan budak sekolah agama khususnya Maahad Muhammadi turut sama TERJERUMUS ke dalam kancah runtuhnya akhlak seperti runtuhnya bangunan atau tanah kerana bencana alam. Adakah sama runtuhnya akhlak dengan runtuhnya bangunan? Betulkah tanggapan abang ini, adik-adik?

Abang tidak menyatakan semua budak Maahad terlibat, tapi segelintir yang memakai lencana Maahad yang menimbulkan ketidakfahaman tentang konsep Islam menyebabkan kesemua budak Maahad (tidak kira baik atau tidak) terkena lumpur tohmahan masyarakat yang dibawa oleh ‘kerbau’ gembala budak Maahad itu sendiri! Ketidakfahaman di sini bermaksud kurang fahamnya terhadap apakah yang dituntut oleh agama. Islam umumnya menuntut umatnya berkelakuan baik, berbudi bahasa, bersopan-santun, lebih-lebih lagi manusia yang bergelar wanita. Di sini abang terangkan, oleh kerana ramai yang tidak faham konsep Islam itu sendiri, maka pincanglah agama kerana tidak dilaksanakan konsepnya. Nampak ‘bolok' la kata orang kita kalau melaksanakan ajaran agama. Sebenarnya, siapa yang lebih kuno + jahil? Yang menjadi persoalan, kenapa budak Maahad yang dok belajar hari-hari agama, tafsir, feqah, tauhid, hadis dan Quran masih berpotensi tergolong dalam golongan yang merobohkan agama? Adakah kerana tidak cukup ilmu yang dicurahkan? Atau ilmu yang tidak diamalkan? Pengaruh keadaan sekitar? Keluarga? Atau kurangnya KEYAKINAN dan JANJI ALLAH?

Pastu yang dok bergurau senda dengan lelaki AJNABI dan berteriak, bertempik, melolong di khalayak ramai, apa pasal? Sakit hati + mata abang melihat hodohnya perilaku muslimat (sekolah agama pulak tuh). Kebejatan akhlak semakin berat, adik-adik yang dok Maahad (ulama’) pun nak menyumbang peratus jugak ke? Tak ke sumbang sumbangan tersebut? Tak sohor langsung. Belajar agama hari-hari takkan otak + perangai setakat level budak sekolah menengah biasa kot? Adik-adikku, kembalilah kepada ALLAH dan Islam. Percayalah kebaikan mendatangkan pahala dan diganjarkan syurga, manakala kejahatan dibalas dosa dan neraka!

Timbulnya isu kebobrokan akhlak kerana kejahilan remaja itu sendiri tentang puncanya. Abang percaya, budak Maahad yang berkaliber ini pasti mempunyai pengetahuan tentang semua ini. Masing-masing tahu mana baik dan buruk. Oleh itu, sudah gaharu cendana pula sudah tahu bertanya pula. Ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Nah! Di sini abang utarakan dua perumpaan untuk adik-adik yang abang sayangi, untuk adik-adik berfikir semasak-masaknya sampai pokok ilmu itu cepat berbuah dan masak untuk adik-adik petik buahnya dan menikmati lazatnya imu itu dengan amalnya sekali. Sebenarnya, adik-adik semua tidak percaya akan azab ALLAH, bukan? Jika adik-adik yakin dengan wujudnya azab itu, pasti amanlah Maahad dan juga dunia Islam. Buktikan yang adik-adik percaya ALLAH itu Maha Berkuasa memuliakan atau menghina sesiapa yang dikehendakiNYA. Maha Berkuasa memberikan balasan samada balasan baik atau balasan buruk kepada orang yang dikehendakiNYA.

Ikhlaskan niat kerana ALLAH, yakinlah ALLAH sedang memerhatikan kita. Sebagai pendorong untuk adik-adik berubah menjadi muslimah solehah. Di ruang yang terbatas ini sukacitanya abang menyeru kepada adik-adik, tak kira lelaki atau perempuan, letakkan kembali Islam ke tempatnya yang tertinggi semula!! Jangan jadi zalim kerana ta’rif zalim itu sendiri ialah meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Oleh itu, mulakan dengan diri sendiri. Berubah dari lewat tunai solat kepada solat awal waktu, dari tidak membaca AL-QURAN dalam sehari, kepada tilawah AL-QURAN sekurang-kurangnya 2 atau 3 pipi sehari. Dari bertudung sebar kepada tubung labuh atau lebih hebat lagi bertudung bulat. Daripada tidak pernah berstokin kepada berstokin (muslimat).

Namun, berubah menjadi baik amat perlu kepada istiqamah. Jadi, istiqamahlah bila adik-adik sudah berubah. Renungilah sabda Rasulullah S.A.W:

Dari Aisyah r.a katanya: ”Pada suatu ketika, Nabi pulang ke rumah Aisyah, didapatinya dekat Aisyah duduk seorang wanita. Lalu Nabi bertanya,”Siapakah wanita itu?” Jawab Aisyah,”Inilah si Fulanah yang terkenal banyak melakukan solat.” Sabda Nabi S.A.W,”Jangan begitu!Kerjakanlah sekuasamu. Demi ALLAH! Dia tidak bosan memberikan pahala, sehingga kamu sendiri yang malas berbuat amal. Amal(agama) yang lebih disukai di sisi ALLAH ialah amal yang dilakukan secara tetap dan teratur(berterusan)."

Setelah adik-adik pahatkan kebaikan dalam diri ikhlas kerana ALLAH S.W.T, adik-adik sebarkanlah aura kecemerlangan syakhsiah dan akhlak adik-adik kepada orang lain. Orang-orang di sekeliling adik-adik, terutamanya rakan-rakan dan keluarga adik-adik.

”Tidak beriman seseorang itu jika tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”.

Hadis Rasulullah S.A.W ini membuka tirai minda adik-adik yang selama ini boleh dikatakan selfish’. Kita tahu azab siksaan yang bakal menanti saudara seislam kita yang berbuat maksiat, tapi adakah kita menegahnya daripada berbuat maksiat? Kitalah namanya selfish, nak masuk syurga sensorang! Kan tugas berdakwah itu wajib atas setiap individu? Atau adakah adik-adik merasakan diri banyak lagi kelemahan dan amalan belum cukup mantap? Siapakah di antara kita yang lengkap dan sempurna imannya?!!!

Imam Said bin Jubir berkata, ”Jika seseorang itu tidak mahu mengajak kepada amal makruf dan nahyu mungkar sehingga dirinya sempurna, maka tidak ada seorang pun yang akan mengajak kepada amal makruf dan nahyu mungkar.”

Imam Malik bersetuju dan menambah, ”Dan siapa di antara kita yang lengkap dan sempurna?"

Syaitan amat menyukai apabila tidak ada orang yang menyampaikan amal makruf dan nahi mungkar. Jika diabaikan perkara ini, tunggulah azab dari ALLAH dan golongan soleh juga akan turut sama terkena.

Abang mengharapkan perubahan besar yang menjurus kepada kebaikan berlaku dalam kalangan adik-adik khusususnya, dunia Islam Timur amnya. Sambutlah salam sayang dan rindu abang terhadap perubahan adik-adik yang akan menjaga kesucian Islam yang syumul ini.

ALLAHUAKBAR!!!



Sukacitanya dimaklumkan, artikel ini ditulis oleh pemilik blog ini ketika beliau masih lagi di MMP (tingkatan 4, 2006). Harap abaikan sahaja tatabahasa yang lintang pukang dan caca merba ayat yang tidak konsisten. Maaf jika tajuknya mengundang kontroversi, namun ia lebih bertujuan menarik perhatian dan 'menagih' kebaikan dari orang yang membacanya.


"Sungguh tidak sangka, saya bertemu kembali tulisan pertama saya. Lebih melucukan, pertemuan semula ini diiringi dengan pertanyaan junior-junior saya tentang siapakah Firdaus Muhaimin. Maafkan kakakmu wahai kalian. Cuma mahukan kelainan dan supaya mesej yang ingin disampaikan tidak 'pending'. :)"

Rabu, 3 November 2010

Mengundang Rindu

Masya Allah. Tiada ungkapan yang sesuai saya ungkapkan tatkala rindu itu datang lagi. Cepat benar ia terusik. Langsung terpancing emosi. Langsung ada bingit haru mendesah pada nafas yang dihela. Maahad, bumi yang saya cintai. Tetap terpateri namanya di sanubari. Biar jauh diri ini melangkah meninggalkan taman islami itu, namun musafir ilmu saya tetap ingin mahu kembali mengecas bateri iman dan ukhuwah di sana.

Mengapa rindu ini membuak-buak?

Hari Guru 2007, sewaktu saya tingkatan 5 ~ kenangan bersama sahabat2 menjayakannya.

Biar apa pun, sesetengah orang kata Maahad adalah apa bagi mereka. Namun Maahad adalah tempat saya membentuk diri sehingga mampu berdiri, seperti hari ini. Bagaimana rindu ini tidak membuak-buak? Di situlah tempat saya mengenal betul-betul siapa Pencipta saya, siapa penyampai risalahNya. Walaupun Maahad tidak dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan, bangunan yang elok, namun Maahad melahirkan produk yang berkualiti yang sedang menjana kekuatan ummah kini.

Masih segar di ingatan saya lagu yang diajar kakak senior sewaktu minggu orientasi iaitu lagu Maahad Cemerlang.

Maahad cemerlang budaya kita
Mari bersama kita buktikannya
Tiap detik adalah ibadah
Menabur bakti dan berjasa

Hampir menangis sewaktu memutarkan kembali lagu ini. Detik-detik tarbiyah dijana di dalam diri diulang kembali. Betapa saya ditakdirkan Allah mengutip mutiara ilmu di Maahad. Istimewanya Maahad kerana ia mengangkat tarbiyah sebagai pacuan utamanya, dakwah sebagai cabangnya dan tanpa disedari siasah dengan sendiri tertanam.

Terma-terma indah membuah ukhuwah, membentuk jemaah menjadi darah daging sewaktu dulu. Dididik murabbi-murabbi dan asatizah langsung tanpa perantaraan menjadikan bumi hijau di tengah-tengah kesibukan Kota Bharu Bandaraya Islam adalah permata di hati saya. :)

Rabu, 29 September 2010

Edisi Syawal ; Ukhuwah Pengecas Bateri Iman

Setelah sekian lama bertangguh, terpost juga entry kali ini. Maaf, hampir berminggu-minggu rasanya tidak menulis apa-apa di sini. Sahabat-sahabat mula bertanya, bila saya nak update blog. [Sekarang ni tengah update la!] Syawal kali ini mengisi sekian kekosongan setelah berbulan tandusnya perjuangan tanpa iman dan ukhuwah. Seminggu sebelum 'Idulfitri menjelang, saya sudah pun berada di rumah, pulang dari perantauan. Kedengaran girang dan meriah persiapan raya kali ini, apabila tema warna baju raya adalah warna biru (warna kesukaan saya!). Perginya Ramadhan meninggalkan sebentuk rasa haru. Entah kan bertemu kembali atau tidak. Namun, cahaya hari kemenangan cepat-cepat menyelinap, menandakan hari fitrah kembali bersih menyapa.

Setelah pulang berhari raya di kampung datuk dan nenek, maka tibalah hari sibuk menyedia juadah di rumah sendiri. Jalan Kuala Krai-Gua Musang di depan rumah saya itu amatlah sibuk. Teragak-agak ibu saya mahu keluar ke bandar atau tak. Sahabat-sahabat sekolah saya dulu sudah beberapa kali mengajak saya datang ke Kota Bharu untuk berhari raya, ziarah teman-teman yang lain. Tak mahu pergi, beralasan jalan sibuk, kat rumah ramai orang datang dan pelbagai alasan lagi. 

Jarak antara bandar Kota Bharu dengan Machang hampir 50 km. Memakan masa satu jam perjalanan, namun kalau jalan macet lebih-lebih lagi di musim perayaan boleh melarat ke 2, 3 jam juga. Jadi, saya tidaklah terlalu berharap jika sahabat-sahabat saya tidak datang beraya ke rumah saya. Namun, kerana ingin terlalu berjumpa, mereka datang walau jauh dan jem semata-mata untuk berkumpul!


Betapa berbunganya hati dan jantung pabila mereka sudi berziarah ke rumah saya! Dan setelah lama berbasa-basi dan berceloteh di rumah saya, mereka mengajak saya beraya di rumah rakan-rakan di Kota Bharu pula.

Perjalanan dari Machang ke Kota Bharu selama sejam lebih itu, saya manfaatkan sepenuhnya bertukar cerita, pendapat, pandangan dan masalah. Keriuhan yang tercipta, tanpa disedari mengingatkan suasana ketika berada di Maahad dulu yang penuh nostalgia. Setelah puas berhari raya sakan, saya pulang ke rumah dengan dihantar oleh mereka juga.

Saya katakan kepada mereka selepas berceloteh, bergurau dan bercerita tentang apa saja, "Ukhuwah itu pengecas bateri iman.". Kami tersenyum-senyum sesama sendiri, barangkali mengiyakan apa yang saya lontarkan.Sesuai sekali kerana pada waktu itu, saya baru saja usai membaca novel Sinergi karya Hilal Asyraf.


Sungguh, pertemuan Syawal baru-baru ini masih lagi segar di ingatan saya. Masih lagi terasa kehangatan ukhuwah yang mendalam itu. Mungkin rasanya lebih manis kerana selepas diuji dengan pelbagai perkara dulu, dan setelah lama tidak berjumpa maka yang pahit itu menjadi amat manis.

Mahu katakan ukhuwah itu seperti apa ya?

Seperti gula? buah mempelam? ubat gigi?

Ukhuwah yang kita cari adalah ukhuwah kerana Allah. Ukhuwah ini bukan terhenti di bilahan rindu dan kata-kata semangat. Ukhuwah itu menjadi mulia tatkala meletakkan iman sebagai paksinya.

Serendah-rendah ukhuwah adalah bersangka baik. Manakala setinggi-tinggi ukhuwah adalah ithar iaitu mengutamakan sahabat melebihi kepentingan diri sendiri.

Entahlah, bagi saya ukhuwah itu manis bila pahit itu kita telan bersama. Nanti, kalau manis banyak-banyak, sakit kencing manis pulak. :) Kita bersahabat dengan kawan kita macam muda-mudi sedang bercinta, Setiap seorang sahabat kita, kita ada kasih sayang khas untuknya. Bukanlah kasih sayang kita itu boleh dipotong-potong seperti kek dan dibahagi-bahagikan. Ia ibarat kita bagi kek sebijik kepada orang. Setiap kek itu sama cantik sama manis, tapi rasa manisnya lain-lain. Semua lain, unik. Tapi tetap cantik dan manis.

Khamis, 12 Ogos 2010

Secangkir Rindu Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Rindu langsung terubat. Entah kenapa hati ini dihambat rindu kepada Ramadhan. Setiap hari, status di FB akan bertukar cerita mengenai Ramadhan. Sepanjang hidup bernafas di bumi Allah ini, sampai saat ini barulah jiwa terasa kerdil, andai kata diri ini tidak sempat bertemu Ramadhan untuk kali kedua puluh satu - seiring usia yang semakin meningkat. Terus hati dicuit kebimbangan, kerana amal entah menyamai atau tidak titisan air di hujung jari. 

1 Ramadhan 1416H
Rumah quaters Stesen Keretapi Tanah Melayu Temangan bising dengan suara keanak-anakan saya dan juga Fadhli. Riuh suara ma menyuruh abah menghentikan hilai tawa kami bergurau senda sedang sebentar lagi azan maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa akan berkumandang kurang 5 minit. Abah memeluk kami berdua, mencium pipi kami bertalu-talu. Makin kuat hilai tawa kami kerana geli digesel misai dan janggut abah yang dicukur nipis itu. Nora dengan wajah kurang mengerti, memerhati jauh dari dukungan ma.


Di depan kami sudah tersedia hidangan kegemaran abah. Antaranya kuih lompat tikam, kuah kacang dan rojak mee, tempe dan pelbagai lagi. Itu semua juga kegemaran saya dan adik beradik yang lain. Sebaik saja azan berkumandang, kami sekeluarga duduk mengelilingi hidangan, membaca doa diketuai Fadhli (dengan bahasa pelatnya!) dan diaminkan. Hidangan mula disantap, dan mulut saya yang petah mula berbicara, menanyakan itu dan ini tentang segala benda yang berkaitan dengan puasa dan Ramadhan. Sememangnya abah dan ma begitu sabar melayani keletah saya.

"Abah, puasa ni sakit tak? Boleh mati tak kalau tak makan sehari?". Abah tersenyum geli hati mendengar pertanyaan anaknya yang tak surut-surut perasaan ingin tahu.

"Abah tak mati pun. Masa abah umur 6 tahun, abah dah puasa sampai petang." pertanyaan ku dijawab motivasi. Menyuntik semangat aku untuk berpuasa penuh esoknya, kerana siang tadi aku sudah berbuka jam 11 pagi!

29 Ramadhan 1422H
Juadah berbuka puasa hari ini ala kadar saja. Tiada kuih istimewa kesukaan kami. Lalu azan maghrib berkumandang. Ma membawa dulang berisi teko dan cawan ke meja makan. Saya membawa lauk-pauk yang sekian tadi disediakan. Farid tiba-tiba menangis kerana diusik Fadhli, diambil lauk ayam gorengnya sambil membawa pinggan ke depan televisyen. Kedengaran suara abah mengerang di sudut bilik, menyatakan kejengkelannya mendengar hiruk pikuk kami di meja makan.

Lalu ma bersuara lemah, "Yang, pergi pujuk Farid." Saya patuh, langsung mendekati Farid yang sedang merengek-rengek. Memujuk dia dan melayan adik-adik yang lain agar berbuka puasa dengan tenang untuk hari terakhir Ramadhan tahun ini. Ma membawa makanan untuk abah yang sedang terlantar di bilik.

Selepas solat Maghrib, kami adik beradik berkumpul di ruang tamu. Kami bercerita tentang aktiviti pagi raya esok. Kegembiraan terpancar di wajah kami. Tiba-tiba, kedengaran bunyi mercun yang kuat sedang meletup dari luar rumah dan itu hampir membuat abah histeria memarahi kebisingan yang begitu menjengkelkan dia. Kesakitan yang dia alami makin bertambah barangkali tatkala terpaksa menelan sebarang 'pencemaran bunyi'.

Lalu, tak lama kemudian, takbir raya kedengaran dari surau berdekatan. Kami bertakbir beramai-ramai (walaupun kami berada di rumah). Hampir terlupa tentang abah, namun berasa pelik, kenapa abah tidak bising pula? Kami bising bukan kepalang lagi! Lantas, saya ke balik dinding di tepi bilik abah. Mendengar esak tangisnya mengikut takbir raya walaupun lidahnya sudah keras. Sambil mengesat air mata, ma menyuapkan makanan ke mulut abah. Abah menolak dan berkeras mengikut takbir dengan suara lemah. Saya mengeluh sendirian. Ah, jauhnya kematian.

11 Ramadhan 1426H
Saya mengusap wajah selepas menunaikan solat witir sendirian di masjid. Sengaja tidak menyertai solat witir berjemaah tadi, saya mengambil waktu membaca Al-Quran sementara. Masjid asrama kian lengang, barangkali ramai yang sudah ke urusetia menikmati juadah moreh di situ pula. Saya mencapai mushaf usai berdoa. Pandangan saya terpamit pada kalendar hijrah yang tergantung di sisi tingkap bersebelahan rak Al-Quran.

11 hari sudah berlalu di bulan ini. Peperiksaan SMU yang sedang berlangsung lantas menjelma di fikiran. Harap-harap dapat jawab! Saya menyambung bacaan Al-Quran yang terhenti tadi. Target saya Ramadhan kali ini saya dapat menghabiskan 30 juzuk! Begitu tegar menghabiskan 1 juzuk dalam sehari, saya berdoa supaya Ramadhan kali ini saya dapat berpuasa penuh. Barulah target mencapai 30 juzuk Ramadhan ini berjaya.


Setiap kali selepas solat maghrib berjemaah, saya akan menuruni tangga masjid dan duduk di kerusi batu sambil menghirup udara malam di situ. Tak ketinggalan nota pelajaran turut dibawa bersama sambil mulut terkumat-kamit menghafaz isi pelajaran. Melihat langit, rasa Ramadhan kali ini begitu membahagiakan. Kadang langit malam cemerlang dan indah disimbah cahaya bulan. Tampak jelas bintang bertaburan, berkelip indah membuatkan saya tak terlupakan. Kadang gelap zulumat menandakan cuaca bakal mendung keesokkan harinya, membawa suasana violet biru kesukaan saya. Begitu indah kekuasaan Allah s.w.t., bibir tak lekang berzikir memujiNya atau menyanyikan nasyid memuja Allah. Ah, tenang menyelimuti. Banyak permasalahan hidup saya kadang terselesai dengan beriktikaf di hamparan begitu, terus-terusan mengingati Nya.

"Kak Yang, tak nak balik blok ke? Dah pukul 11 lebih ni." suara yang ku kenal, Hafizah juniorku mengejutkan aku dari lamunan. Lantas mengingatkan aku supaya berpijak di bumi yang nyata.

2 Ramadhan 1431H
"Jadikan tentangan sebagai peluang, jadikan kesulitan sebagai kemudahan. Susah bukan untuk lemah. Senang bukan untuk selesa. Positiflah memandang kehidupan, kerana ketahuilah Allah itu maha mengetahui." Begitulah status di fb saya. Menjadikan setiap tentangan, kekangan, halangan sebagai pemangkin untuk terus maju. Memandang semua itu sebagai peluang-peluang untuk lebih ke hadapan. Tanpa menoleh ke belakang. Tanpa mendengar cakap-cakap orang. Ramadhan ini adalah sekolah tarbiyah hati dan semangat kental seperti Nabi Muhammad s.a.w. Teruskan sunnah perjuangan Rasulullah sebagai pekerjaan pendamping kehidupan yang paling mulia.

Ramadhan bukanlah kekangan untuk menjadi pasif malah kurang dinamik. Puasa menguatkan fizikal dan akal, demi menjemput sebuah keredhaan Allah s.w.t., lantas ia tidak mudah. Hanya yang tegar melalui hari-hari dengan penuh ketaqwaan, tanpa ragu-ragu meyakini hikmah Allah menjadikan manusia itu hebat di dunia dan di akhirat.

Secangkir rindu Ramadhan tetap bertamu di setiap tahun usia menjengah di kehidupan.

Insya Allah.

Ameen.

Sabtu, 20 Mac 2010

Robitoh Hati

Di sini kita pernah bertemu
Mencari warna seindah pelangi
Ketika kau menghulurkan tanganmu
Membawaku ke daerah yang baru
Dan hidupku kini ceria

Kini dengarkanlah
Dendangan lagu tanda ingatanku selamanya..
Kepadamu teman
Agar ikatan ukhuwah kan bersimpul padu

Kenangan bersamamu
Takkanku lupa
Walau badai datang melanda
Walau bercerai jasad dan nyawa

Mengapa kita ditemukan
Dan akhirnya kita dipisahkan
Mungkinkah menguji kesetiaan
Kejujuran dan kemanisan iman
Tuhan berikan daku kekuatan

Mungkinkah kita terlupa
Tuhan ada janji-Nya
Bertemu berpisah kita
Ada rahmat dan kasih-Nya

Andai ini ujian
Terangilah kamar kesabaran
Pergilah gelita hadirlah cahaya

maafkan aku sahabat, andai aku tidak mampu menjadi sahabat yang terbaik untukmu. namun aku sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, menjadi sahabat yang sentiasa mengingati kebaikanmu dan mendoakan kebahagiaanmu,.walau di mana kau berada., ~

Jumaat, 5 Februari 2010

Rindu Itu Datang Lagi

Jauh dari sudut hati saya ada rindu yang terbersit. Rindu itu makin membuak-buak tatkala hati dilanda kegersangan siraman taqwa. Ah, rasa asyik sekali pada rindu itu. Jikalau rindu itu ibarat hembusan salju, pasti ia akan berpual-pual menghembus. Jikalau rindu itu ibarat cahaya mentari, pasti terik cahayanya lolos menerangi. Jikalau rindu itu umpama aliran sungai yang mudik dari hulu ke hilir, pasti ia tidak akan berhenti melepaskan arus deruan yang menyegarkan jiwa menuju ke muara. Kerana rindu itu tidak pernah putus asa menghembus, menerangi dan mengalir terus menerus dalam bejana diri ini.

Hati saya amat rindu pada sebuah bangunan konkrit bertatahkan bulan sabit emas di atas kubahnya. Rindu untuk beriktikaf di dalamnya, mengerjakan solat tahiyatul masjid dan membaca Mathurat dan al-Quran di berandanya. Rindu untuk berwudhu' di paipnya, menaiki tangganya, mengerjakan solat di saf hadapan. Rindu untuk berukhuwah di situ, kerana itulah tempat pertemuan dengan sahabat fillah. Rindu untuk menghadam ilmu dan meratah semahu mungkin mutiara kata oleh para murabbi dan asatizah. Rindu untuk berdialog dalam urusan persatuan di situ. Rindu akan keizzahan tarbiyah yang hidup umpama ruh. Hati-hati orang yang berada di dalamnya terus hidup andai ada yang mahu mentarbiyah dan ditarbiyah. Saling mengingati dan mahu diperingatkan. Keharuman itu seolah-olah masih lagi terbau di deria hidu saya ini. Masih lagi segar di pelupuk ingatan ini. Masih lagi agungnya kecintaan ini pada kesucian jiwa yang diredhai Allah hingga sering kali air mata ini tidak mampu dibendung-bendung lagi. Mengalir deras, panas, membasahi mata, pipi, dan wajah yang penuh noda ini.

Ah, siapakah yang memahami? Ini adalah luahan nurani, yang selama-lamanya akan terikat dengan kerinduan ini. Mampukah menyelami, andai hati menolak kebaikan, peringatan dianggap cela, teguran dianggap sumpah seranah? Biarlah, hidayah bukan saya punya. Saya manusia biasa, yang banyak kelemahan dan kesilapan. Saya tidak dapat menyentuh hati manusia kerana hati saya juga penuh dengan noda dan dusta. Cuma hati ini tidak akan sesekali mengingkari azimat rindu yang diperikan di perenggan tadi. Rindu ini akan terus berakar umbi selagi mana jiwa ini tidak dijajahi solsadu putus asa pada rahmat Allah.

Kerana keterikatan rindu ini hanyalah pada ILLAHi Rabbi! Pada Dia yang tidak akan pernah meninggalkan hambaNya. Pada Dia yang mencintai hambaNya langsung, tiada kurang. Pada Dia yang amat dekat, lebih dekat dari urat nadi ini. Maka saksikanlah, rindu ini adalah datang hati nurani. Datang menyucikan jiwa orang yang menghendakinya.

Introspeksi

Saya akhiri entry kali ini dengan peringatan ringkas dari sahabat fillah jua. Entahlah siapa, saya pun tak dapat mengenali siapakah gerangan 'myeyes' ini. Penuh shoutmix box saya dengan kata-katanya. Untuk dikongsi bersama, saya copy paste kan di sini. Tapi yang pasti, dia juga memahami apa erti rindu itu datang lagi...

salam...izinkan sy utk meluahkan apa yg t'lintas di fkiran & dhati ini...
sekadar mengingatkn diri sy sndri & jga saudara seakidah yg dikasihi...
Allah ciptakan kta utk memakmurkan bumi ini..
Dia kurniakn kta akal fikiran..
kta dbri mata utk mliht, kta dbri tlinga utk mdgr, kta dbri mulut utk mngatakn yg bnar..
itu smua adlah kurnia Nya.
tp apakh kta msyukuri sgla nikmt yg dkurniakn Nya itu???
jgn biarkn diri kta dlembah hina..
jgn biarkan mata yg clik dikaburi nikmat dunia..
mata yg dpinjmkan, jgn dsalah gna..
hiasi bibir dgn madah indah memuji Dia..
& jgn pekakkn tlinga..
bukalah hati utk mnerima peringatan dr yg Esa..
yg dititipkn kpd insan2 pilihan Nya..
itu tndanya Dia sayang kta..
jgn marahkn mrk..jgn pla mbenci mrk..
jka kta marah, jka kta bnci..pd siapa sbnarnya???
bukankh pd Yg mciptakan kta???
SIAPALAH KITA???
nak mberi peringatan, xmampu.. nak mdgr pringatan, xmahu..
LAYAKKAH KITA???
renung kembali..muhasabah diri..
Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihi..
maafkn sy jka kta2 sy mnyinggung perasaan smua..
skadar pringatan buat diri ini yg sring alpa..
salam mujahadah!!!
buat pnulis blog, truskn usaha. sesungguhnya Allah sntiasa bsama & mbntu tiap hmba Nya yg mbntu agama Nya..
yg t'akhirnya buat kta smua, sampaiknlah walau satu ayat...
wassalam...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...