Selasa, 1 Mac 2011

Menulis Akar Peribadi

Menulis akar peribadi. Kerana dengan menulis kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Sekian lama sudah, saya lupa menjengah ke blog, menulis membuang rasa-rasa, melebar citra. Entah kekangan apa. Bukan sibuk seperti Nabi, tapi ya, saya sendiri kurang atur masa menulis. Hampir-hampir terlupa, menulis tu akar peribadi.

Kenapa menulis akar peribadi?

Kerana menulis menggambarkan peribadi seseorang. Salah satu cara seseorang mengeksperesi apa yang ada di mindanya. Menulis secara tidak langsung mengeluarkan apa yang terperam di minda kita. Menulis merupakan aktiviti menyeronokkan bagi saya sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Sehingga kini, tulisan-tulisan saya berupa picisan banyak sekali. Entah di mana-mana saja. Ada yang masih disimpan, ada yang hilang ditelan ribut-ribut timbunan buku yang lain dan sebagainya.

Sejarah saya menulis sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Pernah sekali seorang guru bertanyakan kepada saya apakah hobi saya ketika waktu lapang. Seingat saya ketika itu berada di darjah 1. Lantas saya menjawab, "Membaca dan menulis, cikgu!" Memang ketika itu, saya mempunyai sebuah buku kecil untuk saya catit apa saja yang saya lalui sepanjang hari. Cikgu bertanya kembali kepada saya, "kamu suka tulis apa?"

Pada ketika itu saya sering terjumpa perkataan "novel" di perpustakaan sekolah. Namun, saya tak tahu maksud yang sebenarnya. Lantas dengan penuh yakin saya menjawab, "Tulis novel cikgu!". Guru kelas saya terkesima samada tak sangka budak umur 7 tahun tahu tulis novel atau terkejut saya boleh sebut perkataan tu sedangkan pelajar-pelajar lain (tahun 1996, di sebuah sekolah kampung) tidak mampu mengenal perkataan suku kata lagi. :D

teka, mana satu saya? :D

Guru kelas saya barangkali menahan gelak lantas menjawab, "Owh, nanti dah siap kamu tunjuk kepada cikgu." Sejak hari itu, setiap kali saya mengarang, mencipta cerita-cerita pendek maka akan saya bawa tunjuk kepada cikgu kelas saya itu. Itulah 'novel' saya waktu itu.

Tidak dinafikan, 'novel' itu permulaan bagus buat saya. Menulis akar peribadi.

Ketika beumur 11 tahun, arwah abah mula sakit-sakit dan tumpuan ibu saya lebih terarah kepada abah. Sebagai anak sulung, tanggungjawab mengambil tahu hal ehwal adik-adik tertanggung di atas pundak saya. Sejak hari itu, saya tulis apa yang berlaku hari-hari dalam hidup saya di dalam sebuah buku kecil. Buku kecil itu jadi tempat luahan segala perkara. Tentang aktiviti harian, tentang abah, tentang adik-adik dan tentang yang saya cita-citakan dalam kehidupan. Sungguh, terasa seronok menulis. Buku kecil itu masih lagi saya simpan.

Bila meningkat remaja di Maahad, tulisan saya mula bertransformasi dari hal yang biasa-biasa kepada isu-isu semasa, agama, politik dan sebagainya. Tapi, itulah. Tulisan-tulisan itu terkurung di dalam diari kecil saya. Seronoknya, bila saya kaitkan isu-isu tersebut dengan kehidupan saya. Saya ceritakan apakah signifikannya hal itu dalam kehidupan saya.


Pada masa itu, saya begitu menggilai buku-buku dan tulisan Faisal Tehrani, Dr HM Tuah Iskandar, dan ramai lagi penulis-penulis muda seperti Mawar Shafei, Fahd Razy, Nimoiz TY dan siapa-siapa lagi. Saya masih ingat lagi, yang saya begitu meminati majalah Tunas Cipta ketika itu. Setiap kali keluar ke Bandar Kota Bharu, destinasi wajib saya ialah Pustaka Sri Intan dan juga Jaafar Rawas. Tak pasal-pasal pula meminati sastera dan karya-karya sastera sehinggakan saya hampir-hampir menambah subjek Kesusasteraan Melayu dalam subjek SPM saya!

Saya mula bercita-cita mempunyai blog sendiri untuk saya menulis, dan bakal menerbitkan buku tulisan sendiri suatu hari nanti.

Senyum puas. Memang menulis akar peribadi. Secara tak langsung mendidik saya membina jati diri. Boleh kan kalau saya mahu terasa bebas menulis di sini? Saya menulis apa yang saya mahu, apa yang saya rasa dan apa yang saya mahu seru!

:)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...