Memaparkan catatan dengan label program. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label program. Papar semua catatan

Sabtu, 10 Mac 2012

Oki Melukis Pelangi Di Kelantan

Oki Setiana Dewi, beliau sudah jadi ikon muslimah. Saya pun tidak meragui untuk meminatinya, malah tidak dapat dinafikan, kehadiran Oki dalam dunia industri hiburan sedikit sebanyak pengaruh dakwah menjadi mudah tersebar. Tidak keterlaluan jika saya katakan beliau adalah ikon muda baru yang menambat hati semua lapisan masyarakat.


Negeri serendah sekebun bunga menjemput beliau ke rancangan Bicara Selebriti yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KBTC). Program ini merupakan siri bual bicara bersama selebriti yang ke-4 diadakan di bumi Cik Siti Wan Kembang ini.

Hari ini, Oki Setiana Dewi melukis pelangi indah di Kelantan. Beliau 'melukis pelangi' di hati orang-orang yang hadir. Di samping mempromosi buku tulisannya. Melukis Pelangi, beliau juga turut mencipta puisi indah sempena kunjungan beliau ke negeri 'termiskin' ini. Sedikit sebanyak terubat dengan puisi yang beliau deklamasikan.

Negeri Kelantan seindah namamu
Tanah serendah sekebun bunga
Negeri tadahan wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu

Duhai wajahmu yang indah persis Jeddah
Yang pernah kulewati
Taat menjunjung Al Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah

Tersentuh hati kudusku
Lantaran aku disini
Biar tidak pernah kuduga
Bertemu dengan seorang ulama'
Yang dicintai rakyatnya

Lalu kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit cinta

Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama'
Yang lembut tapi tegas beribadah
Yang pengasih
Namun tidak goyah
Pada percikan kealpaan dunia

Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa kutitip buatmu
Memacu, membangun Islam bersama

Semoga kita bertemu kembali.



Oki Setiana Dewi, 10 Mac 2012, Kelantan Trade Centre

sempat mempromosi Tahun Melawat Kelantan

bergambar dengan TGNA

pose di hadapan menara masjid

Oki di Kuliah Jumaat di KB

Selasa, 5 April 2011

Buah Tangan Mukhayyam Tarbawi Asatizah (MUMTAZ '11)

Program Mukhayyam Tarbawi Asatizah (MUMTAZ’11) ini telah diadakan pada 18, 19 dan 20 Mac 2011 yang lalu di Taman Negeri Endau-Rompin, Pahang. Kem ini berjaya mengumpulkan seramai 100 orang mahasiswa Tahun 2, 3 dan 4 SPI yang telah dianjurkan oleh Fakulti Tamadun Islam dengan kerjasama Ikatan Mahasiswa Pengajian Islam (IMPI). Program ini dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar di bawah bimbingan pensyarah dan juga Pok Nik, pengarah eksekutif Rebutia D’Perkasa bersama pasukan fasilitatornya.

Persepsi awal saya tentang program ini ialah sama dengan program KAMI’10 tahun lalu yang hanya untuk mahasiswi sahaja. Saya membayangkan program yang bakal dilalui adalah lasak dan mencabar. Saya teruja untuk mengikutinya kerana pada tahun lepas tidak berkesempatan pun untuk mengikuti program KAMI’11. Saya menanti-nantikan pengisian dan aktiviti yang bakal dilaksanakan kerana kem KAMI tahun lepas sangat menarik. Jadi persepsi awal saya positif.

Namun, barang yang ‘mahal’ ada harga yang perlu dibayar. Untuk menjayakan program MUMTAZ ini, saya dan sahabat-sahabat lain bertungkus-lumus mencari dana bagi menampung perbelanjaan program. Dana bagi program ini berjumlah lebih RM 18 000. Sumbangan dari pihak Fakulti Pendidikan hanya sebanyak RM 300. Tidak dapat tidak, pengumpulan dana ini harus dijalankan bagi menampung perbelanjaan program. Pelbagai cadangan dan lontaran idea yang timbul bagi mencari dana tersebut.

Pelbagai halangan dan kekangan yang dihadapi sepanjang pengumpulan dana program ini. Bermula dari ketidaksefahaman dalam membuat keputusan menentukan jenis apakah sumbangan bentuk pencarian dana hinggalah kepada pembahagian tugas. Akhirnya, selepas dibincang dan mengambil kira keadaan, beberapa keputusan diambil. Pelajar Tahun 2 ditugaskan menjual kupon nasi beriani. Ada juga dalam kalangan pelajar sendiri yang tidak mahu menyertai program ini disebabkan kekangan kerja sebagai mahasiswa tahun akhir. Namun, selepas bertungkus-lumus mencari dana, akhirnya dana program dapat dikumpul.

Pada pagi hari bertolak, saya sudah pun bersedia dengan barang untuk ke FTI. Saya menunggu kedatangan Nadzirah mengambil saya di blok untuk ke FTI dengan keretanya. Pada pukul 7,30 pagi, kelibat Nadzirah masih belum kunjung tiba. Saya menelefonnya dan dia mengatakan dia ambil dan hantar senior-senior lain terlebih dahulu sebelum mengambil saya. Saya menunggu sehingga pukul 8 pagi dan Nadzirah belum datang lagi. Saya fikir mungkin sedang memandu ke sini. Kemudian, Kak Sarah pula menelefon saya dan bertubi-tubi bertanya di mana saya berada. Bas sudah hampir bertolak! Saya terkejut dan kemudian terus menelefon Nadzirah, dia terus menjerit kerana terlupa mengambil saya! Tanpa berlengah, Nadzirah memecut ke kolej mengambil saya dengan motorsikal kepunyaan senior. Paling mengkagetkan ketika perjalanan ke FTI, seorang polis trafik cuba menahan kami kerana kedua-duanya tidak memakai topi keledar! Kami tidak menghiraukan arahan polis tersebut malah terus memecut dengan lebih laju. Kedengaran suara kuat polis trafik itu bertempik dari belakang, “Topi keledar!” :D

Sampai saja di sana, kami terus bergegas menaiki bas. Keadaan hiruk-pikuk seketika ketika kedatangan saya. Senior-senior menyangkakan saya terbangun lambat dan hampir terlepas untuk ke program. Terasa sangat lawak dan hampir-hampir memecahkan perut saya, Hampir-hampir tidak menyertai program. Hampir-hampir, sebab bas memang betul-betul sudah mahu bertolak.

Kami sampai di Taman Negeri Endau-Rompin waktu tengahari. Turun saja dari bas, berjalan pula sambil membimbit barang masing-masing sejauh 2 kilometer. Selepas berjalan, barulah sampai ke tempat perkhemahan dan terus ke dewan untuk memulakan program. Di dewan, program bermula dengan taklimat daripada Pok Nik.

Semasa program berlangsung, Pok Nik dari Rebutia D’Perkasa yang memandu sepenuhnya program kami. Pelbagai aktiviti yang sebelum ini saya rasa tidak berkesempatan dan berpeluang merasainya akhirnya dapat dirasai di Taman Negeri Endau-Rompin ini.

Ketika hari pertama sampai di sana, kami sudah pun ditugaskan dengan tugasan memasak dalam tanah, menggunakan kayu api dan sebagainya. Pelbagai teknik yang keluar semata-mata nak menghidupkan api dan pada masa yang sama pelbagai gelagat yang dapat dilihat demi menyiapkan makan malam pada petang tersebut.

Semua aktiviti menyeronokkan. Dari hari pertama sehinggalah hari terakhir program. Banyak pengalaman baru dapat ditimba malah dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara kami dengan senior-senior yang sebelum ini tak pernah bersua wajah pun. Kami dibahagikan kepada kumpulan dan setiap ahli kumpulan terdiri daripada berlainan tahun. Semangat kerjasama yang diterapkan menjadi sangat signifikan.

Satu lagi perkara menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani program ini ialah penerapan konsep syura dari awal program lagi oleh Pok Nik. Sistem syura yang cuba dijalankan ini mendidik dan memberi pengalaman serta sedikit sebanyak memberi gambaran tentang bagaimana rupa syura itu. Semua keputusan yang diambil samada pemilihan komiti yang akan menggerakkan peserta dan aktiviti serta tentatif selain aktiviti yang disediakan dibincangkan secara syura. Walaupun masih di tahap merangkak-rangkak, namun usaha dan komitmen semua peserta wajar dipuji.

Selain daripada konsep syura tersebut, kem ini juga sebenarnya lebih bertujuan membina jati diri kami sendiri sebagai bakal-bakal ustaz dan ustazah yang akan mengajar pelajar di sekolah. Ada satu slot yang dikendalikan oleh ustaz dan ustazah sendiri iaitu sesi tazkirah yang disampaikan dalam kalangan kami sendiri. Mana-mana di antara kami akan dipilih untuk menyampaikan tazkirah di hadapan mengikut keadaan dan gambaran situasi yang diberikan oleh ustaz dan ustazah. Tanpa disangka, sebenarnya masing-masing mempunyai bakat terpendam. Pelbagai teknik dan gaya yang digunakan bagi menarik perhatian audiens. Terbukti, pelajar SPI mampu dalam hal public speaking ini.

Pada malam pertama berada di tempat program, kami berjalan dalam hutan dipimpin oleh renjer di sana. Menikmati keindahan alam pada waktu malam ternyata lebih menyeronokkan. Unggas dan tumbuhan hutan nampak lebih terang bila disinari cahaya bulan. Sepanjang jungle night itu, kami berjalan sambil berbaris panjang dan saling bantu membantu di perjalanan. Beberapa orang dalam kalangan kami terjatuh dan juga pengsan sebab kekurangan tenaga. Walaupun tidak sampai sehari berada di Taman Negeri Endau-Rompin ini, tenaga memang dicatu. Tidak hairanlah kalau ada yang awal-awal sudah ‘collapse’.

Sebelum jungle treking hari kedua

Keesokkan harinya, kami jungle treking pula. Jungle treking ini mengambil masa 6 jam. Sampai di tengah-tengah perjalanan, kami berhenti untuk memasak dan makan tengahari. Cabaran pada kali ini adalah hujan yang turun dengan lebat ketika kami memasak. Pertama kali rasanya memasak nasi dan maggi dalam buluh. Kemudian dibakar seperti membakar lemang. Sejuk, lapar dan apalagi. Walaupun masakan tidaklah sesedap mana, tapi kerana perut sudah lapar, makanan tetap dihabiskan.

Usai memasak dan mengemas barang, kami meneruskan lagi perjalanan jungle treking. Perjalanan kali ini terasa lebih jauh dan meletihkan. Halangannya makin banyak, becak, lumpur, kayu dan pokok tumbang melintang diharungi bagi mencapai destinasi. Pelbagai kenangan melucukan, gaya jatuh dan sebagainya antara kami. Tersenyum kembali bila diingat-ingat. Setelah mengharungi perjalanan hampir 2 jam yang meletihkan itu, akhirnya kami sampai di sebuah air terjun yang sangat mengujakan! Tanpa disedari segala keletihan dan penat dirasai tadi hilang begitu sahaja. Seolah-olah seperti itulah perjalanan hidup kita.

Air terjun yang cantik. :)

Solo night pada malam kedua, kami ditempatkan secara individu di dalam hutan. Jarak antara kami jauh dan hanya diterangi cahaya bulan yang sedang mengambang. Tujuan utama aktiviti ini adalah mengambil masa memuhasabah diri. Namun, dek kerana keletihan, saya hanya mampu bertahan selama 30 minit sahaja dan kemudian terlelap sendiri.

Aktiviti air yang menyeronokkan

Aktiviti keesokkan paginya lebih menyeronokkan. Bermain air di sungai yang berdekatan dengan tapak perkhemahan kami. Sebelum memulakan aktiviti, kami diberi taklimat terlebih dahulu tentang keselamatan dan sebagainya. Aktiviti yang dijalankan ialah menaiki rakit, river-crossing, berkayak dan sebagainya. Saya pula berpeluang berkayak. Apa bagusnya aktiviti ini? Sungguh, ia membantu meningkatkan tingkat keyakinan diri. Kita akan rasa lebih yakin selepas menjalankan aktiviti sebegini.

Bergambar selepas mengemas untuk pulang

Selepas majlis penutup pada hari terakhir, kami berkemas menyimpan barang masing-masing dan juga barang-barang program. Walaupun terasa sangat keletihannya, kerja-kerja terakhir sebelum meninggalkan Taman Negeri Endau-Rompin harus dilaksanakan.

Harapan saya untuk program akan datang ialah mungkin pihak FTI boleh anjurkan lagi program sebegini dan dilaksanakan di tempat yang lebih mencabar lagi. Banyak manfaatnya kepada pelajar sekiranya dilaksanakan lagi. Ia mengajar nilai kerjasama yang tinggi, persaudaraan dan komitmen.

Komen saya tentang pengiring, cukuplah segunung terima kasih dan penghargaan yang tak terhingga. Terasa hangatnya ukhuwah yang dijalinkan antara pensyarah, terutamanya Dr. Arief Salleh dan Dr. Farahwahida. Kerendahan hati dan semangat murabbi ustaz dan ustazah dapat dirasai oleh kami. Pengiring-pengiring sentiasa bersama kami dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Isnin, 23 Ogos 2010

.:Menjadi Diriku:.

Kem Jatidiri Siswi (KEJASIS '10) pada 13, 14 dan 15 Ogos lalu begitu menyedarkan saya menjadi diri sendiri. Sangat indah pantai Teluk Ramunia. Tidak kejap mata memandang. Begitu menambat hati warna biru langitnya dan tidak ketinggalan biru hijau lautnya serta buih pantainya yang menghempas bersama ombak. Seolah-olah alunan alam itu begitu mengembalikan saya akan kenangan-kenangan di pantai sewaktu ketika dahulu. Terutama sekali suasana matahari terbit yang memancar cahaya jingganya, tulus membolosi awan dan kabus yang berarak malu. Seingat saya, seperti di Pantai Irama Bachok, berprogram sewaktu di maahad dalam program UBKK. Membaca doa mathurat sambil menghadap laut. Sangat cantik aturannya. Begitu mengujakan.

Alam sememangnya tidak 'lepas tangan' dalam memuji penciptanya, berzikir dengan sedayanya. Membuatkan hati-hati yang hidup merasa tenang kerana dengan berada bersama alam ciptaan Allah, fitrah bertuhan kembali menyapa. Tiba-tiba saya teringatkan kisah 3 orang yang berlainan muzik kegemaran mereka. Salah seorang dari mereka meminati muzik rock yang bingit, yang seorang lagi gemarkan dangdut dan seorang ini menyukai nasyid. Namun, tatkala mereka dibawa ke dalam hutan untuk menikmati keindahan alam, fasilitator program kembara mereka menyuruh menutup mata dan dengarkan muzik alam yang asli itu. Lalu mereka mengikuti arahan dan mendengarkan geseran daun-daun yang berguguran, bunyian unggas yang berkeliaran, aliran sungai yang menimpa batu dan mengalir deras, serta embun yang menitis di dedaunan. Mereka merasakan kesejukan cinta Tuhan, hawa ketenangan yang tidak mereka dapati di dalam muzik rock, dangdut malah nasyid sekalipun.


Mengapa alunan alam begitu menenangkan? Kerana seluruh ciptaan Allah ini tanpa lelah dan lupa berzikir kepada Allah. Bukankah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang? Tak keterlaluan jika saya katakan, tanpa sedar kita akan kembali kepada fitrah asal sebenar tujuan kita diciptakan bila bersama dan dekat dengan ciptaan Tuhan yang lain seperti laut, pantai, rimbun daunan, tumbuhan hijau hatta titisan embun sekalipun. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar peraturan dan penyusunan, tak lain tak bukan ialah ALLAH, rabb saya, awak dan kita semua di alam ini yang mengatur dan mentadbir.

Aktiviti yang kami lakukan di sini tidaklah selasak mana. Mungkin kerana sudah berada di bulan Ramadhan, maka aktiviti lebih tertumpu menambahkan amal ibadat di samping slot-slot yang membina jatidiri. Dalam banyak-banyak aktiviti dan slot, ada satu slot yang sememangnya tidak boleh dilupakan. Berada di pantai pada pukul 3 pagi. Melihat langit malam yang sangat cemerlang dan luasnya lautan. Sungguh, indahnya ciptaan Allah s.w.t.!! Pertama kali merasa masinnya air laut (selepas diarah mengambil wudhuk ketika itu). Slot muhasabah menjadi lebih terharu dengan sentuhan kata-kata dari senior. Sejauh mana kita mengira kebaikan dan kejahatan kita. Semakin banyak kelakuan tidak soleh yang dilakukan, bakal membawa pelakunya terjerumus ke dalam pasir, lemas dalam lautan masin barangkali. Begitulah ibaratnya.


 Sewaktu menanggapi semula apakah sebenarnya makna jatidiri bagi saya, saya langsung teringatkan lirik lagu Menjadi Diriku oleh EdCoustic. Walaupun maksudnya tidaklah menukilkan isi-isi tersirat mengenai makna jati diri, namun saya merasakan rangkap ini menasihati saya ;

Menjadi diriku
Dengan segala kekurangan
Menjadi diriku
Atas kelebihanku

Menjadi diri kita sendiri dengan segala kekurangan dan kelebihan yang dikurniakan. Namun, kekurangan bukan bermakna menyekat potensi kita maju ke hadapan. Siapa kata kekurangan itu kekangan? Kekangan sebenar adalah pemikiran kita, paradigma sempit kita, su'u zhon kita yang berlebih-lebihan yang kadang menghambar hamasah perjuangan kita.

Terimalah aku
Seperti apa adanya
Aku hanya insan biasa
Ku pun tak sempurna


Wahai insan yang bernama sahabat! Anda adalah sebahagian dari hidup saya, maka terimalah diri saya seadanya. Jangan berkawan dengan saya kerana ilmu dan kelebihan saya, sehingga anda tidak mampu menegur kesalahan saya. Jangan berteman dengan saya kerana saya menghiburkan sehingga anda jengkel menemani saya saat saya kurang ceria. Jangan bersahabat dengan saya kerana saya boleh dimanfaatkan sehingga anda akan merasa saya menyusahkan jika saya memohon pertolongan anda. Bercintalah dengan saya kerana Allah, kerana jalan perjuangan ini membutuhkan itu.

Tetap ku bangga
Atas apa yang ku punya
Setiap waktu ku nikmati
Anugerah hidup yang ku miliki

Anugerah kehidupan yang dimiliki kini adalah kebangaan kita atas apa yang dikurniakan Allah kepada kita. Berbanggalah menjadi seorang Islam, rasakan izzah tanpa mengabaikan intipati izzah itu sendiri. Bentuklah jatidiri kita menjadi diri kita yang unik, lain dari yang lain ; yang akhirnya mencambah keunggulan Islam dengan pelbagainya kekuatan dan kelebihan muslim.

Jadilah diriku ibarat ikan hidup di lautan masin.

Khamis, 11 Mac 2010

TM Hewi 3


tm hewi pmi yang ke3 akan diadakan Jumaat ini, 12 Mac 2010. sume siswi dijemput hadir bagi memeriahkan lagi majlis pengisian kali ini di dewan al-ghazali, msi.

Sabtu, 23 Januari 2010

TM HEWI berjaya!


Hampir seminggu menggerakkan gerak kerja, akhirnya teman muhasabah hewi berjaya dijalankan tengahari Jumaat, 22hb Januari. walaupun kali pertama dijalankan untuk tahun ni, namun sambutannya cukup menggalakkan.

kami expect maybe tak ramai yang bleh datang dewan al-ghazali, tapi disebabkan penangan flyers yang spread much and fast, hu3 asal2 sasaran 50 org jadi 130 org! kak Sut, pengarah program duk bimbang tak ramai orang datang. saya ni dok risau kalau ramai datang, flyers banyak diedarkan tapi makanan peserta bajet 50 je.


dewan Al-Ghazali memang penuh. sampai ke belakang,. tak cukup tempat. sesetengah peserta terpaksa duk bawah. ustazah Naemah pun ceramah best. terjenguk2 kami kat muka pintu dewan, nak tengok ustazah ceramah.


lebih best bila ada akak2 pmi yang buat persembahan nasyid lepas ceramah. havoc jugakla..ni ade gambar2 kat program tu..




terima kasih atas kerjasama semua ajk dan para peserta yang menyertainya. moga tm hewi pmiutm akan datang akan lebih baik. =)

Rabu, 16 September 2009

Peluang Kumpul Ramai2!




Mehla sahabat2ku sekalian..kita meriahkan jalinan ukhuwah bersama2 =)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...