Sabtu, 8 Jun 2013

Beramal Sosial

Tak sampai dua minggu, secara tak rasminya menamatkan pelajaran ijazah di kampus. Setelah berhempas pulas menyiapkan PSM a.k.a. Projek Sarjana Muda (atau Projek Sampai Mati! :P) dan assignment yang diberi pensyarah, akhirnya tiba pula peperiksaan akhir semester. Minggu-minggu akhir ni, banyak benda terpacul di ingatan. Mengenang pahit maung 4 tahun di selatan tanah air, mengejar segulung ijazah yang mungkin pada harga ilmunya tidaklah setinggi mana namun tidak sedikit masa, keringat dan wang yang dicurahkan. 

Warna-warni kehidupan yang dilalui sepanjang itu cukup banyak. Mungkin lelah juga kalau nak disenaraikan satu-satu tapi cukuplah diberitahu bahawa; tidak sekadar belajar nak dapat ijazah tapi belajar macamana nak hidup, survive dengan dunia kini yang sangat banyak cabaran. 

Dalam banyak-banyak hal berlaku dalam kehidupan, ada yang betul-betul bagi pengajaran pada diri. Terutama cara pergaulan, cara berinteraksi dengan manusia.

Zaman sekolah dulu, masalah interaksi kurang. Mungkin sebab, suasana dan biah di Maahad yang cukup tenang, aura tarbiyyah cukup kuat di situ. Aura tersebut menerobos tidak kira pada guru, pelajar hatta pak cik tukang kebun sekalipun. Bila dah habis belajar di situ dan ‘berpindah’ ke tempat lain, suasana baru dihadapi, orang baru, budaya dan pemikiran yang baru.

Di sinilah ‘masalah’ bermula. Kalau belajar subjek psikologi sosial, ada 1 topik bincang pasal loneliness. Punca utama loneliness ni berpunca dari kurangnya social skills seseorang individu. Dan banyak lagi punca lain yang mungkin dari sudut Islam, tak berapa nak betul sangat pun. Aku menyedari ‘kelemahan’ tersebut dan cuba menjadikan ‘loneliness’ tersebut sebagai satu nikmat. Hakikatnya, hidup kita tidak pernah keseorangan. Kita ada Allah, selagi mana tindakan kita selaras dengan kehendak Allah. Kalau keseorangan kita disebabkan hubungan dengan manusia bermasalah, yang paling utama untuk diperiksa adalah hubungan dengan Allah. 


Satu perkara yang aku belajar, kita tak boleh paksa orang lain berfikir macam cara kita berfikir. Latar belakang, perkara yang dilalui dalam kehidupan, ilmu dan pengalaman yang ditimba adalah aspek-aspek yang mungkin membezakan kita dengan orang lain. Item-item tersebutlah yang membentuk cara manusia berfikir. So, expect orang untuk berfikir sepertimana cara kita berfikir walaupun kita rasa cara kita berfikir diiktiraf sarjana dunia dan paling ideal dalam sejarah peradaban manusia sekalipun adalah sia-sia.

Lahir dari budaya pemikiran yang ‘pekat’ dan kental menyebabkan lahirnya satu kekurangan yang menjadi kesalahan besar dalam berhubungan dengan manusia ialah ‘aku je yang betul, kau salah’. Menyalahkan, melabel, menghakimi adalah titik tolak menjadikan orang di sekeliling tak pernah berasa selesa. Aku tidak menjadi rahmat pada orang di sekeliling.

Padahal Islam dah ajar, cara yang paling ideal untuk bergaul dengan manusia yang mungkin menyebabkan akulah manusia yang paling bodoh sebab ‘terlepas pandang’. Dan sehingga kini, aku cuba supaya tidak pernah berhenti belajar cara beramal sosial seperti yang Rasulullah ajarkan. Menerima dan kurang menghakimi, mengajar dan kurang menunjuk kesalahan, memahami dan tidak skeptikal. Agar sekurang-kurangnya keberadaan aku dengan manusia lain tidak menjadi ‘azab’.

Kadang-kadang, aku mengimpikan dunia Melayu-Islam di Malaysia yang lebih aman. Dalam aspek pendidikan misalnya, alangkah bestnya kalau kita boleh bawa balik cara orang Barat, Jepun bahkan Korea yang dipalit K-pop semata, cara mereka meladeni kemanusiaan. Ya, mungkin tidak semua namun ada beberapa sudut yang kita banyak ketinggalan. Yang paling signifikan, apa yang mereka amalkan adalah sangat sejajar dengan ajaran Islam. Cara mereka menyusun sistem pendidikan, berinteraksi dengan manusia, cara mereka address sesama mereka dalam hirearki masyarakat, bagi aku agak mengagumkan. Walaupun pada syariatnya, mereka mungkin dilihat ‘ketinggalan’ jauh namun apa yang beza sangat dengan kita kalau Islam kita mungkin hanya pada kad pengenalan, tudung, jubah dan kopiah tapi cara kehidupan kita kosong dari sunnatullah.

sekadar gambar hiasan yang banyak maknanya

Nabi tak pernah kata pada siapa-siapa pun, ‘kau salah yang ini, kau tak patut macam ni, kau ni bodoh!’ tapi nabi tunjuk cara yang betul. Nabi demo depan-depan orang yang buat salah tu. Kata-kata nabi tak pernah mencederakan perasaan orang yang di sekelilingnya. Rasulullah tegas dengan caranya yang tersendiri, yang tak pernah sekali-kali orang di sekelilingnya berasa direndah-rendahkan, dipijak atau dihina. Memang sah baginda adalah rahmat untuk sekalian alam! Bahkan cara nabi bersiasah dan berhadapan musuh pun menjadi art of war yang paling ideal dalam sejarah. 

Benda-benda ni lah yang aku rasa banyak lagi yang aku kena belajar. Pembudayaan pemikiran dan pengamalan sosial yang baik boleh melahirkan masyarakat yang lebih aman. Benda-benda ni jugak takkan terjadi kalau cara pendidikan kita tidak dibaiki selari dengan apa yang Islam nak.

Kita tidak mahu terpalit dengan isu payah menyelami hati mad'u semata. Mungkin ada sesuatu yang kita tinggalkan, yang perlu kita kutip kembali. Sunnah beramal sosial seperti ini;



2 ulasan:

  1. ibu mengandung11 Jun 2013 5:33 PTG

    suka!

    BalasPadam
  2. setuju..Latar belakang keluarga sesama kita berbeza, mujahadah sesama kita juga berbeza, jadi jangan bertindak kejam melayan setiap orang itu sama (Cerita Hati Hamba Allah,2013)
    siiru'alabarakatillah kak. :)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...