Memaparkan catatan dengan label fakta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label fakta. Papar semua catatan

Selasa, 9 November 2010

Solat Di Awal Waktu & Warna-warninya

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.


Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.

Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Maghrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Wallahualam.

- Artikel iluvislam.com

Khamis, 8 Julai 2010

hAshum.!

"Haaaa..shum!!.." saya bersin dengan sekuatnya. Selalunya akan diiringi dengan sebutan 'ma.." di belakang. Setiap pagi, tabiat bersin semakin menjadi-jadi. Kadang-kadang, tanpa mempedulikan orang lain, saya bersin sekuat hati dengan berulang-ulang kali. Hidung menjadi merah, gatal dan berair selagi tidak mandi. Sama keadaannya jika saya mula mengemas dan membuang habuk. Memang bersin tak boleh dipisahkan oleh saya. Selagi saya mampu bersin, saya akan bersin bagi melegakan hidung.

Saya selalu tertanya-tanya, kenapa bersin begitu sinonim dengan saya. Pantang bangun pagi, jumpa benda berhabuk atau alah. Katanya saya ni berpenyakit resdung. Tapi sejauh mana kebenaran itu, saya sendiri tidak pasti.

Tapi, bersin adalah salah satu pertahanan tubuh untuk mencegah masuk zat-zat asing ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan kuat melalui hidung dan mulut dengan kelajuan sekitar 161 km/jam!

Dalam Syarh Riyadhus Shalihin, Syeikh Utsaimin mengatakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan tubuh. Jadi sebab itulah setelah bersin, seeloknya kita mengucapkan hamdalah sebagai bukti syukur kita kepada Allah SWT.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika salah seorang di antara kalian bersin, ucapkan 'alhamdulillah' (segala pujian bagi Allah). Dan hendaklah orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu). Dan orang yang bersih tadi membaca doa yahdikumullahu wa yushlihu balakum (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu)." HR Bukhari

Mendoakan orang bersin adalah antara hak seorang muslim ke atas muslim yang lain. Ini berdasarkan hadis ini ;
"Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada lima iaitu menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, memenuhi undangan dan menjawab orang bersin." HR Bukhari dan Muslim

Bersin adalah salah satu nikmat Allah kurniakan kepada kita daripada nikmat-nikmatNya yang lain yang tidak terhitung.

Rabu, 2 Jun 2010

Qunut Nazilah

Selepas konvoi Life Line 4 Gaza diserang tentera Israel di perairan antarabangsa, umat Islam kembali 'sedar' akan musibah yang tiada penghujung ini dan mula menyatakan manifesto kebencian dan mengecam kebobrokan Israel. Qunut nazilah menjadi 'sandaran' umat Islam untuk mengadu dan meminta pertolongan dari yang Maha Esa. Antara kepentingan qunut Nazilah adalah ketika umat Islam ditimpa musibah.

Definisi Qunut adalah suatu doa di dalam solat pada tempat yang khusus dalam keadaan berdiri. Manakala Nazilah mempunyai pengertian malapetaka yang turun menimpa umat islam dalam bentuk gempa, banjir, peperangan, penganaiyaan dan sebagainya.

Qunut nazilah adalah antara amalan Rasulullah dan para sahabat. Rasulullah s.a.w. pernah berqunut selama sebulan berturut-turut, tanpa terlepas sehari pun dan setiap waktu solat. Baginda membaca doa qunut nazilah setiap rakaat terakhir selepas membaca  سمع الله لمن حمده . Baginda mendoakan kebinasaan ke atas puak dari Bani Salim dan doa tersebut diaminkan oleh makmum di belakangnya.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq juga pernah membaca doa qunut nazilah ketika berhadapan dengan masalah penentangan Musailamah al-Kazab yang mengaku sebagai nabi ketika itu. Namun, tiada riwayat solat hajat berjemaah diadakan.

Qunut nazilah disyariatkan dan disunatkan ketika terjadi suatu musibah. Hukumnya sunat muakkad menurut pendapat jumhur ulama'.

Imam Syafii berkata : “apabila turun musibah ke atas kaum muslimin maka disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh solat wajib.”

Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata : “ apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaklah imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang di belakangnya.”

Di samping itu, Syeikh Ibnu Taymiyyah berpendapat : “ di kalangan ulama’ ada 3 pendapat tentang qunut. Yang paling benar dari 3 pendapat itu ialah qunut disunatkan ketika ada keperluan.”

Pendapat-pendapat ini semua dari hadis-hadis yang sohih seperti hadis Anas bin Malik, riwayat Bukhori & Muslim, hadis Ibnu Abbas riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan yang menjelaskan bahawa pelaksanaan qunut nazilah oleh Rasulullah s.a.w. selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 orang sahabat penghafaz al-Quran.

Rasulullah s.a.w. telah berqunut selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 orang sahabat penghafaz al-Quran. Namun, ini tidaklah menunjukkan bahawa pelaksanaan qunut nazilah hanya terbatas selama sebulan sahaja. Qunut nazilah tetap dilaksanakan sampai musibah tersebut diangkat daripada kaum muslimin walaupun tempohnya melebihi sebulan. Ini fatwa dari Syeikh Abdul Muhsin Al-Abid, tokoh ilmuan hadis di Madinah masa kini.

Baginda melakukan pada seluruh solat wajib dan lebih mengutamakan pelaksanaannya pada solat maghrib dan subuh. Akan tetapi baginda tidak melakukan qunut setiap hari pada seluruh solat 5 waktu sekaligus (Ibnu Taymiyyah). Qunut dilaksanakan sebelum ruku’ atau selepas ruku’ di dalam solat. Namun, pelaksanaan selepas ruku’ lebih banyak dilakukan oleh Rasulullah.

Lafaz qunut nazilah pula tidak disyariatkan secara khusus. Tidak ada hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan adanya doa khusus dalam qunut nazilah. Doa yang digunakan bersesuaian dengan keadaan musibah dan keperluan mereka. Al-Qodhi ‘Iyad menukilkan kesepakatan jumhur ulama’ bahawa tidak ada doa khusus dalam qunut. Ibnu Solah pula menganggap orang yang berpendapat ada doa khusus dalam qunut adalah pendapat yang tertolak dan menyelisihi jumhur ulama’.

Bagi persoalan qunut nazilah dilakukan di dalam solat bersendirian, belum ditemui nas daripada nabi s.a.w. dan para sahabat yang menunjukkan pelaksanaan qunut secara sendirian. Malah, Ibnu Qudamah dalam kitabnya, Al-Mughni menulis : “ tidak ada pelaksanaan qunut secara individu.” Hukum ini juga berlaku pada kaum wanita, iaitu tidak disunatkan bagi mereka melakukan qunut nazilah kecuali pada solat berjemaah.

Doa qunut nazilah harus diaminkan. Disyariatkan makmum mengaminkan doa qunut nazilah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yg diriwayatkan Abu Daud. Ibnu Qudamah menegaskan dalam al-Mughni ; “ apabila imam melakukan qunut hendaknya diaminkan oleh makmum.” Perlu diingatkan bahawa pengaminan diucapkan pada lafaz-lafaz doa, bukan pada lafaz pujian (pendapat Imam Ahmad dan dibenarkan oleh Syeikh Ibnu Taymiyyah, al-Hafiz Ibnu Hajar, Syeikh Ibnu Asimin dll).

Contoh bacaan yang biasa dibaca :



Ya Allah, sesungguhnya kami meletakkanMu di leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan Mu daripada kejahatan mrk. Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah-belahkan kesatuan mereka, goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka. Wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang penuh raksasa, wahai Tuhan yang bersifat murka, Ya Allah 3x. Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, wahai Tuhan yang menggerakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab. Kalahkan mereka 3x dan menangkanlah kami ke atas mereka.!!

Rabu, 5 Mei 2010

Kelebihan Solat Berjemaah Mengikut Teori Fizik

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.

Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal. Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemaah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan. Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakaat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).


Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Jumaat, 19 Februari 2010

Mazhab Hanbali

Latar Belakang Imam Hanbal

^ Nama sebenar beliau Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal asy-Syaibani
^ Lahir di Baghdad pada bulan Rabiul Awal tahun 164H
^ Tarikh wafat pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal 241H bersamaan 13 Julai 355M ketika berumur 77 tahun.
^ Belajar di Makkah, Madinah, Syam, Yamman serta negeri-negeri yang berdekatan.
^ Mendapat pendidikan awal di Baghdad di mana beliau mempelajari al-Quran dan bidang bahasa Arab.
^ Menuntut ilmu Fiqh dan Hadith dengan Abu Yusuf (anak murid Imam Malik)
^ Mendalami ilmu Hadith lagi dengan Hashim bin Basyir di Baghdad.
^ Pernah berguru dengan Imam Syafie ketika beliau di Hijaz dan pernah berguru juga dengan Yahya bin Muayyan, Ishak bin Rahuyah .
^ Ketika berusia 15 tahun beliau mengembara mencari Hadith di seluruh Baghdad dengan mengambil secara lisan dari Sheikh-sheikh Hadis.

Perkembangan Mazhab Hanbali

^ Mazhab ini tidak begitu pesat pada awal pertumbuhannya. Hanya terbatas di kawasan Baghdad.
^ Pada awal abad ke 4 Hijrah, pengaruh mazhab mula tersebar ke Iraq.
^ Pada akhir abad ke 6 Hijrah pula, mazhab Hanbali mula tersebar ke Mesir.
^ Perkembangannya semakin pesat apabila pendokongnya adalah Ibn Taimiyyah dan Ibn Al-Qayyim.
^ Perkembangan ini dilanjutkan oleh Muhammad Abduh di Mesir dan Muhammad Abdul Wahab di Hijaz.
^ Muhammad Abdul Wahab telah mendapat perhatian Raja Abdul Aziz yang telah menguasai Najd pada abad ke 12 Hijrah dan diterima sebagai mazhab rasmi bagi kerajaan Saudi sehingga hari ini.
^ Selain itu, mazhab ini juga berpengaruh di kawasan lain seperti Syam dan Palestin.
^ Beliau banyak menumpukan masanya dalam penyebaran ilmu dan pemikiran melalui pengajaran dan penulisan. Antara anak muridnya yang terkenal ialah anaknya Salleh dan Abdullah yang merupakan periwayat Musnad Imam Ahmad.
^ Murid-muridnya yang lain ialah Ahmad bin Muhammad, Abdul Malik bin Abdul Hamid dan Ahmad bin Muhammad bin Harun dan Ahmad bin Muhammad bin al-Hajjaj.
^ Dalam bidang penulisan, Imam Ahmad telah dapat menghasilkan karya yang bernilai dalam bidang Hadis yang dikenali sebagai Musnad.

Antara tokoh-tokoh dalam mazhab Hanbali :
^ Al-Athram Abu Bakar Ahmad ibn Hani Al-Khurassi, pengarang as-Sunnah (wafat 273H)
^ Ahmad ibn Muhammad ibn Al Hajjaj Al Marwazi (wafat 275H)
^ Ibn Ishaq Al Harbi ( wafat 285H)
^ Al Qasim Umar ibn Abi ‘Ali Al Husai Al Khiraqi ( wafat 334 H)
^ Abdul Aziz Ibn Jaafar ( wafat 363 H)

Kemudian usaha-usaha beliau ini diteruskan oleh:-
^ Muwaffaquddin Ibn Qudamah - pengarang Al Mughni ( wafat 620H )
^ Syamsuddin Ibn Qudamah Al Maqdisi - pengarang As Syarhul Kabir ( wafat 682 H )
^ Syeikhul Islam Taqiuddin Ahmad Ibn Taimiyyah ( wafat 728H)
^ Al-Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah - pengarang kitab I’lamul Muwaqqi’in, At-Thuruqul
Hukmiyah fi Siyasatisy Syar’iyah ( wafat 751H).

Metodologi

Al-Quran
1) Sumber utama syariah
2) Imam Ahmad tidak akan membuat sandaran yang lain dalam menentukan sesuatu hukum jika didapati nasnya sudah jelas.

Sunnah Rasulullah s.a.w.
1) Imam Ahmad juga berpendapat bahawa Sunnah Rasulullah s.a.w adalah antara sumber hukum yang terpenting.
2) Jika sesuatu masalah itu boleh didapati dalilnya dalam al-Sunnah maka beliau tidak akan mengambilnya daripada sumber yang lain sama ada daripada amalan, pemikiran atau qiyas.

Fatwa para sahabat
1) Sumber hukum yang ketiga selepas al-Quran dan Sunnah.
2) Beliau berpendapat bahawa pendapat para sahabat yang disepakati atau pendapat sebahagian daripada mereka yang tidak disepakati di kalangan mereka, dijadikan hujah kepada hukum syara’.

Hadith Mursal dan Dhoif
1) Jika tidak terdapat sesuatu yang menolak Hadith Mursal dan Dhoif, maka beramal dengan hadis Mursal dan Dhoif lebih utama dari Qiyas.

Qiyas
1) Beliau menerima qiyas untuk menjadi sandarannya apabila tidak ada sumber yang lain sama ada daripada al-Quran, al-Sunnah, pendapat sahabat atau hadis Mursal dan hadis Dhoif.
2) Qiyas hanya digunakan dalam keadaan dharurat sahaja.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...