Persepsi awal saya tentang program ini ialah sama dengan program KAMI’10 tahun lalu yang hanya untuk mahasiswi sahaja. Saya membayangkan program yang bakal dilalui adalah lasak dan mencabar. Saya teruja untuk mengikutinya kerana pada tahun lepas tidak berkesempatan pun untuk mengikuti program KAMI’11. Saya menanti-nantikan pengisian dan aktiviti yang bakal dilaksanakan kerana kem KAMI tahun lepas sangat menarik. Jadi persepsi awal saya positif.
Namun, barang yang ‘mahal’ ada harga yang perlu dibayar. Untuk menjayakan program MUMTAZ ini, saya dan sahabat-sahabat lain bertungkus-lumus mencari dana bagi menampung perbelanjaan program. Dana bagi program ini berjumlah lebih RM 18 000. Sumbangan dari pihak Fakulti Pendidikan hanya sebanyak RM 300. Tidak dapat tidak, pengumpulan dana ini harus dijalankan bagi menampung perbelanjaan program. Pelbagai cadangan dan lontaran idea yang timbul bagi mencari dana tersebut.
Pelbagai halangan dan kekangan yang dihadapi sepanjang pengumpulan dana program ini. Bermula dari ketidaksefahaman dalam membuat keputusan menentukan jenis apakah sumbangan bentuk pencarian dana hinggalah kepada pembahagian tugas. Akhirnya, selepas dibincang dan mengambil kira keadaan, beberapa keputusan diambil. Pelajar Tahun 2 ditugaskan menjual kupon nasi beriani. Ada juga dalam kalangan pelajar sendiri yang tidak mahu menyertai program ini disebabkan kekangan kerja sebagai mahasiswa tahun akhir. Namun, selepas bertungkus-lumus mencari dana, akhirnya dana program dapat dikumpul.
Pada pagi hari bertolak, saya sudah pun bersedia dengan barang untuk ke FTI. Saya menunggu kedatangan Nadzirah mengambil saya di blok untuk ke FTI dengan keretanya. Pada pukul 7,30 pagi, kelibat Nadzirah masih belum kunjung tiba. Saya menelefonnya dan dia mengatakan dia ambil dan hantar senior-senior lain terlebih dahulu sebelum mengambil saya. Saya menunggu sehingga pukul 8 pagi dan Nadzirah belum datang lagi. Saya fikir mungkin sedang memandu ke sini. Kemudian, Kak Sarah pula menelefon saya dan bertubi-tubi bertanya di mana saya berada. Bas sudah hampir bertolak! Saya terkejut dan kemudian terus menelefon Nadzirah, dia terus menjerit kerana terlupa mengambil saya! Tanpa berlengah, Nadzirah memecut ke kolej mengambil saya dengan motorsikal kepunyaan senior. Paling mengkagetkan ketika perjalanan ke FTI, seorang polis trafik cuba menahan kami kerana kedua-duanya tidak memakai topi keledar! Kami tidak menghiraukan arahan polis tersebut malah terus memecut dengan lebih laju. Kedengaran suara kuat polis trafik itu bertempik dari belakang, “Topi keledar!” :D
Sampai saja di sana, kami terus bergegas menaiki bas. Keadaan hiruk-pikuk seketika ketika kedatangan saya. Senior-senior menyangkakan saya terbangun lambat dan hampir terlepas untuk ke program. Terasa sangat lawak dan hampir-hampir memecahkan perut saya, Hampir-hampir tidak menyertai program. Hampir-hampir, sebab bas memang betul-betul sudah mahu bertolak.
Kami sampai di Taman Negeri Endau-Rompin waktu tengahari. Turun saja dari bas, berjalan pula sambil membimbit barang masing-masing sejauh 2 kilometer. Selepas berjalan, barulah sampai ke tempat perkhemahan dan terus ke dewan untuk memulakan program. Di dewan, program bermula dengan taklimat daripada Pok Nik.
Semasa program berlangsung, Pok Nik dari Rebutia D’Perkasa yang memandu sepenuhnya program kami. Pelbagai aktiviti yang sebelum ini saya rasa tidak berkesempatan dan berpeluang merasainya akhirnya dapat dirasai di Taman Negeri Endau-Rompin ini.
Ketika hari pertama sampai di sana, kami sudah pun ditugaskan dengan tugasan memasak dalam tanah, menggunakan kayu api dan sebagainya. Pelbagai teknik yang keluar semata-mata nak menghidupkan api dan pada masa yang sama pelbagai gelagat yang dapat dilihat demi menyiapkan makan malam pada petang tersebut.
Semua aktiviti menyeronokkan. Dari hari pertama sehinggalah hari terakhir program. Banyak pengalaman baru dapat ditimba malah dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara kami dengan senior-senior yang sebelum ini tak pernah bersua wajah pun. Kami dibahagikan kepada kumpulan dan setiap ahli kumpulan terdiri daripada berlainan tahun. Semangat kerjasama yang diterapkan menjadi sangat signifikan.
Satu lagi perkara menarik yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani program ini ialah penerapan konsep syura dari awal program lagi oleh Pok Nik. Sistem syura yang cuba dijalankan ini mendidik dan memberi pengalaman serta sedikit sebanyak memberi gambaran tentang bagaimana rupa syura itu. Semua keputusan yang diambil samada pemilihan komiti yang akan menggerakkan peserta dan aktiviti serta tentatif selain aktiviti yang disediakan dibincangkan secara syura. Walaupun masih di tahap merangkak-rangkak, namun usaha dan komitmen semua peserta wajar dipuji.
Selain daripada konsep syura tersebut, kem ini juga sebenarnya lebih bertujuan membina jati diri kami sendiri sebagai bakal-bakal ustaz dan ustazah yang akan mengajar pelajar di sekolah. Ada satu slot yang dikendalikan oleh ustaz dan ustazah sendiri iaitu sesi tazkirah yang disampaikan dalam kalangan kami sendiri. Mana-mana di antara kami akan dipilih untuk menyampaikan tazkirah di hadapan mengikut keadaan dan gambaran situasi yang diberikan oleh ustaz dan ustazah. Tanpa disangka, sebenarnya masing-masing mempunyai bakat terpendam. Pelbagai teknik dan gaya yang digunakan bagi menarik perhatian audiens. Terbukti, pelajar SPI mampu dalam hal public speaking ini.
Pada malam pertama berada di tempat program, kami berjalan dalam hutan dipimpin oleh renjer di sana. Menikmati keindahan alam pada waktu malam ternyata lebih menyeronokkan. Unggas dan tumbuhan hutan nampak lebih terang bila disinari cahaya bulan. Sepanjang jungle night itu, kami berjalan sambil berbaris panjang dan saling bantu membantu di perjalanan. Beberapa orang dalam kalangan kami terjatuh dan juga pengsan sebab kekurangan tenaga. Walaupun tidak sampai sehari berada di Taman Negeri Endau-Rompin ini, tenaga memang dicatu. Tidak hairanlah kalau ada yang awal-awal sudah ‘collapse’.
Sebelum jungle treking hari kedua |
Keesokkan harinya, kami jungle treking pula. Jungle treking ini mengambil masa 6 jam. Sampai di tengah-tengah perjalanan, kami berhenti untuk memasak dan makan tengahari. Cabaran pada kali ini adalah hujan yang turun dengan lebat ketika kami memasak. Pertama kali rasanya memasak nasi dan maggi dalam buluh. Kemudian dibakar seperti membakar lemang. Sejuk, lapar dan apalagi. Walaupun masakan tidaklah sesedap mana, tapi kerana perut sudah lapar, makanan tetap dihabiskan.
Usai memasak dan mengemas barang, kami meneruskan lagi perjalanan jungle treking. Perjalanan kali ini terasa lebih jauh dan meletihkan. Halangannya makin banyak, becak, lumpur, kayu dan pokok tumbang melintang diharungi bagi mencapai destinasi. Pelbagai kenangan melucukan, gaya jatuh dan sebagainya antara kami. Tersenyum kembali bila diingat-ingat. Setelah mengharungi perjalanan hampir 2 jam yang meletihkan itu, akhirnya kami sampai di sebuah air terjun yang sangat mengujakan! Tanpa disedari segala keletihan dan penat dirasai tadi hilang begitu sahaja. Seolah-olah seperti itulah perjalanan hidup kita.
Air terjun yang cantik. :) |
Solo night pada malam kedua, kami ditempatkan secara individu di dalam hutan. Jarak antara kami jauh dan hanya diterangi cahaya bulan yang sedang mengambang. Tujuan utama aktiviti ini adalah mengambil masa memuhasabah diri. Namun, dek kerana keletihan, saya hanya mampu bertahan selama 30 minit sahaja dan kemudian terlelap sendiri.
Aktiviti air yang menyeronokkan |
Aktiviti keesokkan paginya lebih menyeronokkan. Bermain air di sungai yang berdekatan dengan tapak perkhemahan kami. Sebelum memulakan aktiviti, kami diberi taklimat terlebih dahulu tentang keselamatan dan sebagainya. Aktiviti yang dijalankan ialah menaiki rakit, river-crossing, berkayak dan sebagainya. Saya pula berpeluang berkayak. Apa bagusnya aktiviti ini? Sungguh, ia membantu meningkatkan tingkat keyakinan diri. Kita akan rasa lebih yakin selepas menjalankan aktiviti sebegini.
Bergambar selepas mengemas untuk pulang |
Selepas majlis penutup pada hari terakhir, kami berkemas menyimpan barang masing-masing dan juga barang-barang program. Walaupun terasa sangat keletihannya, kerja-kerja terakhir sebelum meninggalkan Taman Negeri Endau-Rompin harus dilaksanakan.
Harapan saya untuk program akan datang ialah mungkin pihak FTI boleh anjurkan lagi program sebegini dan dilaksanakan di tempat yang lebih mencabar lagi. Banyak manfaatnya kepada pelajar sekiranya dilaksanakan lagi. Ia mengajar nilai kerjasama yang tinggi, persaudaraan dan komitmen.
Komen saya tentang pengiring, cukuplah segunung terima kasih dan penghargaan yang tak terhingga. Terasa hangatnya ukhuwah yang dijalinkan antara pensyarah, terutamanya Dr. Arief Salleh dan Dr. Farahwahida. Kerendahan hati dan semangat murabbi ustaz dan ustazah dapat dirasai oleh kami. Pengiring-pengiring sentiasa bersama kami dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Assalamualaikum,
BalasPadamYang, syukran atas entry ini. Kak Da tak buat sbb tak sempat...syukran, memang sudah lama menanti.
Part yang solo night tu kan..-> kita serupa ^_^