Hari ini saya ingin bercerita. Kisah pengalaman saya dulu,. di waktu sekolah, di maahad yang banyak membentuk jati diri saya sehingga jadi insan seperti hari ini. Menjadi antara orang yang sedar akan hakikat membina jambatan hati antara sesama insan adalah salah satu rencah dalam hubungan antara seorang daie dan mad'u, antara seorang guru dan anak muridnya, antara seorang sahabat dengan sahabatnya DAN antara seorang senior dan juniornya.
Semasa di tingkatan 4 dulu, saya dilantik menjadi penolong ketua bilik bagi bilik 5A, sebuah bilik atau dorm yang menampung hampir 40 orang pelajar lebih. Semasa di tingkatan 5, saya jadi ketua bilik di bilik 2A yang sama saiz dan kuantitinya dengan bilik 5A. Pelajar-pelajar yang menghuni dorm tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, tingkatan, sikap dan 'geng'. Seingat saya, pelajar asrama memang terkenal dengan 'geng'nya dan semangat ukhuwah sesama mereka. Walaupun dari pelbagai fahaman dan pendapat, kami tidak mengabaikan perpaduan sesama 'umat'., pada waktu itu.
Amanah sebagai pemantau atau dalam erti kata lain menjaga kebajikan, disiplin, kebersihan, dan sewaktu dengannya jatuh ke atas pundak ketua bilik dan penolongnya. Di samping itu, tidak ketinggalan juga dengan pembentukan tarbiyah untuk mereka,. mengambil berat keperluan mereka dan melayani mereka seperti adik beradik sendiri. =) Kenangan di sini sememangnya terpahat dan takkan hilang rasanya.
Namun, tak ketinggalan juga berhadapan dengan pelajar bermasalah (tidaklah bermasalah sangat pun tapi lebih kepada meladeni jiwa remaja yang sedang memberontak). Jiwa-jiwa seperti harus (la budda) dilayan sehalus mungkin,. tidak terlalu ditekan atau mengarahkan mereka mematuhi peraturan sedia ada, tapi membantu mereka mengenal potensi diri dan pencipta yang pentingnya.
Di bilik 5A, saya berkenalan dengan seorang junior bernama Farah (bukan nama sebenar) yang muda dua tahun dari saya. Kemudiannya, kami sebilik pula pada tahun seterusnya di bilik 2A. Farah yang saya kenal adalah seorang yang sangat bijak, cantik dan mempunyai nilai tambah yang tersendiri ; antaranya sangat fasih berbahasa Inggeris kerana pernah berada di USA sewaktu kecil dahulu, mengikut bapanya melanjutkan pelajaran di sana. Farah agak kebaratan sedikit ; dapat dilihat pada citarasanya, pemikiran, minat. Ayahnya seorang saintis dan berfikrah agama. Berasal dari Kuala Lumpur dan berada di maahad bukan ke atas kehendak dirinya sendiri. Biasanya pelajar yang dipaksarela berada di maahad antara pelajar yang 'memberontak' jiwa remaja mereka, kerana tidak dapat dinafikan peraturan di sekolah agama lebih-lebih lagi dikelolakan oleh kerajaan Kelantan adalah tidak 'ngam' dengan jiwa mereka.
Hobi saya dan Farah adalah sama iaitu membaca buku. Selalu saja dia menyelongkar rak buku saya, mencari apa-apa bahan menarik untuk dibaca dan saya sendiri tidak ketinggalan menanyakan buku baru setiap kali dia pulang dari keluar Kota Bharu atau dari Kuala Lumpur selepas bercuti, terutama bahan bacaan bahasa Inggeris. Saya sangat seronok berbual dengan Farah, sebab dia betul-betul mencabar minda dan cara penyampaian saya. Dia bukanlah sebarangan orang untuk menerima bulat-bulat apa yang kita perkatakan, kerana tidak dapat tidak perkara itu harus jadi darah daging perbuatan kita terlebih dahulu. Cakap memang kena serupa bikin.
Dengan Farah, saya banyak ajak dia berfikir, berdiskusi, berkongsi buku dan risalah, bercerita pengalaman, bertukar pendapat dan pandangan dalam apa saja isu. Sekurang-kurangnya darah panas yang mengalir dalam diri dapat disejukkan dengan hembusan peringatan mengenai Allah, Nabi Muhammad dan hikmah Islam meletakkan peraturan agar nafsu dapat dikandang (tengok filem Sang Murabbi).
Dia banyak mempersoalkan kembali apa-apa saja yang saya cuba utarakan. Masih segar di ingatan saya, bagaimana kami berhujah mempertahankan akal fikiran masing-masing. Sesungguhnya, agama bukan ditanggapi dengan akal. Jangan sesekali mencerna agama dengan kudrat akal fikiran kita yang terbatas ini. Banyak persoalan agama yang dia tanggapi dengan akal. Kenapa kena pakai tudung, kenapa kena solat, kenapa begitu, kenapa begini. Ah, banyak lagilah persoalan yang dia utarakan. Sedikit sebanyak mengajar saya supaya bercakap dan berhukum pada Al-Quran dan sunnah Rasul. Dari situlah saya belajar menangkis tuduhan dan anggapan palsu terhadap susunan Islam yang indah ini.
Setiap kali persoalan Farah yang tidak dapat saya jawab serta merta, saya akan meminta dia supaya 'menunggu' dulu supaya dapat saya rujuk kepada ustaz ustazah di sekolah di samping 'search' di loker buku dan maktabah sekolah. "Okey Farah, hold dulu. Nanti k.Yang tanya ustaz." Itulah ayat yang selalu saya ucapkan setiap kali perbincangan kami diakhiri tanpa kesimpulan yang kukuh.
Terkesan dengan sikap Farah, saya banyak berfikir. Di samping berfikir persoalan-persoalan dan cara untuk menyampaikannya dengan hikmah, saya juga berfikir bagaimana cara untuk mengubah caranya berfikir. Landasan fikirannya bakal membawa dia kepada aliran fikiran lojik semata-mata tanpa mempedulikan keterbatasan akal manusia. Bagus juga, kerana kita ikut agama bukan ikut-ikut. Tapi, ada bahayanya jika semata-mata bersandar hukum pada akal saja.
Semasa saya di tingkatan 6, saya tidak lagi tinggal di asrama dalam. Ustaz Lokman meminta saya menjadi musyrifah di asrama luar. Kami tidak lagi bertemu seperti biasa. Namun, cerita-cerita yang kurang enak tentang dirinya mula kedengaran di telinga saya. Saya tidak sempat bertemu dengannya sehinggalah dia dibuang sekolah kerana melakukan kesalahan yang tak dapat diterima, ditambah rekodnya yang terdahulu yang sudah banyak tercatat pelbagai kesalahan.
Selepas meninggalkan alam persekolahan, saya cuba menghubunginya. Mahu tahu perkembangan dia sekarang selepas dia meninggalkan maahad. Saya cuba bertanya kepada teman-teman rapatnya yang berada di sekolah. Khabarnya, dia berpindah ke sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Namun, ada khabar yang lebih menyedihkan ; Farah sudah mula keluar rumah tanpa bertudung!
Masya Allah... saya mengucap beberapa kali semasa mendengar berita itu dari mulut teman rapatnya. Dahla cantik...hati saya berkata-kata. Farah, kenapa jadi macam ni.. tak ingat dah ke apa yang kita bincangkan dulu. Kenapa Allah syariatkan menutup aurat, dan sebagainya. Tanpa dipinta, hati saya sebak dan air mata mula menakung di tubir mata. Dan jauh ke dalam hati saya, saya sayang Farah! Tanpa sempat, saya ucapkan sayang kepadanya, dia sudah meninggalkan saya. Sayang sebagai saudara seagama, sayang kerana dia saudaraku, sayang kerana Allah!
Cukup saya sesali. Sikap saya! Sikap saya kerana meninggalkan dia selepas meninggalkan asrama! Saya tidak follow up, saya tak mahu mendengar dengan baik masalah dan persoalan dia ketika dia berjumpa dengan saya awal tahun dulu.
Sewaktu ber'jalan-jalan' di fb, saya terjumpa namanya di fb. Gambar profilnya terpampang. Dan seperti yang dikatakan, benarlah dia sudah tidak bertudung. Sungguh! Hidayah itu bukan milik kita, mutlaknya dimiliki Allah. Saya merenung gambarnya. Hati saya terusik, sedih. Di depan laptop itu juga saya menangis serta merta berdoa ; memohon Allah membuka pintu hatinya pulang ke pangkal jalan!
Kehidupan hari ini adalah pengajaran pada fasa kehidupan yang lalu. Saya cukup belajar dari pengalaman ini. Sehingga hari ini, jika saya teringatkan Farah atau apa-apa saja yang mengingatkan saya pada dia, terdetik doa untuknya. Ya Allah, kurniakan hidayah buat adikku, bantulah dia dalam mencari petunjuk Mu,.. bantulah dia untuk mendekatiMu.. Ya Allah..
saya doakan farah berubah...insyaAllah
BalasPadaminsya Allah.. sme2 kte doakn utk dia.. moga Farah nnti bakal jd antra pejuang agamanya... besar faedahnya pd Islam,. kalau dia boleh jd seorg daie..masya Allah..
BalasPadamk.yang, farah dah ke mesir pun bln mac 2011. terjumpa dengan adiknya masa muktamar di tmn melewar.
BalasPadam