Selasa, 22 Disember 2009

Hidayah tu kita punya ke?

Tadi tengahari hujan turun mencurah dengan lebatnya. Selepas menunaikan solat zuhur, saya berteleku semula di katil menghabiskan sisa-sisa bacaan yang tertinggal dalam buku ‘Aku Terima Nikahnya’ karya Ustaz Hasrizal. Buku itu saya hadam tanpa henti sejak pagi tadi lagi dari bacaan terhenti semalam sampailah ke muka surat terakhir. Betul-betul mengajar erti hidup pada memberi.

Petang kelmarin saya bersama rakan sekumpulan menelaah nota-nota tentang Mazhab Hanbali untuk kami buat ringkasan dan bakal dibentangkan dalam kelas Nusus Fiqqiyah yang akan datang. Dalam perbincangan ringan itu yang hanya sekadar menyusun maklumat yang sedia ada, kami berbasa-basi bercerita tentang kelas semester kali ini yang tidak berkesudahan ‘jodoh’ sekelas dengan pelajar sains sukan. Boleh dikatakan semua subjek fakulti, sarjana pendidikan Islam dipadankan satu seksyen dengan sains sukan. Kalau semester lalu, hanya satu subjek saja dan itu saja sudah cukup memeningkan kepala kami menelan segala ‘kemeriahan’ kelas. Pertembungan yang sengaja dilakukan; seolah-olah dua kumpulan manusia yang datang dari planet berlainan berkumpul!

Lebih mengharubirukan, pelajar lelaki ssk lebih ramai dan spi pula rata-rata terdiri dari ustazah2. Faham-faham sajalah. Pertembungan dari segi kefahaman, pengetahuan, pendirian. Kelas selalu gamat dengan usikan, suara-suara nakal selalu saja berkumandang; tidak kira lecturer ada ataupun tidak. MasyaAllah, Allah saja yang tahu bagaimana. Saya yang sememangnya ‘syadid’ dan dulu bernafas dalam ruang udara yang ‘segar’, sedikit lemas dan rimas. Kami lebih memilih untuk membatu pabila mahasiswa banyak bercakap, menyampuk, dan kadang-kadang melakukan tindakan yang keterlaluan yang boleh mencabar kesabaran. Pedulikan saja mereka! Itulah kata-kata yang selalu memujuk hati yang tengah panas.

Namun, bila kami diberi peluang untuk bercakap dalam kelas ketika pensyarah menganjurkan forum atau perbincangan, kami gunakan sebaik-baiknya bagi memulangkan sepuasnya paku buah keras! Mereka biasanya akan terdiam tetapi itu bukan menghentikan kerenah mereka. Namun itulah saja kesempatan yang boleh sekurang2nya untuk memberikan sedikit kesedaran selain forum di dalam elearning.

Di sinilah survival sebenar. Sejauh mana kita melihat mereka dengan kacamata seorang saudara seislam lebih-lebih lagi kesedaran Islam itu kita garap. Di sini juga medan untuk berjinak-jinak dengan masyarakat yang mungkin mereka2 ini (ssk) hanyalah 0.1 peratus saja dari kebejatan di luar sana. Untuk meneruskan survival sebagai muslim ini, kita sendiri yang seharusnya menatap terlebih dahulu sirah-sirah atau kisah teladan yang boleh diambil pengajaran.

Seringkali juga hati saya melepaskan geram dengan memandang sinis kepada mereka. Namun, itu bukanlah tindakan bijak malah dilarang sama sekali. Malah tiba-tiba saya teringat akan satu teguran adik lelaki saya. Ketika itu saya menyatakan kejengkelan terhadap perempuan yang memakai pakaian menjolok mata di jalanan.

“ Ya Allah, tak takut neraka diorang ni? Pakai macam ni tak ingat Allah ke?”. Kata saya sebagai tanda reaksi terkejut dengan pemakaian gadis tersebut yang jarang-jarang boleh dilihat di bandar Machang sewaktu 3 tahun yang lalu. Farid pun menegur keras saya dengan persoalan juga.

“Kita cakap macam tu kat dia, kita ni confirm ke masuk syurga? Boleh jamin ke hidayah yang kita dapat sekarang boleh kekal sampai bila-bila?”. Saya terkedu seketika. Terpukul.

“Kita cakap macam hidayah tu kita yang punya. Mana tahu kalau dia dapat hidayah macam kita dan faham apa yang kita faham, dia lebih baik dan berakhlak dari kita.” Adik saya menyambung lagi. Saya termalu sendirian dengan Farid yang lebih faham konsep hidayah dari saya.

Ya, jangan sesekali memandang rendah kepada orang yang mungkin kurang faham Islam dan tidak mengamalkan Islam sebaiknya. Sebenarnya, itulah tanggungjawab kita menyampaikan apa kita faham ini dengan melaksanakan amar maaruf nahi mungkar kepadanya. Membiarkan orang lain terus menerus melakukan kejahatan sedangkan kita tahu itu adalah maksiat, seolah-olah mahu diri kita saja yang masuk syurga. Bbaik sore. Ingatlah, Allah tidak menilai keberhasilan kita dalam menyampaikan kebaikan, tapi usaha-usaha kita dalam menyampaikan yang baik itu. Dengan ukuran itulah Allah menilai.

Ketika singgah di cafe, mata saya tertangkap ke kaca televisyen. Rancangan Al-Kuliyyah TV3 berlangsung dan seorang panel sedang bercakap tentang bagaimana mahu mengubah seseorang yang sudah lanjut usia kembali kepada cara hidup Islam. Saya menonton sebentar. Beliau berkata, usaha harus diteruskan. Maksudnya memberi nasihat tanpa henti, mengajak ke arah kebaikan. Tidak boleh putus asa. Beliau juga menekankan hati kita mesti menyatakan keazaman untuk seseorang itu berubah. Kita tidak boleh berputus asa dalam berusaha mengajaknya kepada Islam. Hati kita harus mengatakan bahawa insan ini boleh berubah, masa masih belum terlambat lagi dan berdoa tidak putus supaya Allah membukakan pintu hatinya untuk menerima seruan maaruf. Tidak guna memberi nasihat, tapi dalam hati kita menyatakan usaha dakwah ini bakal jadi sia-sia kerana percaya dia takkan berubah. Persoalannya, siapakah kita untuk menetapkan hidayah bagi orang lain???

“Jadilah engkau pema'af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma'ruf, serta berpalinglah (tidak menghiraukan) daripada orang-orang yang jahil.” Ayat 199, Surah Al-A’raf

1 ulasan:

  1. assalamualaikum,yang..chaiyok2!!!!!!!!!!!

    disinilah kita sedar sejauh mana iman kita sebenarnya...aku tahu mu mesti boleh..biarkan mereka...be urself..mu takkan rugi apa2...

    salam mujahadah dari aku..

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...