Khamis, 22 Oktober 2009

Murtad ; Jalan Penyelesaiannya?


Dalam menghadapi kehidupan serba maju dan arus zaman teknologi yang serba canggih ini, kedudukan agama Islam sebagai anutan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu khususnya semakin lama semakin tergugat dan semakin ramai umat Islam yang murtad. Tanpa kita sedari, sudah banyak ancaman dari luar bahkan semakin bercambah; yang mempengaruhi umat Islam supaya meninggalkan agama Islam. Pengaruh luar ini telah meresap ke dalam kehidupan remaja terutamanya dan menyebabkan mereka mempunyai jatidiri, cara hidup dan pemikiran yang sama sekali bertentangan dengan konsep aqidah dan islam itu sendiri. Lama-kelamaan, mereka akan semakin jauh dari Islam dan seterusnya murtad. Masalah murtad tidak hanya berlaku dalam kalangan dewasa malah lebih teruk lagi remaja yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun sudah pun terjebak ke kancah pencabulan aqidah ini. Bahkan sudah ramai menukar agama dengan alasan berbagai faktor. Antara faktor berlakunya gejala murtad ialah lemahnya pegangan agama, jahil tentang aqidah dan hukum-hakam Islam, terpengaruh dengan tawaran kebendaan dan faktor perkahwinan.

Murtad bermaksud meninggalkan atau "keluar" dari sesuatu agama. Orang murtad boleh beralih kepada agama yang lain atau memilih untuk kekal tanpa agama (ateis).Terdapat juga orang yang murtad tetapi masih mengaku kekal dalam agama yang sama. Ini terjadi apabila seseorang itu menolak sebahagian asas kepada agama mereka tersebut tetapi patuh kepada asas yang lain. Dalam Islam, mereka yang mengaku kekal dalam Islam tetapi melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam dianggap sebagai musyrik.

PENDEKATAN DAKWAH YANG STRATEGIK

Jalan penyelesaian yang dirasakan dapat membendung gejala murtad ini ialah penghayatan Islam harus diterapkan dengan segera dalam kehidupan generasi Muslim. Penerapan Islam ini harus diberi perhatian oleh pihak berwajib terutama Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melaksanakan penghayatan Islam dalam kalangan pelajar Islam di seluruh negara dengan seefektif yang mungkin. Ini kerana rata-rata remaja Muslim keluar daripada agama Islam bukan kerana mereka percayakan kebenaran agama-agama lain, tetapi hanyalah sekadar mereka tidak gemar untuk mengamalkan Islam dan merasakan Islam memberi kongkongan dalam kehidupan mereka. Jiwa-jiwa remaja kini haruslah dididik dengan keindahan Islam yang menganjurkan umatnya dengan kebaikan.

Di sinilah sebenarnya peranan golongan agama dalam menambat hati para remaja agar mereka terpikat dan terpaut serta ingin terus berada dalam kebahagiaan beragama Islam. Seorang agamawan seharusnya mencuba pelbagai cara memperkenalkan dan menerangkan keindahan dan kecantikan Islam yang menghadiahkan pelbagai rahmat dan kemudahan serta jaminan kehidupan dunia dan akhirat.

Jika melihat kepada pendekatan agama Kristian misalnya, mereka menarik anak-anak muda dengan menceritakan kebaikan beragama Kristian, mengutarakan betapa pemaafnya Jesus dalam mengampunkan dosa umatnya dengan adanya paderi dan lain-lain seruan dan slogan yang menarik serta menyejukkan hati remaja-remaja yang kosong hatinya dari kasih sayang dan pengisian hidup. Mereka berani mendekati para remaja yang dikatakan bermasalah ini dengan menawarkan pelbagai bentuk bantuan. Walhal kita sudah mengetahui kondisi Islam adalah satu-satunya agama yang diterima Allah s.w.t. Bukanlah mendengarkan kepada remaja dengan kata-kata yang boleh mengekang mereka dari menghayati Islam seperti ‘haram tu, berdosa nanti Allah laknat kamu’ dan pelbagai lagi perkataan yang boleh mematahkan motivasi mereka mencari pegangan hidup yang sebenar. Golongan pendakwah harus mengubah cara pendekatan bagi menggambarkan Islam yang cukup senang dan mudah serta menenangkan.

TUNTUT ILMU AQIDAH YANG BETUL

Tidak ketinggalan juga peranan kita sebagai muslim menuntut ilmu Islam dengan kaedah yang betul dan sahih kerana kejahilan dalam ilmu agama adalah satu punca besar dalam kes murtad ini. Namun, perlulah difahami di sini ilmu yang dituntut itu haruslah ditata dan dihayati agar pengamalan turut diiringi supaya tiada lagi kes seperti Aisyah Bukhari yang memang diakui penuntut ilmu agama namun murtad hanya kerana mencintai lelaki bukan beragama Islam. Kejahilan yang sebenarnya berlaku kepada umat Islam ialah kejahilan terhadap ajaran Islam yang sahih serta mereka dijahilkan daripada mengetahui cara pengamalan Islam yang sebenar sehingga tidak mengetahui keberkesanan agama Islam sebagai panduan hidup yang dapat membimbing manusia menuju kebahagiaan hidup. Walaupun sebenarnya mereka sudah mempunyai asas dan ilmu agama yang sebetulnya, tetapi disebabkan kurangnya penghayatan dan keyakinan terhadap Islam menyebabkan mudah terpesong dan seterusnya murtad.

Sudah menjadi lumrah manusia; bahawasanya iman itu akan bertambah dan akan berkurang iaitu ada naik turunnya. Maka hendaklah mendalami ilmu yang boleh meningkatkan iman seperti ilmu yang menceritakan kebesaran Allah dalam bidang sains misalnya ataupun kisah-kisah umat-umat terdahulu, golongan salafussoleh dsb yang boleh memberi kita pengetahuan dan pengajaran serta teladan. Begitu juga penerangan di dalam Al-Quran yang menceritakan proses pembentukan janin dalam rahim yang sudah diwahyukan 1400 tahun dahulu sebelum terbukti benar dengan kajian sains pada zaman ini dan sunnah Rasulullah seperti panduan baginda dalam perubatan dan nasihat-nasihat baginda berkenaan ilmu kesihatan. Nah, di sini sudah cukup membuktikan Islam adalah agama yang syumul dan harus dianuti! Tingkatkanlah iman dengan membentangkan pengetahuan yang terkandung di dalam kitab suci serta sunnah yang mulia sehingga manusia semuanya menjadi yakin dengan kebenaran Islam dan keaslian agama ini daripada Allah.

KEPENTINGAN PERUNDANGAN ISLAM

Sebelum kita terjun kepada isu hudud atau undang-undang Islam yang memberi hukuman bunuh bagi orang Islam yang murtad, seharusnya kita kaji semula kelemahan para daei dan golongan agama. Ya, pada zaman Rasulullah pun sudah dicatatkan bagaimana hukuman kepada seorang lelaki Yahudi yang memeluk Islam dan kemudian memeluk kembali agama asalnya. Kemudian diperintahkan Rasulullah supaya dibunuh lelaki itu. Tetapi adakah sama pendekatan yang dilakukan Rasulullah dalam menyeru manusia kepada kebenaran dengan penuh kelembutan, sabar dan ikhlas dengan cara para duat kini? Seharusnya Yahudi itu dibunuh selepas mengetahui kebenaran Islam namun masih menafikannya kerana hitamnya hati. Setelah ditutup segala peluang dan potensi yang boleh menyebabkan berlakunya murtad, barulah boleh disandarkan hudud sebagai ancaman terakhir. Perkara ini haruslah diselesaikan dengan pencegahan, bukan sudah terhantuk baru terngadah!

Tidak dapat dinafikan, pelaksanaan undang-undang harus dijalankan bagi membendung gejala murtad ini. Islam menetapkan bahawa negara perlu menghukum orang-orang murtad dengan hukuman bunuh sekiranya mereka enggan bertaubat. Murtad merupakan penghinaan kepada Allah dan Islam, maka selayaknya mereka dibunuh. Namun sebelum hukuman boleh dijalankan, harus ada usaha pencegahan. Dan ini hanya boleh dilakukan melalui sebuah negara Islam yang menerap, memelihara dan mengembang aqidah dan syariah Islam secara total.

Dalam perlembagaan misalnya, merujuk kepada akta 4 (1) FC , undang2 tertinggi (supreme law) di Malaysia ialah perlembagaan persekutuan (federal constitution) yang membawa makna Al-Quran dan Sunnah bukanlah undang-undang tertinggi di Malaysia, bahkan kuasa mahkamah syariah hanya terbatas kepada sifir 3/5/6 iaitu hukuman maksima yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah ialah imprisonment, 3 tahun dan denda sebanyak RM 5000 serta 6 sebatan. Sedangkan mengikut undang-undang Islam, hukuman bagi seseorang yang murtad (jika dia tidak mahu kembali kepada Islam) ialah bunuh! Persoalannya, bagaimana mahkamah syariah mahu menjatuhkan hukuman bunuh sedangkan untuk memenjarakan tertuduh lebih daripada 3 tahun pun tidak mampu?

Kesimpulannya, selagi Perlembagaan Persekutuan menjadi perlembagaan tertinggi di Malaysia iaitu bukan Al-Quran dan As-Sunnah dan selagi Mahkamah Persekutuan yang menjadi mahkamah tertinggi di Malaysia bukannya Mahkamah Syariah maka selagi itulah maruah Islam akan dipermainkan, orang Islam akan sesuka hati menukar agama, dan banyak lagi kes-kes seperti Hartina, Lina joy (Azlina Jailani) Zuraidah bt Hassan (Priyathaseny) akan timbul dan dibicarakan. Sementara itu maruah Islam akan terus dipersendakan dan diinjak oleh si kuffar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...