Selasa, 3 November 2009

Belajar Dari ADIK...


Adik merupakan adik bongsu saya. Antara insan yang saya kagumi dalam keluarga selepas ibu saya. Walaupun ber’title’ adik bongsu, dia bukanlah manja dan cengeng seperti anak bongsu yang lain. Dia sangat tabah mengharungi kehidupan seharian dengan berbekalkan azam dan azimat yang cukup tinggi.

Masih basah lagi dalam ingatan saya, bagaimana seorang budak perempuan berumur enam tahun menerima kematian bapanya yang hanya dikenali dengan panggilan saja, bukan dengan kasih sayang. Dia merengek-rengek pada ibu saya untuk pulang ke rumah pada hari itu (hari sabtu) memandangkan esok adalah hari persekolahan di tadika. Pengebumian dijalankan di rumah datuk kerana arwah abah yang sakit pada masa itu dijaga oleh saudara mara di kampung.

Dia tidak mengerti mengapa pada hari itu begitu ramai sekali orang yang berkunjung ke rumah datuknya. Dia tidak memahami mengapa orang di sekelilingnya mengalunkan Surah Yasin di ruang tamu. Dia juga bingung mengapa si bapa dari tadi tidak membuka mata dan tidak sedarkan diri walaupun orang semakin ramai dan ‘bising’ mengganggu lena. Sesekali terdengar, ‘bila kita nak balik rumah?’, atau ‘kenapa ramai sangat orang hari ni?’. Dan tiba-tiba dia tersedar satu perkara luar biasa. Kenapa diselubung wajah abah? Nanti abah lemasla. Kenapa abah tak sedar-sedar walaupun wajah dan badannya disiram air? Mengapa dibungkus tubuh abah dengan kain putih? Eh, mengapa pula tiba-tiba orang ikat badan abah ketat-ketat? Eh ma, kak yang, kenapa orang tutup muka abah? Kenapa orang tu ikat kepala? Uhuk, abah nak pegi mana ni?? Itulah soalan-soalan yang saya dan ibu tidak mampu menjawabnya.

Sejak peristiwa itu, dia berubah menjadi pendiam dan pemendam rasa. Menjadi pesimistik dan kadangkala berkeinginan membunuh diri. Saya yang sedar perubahan itu banyak meluangkan masa dan mendekatkan diri padanya. Pada sayalah dia meluah rasa. Bahaya menjadi pemendam rasa. Benda yang disimpan ada had tempohnya. Tiba masa boleh meletus keluar menjadi raksa. Saya ingat bahawa adik memang tidak pernah berkesempatan merasa kasih sayang abah kecuali sekejap saja. Dan sebelum kematian abah, banyak peristiwa berlaku menyebabkan dia terkejut dan menjadi pendiam. Adik membesar dalam kehilangan itu.

Namun, dalam masa yang sama dia berubah menjadi matang dan berfikiran tajam. Kata-katanya walau payah untuk didengar tapi cukup menggambarkan keperibadiannya yang cekal. Ini membuatkan dia berbeza dari rakan sebayanya. Adik menjadi pelajar cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburinya. Menjadi permata kepada guru, dan menjadi pembimbing kepada rakan-rakan. Di rumah, dialah anak yang paling rajin, paling baik, paling bijak dan paling prihatin. Tidak hairanlah adik menjadi sebutan mak dalam apa jua perkara. Betapa bangganya ibu saya bila mengenangkan adik.

Dia pernah ditawarkan ke sekolah berasrama penuh, tapi tidak mahu pergi atas alasan tidak mahu meninggalkan ibu. Dia bersekolah di sekolah agama biasa dan seperti selalu - menjadi pelajar harapan. Peribadi adik makin anggun dan menjadi kekaguman bagi sesiapa yang mengenalinya. Saya banyak belajar dari dia dari segi sikap, semangat, pendirian dan komitmen dia dalam menjadi anak yang solehah dan hamba Allah yang diredhai. Dia memang dikatakan kaki study dalam keluarga. Dalam umur 13 tahun, sudah mengenali qiyammullail dengan baik sedangkan saya sendiri pun masih terkial-kial melaksanakannya!

Itulah adik..tidak pernah meninggi diri dengan kelebihan yang ada. Tidak pernah dia membantah atau melawan kata-kata ibu dan juga abang dan kakaknya. Walaupun sebenarnya adik lebih bersikap ‘kakak’ dan kami (saya) yang bersikap ‘adik’..
Ibrah Allah s.w.t. ada di mana-mana dan dari adik saya yang bongsu ini, saya mendapat ibrah yang amat berharga. Kentalnya dia dalam mencapai cita-cita, merealisasikan impian mana-mana ibubapa sekalipun iaitu menjadi anak yang soleh kerana doa anak yang solehlah yang mengiringi hari ajal kedua ibu bapanya.
Dalam merenung kehidupan adik yang tidak pernah kenal erti putus asa, saya jadi malu sendiri. Dan tiba-tiba rasa semangat untuk menghadapi hidup hasil ibrah dari adik. Sebenarnya tak ada masa untuk main-main kerana perjuangan belum selesai.

Yang!!! Study killer cam adik! Jadi baik macam adik! Rajin buat kerja rumah cam adik! Jadi matang cam adik! Jadi solehah macam adik! Patuh pada ma macam adik! Rajin belajar tanpa jemu macam adik!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...