Memaparkan catatan dengan label pendapat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pendapat. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Jun 2013

Beramal Sosial

Tak sampai dua minggu, secara tak rasminya menamatkan pelajaran ijazah di kampus. Setelah berhempas pulas menyiapkan PSM a.k.a. Projek Sarjana Muda (atau Projek Sampai Mati! :P) dan assignment yang diberi pensyarah, akhirnya tiba pula peperiksaan akhir semester. Minggu-minggu akhir ni, banyak benda terpacul di ingatan. Mengenang pahit maung 4 tahun di selatan tanah air, mengejar segulung ijazah yang mungkin pada harga ilmunya tidaklah setinggi mana namun tidak sedikit masa, keringat dan wang yang dicurahkan. 

Warna-warni kehidupan yang dilalui sepanjang itu cukup banyak. Mungkin lelah juga kalau nak disenaraikan satu-satu tapi cukuplah diberitahu bahawa; tidak sekadar belajar nak dapat ijazah tapi belajar macamana nak hidup, survive dengan dunia kini yang sangat banyak cabaran. 

Dalam banyak-banyak hal berlaku dalam kehidupan, ada yang betul-betul bagi pengajaran pada diri. Terutama cara pergaulan, cara berinteraksi dengan manusia.

Zaman sekolah dulu, masalah interaksi kurang. Mungkin sebab, suasana dan biah di Maahad yang cukup tenang, aura tarbiyyah cukup kuat di situ. Aura tersebut menerobos tidak kira pada guru, pelajar hatta pak cik tukang kebun sekalipun. Bila dah habis belajar di situ dan ‘berpindah’ ke tempat lain, suasana baru dihadapi, orang baru, budaya dan pemikiran yang baru.

Di sinilah ‘masalah’ bermula. Kalau belajar subjek psikologi sosial, ada 1 topik bincang pasal loneliness. Punca utama loneliness ni berpunca dari kurangnya social skills seseorang individu. Dan banyak lagi punca lain yang mungkin dari sudut Islam, tak berapa nak betul sangat pun. Aku menyedari ‘kelemahan’ tersebut dan cuba menjadikan ‘loneliness’ tersebut sebagai satu nikmat. Hakikatnya, hidup kita tidak pernah keseorangan. Kita ada Allah, selagi mana tindakan kita selaras dengan kehendak Allah. Kalau keseorangan kita disebabkan hubungan dengan manusia bermasalah, yang paling utama untuk diperiksa adalah hubungan dengan Allah. 


Satu perkara yang aku belajar, kita tak boleh paksa orang lain berfikir macam cara kita berfikir. Latar belakang, perkara yang dilalui dalam kehidupan, ilmu dan pengalaman yang ditimba adalah aspek-aspek yang mungkin membezakan kita dengan orang lain. Item-item tersebutlah yang membentuk cara manusia berfikir. So, expect orang untuk berfikir sepertimana cara kita berfikir walaupun kita rasa cara kita berfikir diiktiraf sarjana dunia dan paling ideal dalam sejarah peradaban manusia sekalipun adalah sia-sia.

Lahir dari budaya pemikiran yang ‘pekat’ dan kental menyebabkan lahirnya satu kekurangan yang menjadi kesalahan besar dalam berhubungan dengan manusia ialah ‘aku je yang betul, kau salah’. Menyalahkan, melabel, menghakimi adalah titik tolak menjadikan orang di sekeliling tak pernah berasa selesa. Aku tidak menjadi rahmat pada orang di sekeliling.

Padahal Islam dah ajar, cara yang paling ideal untuk bergaul dengan manusia yang mungkin menyebabkan akulah manusia yang paling bodoh sebab ‘terlepas pandang’. Dan sehingga kini, aku cuba supaya tidak pernah berhenti belajar cara beramal sosial seperti yang Rasulullah ajarkan. Menerima dan kurang menghakimi, mengajar dan kurang menunjuk kesalahan, memahami dan tidak skeptikal. Agar sekurang-kurangnya keberadaan aku dengan manusia lain tidak menjadi ‘azab’.

Kadang-kadang, aku mengimpikan dunia Melayu-Islam di Malaysia yang lebih aman. Dalam aspek pendidikan misalnya, alangkah bestnya kalau kita boleh bawa balik cara orang Barat, Jepun bahkan Korea yang dipalit K-pop semata, cara mereka meladeni kemanusiaan. Ya, mungkin tidak semua namun ada beberapa sudut yang kita banyak ketinggalan. Yang paling signifikan, apa yang mereka amalkan adalah sangat sejajar dengan ajaran Islam. Cara mereka menyusun sistem pendidikan, berinteraksi dengan manusia, cara mereka address sesama mereka dalam hirearki masyarakat, bagi aku agak mengagumkan. Walaupun pada syariatnya, mereka mungkin dilihat ‘ketinggalan’ jauh namun apa yang beza sangat dengan kita kalau Islam kita mungkin hanya pada kad pengenalan, tudung, jubah dan kopiah tapi cara kehidupan kita kosong dari sunnatullah.

sekadar gambar hiasan yang banyak maknanya

Nabi tak pernah kata pada siapa-siapa pun, ‘kau salah yang ini, kau tak patut macam ni, kau ni bodoh!’ tapi nabi tunjuk cara yang betul. Nabi demo depan-depan orang yang buat salah tu. Kata-kata nabi tak pernah mencederakan perasaan orang yang di sekelilingnya. Rasulullah tegas dengan caranya yang tersendiri, yang tak pernah sekali-kali orang di sekelilingnya berasa direndah-rendahkan, dipijak atau dihina. Memang sah baginda adalah rahmat untuk sekalian alam! Bahkan cara nabi bersiasah dan berhadapan musuh pun menjadi art of war yang paling ideal dalam sejarah. 

Benda-benda ni lah yang aku rasa banyak lagi yang aku kena belajar. Pembudayaan pemikiran dan pengamalan sosial yang baik boleh melahirkan masyarakat yang lebih aman. Benda-benda ni jugak takkan terjadi kalau cara pendidikan kita tidak dibaiki selari dengan apa yang Islam nak.

Kita tidak mahu terpalit dengan isu payah menyelami hati mad'u semata. Mungkin ada sesuatu yang kita tinggalkan, yang perlu kita kutip kembali. Sunnah beramal sosial seperti ini;



Selasa, 8 Januari 2013

Idea Kena Senyap

Idealisme dibina dengan membaca dan melalui proses pembelajaran. Capaian idea bukan sekadar pidato malah kepada penulisan, video dan seumpama dengannya. Kadang tidak perlu berkata banyak, satu paparan atau perkataan bisa menyampaikan berlapis-lapis mesej.

Sedia rentak tempur redah onak lumpur
Maju tiada undur tak kenal uzur
Hingga jasad kita terkubur
Kalau kurang kaki tangan
Lutut dan siku dihulur
Ini malam kita pakai tanjak sonsang
Askar jati gerak senyap yang lain berkompang
Berani segerombolan tak takut bila seorang
Kuatkan benteng jangan biar ada yang berlobang 


Jadi bangkit berkumpul di bawah panji berbulan sabit
Tak sujud pada sesiapa di bawah langit
Tak mengalah walaupun bertambah sakit
Sebelum layar bahtera mari kita
Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian


-Petikan lirik lagu Bangkit oleh Altimet, DJ Fuzz & Salam

Semampu manakah idea sebegini boleh disenyapkan? Adakah dengan ugutan nyawa dan ancaman kelaparan bisa mensilentkan sebuah idea dan pemikiran? Silap sekali sesiapa berfikir demikian. Doktrinisasi dan kaderisasi akan hancur ditelan arus pembawakan idea dan pemikiran. Kebebasan berfikir dan percambahan idea tidak hanya terletak pada melontarkan hak bersuara tapi pada hak sebesar-besar nikmat yang Allah berikan iaitu hak BERFIKIR.





p/s : Aku harap mesej aku 'jelas'

 

Khamis, 5 Julai 2012

Muslimat Lembik? Sudah-sudahlah...

Entahlah, kadang-kadang saya rasa bab-bab BM boleh jadi lialibiliti besar pada muslimat kalau tidak diurus dengan baik. Mudah kata muslimat akan memang jadi lembik kalau macam ini caranya.

Maaf, jika perkataan lembik di situ kasar bunyinya. Sekadar untuk 'menggegarkan' minda orang perempuan agar tidak meletakkan punca masalah pada orang lain, kalau penyelesaiannya sudah ada di tangan kita sendiri.

Seorang sahabat saya pernah mengadu, memberitahu pelbagai usaha yang beliau lakukan demi mendapatkan pasangan yang baik malah dikatakan sefikrah dan sejemaah. Namun, usahanya menemui jalan buntu kerana dikatakan muslimin ni memilih, mencari yang ayu-ayu saja dan sebagainya. Beliau kecewa, menyalahkan pihak 'sana' kerana taste mereka yang tinggi sehinggakan muslimat yang biasa-biasa saja lahiriahnya terpaksa mencari pasangan yang bukan sefikrah.

Saya merasakan keperluan, citarasa dan kehendak seseorang itu berbeza. Kecenderungan seseorang pada ciri-ciri tertentu itu merupakan fitrah dan sama sekali tidak boleh dipersalahkan. Malah jika seorang lelaki hanya melihat faktor fizikal perempuan semata-mata pun saya tidak berasa pelik. Mereka memilih yang cantik di pandangan mereka, itu hak mereka. Muslimat tidak perlu berasa hal itu memberi kesan lantas melarakan hati kerana sudah termaktub bahawa jodoh itu telah sedia tertulis di Luh Mahfuz.

Saya menulis ini kerana saya juga seorang perempuan yang mempunyai keperluan dan kehendak sama dengan sahabiah sekalian. Saya dapat merasakan apa yang kalian rasakan namun kita tak perlu membiarkan faktor luar mempengaruhi cara kita menyelesaikan masalah. Proaktif dan positif, bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Bahagia, derita, gembira, sedih adalah pilihan kita sendiri, atas tindakan kita sendiri.

Usaha yang sebenar-benarnya seorang muslimat dalam mencari jodoh yang baik (selain usaha teknikal) ialah mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan. Usaha untuk men'solehahkan' diri lebih dituntut. Namun, ramai dari kita mengabaikan perkara ini.

Liabiliti yang saya maksudkan di atas ialah apabila muslimat fikir kesempurnaan BM ini hanya dengan mendapatkan pasangan sefikrah sejemaah, maka kebahagiaan mutlak dapat dicapai. Muslimin salah bila letak demand tinggi-tinggi dan muslimat juga salah bila terlalu fikirkan demand muslimin dan akhirnya jadi takut dan plastik.

Malah, orang tengah (unit BM) berperanan hanya mempermudahkan untuk meraikan fitrah, bukannya untuk menjodohkan. 

Suka saya untuk kongsikan petikan beberapa perenggan dari artikel Ustaz Hasrizal berkenaan dengan ini;

"Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbbang untuk berumahtangga dengan pasangan 'itu' walaupun mungkin 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya. 

Apa yang dibimbangkan, jika berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI." 

Kesimpulannya, jangan sesekali kita ketepikan usaha MENJADI di samping usaha MENCARI. 

Takdok benda hok jatuh kecuali ada hok jung kutip


Jodoh ini rahsia Allah, Allah yang tetapkan.
Dan siapa lagi yang tahu apa yang baik untuk kita kecuali Allah?


Bahkan kata pujangga, "Jangan letak syarat dalam cinta kerana bila bertemu yang berkenan di dada, semua syarat itu hilang maknanya." 


Paling penting, jangan lupa letak cinta Allah paling utama, nescaya bahagia itu tak perlu dicari tetapi bahagia akan mencari kita. 

Tuntasnya 

Suka sekali saya mengajak sahabat sahabiah sekalian memuhasabah diri.

Apa matlamat hidup kita? Ia sudah pun termaktub indah pada ayat 56, surah az Zaariyat. Ia mematri kita untuk meletakkan seluruh kecintaan kepada yang utama. Kehidupan yang Allah beri pada kita hari ini merupakan wasilah atau cara kita mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar benda. Semua tidak terlepas dari perkiraan Allah.

Dalam soal jodoh dan pertemuan pun, ia tetap berupa WASILAH, bukan matlamat. Sekalipun Allah tidak beri setelah kita berusaha, cinta kita kepada Allah tetap tidak berkurang.

Moga Allah beri kita sekian petunjuk, agar kita tidak terkeliru antara wasilah dan matlamat.

.

Sabtu, 24 Mac 2012

'Masalah Hati'

Masalah hati.


Hati, penjagaannya cerewet sekali. Masalahnya bukan sekadar berkisar tentang hubungan dengan Allah s.w.t. malah dengan manusia juga. Lebih-lebih lagi yang berlawanan jantina. Sememangnya Allah ciptakan fitrah lelaki akan cenderung pada wanita dan begitu juga sebaliknya. Namun, bagi hati-hati yang mencintai Tuhannya dan meletakkan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya, PASTI tidak mahu fokusnya 'distracted' kepada perkara lain yang tidak sepatutnya.

Masalah hati yang dimaksudkan di sini berkenaan dengan kesan kecenderungan antara lelaki dan perempuan dalam skop pembinaan jati diri para daei. Jujur, ini artikel ekslusif. Sebelum mudah melompat dan membuat kesimpulan, eloklah menghadam artikel ini terlebih dahulu. 

Kadang-kadang masalah hati akan mudah bercambah dengan sikap-sikap orang di sekeliling. Bagi orang yang faham, matang dan berilmu, mereka memahami bahawa perkara ini adalah fenomena biasa, ujian untuk orang yang menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan yang paling penting mereka meraikan permasalahan ini dengan cara yang ilmiah dan tidak membesar-besarkannya. Malah mereka akan menolong dan mendorong individu yang mempunyai masalah ini ke jalan yang benar, samada baitul muslim atau proses-proses meneutralkan kembali antara keberadaan fitrah dan fitnah dalam hati.

Namun, lain pula bagi orang yang bersikap sebaliknya atau dengan kata lain, tidak faham, tak matang atau tidak mengetahui adab-adab sebenar dalam hal ini. Mereka kurang sensitiviti, bersikap kurang matang, dan yang paling membarahkan keadaan ; mereka mencambahkan lagi benih-benih masalah hati dengan membesar-besarkannya, mengusik hati dan perasaan, mendorong individu tersebut kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Sepatutnya, langkah sebagai daei diteguhkan dengan iman dan taqwa. Apa saja perkara yang boleh menghalang, menghilangkan fokus sebenar dan mendorong kepada hal-hal yang boleh merosakkan iman dan taqwa, didahului dengan mencegahnya.

Peranan Sahabat. 

Orang di sekeliling atau lebih mesra dinamakan dengan sahabat, sepatutnya mengambil peranan sebagai orang yang FAHAM. Pertama-tamanya, jangan sesekali mengeruhkan keadaan dengan meraikannya dengan cara yang salah. Pandu mereka ke arah cinta yang sebenar dan memberi cadangan yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah. BUKAN dengan mengusik, menunjukkan sikap tidak matang anda dalam hal-hal sensitif seperti ini atau yang paling mendatangkan caca merba, menghebohkan seantero dunia tentang masalah individu tersebut! Di sinilah kepentingan kerahsiaaan dalam menghadapi hal-hal seperti ini. Etika ini, bukan hanya kaunselor saja yang perlu patuh.

Astaghfirullahal 'azhim.

Penyesalan.

Catatan ini merupakan manifestasi penyesalan. Biarpun manusia di sekeliling tetap tidak mengerti betapa sakitnya hati saat dicuit cinta (kononnya), tapi sebenarnya adalah pintu yang membuka lagi pintu-pintu dosa dan kemaksiatan. Biarpun ia sekadar dinilai kecil kesannya oleh manusia lain, tapi bagi diri yang kerdil dan penuh dosa ini tidak mahu menambah lagi berat timbangan sebelah kiri. Tingkah dan perlakuan yang menodai kesucian hati, bukannya meraikan fitrah malah mencambah fitnah. Terasa disiat-siat hati tatkala terkenang kembali saat noda hitam itu muncul.

Sesal. Cukup sekadar itu.

Isnin, 2 Mei 2011

Budak Pondok

"Farid, tolong jelaskan kat Kak Yang bab Tauhid Tiga tu. Kenapa ia jadi perbahasan? Berlawanan ke konsep tu dengan sifat 20?", tanya saya bertalu-talu kepada adik lelaki saya, Farid.


Budak pondok itu hanya tersenyum dan menghiling kepalanya berkali-kali. Setiap kali saya bertanyakan tentang hal-hal agama, dia sebolehnya mengelak dan berkata, "Farid dok cukup ilmu lagi, Yang." Namun, selepas beberapa kali didesak akhirnya dia mengalah dan mula menjelaskan satu persatu. Walaupun pada peringkat awal, agak susah juga untuk saya memahami penjelasan tersebut, lebih-lebih lagi kalau Farid mula mengambil mana-mana kitab yang telah dipelajarinya dan menterjemahkan isi kitab kepada saya dalam bahasa Kelantan pondok yang ada "maka terjadilah sesuatu itu dengan sesuatu yang lain" (erk?). Begitu pun, Farid, seorang budak pondok ada kepakaran khusus bagi menjelaskan kepada saya.

Biasanya, dia akan menerangkan sesuatu perkara dengan begitu mudah dan jelas sekali kepada saya. Aura murabbi terasa. Tak dapat saya nafikan budak pondok ada kelainannya berbanding dengan lepasan institusi agama yang lain.

Beberapa tahun yang lalu, saya cukup prejudis dengan pondok. Kerana pada waktu itu, Farid pernah mengambil keputusan drastik berhenti sekolah semata-mata mahu meneruskan pengajian di pondok. Dia nekad meninggalkan alam persekolahan ketika akhir tahun dia berada di tingkatan 2 di Maahad Muhammadi (L). Sebelum itu, dia tinggal di rumah sewa berhampiran dengan kawasan Pondok Pasir Tumboh dan belajar secara tidak formal di pondok setiap kali pengajian waktu hujung minggu semasa tingkatan 2.

Ibu saya pula jenis yang tidak suka memaksa anak-anaknya dan dia meredhai adik saya berhenti sekolah serta mengikuti pengajian di pondok sepenuh masa walaupun jauh dari sudut hatinya, dia lebih suka Farid bersekolah. Namun, tidak bagi saya. Hampir setengah tahun rasanya saya terasa 'jauh' dengan budak pondok itu sedangkan dalam kalangan adik beradik, Farid adalah adik yang paling rapat dengan saya. Setelah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah, dia akhirnya pulang dan pada waktu itu saya 'memboikot' dia selama 3 hari. Sungguh, saya cukup tidak setuju dengan tindakannya. Sementelahan pula, dia cuba membawa 'dakwah' pondoknya ke rumah dengan menegur kami adik beradik dengan keras sekali.

Saya mempersoalkan kerelevanan dia untuk tidak bersekolah. Farid menolak mentah-mentah sekolah boleh memberi pendidikan terbaik kepadanya. Pandangannya yang ekstrim dan lebih malang lagi dia berpendapat sekolah arus perdana sebagai keduniaan dan sebagainya. Bagi dia, pondok lebih membawa erti pendidikan yang sebenar dan tidak bersifat exam-oriented seperti sekolah. Ya, saya faham kebobrokan sistem pendidikan yang ada, namun keperluan untuk mengikut arus zaman tidak boleh diketepikan.

Fenomena yang biasa berlaku. Budak baru belajar katakan. Selepas beberapa bulan kemudian, barulah ia mula berkurangan. Mungkin hikmah yang telah ditunjukkan abang dan kakak dalam meladeni jiwa remajanya.


Akhirnya, budak pondok itu 'insaf' dan mengembalikan senyuman kepada ahli keluarganya. Kami boleh berdiskusi secara ilmiah dengan baik, mengambil buah hikmah dan pada masa yang sama Farid mula mengakui pendidikan perdana negara mempunyai kepentingan dalam hidupnya. Kini, dia sudah kembali ke alam persekolahan dan sedang bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini.

Saya lihat kombinasi yang indah selepas dia mula positif untuk bersekolah kembali. Pengalaman berdepan dengan kekerasan kepala seorang remaja lelaki berumur 15 tahun 'membuka' luas mata saya untuk tidak menidakkan kepentingan sistem pengajian pondok. Kombinasi yang sangat signifikan. Sungguh, saya tak nafikan pengaruh pondok ke dalam rumah saya. Aura tarbiyah yang dibawa oleh Farid ke dalam keluarga kami sungguh menambat hati. Proses tarbiyyah ruhiyyah dijalankan secara konsisten dan suasana di rumah terasa lebih tenang dengan kehadiran Farid.

Farid menjadi tempat rujukan saya dan adik beradik yang lain tentang hukum hakam berkaitan agama. Suasana ilmiah dalam perbincangan yang sihat dapat dirasai. Kami berkongsi pelbagai pendapat dan perkara. Saya amat menyukai gaya penerangannya dan ia secara tidak langsung memberi perspektif positif dan motivasi kepada saya tentang pembelajaran di pondok. Saya berasa lebih selesa berbanding dulu untuk membuka kitab lama dan bolehlah sikit-sikit cuba belek dan baca.


Tidak saya nafikan, sistem pengajian pondok mempunyai nilai tarbiyah yang sangat tinggi. Penuntutnya bukan saja melalui jadual belajar yang padat, malah beberapa corak pendidikan yang saya fikir sepatutnya ada dalam sistem pendidikan negara sudah terlebih dahulu mengakar umbi dalam sistem pondok. Fokus sistem pencapaian pondok bukanlah dinilai pada A berderet-deret, bukanlah bersifat exam-oriented semata-mata tapi pada perkembangan ilmu yang berlaku seiring dengan potensi akhlak hasil dari tarbiyah pondok itulah yang menjadi ukuran. Ia bisa melahirkan penuntut ilmu yang benar-benar ikhlas dan bukan berjenama duniawi. Sistem pondok melahirkan ulama' yang bukan saja faqih malah dapat membantu dalam mendidik masyarakat.

Namun, beberapa teguran ringan patut saya lontarkan di sini. Pelajar pondok seharusnya menjenguk keluar dan melihat kepada ilmu moden. Gabungan 2 sistem pengajian ini dilihat mampu melahirkan seorang Ulama' yang bisa mendepani cabaran semasa. Pelajar pondok bukan berada dalam atma ketenangan tetapi mampu mendepani cabaran yang ada di luar sana hari ini. Dakwah yang akan dipantulkan bakal menghasilkan gabungan yang luar biasa.

Budak pondok juga seharusnya tidak terlalu ekstrem atau terlampau taksub sehingga tidak mampu menerima pendapat orang lain. Sedarilah bahawa perpecahan dan perbezaan pendapat itu adalah 2 perkara yang berbeza. Harus diingat, yang membawa kepada perpecahan itu adalah kerana tidak menghormati perbezaan pendapat.

Sabtu, 30 April 2011

Sumpah Bobrok!


Berani kerana benar, takut kerana salah? Itu pepatah Melayu. Namun lupakah kita pepatah Islam, yang salah mesti diadili, yang menuduh wajib membawa bukti. Fenomena sumpah bukanlah bukti. Dalam Islam juga takut kerana takwa, takut melanggar perintah Allah.

Menanggapi kes video seks yang dipercayai pelakunya adalah salah seorang pemimpin parti pembangkang negara tanpa ilmu dan suluhan agama, ia akan menjadi bobrok sebobrok bobroknya. Dan malangnya, ia telah pun terjadi.

Islam begitu menjaga aib umatnya. Sekalipun ia adalah benar, apatah lagi kalau ia salah. Hal ini perlu dibincang sedalam-dalamnya mengikut landasan ilmu dan fakta, bukan signifikan politik semata-mata.

Sumpah! Memang menyampah. Jarang sekali saya mengulas isu politik dalam penulisan saya. Tapi entah kenapa, dada terasa sesak setiap kali menatap isu-isu semasa negara. Banyak lagi isu yang lebih teruk berkenaan dengan rakyat, sistem sosial dan ekonomi yang kian ter'gadai' tidak diberi perhatian. Saya melihat ini banyak memberi kesan buruk kepada beberapa sistem dalam negara. Maaf, saya bukan berminat mahu tahu siapa benar atau salah dalam hal ini. Jelasnya kepada sistem pendidikan negara. Sejujurnya, saya risaukan yang ini.

Segala penat lelah guru dan tidak ketinggalan juga ibu bapa dalam mendidik dan mengasuh generasi awal kini supaya menghindari segala medium berbentuk lucah dan porno menjadi sia-sia. Hal ini terjadi sebaik sahaja media negara rela menyiarkan satira politik lucah, video seks terpampang mudah. Lebih teruk, akhbar tempatan perdana meletakkan isu-isu seperti ini di muka depan.


Dan apabila kanak-kanak seawal berumur tujuh tahun mula bertanyakan apakah itu seks dan liwat, janganlah sekadar mengurut dada. Cuba bayangkan pula, apa yang bermain di fikiran remaja-remaja kita yang imaginasinya lebih 'canggih'. Sebelum kita pergi jauh kesannya kepada politik negara, mari kita fikirkan terlebih dahulu apakah kesannya kepada generasi kita. Ia seolah-olah "lampu hijau" memberi mereka 'kelulusan' kepada perkara yang merosakkan mereka iaitu porno.

Pemimpin negara lebih memilih untuk berdiam diri. Para agamawan pula terkapai-kapai memberi pendapat. Saya memohon untuk pencerahan diberikan menurut perspektif Islam khususnya perundangan. Bagaimana Islam memandang hal seperti ini dan adakah sepatutnya dihentikan polemik ini atau bagaimana.

Sungguh, saya tidak menolak peranan politik bersih dalam hal ini. Jika politik bersih yakni politik Islam ditegakkan, bukan sahaja pintu fitnah tertutup, perundangan Islam kan lebih telus dan istem pendidikan lebih terpelihara.

Selasa, 1 Mac 2011

Menulis Akar Peribadi

Menulis akar peribadi. Kerana dengan menulis kita dapat meluahkan apa yang terbuku di hati. Sekian lama sudah, saya lupa menjengah ke blog, menulis membuang rasa-rasa, melebar citra. Entah kekangan apa. Bukan sibuk seperti Nabi, tapi ya, saya sendiri kurang atur masa menulis. Hampir-hampir terlupa, menulis tu akar peribadi.

Kenapa menulis akar peribadi?

Kerana menulis menggambarkan peribadi seseorang. Salah satu cara seseorang mengeksperesi apa yang ada di mindanya. Menulis secara tidak langsung mengeluarkan apa yang terperam di minda kita. Menulis merupakan aktiviti menyeronokkan bagi saya sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Sehingga kini, tulisan-tulisan saya berupa picisan banyak sekali. Entah di mana-mana saja. Ada yang masih disimpan, ada yang hilang ditelan ribut-ribut timbunan buku yang lain dan sebagainya.

Sejarah saya menulis sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Pernah sekali seorang guru bertanyakan kepada saya apakah hobi saya ketika waktu lapang. Seingat saya ketika itu berada di darjah 1. Lantas saya menjawab, "Membaca dan menulis, cikgu!" Memang ketika itu, saya mempunyai sebuah buku kecil untuk saya catit apa saja yang saya lalui sepanjang hari. Cikgu bertanya kembali kepada saya, "kamu suka tulis apa?"

Pada ketika itu saya sering terjumpa perkataan "novel" di perpustakaan sekolah. Namun, saya tak tahu maksud yang sebenarnya. Lantas dengan penuh yakin saya menjawab, "Tulis novel cikgu!". Guru kelas saya terkesima samada tak sangka budak umur 7 tahun tahu tulis novel atau terkejut saya boleh sebut perkataan tu sedangkan pelajar-pelajar lain (tahun 1996, di sebuah sekolah kampung) tidak mampu mengenal perkataan suku kata lagi. :D

teka, mana satu saya? :D

Guru kelas saya barangkali menahan gelak lantas menjawab, "Owh, nanti dah siap kamu tunjuk kepada cikgu." Sejak hari itu, setiap kali saya mengarang, mencipta cerita-cerita pendek maka akan saya bawa tunjuk kepada cikgu kelas saya itu. Itulah 'novel' saya waktu itu.

Tidak dinafikan, 'novel' itu permulaan bagus buat saya. Menulis akar peribadi.

Ketika beumur 11 tahun, arwah abah mula sakit-sakit dan tumpuan ibu saya lebih terarah kepada abah. Sebagai anak sulung, tanggungjawab mengambil tahu hal ehwal adik-adik tertanggung di atas pundak saya. Sejak hari itu, saya tulis apa yang berlaku hari-hari dalam hidup saya di dalam sebuah buku kecil. Buku kecil itu jadi tempat luahan segala perkara. Tentang aktiviti harian, tentang abah, tentang adik-adik dan tentang yang saya cita-citakan dalam kehidupan. Sungguh, terasa seronok menulis. Buku kecil itu masih lagi saya simpan.

Bila meningkat remaja di Maahad, tulisan saya mula bertransformasi dari hal yang biasa-biasa kepada isu-isu semasa, agama, politik dan sebagainya. Tapi, itulah. Tulisan-tulisan itu terkurung di dalam diari kecil saya. Seronoknya, bila saya kaitkan isu-isu tersebut dengan kehidupan saya. Saya ceritakan apakah signifikannya hal itu dalam kehidupan saya.


Pada masa itu, saya begitu menggilai buku-buku dan tulisan Faisal Tehrani, Dr HM Tuah Iskandar, dan ramai lagi penulis-penulis muda seperti Mawar Shafei, Fahd Razy, Nimoiz TY dan siapa-siapa lagi. Saya masih ingat lagi, yang saya begitu meminati majalah Tunas Cipta ketika itu. Setiap kali keluar ke Bandar Kota Bharu, destinasi wajib saya ialah Pustaka Sri Intan dan juga Jaafar Rawas. Tak pasal-pasal pula meminati sastera dan karya-karya sastera sehinggakan saya hampir-hampir menambah subjek Kesusasteraan Melayu dalam subjek SPM saya!

Saya mula bercita-cita mempunyai blog sendiri untuk saya menulis, dan bakal menerbitkan buku tulisan sendiri suatu hari nanti.

Senyum puas. Memang menulis akar peribadi. Secara tak langsung mendidik saya membina jati diri. Boleh kan kalau saya mahu terasa bebas menulis di sini? Saya menulis apa yang saya mahu, apa yang saya rasa dan apa yang saya mahu seru!

:)

Isnin, 11 Oktober 2010

Mahermania :D

Tidak saya nafikan betapa besarnya impak Maher Zain dalam industri muzik dan dakwah itu sendiri. Kualiti muziknya tak kalah tinggi jika dibandingkan dengan artis antarabangsa yang lain. Walaupun saya hanya lebih suka mendengar apa-apa saja yang sedap di telinga tanpa mengetahui siapakah penyanyinya atau bagaimanakah ia, namun tidak bagi Maher Zain.  :)

Setelah beberapa lama lagu-lagu Maher Zain sekian kali diputarkan di laptop, handset, di bilik kelas, semasa discussion dan sebagainya ; akhirnya saya boring juga. Sedap lagunya, tapi disebabkan sudah puas mendengarnya, saya mula berarah mencari alternatif lain. Antara yang menjadi pilihan saya, selalunya Outlandish ataupun The Sound Of Reason, atau jika mahu dengar yang slow sikit Sami Yusuf. Sebelum ini, saya tidak memikirkan sangat apalah yang si Maher Zain cuba bawa dalam lagunya. Saya layan sebab best, liriknya begitu bermakna.

Tak lama kemudian, riuh kecoh rakan-rakan saya di fb dan juga sahabat satu sekolah dulu yang sedang belajar sekitar ibu kota dan uia, bahawa Maher Zain akan berkunjung ke Malaysia. Uh, pun begitu saya pandang endah tak endah saja status-status mereka. Bukan boleh pergi pun. Hu3. Lantas, selepas berlangsung konsert beliau dengan sambutan lautan manusia yang menghadirinya, saya sedar aura Maher Zain bukan semudahnya diketepikan dalam konteks menyeru manusia ke arah kebaikan.

Tidak keterlaluan jika saya katakan aura Maher Zain tidak hanya terhenti pada suaranya yang sedap, selain penampilan yang menyenangkan (ehem) dan juga liriknya bagus (bak kata Wardina, "beautiful lyrics, masha Allah!.") tetapi lebih dari itu. Ini terbukti pada latar belakang beliau dan juga pendapat dan pandangannya tentang kehidupan menjadikan muzik sebagai medium dakwah.


Saya pun mencelah juga, mencari-cari di youtube. Mana tahu ada rakaman konsert beliau yang dikatakan gempak itu. Jujur saya katakan, bagaimana beliau begitu diminati? Uh, tolak tepilah segala caca merba perilaku peminatnya (terutama perempuan!), tapi kita fikir apa yang sebenarnya yang mengikat mereka meminati Maher Zain?

Mengapa begitu?

Cuba fikir kenapa. Saya fikir punya fikir macamana la lagu dia boleh sedap. Lalu, saya putarkan kembali kesemua lagu-lagu beliau demi mencari apakah yang perencah utama dan pembuka selera pendengar.

Baru saya sedar, selain mesejnya yang sememangnya kaya dengan nasihat dan sangat berunsur kerohanian, faktor muzik yang diadun dengan profesional oleh orang yang sememangnya pakar adalah sebab utama lagunya tetap malar segar!

Sunnatullah vs Syariatullah.

Itulah formulanya.

Macam kita nak tanam sayur di kebun. Adakah tumbuh sayur-sayur tersebut jika kita hanya kuat berdoa, solat lima waktu tanpa tertinggal, puasa sunat senantiasa tapi mengenepikan usaha menanam sayur yang lebih gigih dengan menyiram, membaja dan menjaga sayur dari ulat dan dimakan kambing?

Sunnatullah tu kena ambil kira. Mesej bagus, nasihat cukup lengkap, tapi kalau muziknya lembik, ayat berpintal, adunan bunyi tak mantap, bagaimana nak tarik pendengar? Aduh, berbicara seolah-olah pakar muzik :D. Namun itulah hakikatnya nasyid tempatan kita, namun tidak saya katakan semua. Ada yang mampu menambat hati, antaranya Fareast dan Inteam.

Remaja memang sukakan muzik tak kira apa latar belakang dan kehidupan sekalipun. Tinggal apa jenis muzik yang diminati, samada rock bingit yang membingitkan hati dan jantung atau muzik slow motion alunan piano, tak pun petikan gitar dan ketukan drum-drum yang tak tentu hala, atau apa saja. Cuba anda fikir, semua yang berlainan minat ini, boleh minat lagu-lagu Maher Zain. Kenapa? Sebab sedap, muziknya bagus, kontemporari dan tidak terikat dengan satu genre saja.

Pengalamannya bekerja sebagai penerbit muzik bersama produser dan artis-artis antarabangsa yang terkenal seperti Micheal Jackson atau yang lain-lain adalah mungkin punca utama kepakarannya dalam bidang muzik. Namun, yang lebih mengagumkan adalah kerendahan hati beliau dalam 'mengawal' pujian yang mencurah-curah datang. Prinsip beliau dalam menyampaikan kebaikan melalui lagu yang diciptanya cukup mudah untuk difahami iaitu membawa pendengar supaya lebih dekat dengan Allah.

Indah kan? Semuanya dilakukan kerana Allah. Tidak mengharapkan apa-apa balasan dari manusia. Memberi bukan untuk dipuji manusia atau dibenci, namun mengharapkan redha dan rahmat Allah semata-mata. Saya cukup tertarik dengan kenyataan beliau berkenaan dengan peminat Malaysianya yang mengucapkan terima kasih kerana sudi datang ke Malaysia. Namun, beliau terasa pelik kerana diucap sebegitu malah beliau menjawab, "It's my duty."

Fuh! Maher Zain anggap itu ialah tanggungjawab dia! Menyanyi dan mengucapkan bait-bait memuji Allah adalah tanggungjawab dia? Wah, menarik ni! Hebat tu! Ini adalah tugas. Ya, dakwah adalah tugas. Namun, tugas kita adalah penyeru, bukan penghukum. Dakwah tidak terhad dan boleh disampaikan dengan apa cara sekalipun kecuali yang melanggar syariat.

Entahla, melihat kepada stail dia berkonsert, tarik audience secara tak langsung terdetik di hati saya, pasti orangnya sangat kuat keyakinan kepada Allah.

Dan tak pasal-pasal saya macam kena 'mahermania' kali kedua. =)


Khamis, 16 September 2010

Indahnya Bahasa Arab ~ البلاغة


Mempelajari ilmu balaghah, tanpa sedar sebenarnya kita sedang mendalami dan menikmati keindahan bahasa Arab yang merupakan bahasa al Quran, bahasa di alam kubur nanti, bahasa ahli syurga dan bahasa tuturan junjungan kita, Rasulullah s.a.w. Ibarat kita mempelajari keindahan bahasa Melayu, yang penuh kata nasihat yang tersirat. Namun, tidak keterlaluan jika saya katakan, bahasa Arab adalah bahasa yang paling indah dibandingkan dengan bahasa-bahasa lain.


Betapa pentingnya ilmu balaghah terhadap diri saya sendiri terbukti apabila membaca al Quran. Sebelum mempelajari bahasa Arab dan ilmu Balaghah, membaca al Quran tanpa menghayati maksud mendalam dan tersirat di dalamnya membuatkan ruh tadabbur itu kurang. Setelah mempelajarinya, secara tak langsung, ilmu balaghah boleh menambahkan penghayatan yang tinggi ketika membaca al Quran. Sekian banyak pengajaran dari pelbagai aspek seperti sirah, feqah, tauhid dan sebagainya akan dapat dihayati dan difahami sebetulnya dengan mendalami bahasa Arab dan balaghah al Quran. Barulah peranan al Quran sebagai panduan dan petunjuk yang agung bagi orang Islam, terserlah dan terbukti.

Di samping kepentingan ilmu balaghah di dalam mentadabbur al Quran, saya juga mendapati betapa bahasa Arab sangat tinggi nilai dari segi vocabularynya, fasohahnya dan banyak lagi. Tak hairanlah bahasa Arab begitu diiktiraf sehingga diangkat sebagai bahasa langit. Ini boleh didapati ketika meneliti syair-syair Arab yang begitu tinggi maksudnya. Penyair-penyair membayangkan sesuatu perkara dengan rona bahasa yang mempunyai banyak lapis makna. Saya jadi terpegun bila mengetahui maksud sebenar sesuatu syair. Sungguh, sangat seronok mempelajari ilmu balaghah!

Kadang-kadang tanpa sedar, ilmu balaghah ni banyak diaplikasikan dalam kehidupan saya sendiri. Terutama dalam berkomunikasi dengan sahabat-sahabat yang juga mempelajari ilmu balaghah. Menyampaikan maksud tujuan sebenar dengan bahasa yang indah, tanpa terburu-buru gelojoh menyatakan kesopanan dan penjagaan adab tingkah laku. Betapa orang Arab itu, apabila menyatakan kegembiraan, digambarkan seluruh dunia meraikannya. Namun, apabila kemarahan sedang menyelubungi misalnya, digambarkan neraka berkobar-kobar sedang memanasi hatinya! Masya Allah.

Yang paling penting, mempelajari ilmu balaghah untuk menambahkan iman kepadaNya. Keindahan bahasa memuja muji Allah, lebih asyik rasanya. ;)

mode asgmnt balaghah ~ hu3

Rabu, 4 Ogos 2010

Jangan Lupa Palestin!

Hampir tiga bulan berlalu peristiwa kapal misi bantuan ke Gaza diserang serta 'dirompak' dari Israel di perairan antarabangsa. Beberapa bulan sudah, seluruh rakyat dunia menyatakan kecaman dan kutukan terhadap perbuatan Israel ; tak terkecuali masyarakat Malaysia khususnya umat Islam.Tidak dapat dinafikan, isu umat Palestin menyatukan umat, menolak perbezaan agama, bangsa, fahaman dan ideologi. Demonstrasi beramai-ramai, bakar bendera, berarak di jalan raya, solat hajat, pendek kata apa sahaja dilakukan demi menyatakan ledakan kemarahan dengan tindakan biadap itu.

Namun, saya dapat merasakan ada sesuatu yang lebih penting dan lebih jauh dari itu. Jauh yang bererti, perkara itu sangat jauh di hati kita. Ia terperosok di satu sudut, yang dengan sebelah mata pun kita tidak peduli dan buat-buat tidak tahu dan menyedari.

Seperti yang diketahui, isu Palestin bukanlah perkara yang baru terjadi. Sejak dulu lagi, Palestin adalah 'medan perang' dan antara musibah untuk umat Islam [ingat Nakbah Palestin]. Qunut nazilah disyariatkan sememangnya untuk menghadapi situasi begini. Janganlah qunut nazilah hanya terhad pada masa isu Palestin kecoh di bibir kita. Sedarlah bahawa Palestin adalah suatu musibah yang masih lagi panjang! Qunut nazilah tiada tempoh yang terhad. artikel. Di samping itu, doa kesejahteraan saudara kita di sana dan kesejahteraan seluruh umat amnya dari pelbagai agenda Zionis yang menyerang dari sudut yang tidak kita sedari.


Agenda Zionis menguasai dunia dari semua sudut, tidak kira dari segi politik, sosial dan ekonomi. Mereka telah menjalankan pelbagai perancangan demi menjatuhkan kuasa dunia yang lain. Namun, satu-satunya halangan terakhir mereka ialah ISLAM. Jadi, mereka telah memerah seluruh keringat, tenaga dan buah fikiran bagi menghancurkan satu-satunya 'ancaman' yang membuatkan mereka ketakutan seperti tikus dikejar kucing.

Palestin bukanlah satu-satunya isu umat yang teranaiya. Banyak lagi episod konflik umat Islam yang hidup menderita dan ditindas di negara lain yang belum dirungkai. Antaranya di Iraq, Afganistan, malah di benua Asia sendiri tidak ketinggalan, antaranya Filipina (Mindanao), Uyghur, Ambon. Usah pergi terlalu jauh, cukuplah Selatan Thai menceritakan segala keperitan umat Islam dalam menghadapi kebencian kuffar yang dengki dengan cahaya kebenaran ini.

Semua perkara ini menuntut mujahadah dan jihad.

Kami Anak Palestin


Kami anak Palestin
tak takut digugah musuh
dibedil dengan raifal solsadu
biarpun kami bersenjata tulus ; hanya batu dan balingan padu
biarpun dunia hanya pedulikan kami di meja bersidang
terus beromong kosong, menggoncangkan tangan
kemudian menemui kami di celah puing

Kami anak Palestin
tak gentar disergah Ehud
biarpun wajahnya sebengis Obama menangis
kami lali dengan 'keberanian' Yahudi di hadapan kami anak Palestin
menatap kami dengan mata redup
silau dengan cahaya di dada kami

Kami anak Palestin
andai dunia memekakkan telinga
mendengar esak tangis ibu dan saudara perempuan kami
kami tetap dibayar Allah syurga akhirat
kerana syahid itu dambaan kami
mati mempertahankan agama dan tanahair Palestin ;
bukan mati kekenyangan dunia yang disogok durjana!

Selasa, 23 Februari 2010

Imam Syafe'i Wahabi?

Saya agak terkejut ketika membaca tajuk ini pada masa yang sama teruja untuk mengulasnya. Sangkaan Imam Syafii adalah wahabi adalah tidak masuk akal sama sekali kerana jauhnya beda zaman dan tahap ilmu antara Imam Syafii dan tokoh yang dikatakan ‘wahabi’ iaitu Muhammad Bin Abdul Wahab. Namun realiti sebahagian alim ulama’ yang masing-masing bersandarkan apa yang dipegang dan pada masa yang sama menolak ketulusan ijtihad, lantas bertaqlid buta membuatkan sesak nafas orang-orang awam semakin lelah di samping banyak lagi masalah yang membelenggu masyarakat – yang seharusnya diberi perhatian lebih lagi oleh alim ulama’ dari pertikaian tentang perkara furu’ yang dahulu, kini dan selamanya tidak tamat-tamat.

Ini sebenarnya adalah antara reaksi terhadap peristiwa tangkapan Dr. Asri oleh pihak JAIS pada November 2009 yang lalu. Peristiwa ini menimbulkan pelbagai tindakbalas dan secara tidak langsung membuatkan lebih ramai lagi individu yang berminat mengkaji apakah sebenarnya fahaman Wahabi dan bagaimana fahaman ini dianggap ekstrem malah dikatakan terkeluar dari aqidah Ahl Sunnah wal Jamaah. Ini kerana Dr. Asri dianggap sebagai pengikut fahaman Wahabi yang mana diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab.

Antara elemen terpenting yang menggambarkan seseorang itu adalah pengikut fahaman Wahabi ialah mengamalkan talfiq. Talfiq adalah perbuatan mengikuti hukum tentang sesuatu perkara bersumberkan daripada pelbagai mazhab. Talfiq adalah lawan kepada taqlid. Dalam konteks Imam Syafii sendiri, beliau tidak pernah menyuruh untuk menerima bulat-bulat pendapatnya malah beliau menyeru supaya diteliti dengan kacamata al-Quran dan as-Sunnah terlebih dahulu. Mengatakan Imam Syafii adalah wahabi adalah tidak patut sama sekali kerana beliau tidak memaksa pengikutnya menerima sepenuhnya pendapat beliau. Banyak perkara yang menjadi perselisihan dalam perbincangan tentang isu fahaman wahabi ini, antaranya tentang lafaz niat sebelum mengerjakan solat, zikir beramai-ramai selepas solat, kenduri arwah dan sebagainya.

Pada pandangan saya, isu yang berbangkit kebanyakannya hal yang bersifat zhonni, bukannya qot’i. Tidak wajar dipertikaikan apalagi dengan cara keras dan ekstrem. Cukuplah dengan mengemukakan hujah kepada apa yang dirasakan lemah dan jika tidak diterima, maka adalah lebih baik berlapang dada saja. Janganlah mudah mengatakan orang sebagai wahabi kerana ia tidak tepat sama sekali kerana pendapat yang diterima pakai adalah sebenarnya bukanlah ijtihad wahabi tetapi pendapat dari kalangan mazhab-mazhab empat. Wahabi bukannya mazhab fiqh atau aqidah dan tidak mempunyai definisi jelas mengenainya dalam kalangan para cendekiawan Islam sedunia.

Namun begitu, jangan pula terlalu ringan menghakimi dan cepat mengatakan sesuatu perkara itu sebagai bidaah, sesat dan pelbagai lagi gelaran yang boleh mengguris hati dan perasaan umat Islam yang lain. Dalam hal ini, janganlah menggunakan ‘hukuman’ dan kejian tetapi mestilah menggunakan hikmah dalam memberi panduan yang sebenarnya terhadap perkara yang sudah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat. Di sini memerlukan kekreatifan seorang daei dalam mengajak mad’unya ke arah kebenaran.

Teringat saya akan kata-kata Ibn Sirin : “Sesiapa yang tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun menghidu bau fiqh itu.”

Kesimpulannya, dari segi ilmiahnya, janganlah lupa mengiktiraf pihak lain yang juga berniat baik untuk kemaslahatan Islam kerana masing-masing merasakan pendekatan mereka lebih tepat. Seharusnya para alim ulama’ memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah umat sekarang yang semakin meruncing. Orang awam sebenarnya menjadi ‘mangsa’ dalam pertikaian-pertikaian sebegini kerana mereka tidaklah tahu menahu dalam hal ni malah mereka masih lagi terbelenggu dalam kehidupan yang dibimbangi tidak menepati landasan Islam. Sedarlah, kerana ini juga merupakan perancangan musuh-musuh Islam dalam memecahbelahkan umat Islam dan mengalih perhatian alim ulama’ dari memantapkan mobilisasi ummah.

Sabtu, 30 Januari 2010

Ciri-ciri Guru Yang Tidak Saya Sukai

Guru merupakan antara orang yang terdekat dengan saya di sekolah dulu selepas rakan-rakan seperjuangan. Bagi saya, guru amat memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelajar terhadap pelajaran yang diajarnya. Bagaimana seorang guru mengajar, cara beliau menarik perhatian pelajar dan memanipulasikan keadaan supaya pelajar berminat dengan subjek pengajarannya adalah antara peranannya. Tidak keterlaluan jika saya katakan cemerlangnya satu-satu subjek itu bergantung sejauh mana guru memberi kesan terhadap pelajar.

Menurut Islam, proses menuntut ilmu harus diiringi dengan keharmonian komunikasi dua hala antara dua pihak – guru dan pelajar. Dengan wujudnya kerelaan atau keredhaan antara guru dan pelajar, barulah proses ini berjalan dengan lancar. Guru sedia mencurahkan ilmu dan menghalalkannya dan pelajar pula berminat, sedia menerima dan menjaga adab sebagai penuntut ilmu. Di sini, persoalan keberkatan dalam menuntut ilmu amat dititikberatkan oleh Islam. Kedua-dua pihak haruslah sama-sama bekerjasama dan bertolak-ansur dalam menjana seluasnya medan ilmu untuk kemajuan wadah keintelektualan itu sendiri.

Di zaman persekolahan dulu, rasanya tidaklah ramai guru yang saya tidak saya sukai. Ini kerana, saya percaya semua guru mahukan kejayaan pelajarnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sudah lumrah seorang manusia tidak maksum, malah ada banyak kekurangan dan kesilapan dalam berinteraksi dengan manusia begitu juga dengan seorang guru. Tidak dapat dinafikan, ada beberapa sikap guru yang tidak saya sukai dan saya merasakan tidak sepatutnya sikap itu dimiliki oleh seorang guru. Sikap inilah yang perlu saya hindari jika saya ditakdirkan melangkah ke alam perguruan suatu hari nanti yang bakal saya huraikan selepas ini.

Antara sikap yang tidak sepatutnya ditonjolkan oleh seorang guru ialah melakukan sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan imejnya sebagai seorang guru. Seorang guru adalah menjadi contoh kepada pelajarnya untuk diikuti. Dalam hal ini, jika perkara yang dilakukan itu adalah perkara baik, maka ia akan memberi contoh yang baik kepada pelajarnya dan begitulah juga sebaliknya apabila guru melakukan perkara yang buruk atau tidak baik maka ia seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada pelajar untuk turut melakukan perkara yang sama. Keadaan ini amat bertepatan sekali dengan peribahasa ini apabila guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari. Di samping itu juga, ia turut memberi kesan kepada pandangan pelajar terhadap guru. Persepsi pelajar terhadap guru akan berlainan dan menyebabkan proses komunikasi menjadi hambar dan pasti sudah ada ‘mental block’ dalam minda pelajar terhadap guru. Contohnya, seorang guru adalah perokok dan merokok di dalam kawasan sekolah atau di mana sahaja. Ini sudah pasti akan memberi anggapan buruk kepada pelajar, mungkin akan timbulnya ketidakpuashatian pelajar terhadap guru tersebut dan pada masa yang sama menjatuhkan imejnya sebagai seorang guru di pandangan pelajar.

Selain itu juga, sikap seorang guru yang tidak saya sukai ialah terlalu garang atau keras dalam manyampaikan pengajarannya. Saya berpendapat, guru yang bersikap seperti ini akan dihindari oleh pelajarnya sekaligus menjauhkan guru dari pelajarnya. Akibatnya, pengajaran menjadi tidak berkesan dan pelajar hanya bersungguh-sungguh ketika di hadapannya sahaja. Fitrah manusia itu sendiri ialah lembut dan tidak sukakan kekerasan. Manusia tidak sukakan paksaan dan tekanan, lebih-lebih lagi golongan remaja. Justeru itu, sikap garang atau keras tak bertempat ini tidak boleh ada dalam diri seseorang guru. Sifat berlembut tetapi tegas adalah lebih dituntut terutama dalam menasihati pelajar supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”

Di samping itu juga, seorang guru juga tidak boleh membeza-bezakan pelajarnya dalam apa jua keadaan sekalipun. Ada sesetengah guru lebih ‘mengagungkan’ atau mengambil berat terhadap pelajar yang pintar dan lebih berpotensi di samping tidak mempedulikan keadaan pelajar yang lemah atau kurang berbanding yang lain. Sikap pilih kasih ini menyebabkan pelajar yang lemah akan merasa semakin merendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri. Mereka akan merasakan diri mereka tidak boleh berjaya seperti rakan-rakan lain dan ini akan membantutkan potensi mereka secara tidak langsung. Sepatutnya guru harus memberi lebih perhatian kepada pelajar lemah kerana mereka yang perlu diberi penekanan. Seorang guru harus sedar bahawa semua pelajar harus menerima layanan yang sama dari segi pelajaran dan kemampuan pelajar-pelajar adalah berbeza antara satu sama lain. Jadi, seorang guru wajib mengajar dengan ikhlas dan tidak membeza-bezakan kemampuan pelajar.

Kesimpulannya, ciri-ciri guru yang tidak saya sukai ialah guru yang tidak menjadikan disiplin ilmu itu sebagai wasilah untuk pelajar mencintai ilmu dengan sebaiknya. Sikap guru yang mementingkan material dari nilai ilmu adalah harus dijauhi. Sesungguhnya pekerjaan guru adalah sangat mulia dan amat diiktiraf dalam Islam sehinggakan Imam Syafei amat memuliakan seorang Arab Badwi yang telah mengajarnya cara membezakan anjing yang sudah dewasa dan kecil melalui cara kencing! Janganlah para guru bersikap jumud, pasif malah fanatik kerana sikap tersebut menyempitkan ruang keluasan ilmu itu dan menyebabkan tersekat perkembangan pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan.

Khamis, 29 Oktober 2009

UTM Bila Pulak?

Salam nikmat Iman dan Islam buat semua pembaca budiman.

Teruja dengan kebangkitan pemikiran mahasiswa yang semakin terbuka dan bebas tanpa dipengaruhi dengan konsep yang entah apa-apa, saya selitkan pada entry kali ini dengan post dari blog Nasruddin Hassan, seorang ahli politik terkenal. Beliau merakamkan penghargaan dan terharu kepada mahasiswa uia kuantan kerana berani mengadakan diskusi kontroversi ini.

WACANA ILMIAH TERBUKA DI UIA KUANTAN



1. Program Wacana Ilmiah yang bertajuk : Sebat Kerana Arak : Adilkah ?

2. Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadhir . Saya difahamkan antara yang turut diundang ialah pihak media untuk membuat liputan dan sejurus selesai majlis tersebut , satu sidang media akan diadakan .

3. Wacana tersebut akan diadakan seperti maklumat berikut :

Hari : Khamis
Masa : 8.30 malam
Tarikh : 22 Oktober 2009

Tempat : Auditorium KOM
UIA Kuantan Pahang .

Panel :

Dato' Safri Abdul Aziz [ Exco Agama Negeri Pahang ]
En. Najid Husin [ Peguam Syarie Negeri Pahang ]
Dato' Hamidah Marican [ Sister In Islam ]
Nasrudin Hassan at Tantawi [ Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat ]

Masuk adalah percuma .

SUBURKAN BUDAYA WACANA ILMIAH



1. Alfun Mabruk saya ucapkan kepada IIUM Kuantan dan seluruh warganya kerana berjaya menganjurkan " Intellectual Discourse " bagi mencari ruang cerah dan jelas buat Islam yang suci ini .

2. Tajuk wacana ilmiah yang dibincang semalam ialah [ Sebat Kerana Arak : Adilkah ? ] .

3. Wacana yang sepatutnya membariskan panel dari UMNO [ Yb. Dato' Safri Abdul Aziz - Exco Agama Negeri Pahang ] , SIS [ Dr. Hamidah Merican ] , Peguam Syarie [ En. najid Husin ] dan PAS [ Nasrudin Hassan ] .

4. Malangnya , wakil UMNO dan SIS tidak hadhir dan wacana semalam hanya membariskan saya, peguam syarie dan seorang tokoh akademi al Fadhil Ustaz Zaharudin Mohd. Tentunya ketidakhadhiran wakil UMNO dan SIS dilihat tidak membantu untuk mencapai objektif penganjuran program wacana tersebut . [ Antara objektif mereka ialah memberi penjelasan sebenar dari sudut syariat , undang - undang dan kesan - kesan sosial atau politik dari perlaksanaan hukum sebat ke atas pesalah arak .]

5. Sebelum ini isu berkait sebat arak telah ditimbulkan oleh SIS dengan kritikan terbuka mereka kepada mahkamah syariah dan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah disamping menyifatkan undang - undang sebat ke atas pesalah arak adalah kejam dan zalim .

6. Sepatutnya mereka hadhir bagi mengemukakan hujjah yang menjadi asas tindakan mereka sehingga mencetuskan keresahan di kalangan ummat Islam . Malah saya percaya sebahagian besar hadhirin semalam hadhir untuk mendengar hujjah SIS yang begitu lantang mengkritik hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah tersebut .

7. Kegagalan mereka untuk hadhir termasuklah Exco Agama Negeri Pahang sangat dikesali kerana langkah murni pihak IIUM Kuantan untuk mencari noktah penyelesaian dan pencerahan dalam isu ini akhirnya menjadi perbincangan satu hala tanpa perbahasan dan dialog ilmiah yang kritis .

8. Sebelum ini saya sendiri telah mengemukakan tawaran terbuka kepada SIS agar tampil dalam apa jua bentuk forum bagi membahaskan isu ini atau mana-mana isu agama yang mereka cetuskan kontroversinya sebelum ini . Nyata mereka sering tidak bertanggungjawab keatas kekeliruan yang mereka cetuskan seperti sengaja mereka mahu meletakkan masyarakat dalam keliru terhadap Islam dan syariatnya .

9. Saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada IIUM dan seluruh jawatan kuasa penganjur kerana berjaya menganjurkan wacana ilmiah yang bersejarah ini . Saya difahamkan inilah kali pertama program seumpama ini dianjurkan oleh mereka dan mendapat sambutan diluar jangkaan mereka . Semoga program seperti ini menjadi kelaziman atau aktiviti rutin bersifat bulanan atau dwi bulanan dengan mengundang tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang untuk berhujjah menjernihkan kekeliruan dan menegakkan kebenaran .

10. Saya juga mengharapkan institusi-institusi lain mengambil langkah yang sama untuk menyuburkan budaya intelek dikalangan masyarakat agar tidak lagi menerima dan menolak sesuatu hanya berpijak di atas palang emosi yang sering mencetus sengketa . Sebaliknya terima dan tolak sesuatu mestilah bersandarkan hujjah dan nas yang jelas .
Posted by Nasrudin Hassan at Tantawi

Komen saya, wacana ilmiah sebegini seharusnya menjadi agenda utama di pusat pengajian tinggi bagi mencairkan ‘pembekuan otak’ mahasiswa yang sekian lama disimpan dalam ‘freeze’ hedonism. Sementelahan pula, wacana ilmiah yang seiring dengan isu semasa dan paling penting ia berkaitan dengan Islam – secara tidak langsung meningkatkan sensitiviti mahasiswa terhadap isu berkaitan Islam. Yang mana asyik berteleku di bilik dan perpustakaan, boleh juga hirup-hirup udara segar dan hangat di dewan diskusi.

Dalam perasaan inginkan wacana sebegini di kampus saya belajar, saya bertanya sendiri, bila agaknya kampus utm skudai ni nak adakan majlis ilmu sebegini?

Teringat saya akan ucapan Naib Canselor UTM, Prof Dr Zaini Ujang yang bertajuk Universiti, Kreativiti, Inovasi. Antara ahli akademik yang begitu mementingkan budaya ilmu dan naib canselor universiti termuda di Malaysia. Beliau mengungkapkan senario semasa yang perlu diubah iaitu "Betapa menjadi pensyarah tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia. Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, 'kegilaan membaca dan menulis' dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting. Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan isu semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi. Kalaupun ada jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu..."

Rasa-rasanya siapa dulu nak ajukan cadangan buat diskusi tentang isu gagasan IFC yang telah diluluskan dan Azlina Joy yang menang di mahkamah di UTM?

Khamis, 22 Oktober 2009

Murtad ; Jalan Penyelesaiannya?


Dalam menghadapi kehidupan serba maju dan arus zaman teknologi yang serba canggih ini, kedudukan agama Islam sebagai anutan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu khususnya semakin lama semakin tergugat dan semakin ramai umat Islam yang murtad. Tanpa kita sedari, sudah banyak ancaman dari luar bahkan semakin bercambah; yang mempengaruhi umat Islam supaya meninggalkan agama Islam. Pengaruh luar ini telah meresap ke dalam kehidupan remaja terutamanya dan menyebabkan mereka mempunyai jatidiri, cara hidup dan pemikiran yang sama sekali bertentangan dengan konsep aqidah dan islam itu sendiri. Lama-kelamaan, mereka akan semakin jauh dari Islam dan seterusnya murtad. Masalah murtad tidak hanya berlaku dalam kalangan dewasa malah lebih teruk lagi remaja yang berada dalam lingkungan umur belasan tahun sudah pun terjebak ke kancah pencabulan aqidah ini. Bahkan sudah ramai menukar agama dengan alasan berbagai faktor. Antara faktor berlakunya gejala murtad ialah lemahnya pegangan agama, jahil tentang aqidah dan hukum-hakam Islam, terpengaruh dengan tawaran kebendaan dan faktor perkahwinan.

Murtad bermaksud meninggalkan atau "keluar" dari sesuatu agama. Orang murtad boleh beralih kepada agama yang lain atau memilih untuk kekal tanpa agama (ateis).Terdapat juga orang yang murtad tetapi masih mengaku kekal dalam agama yang sama. Ini terjadi apabila seseorang itu menolak sebahagian asas kepada agama mereka tersebut tetapi patuh kepada asas yang lain. Dalam Islam, mereka yang mengaku kekal dalam Islam tetapi melakukan perkara yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam dianggap sebagai musyrik.

PENDEKATAN DAKWAH YANG STRATEGIK

Jalan penyelesaian yang dirasakan dapat membendung gejala murtad ini ialah penghayatan Islam harus diterapkan dengan segera dalam kehidupan generasi Muslim. Penerapan Islam ini harus diberi perhatian oleh pihak berwajib terutama Kementerian Pelajaran Malaysia dalam melaksanakan penghayatan Islam dalam kalangan pelajar Islam di seluruh negara dengan seefektif yang mungkin. Ini kerana rata-rata remaja Muslim keluar daripada agama Islam bukan kerana mereka percayakan kebenaran agama-agama lain, tetapi hanyalah sekadar mereka tidak gemar untuk mengamalkan Islam dan merasakan Islam memberi kongkongan dalam kehidupan mereka. Jiwa-jiwa remaja kini haruslah dididik dengan keindahan Islam yang menganjurkan umatnya dengan kebaikan.

Di sinilah sebenarnya peranan golongan agama dalam menambat hati para remaja agar mereka terpikat dan terpaut serta ingin terus berada dalam kebahagiaan beragama Islam. Seorang agamawan seharusnya mencuba pelbagai cara memperkenalkan dan menerangkan keindahan dan kecantikan Islam yang menghadiahkan pelbagai rahmat dan kemudahan serta jaminan kehidupan dunia dan akhirat.

Jika melihat kepada pendekatan agama Kristian misalnya, mereka menarik anak-anak muda dengan menceritakan kebaikan beragama Kristian, mengutarakan betapa pemaafnya Jesus dalam mengampunkan dosa umatnya dengan adanya paderi dan lain-lain seruan dan slogan yang menarik serta menyejukkan hati remaja-remaja yang kosong hatinya dari kasih sayang dan pengisian hidup. Mereka berani mendekati para remaja yang dikatakan bermasalah ini dengan menawarkan pelbagai bentuk bantuan. Walhal kita sudah mengetahui kondisi Islam adalah satu-satunya agama yang diterima Allah s.w.t. Bukanlah mendengarkan kepada remaja dengan kata-kata yang boleh mengekang mereka dari menghayati Islam seperti ‘haram tu, berdosa nanti Allah laknat kamu’ dan pelbagai lagi perkataan yang boleh mematahkan motivasi mereka mencari pegangan hidup yang sebenar. Golongan pendakwah harus mengubah cara pendekatan bagi menggambarkan Islam yang cukup senang dan mudah serta menenangkan.

TUNTUT ILMU AQIDAH YANG BETUL

Tidak ketinggalan juga peranan kita sebagai muslim menuntut ilmu Islam dengan kaedah yang betul dan sahih kerana kejahilan dalam ilmu agama adalah satu punca besar dalam kes murtad ini. Namun, perlulah difahami di sini ilmu yang dituntut itu haruslah ditata dan dihayati agar pengamalan turut diiringi supaya tiada lagi kes seperti Aisyah Bukhari yang memang diakui penuntut ilmu agama namun murtad hanya kerana mencintai lelaki bukan beragama Islam. Kejahilan yang sebenarnya berlaku kepada umat Islam ialah kejahilan terhadap ajaran Islam yang sahih serta mereka dijahilkan daripada mengetahui cara pengamalan Islam yang sebenar sehingga tidak mengetahui keberkesanan agama Islam sebagai panduan hidup yang dapat membimbing manusia menuju kebahagiaan hidup. Walaupun sebenarnya mereka sudah mempunyai asas dan ilmu agama yang sebetulnya, tetapi disebabkan kurangnya penghayatan dan keyakinan terhadap Islam menyebabkan mudah terpesong dan seterusnya murtad.

Sudah menjadi lumrah manusia; bahawasanya iman itu akan bertambah dan akan berkurang iaitu ada naik turunnya. Maka hendaklah mendalami ilmu yang boleh meningkatkan iman seperti ilmu yang menceritakan kebesaran Allah dalam bidang sains misalnya ataupun kisah-kisah umat-umat terdahulu, golongan salafussoleh dsb yang boleh memberi kita pengetahuan dan pengajaran serta teladan. Begitu juga penerangan di dalam Al-Quran yang menceritakan proses pembentukan janin dalam rahim yang sudah diwahyukan 1400 tahun dahulu sebelum terbukti benar dengan kajian sains pada zaman ini dan sunnah Rasulullah seperti panduan baginda dalam perubatan dan nasihat-nasihat baginda berkenaan ilmu kesihatan. Nah, di sini sudah cukup membuktikan Islam adalah agama yang syumul dan harus dianuti! Tingkatkanlah iman dengan membentangkan pengetahuan yang terkandung di dalam kitab suci serta sunnah yang mulia sehingga manusia semuanya menjadi yakin dengan kebenaran Islam dan keaslian agama ini daripada Allah.

KEPENTINGAN PERUNDANGAN ISLAM

Sebelum kita terjun kepada isu hudud atau undang-undang Islam yang memberi hukuman bunuh bagi orang Islam yang murtad, seharusnya kita kaji semula kelemahan para daei dan golongan agama. Ya, pada zaman Rasulullah pun sudah dicatatkan bagaimana hukuman kepada seorang lelaki Yahudi yang memeluk Islam dan kemudian memeluk kembali agama asalnya. Kemudian diperintahkan Rasulullah supaya dibunuh lelaki itu. Tetapi adakah sama pendekatan yang dilakukan Rasulullah dalam menyeru manusia kepada kebenaran dengan penuh kelembutan, sabar dan ikhlas dengan cara para duat kini? Seharusnya Yahudi itu dibunuh selepas mengetahui kebenaran Islam namun masih menafikannya kerana hitamnya hati. Setelah ditutup segala peluang dan potensi yang boleh menyebabkan berlakunya murtad, barulah boleh disandarkan hudud sebagai ancaman terakhir. Perkara ini haruslah diselesaikan dengan pencegahan, bukan sudah terhantuk baru terngadah!

Tidak dapat dinafikan, pelaksanaan undang-undang harus dijalankan bagi membendung gejala murtad ini. Islam menetapkan bahawa negara perlu menghukum orang-orang murtad dengan hukuman bunuh sekiranya mereka enggan bertaubat. Murtad merupakan penghinaan kepada Allah dan Islam, maka selayaknya mereka dibunuh. Namun sebelum hukuman boleh dijalankan, harus ada usaha pencegahan. Dan ini hanya boleh dilakukan melalui sebuah negara Islam yang menerap, memelihara dan mengembang aqidah dan syariah Islam secara total.

Dalam perlembagaan misalnya, merujuk kepada akta 4 (1) FC , undang2 tertinggi (supreme law) di Malaysia ialah perlembagaan persekutuan (federal constitution) yang membawa makna Al-Quran dan Sunnah bukanlah undang-undang tertinggi di Malaysia, bahkan kuasa mahkamah syariah hanya terbatas kepada sifir 3/5/6 iaitu hukuman maksima yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah ialah imprisonment, 3 tahun dan denda sebanyak RM 5000 serta 6 sebatan. Sedangkan mengikut undang-undang Islam, hukuman bagi seseorang yang murtad (jika dia tidak mahu kembali kepada Islam) ialah bunuh! Persoalannya, bagaimana mahkamah syariah mahu menjatuhkan hukuman bunuh sedangkan untuk memenjarakan tertuduh lebih daripada 3 tahun pun tidak mampu?

Kesimpulannya, selagi Perlembagaan Persekutuan menjadi perlembagaan tertinggi di Malaysia iaitu bukan Al-Quran dan As-Sunnah dan selagi Mahkamah Persekutuan yang menjadi mahkamah tertinggi di Malaysia bukannya Mahkamah Syariah maka selagi itulah maruah Islam akan dipermainkan, orang Islam akan sesuka hati menukar agama, dan banyak lagi kes-kes seperti Hartina, Lina joy (Azlina Jailani) Zuraidah bt Hassan (Priyathaseny) akan timbul dan dibicarakan. Sementara itu maruah Islam akan terus dipersendakan dan diinjak oleh si kuffar.

Selasa, 1 September 2009

Free Thinker?


Golongan yang menolak kepercayaan kepada Tuhan ialah golongan yang secara tidak langsung tidak mempercayai kewujudan Tuhan, tidak mengakui bahawasanya alam ini ada penciptanya dan menolak kehidupan beragama. Golongan ini juga selalu disebut sebagai ateis iaitu tidak mempercayai Tuhan dan juga ‘free thinker’, yang bebas berfikir dan memberi pendapat tanpa batasan. Mereka mengatakan bahawa dunia ini terjadi dengan sendirinya iaitu semulajadi. Semestinya kehidupan mereka tidak berkait langsung dengan mana-mana agama mana sekalipun. Golongan seperti ini sentiasa wujud di mana sahaja, bahkan menjadi ancaman kepada mana-mana agama yang secara total mempercayai wujudnya Tuhan kerana fahaman mereka yang menyesatkan itu.

Golongan ini menolak habis-habisan kepercayaan kepada Tuhan. Sedangkan setiap manusia mempunyai naluri dan fitrah bertuhan di dalam diri mereka. Bukti bahawasanya Allah itu wujud ialah alam semesta ini sendiri. Mana mungkin alam yang serba indah dan luas ini tidak ada kuasa yang mengaturnya? Siapakah mengatur perjalanan planet-planet di alam semesta ini? Siapakah pula yang mengatur siang dan malam dengan tepat dan tidak terlewat? Siapakah yang menurunkan hujan dan menerbitkan matahari? Firman Allah S.W.T dalam ayat 13, Surah Fathir yang bermaksud :
“Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah (yang lain dari Allah) tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma. “

Adapun tanda wujudnya Allah Taala ialah dunia ini yang asalnya tidak ada tapi menjadi ada. Pada diri manusia sendiri terdapat banyak tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T.. Di dalam Al-Quran sendiri Allah sudah menceritakan tentang kejadian manusia sepertimana firmanNya yang berikut, ayat 12-14, Surah Al-Mukminun :
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

Golongan yang menolak kepercayaan kepada Allah S.W.T. ini sebenarnya berpegang kepada lojik akal semata-mata dalam banyak pertimbangan kehidupan mereka termasuklah konsep ketuhanan. Mereka percaya bahawa setiap yang wujud ini terjadi hasil fenomena alam dan sentiasa berubah sejak kecil hingga besar dan ini semua terjadi secara kebetulan. Teori inilah menjadikan ramai manusia kufur dengan Allah. Mereka inilah orang munafik, walaupun di depannya sudah tersedia bukti-bukti kewujudan Allah S.W.T., mereka tetap juga berpaling dari hidayah dan tidak mahu mengakui kewujudan Allah. Mereka inilah yang disebut Allah dalam firmanNya yang berbunyi : “Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun). Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.” Surah Al-Baqarah, ayat 17-19.

Mereka juga selalu menanyai kewujudan Allah S.W.T melalui zat Allah. Mereka menafikan kewujudan Allah kerana tidak dapat dilihat, disentuh dan dirasai. Sesungguhnya mereka lupa bahawa akal manusia tidak mampu untuk menanggapi hakikat semua perkara meskipun sudah mencapai tahap kecerdikan yang tinggi. Sehingga ke saat ini akal tidak mampu meraih hakikat sebenarnya kejadian alam ini sekalipun, jadi adakah akal mampu untuk mengetahui bagaimana rupa zat Allah S.W.T.?? Allah S.W.T. sudah menceritakan di dalam Al-Quran bagaimana keadaan Nabi Musa ketika baginda mahu melihat zat Allah S.W.T., firmanNya :
“Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (DzatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada ditempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu". Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajallaNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)".”

Kesimpulannya, dakyah-dakyah golongan ini haruslah dijauhi dari mempercayainya dan dipengaruhi tentangnya. Ilmu agama terutama yang berkaitan dengan aqidah Islamiah dan tauhid, konsep ketuhanan, perlulah dihadami agar kita tidak terjebak mudah dalam fahaman sesat ini yang menafikan kewujudan Allah.

Allah menerangkan (kepada sekalian maklukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbir (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...