Sabtu, 24 Mac 2012

'Masalah Hati'

Masalah hati.


Hati, penjagaannya cerewet sekali. Masalahnya bukan sekadar berkisar tentang hubungan dengan Allah s.w.t. malah dengan manusia juga. Lebih-lebih lagi yang berlawanan jantina. Sememangnya Allah ciptakan fitrah lelaki akan cenderung pada wanita dan begitu juga sebaliknya. Namun, bagi hati-hati yang mencintai Tuhannya dan meletakkan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya, PASTI tidak mahu fokusnya 'distracted' kepada perkara lain yang tidak sepatutnya.

Masalah hati yang dimaksudkan di sini berkenaan dengan kesan kecenderungan antara lelaki dan perempuan dalam skop pembinaan jati diri para daei. Jujur, ini artikel ekslusif. Sebelum mudah melompat dan membuat kesimpulan, eloklah menghadam artikel ini terlebih dahulu. 

Kadang-kadang masalah hati akan mudah bercambah dengan sikap-sikap orang di sekeliling. Bagi orang yang faham, matang dan berilmu, mereka memahami bahawa perkara ini adalah fenomena biasa, ujian untuk orang yang menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan yang paling penting mereka meraikan permasalahan ini dengan cara yang ilmiah dan tidak membesar-besarkannya. Malah mereka akan menolong dan mendorong individu yang mempunyai masalah ini ke jalan yang benar, samada baitul muslim atau proses-proses meneutralkan kembali antara keberadaan fitrah dan fitnah dalam hati.

Namun, lain pula bagi orang yang bersikap sebaliknya atau dengan kata lain, tidak faham, tak matang atau tidak mengetahui adab-adab sebenar dalam hal ini. Mereka kurang sensitiviti, bersikap kurang matang, dan yang paling membarahkan keadaan ; mereka mencambahkan lagi benih-benih masalah hati dengan membesar-besarkannya, mengusik hati dan perasaan, mendorong individu tersebut kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Sepatutnya, langkah sebagai daei diteguhkan dengan iman dan taqwa. Apa saja perkara yang boleh menghalang, menghilangkan fokus sebenar dan mendorong kepada hal-hal yang boleh merosakkan iman dan taqwa, didahului dengan mencegahnya.

Peranan Sahabat. 

Orang di sekeliling atau lebih mesra dinamakan dengan sahabat, sepatutnya mengambil peranan sebagai orang yang FAHAM. Pertama-tamanya, jangan sesekali mengeruhkan keadaan dengan meraikannya dengan cara yang salah. Pandu mereka ke arah cinta yang sebenar dan memberi cadangan yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah. BUKAN dengan mengusik, menunjukkan sikap tidak matang anda dalam hal-hal sensitif seperti ini atau yang paling mendatangkan caca merba, menghebohkan seantero dunia tentang masalah individu tersebut! Di sinilah kepentingan kerahsiaaan dalam menghadapi hal-hal seperti ini. Etika ini, bukan hanya kaunselor saja yang perlu patuh.

Astaghfirullahal 'azhim.

Penyesalan.

Catatan ini merupakan manifestasi penyesalan. Biarpun manusia di sekeliling tetap tidak mengerti betapa sakitnya hati saat dicuit cinta (kononnya), tapi sebenarnya adalah pintu yang membuka lagi pintu-pintu dosa dan kemaksiatan. Biarpun ia sekadar dinilai kecil kesannya oleh manusia lain, tapi bagi diri yang kerdil dan penuh dosa ini tidak mahu menambah lagi berat timbangan sebelah kiri. Tingkah dan perlakuan yang menodai kesucian hati, bukannya meraikan fitrah malah mencambah fitnah. Terasa disiat-siat hati tatkala terkenang kembali saat noda hitam itu muncul.

Sesal. Cukup sekadar itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...