Memaparkan catatan dengan label isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label isu. Papar semua catatan

Sabtu, 30 April 2011

Sumpah Bobrok!


Berani kerana benar, takut kerana salah? Itu pepatah Melayu. Namun lupakah kita pepatah Islam, yang salah mesti diadili, yang menuduh wajib membawa bukti. Fenomena sumpah bukanlah bukti. Dalam Islam juga takut kerana takwa, takut melanggar perintah Allah.

Menanggapi kes video seks yang dipercayai pelakunya adalah salah seorang pemimpin parti pembangkang negara tanpa ilmu dan suluhan agama, ia akan menjadi bobrok sebobrok bobroknya. Dan malangnya, ia telah pun terjadi.

Islam begitu menjaga aib umatnya. Sekalipun ia adalah benar, apatah lagi kalau ia salah. Hal ini perlu dibincang sedalam-dalamnya mengikut landasan ilmu dan fakta, bukan signifikan politik semata-mata.

Sumpah! Memang menyampah. Jarang sekali saya mengulas isu politik dalam penulisan saya. Tapi entah kenapa, dada terasa sesak setiap kali menatap isu-isu semasa negara. Banyak lagi isu yang lebih teruk berkenaan dengan rakyat, sistem sosial dan ekonomi yang kian ter'gadai' tidak diberi perhatian. Saya melihat ini banyak memberi kesan buruk kepada beberapa sistem dalam negara. Maaf, saya bukan berminat mahu tahu siapa benar atau salah dalam hal ini. Jelasnya kepada sistem pendidikan negara. Sejujurnya, saya risaukan yang ini.

Segala penat lelah guru dan tidak ketinggalan juga ibu bapa dalam mendidik dan mengasuh generasi awal kini supaya menghindari segala medium berbentuk lucah dan porno menjadi sia-sia. Hal ini terjadi sebaik sahaja media negara rela menyiarkan satira politik lucah, video seks terpampang mudah. Lebih teruk, akhbar tempatan perdana meletakkan isu-isu seperti ini di muka depan.


Dan apabila kanak-kanak seawal berumur tujuh tahun mula bertanyakan apakah itu seks dan liwat, janganlah sekadar mengurut dada. Cuba bayangkan pula, apa yang bermain di fikiran remaja-remaja kita yang imaginasinya lebih 'canggih'. Sebelum kita pergi jauh kesannya kepada politik negara, mari kita fikirkan terlebih dahulu apakah kesannya kepada generasi kita. Ia seolah-olah "lampu hijau" memberi mereka 'kelulusan' kepada perkara yang merosakkan mereka iaitu porno.

Pemimpin negara lebih memilih untuk berdiam diri. Para agamawan pula terkapai-kapai memberi pendapat. Saya memohon untuk pencerahan diberikan menurut perspektif Islam khususnya perundangan. Bagaimana Islam memandang hal seperti ini dan adakah sepatutnya dihentikan polemik ini atau bagaimana.

Sungguh, saya tidak menolak peranan politik bersih dalam hal ini. Jika politik bersih yakni politik Islam ditegakkan, bukan sahaja pintu fitnah tertutup, perundangan Islam kan lebih telus dan istem pendidikan lebih terpelihara.

Selasa, 1 Februari 2011

Kebangkitan Rakyat Mesir : Saat Sekutu Israel Dijatuhkan Allah


1. Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.


2. Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

3. Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).


4. Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

5. Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

6. Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.


 7. Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...