Sabtu, 30 April 2011

Sumpah Bobrok!


Berani kerana benar, takut kerana salah? Itu pepatah Melayu. Namun lupakah kita pepatah Islam, yang salah mesti diadili, yang menuduh wajib membawa bukti. Fenomena sumpah bukanlah bukti. Dalam Islam juga takut kerana takwa, takut melanggar perintah Allah.

Menanggapi kes video seks yang dipercayai pelakunya adalah salah seorang pemimpin parti pembangkang negara tanpa ilmu dan suluhan agama, ia akan menjadi bobrok sebobrok bobroknya. Dan malangnya, ia telah pun terjadi.

Islam begitu menjaga aib umatnya. Sekalipun ia adalah benar, apatah lagi kalau ia salah. Hal ini perlu dibincang sedalam-dalamnya mengikut landasan ilmu dan fakta, bukan signifikan politik semata-mata.

Sumpah! Memang menyampah. Jarang sekali saya mengulas isu politik dalam penulisan saya. Tapi entah kenapa, dada terasa sesak setiap kali menatap isu-isu semasa negara. Banyak lagi isu yang lebih teruk berkenaan dengan rakyat, sistem sosial dan ekonomi yang kian ter'gadai' tidak diberi perhatian. Saya melihat ini banyak memberi kesan buruk kepada beberapa sistem dalam negara. Maaf, saya bukan berminat mahu tahu siapa benar atau salah dalam hal ini. Jelasnya kepada sistem pendidikan negara. Sejujurnya, saya risaukan yang ini.

Segala penat lelah guru dan tidak ketinggalan juga ibu bapa dalam mendidik dan mengasuh generasi awal kini supaya menghindari segala medium berbentuk lucah dan porno menjadi sia-sia. Hal ini terjadi sebaik sahaja media negara rela menyiarkan satira politik lucah, video seks terpampang mudah. Lebih teruk, akhbar tempatan perdana meletakkan isu-isu seperti ini di muka depan.


Dan apabila kanak-kanak seawal berumur tujuh tahun mula bertanyakan apakah itu seks dan liwat, janganlah sekadar mengurut dada. Cuba bayangkan pula, apa yang bermain di fikiran remaja-remaja kita yang imaginasinya lebih 'canggih'. Sebelum kita pergi jauh kesannya kepada politik negara, mari kita fikirkan terlebih dahulu apakah kesannya kepada generasi kita. Ia seolah-olah "lampu hijau" memberi mereka 'kelulusan' kepada perkara yang merosakkan mereka iaitu porno.

Pemimpin negara lebih memilih untuk berdiam diri. Para agamawan pula terkapai-kapai memberi pendapat. Saya memohon untuk pencerahan diberikan menurut perspektif Islam khususnya perundangan. Bagaimana Islam memandang hal seperti ini dan adakah sepatutnya dihentikan polemik ini atau bagaimana.

Sungguh, saya tidak menolak peranan politik bersih dalam hal ini. Jika politik bersih yakni politik Islam ditegakkan, bukan sahaja pintu fitnah tertutup, perundangan Islam kan lebih telus dan istem pendidikan lebih terpelihara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...