Memaparkan catatan dengan label sikap. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sikap. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Jun 2013

Beramal Sosial

Tak sampai dua minggu, secara tak rasminya menamatkan pelajaran ijazah di kampus. Setelah berhempas pulas menyiapkan PSM a.k.a. Projek Sarjana Muda (atau Projek Sampai Mati! :P) dan assignment yang diberi pensyarah, akhirnya tiba pula peperiksaan akhir semester. Minggu-minggu akhir ni, banyak benda terpacul di ingatan. Mengenang pahit maung 4 tahun di selatan tanah air, mengejar segulung ijazah yang mungkin pada harga ilmunya tidaklah setinggi mana namun tidak sedikit masa, keringat dan wang yang dicurahkan. 

Warna-warni kehidupan yang dilalui sepanjang itu cukup banyak. Mungkin lelah juga kalau nak disenaraikan satu-satu tapi cukuplah diberitahu bahawa; tidak sekadar belajar nak dapat ijazah tapi belajar macamana nak hidup, survive dengan dunia kini yang sangat banyak cabaran. 

Dalam banyak-banyak hal berlaku dalam kehidupan, ada yang betul-betul bagi pengajaran pada diri. Terutama cara pergaulan, cara berinteraksi dengan manusia.

Zaman sekolah dulu, masalah interaksi kurang. Mungkin sebab, suasana dan biah di Maahad yang cukup tenang, aura tarbiyyah cukup kuat di situ. Aura tersebut menerobos tidak kira pada guru, pelajar hatta pak cik tukang kebun sekalipun. Bila dah habis belajar di situ dan ‘berpindah’ ke tempat lain, suasana baru dihadapi, orang baru, budaya dan pemikiran yang baru.

Di sinilah ‘masalah’ bermula. Kalau belajar subjek psikologi sosial, ada 1 topik bincang pasal loneliness. Punca utama loneliness ni berpunca dari kurangnya social skills seseorang individu. Dan banyak lagi punca lain yang mungkin dari sudut Islam, tak berapa nak betul sangat pun. Aku menyedari ‘kelemahan’ tersebut dan cuba menjadikan ‘loneliness’ tersebut sebagai satu nikmat. Hakikatnya, hidup kita tidak pernah keseorangan. Kita ada Allah, selagi mana tindakan kita selaras dengan kehendak Allah. Kalau keseorangan kita disebabkan hubungan dengan manusia bermasalah, yang paling utama untuk diperiksa adalah hubungan dengan Allah. 


Satu perkara yang aku belajar, kita tak boleh paksa orang lain berfikir macam cara kita berfikir. Latar belakang, perkara yang dilalui dalam kehidupan, ilmu dan pengalaman yang ditimba adalah aspek-aspek yang mungkin membezakan kita dengan orang lain. Item-item tersebutlah yang membentuk cara manusia berfikir. So, expect orang untuk berfikir sepertimana cara kita berfikir walaupun kita rasa cara kita berfikir diiktiraf sarjana dunia dan paling ideal dalam sejarah peradaban manusia sekalipun adalah sia-sia.

Lahir dari budaya pemikiran yang ‘pekat’ dan kental menyebabkan lahirnya satu kekurangan yang menjadi kesalahan besar dalam berhubungan dengan manusia ialah ‘aku je yang betul, kau salah’. Menyalahkan, melabel, menghakimi adalah titik tolak menjadikan orang di sekeliling tak pernah berasa selesa. Aku tidak menjadi rahmat pada orang di sekeliling.

Padahal Islam dah ajar, cara yang paling ideal untuk bergaul dengan manusia yang mungkin menyebabkan akulah manusia yang paling bodoh sebab ‘terlepas pandang’. Dan sehingga kini, aku cuba supaya tidak pernah berhenti belajar cara beramal sosial seperti yang Rasulullah ajarkan. Menerima dan kurang menghakimi, mengajar dan kurang menunjuk kesalahan, memahami dan tidak skeptikal. Agar sekurang-kurangnya keberadaan aku dengan manusia lain tidak menjadi ‘azab’.

Kadang-kadang, aku mengimpikan dunia Melayu-Islam di Malaysia yang lebih aman. Dalam aspek pendidikan misalnya, alangkah bestnya kalau kita boleh bawa balik cara orang Barat, Jepun bahkan Korea yang dipalit K-pop semata, cara mereka meladeni kemanusiaan. Ya, mungkin tidak semua namun ada beberapa sudut yang kita banyak ketinggalan. Yang paling signifikan, apa yang mereka amalkan adalah sangat sejajar dengan ajaran Islam. Cara mereka menyusun sistem pendidikan, berinteraksi dengan manusia, cara mereka address sesama mereka dalam hirearki masyarakat, bagi aku agak mengagumkan. Walaupun pada syariatnya, mereka mungkin dilihat ‘ketinggalan’ jauh namun apa yang beza sangat dengan kita kalau Islam kita mungkin hanya pada kad pengenalan, tudung, jubah dan kopiah tapi cara kehidupan kita kosong dari sunnatullah.

sekadar gambar hiasan yang banyak maknanya

Nabi tak pernah kata pada siapa-siapa pun, ‘kau salah yang ini, kau tak patut macam ni, kau ni bodoh!’ tapi nabi tunjuk cara yang betul. Nabi demo depan-depan orang yang buat salah tu. Kata-kata nabi tak pernah mencederakan perasaan orang yang di sekelilingnya. Rasulullah tegas dengan caranya yang tersendiri, yang tak pernah sekali-kali orang di sekelilingnya berasa direndah-rendahkan, dipijak atau dihina. Memang sah baginda adalah rahmat untuk sekalian alam! Bahkan cara nabi bersiasah dan berhadapan musuh pun menjadi art of war yang paling ideal dalam sejarah. 

Benda-benda ni lah yang aku rasa banyak lagi yang aku kena belajar. Pembudayaan pemikiran dan pengamalan sosial yang baik boleh melahirkan masyarakat yang lebih aman. Benda-benda ni jugak takkan terjadi kalau cara pendidikan kita tidak dibaiki selari dengan apa yang Islam nak.

Kita tidak mahu terpalit dengan isu payah menyelami hati mad'u semata. Mungkin ada sesuatu yang kita tinggalkan, yang perlu kita kutip kembali. Sunnah beramal sosial seperti ini;



Selasa, 8 Januari 2013

Idea Kena Senyap

Idealisme dibina dengan membaca dan melalui proses pembelajaran. Capaian idea bukan sekadar pidato malah kepada penulisan, video dan seumpama dengannya. Kadang tidak perlu berkata banyak, satu paparan atau perkataan bisa menyampaikan berlapis-lapis mesej.

Sedia rentak tempur redah onak lumpur
Maju tiada undur tak kenal uzur
Hingga jasad kita terkubur
Kalau kurang kaki tangan
Lutut dan siku dihulur
Ini malam kita pakai tanjak sonsang
Askar jati gerak senyap yang lain berkompang
Berani segerombolan tak takut bila seorang
Kuatkan benteng jangan biar ada yang berlobang 


Jadi bangkit berkumpul di bawah panji berbulan sabit
Tak sujud pada sesiapa di bawah langit
Tak mengalah walaupun bertambah sakit
Sebelum layar bahtera mari kita
Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian


-Petikan lirik lagu Bangkit oleh Altimet, DJ Fuzz & Salam

Semampu manakah idea sebegini boleh disenyapkan? Adakah dengan ugutan nyawa dan ancaman kelaparan bisa mensilentkan sebuah idea dan pemikiran? Silap sekali sesiapa berfikir demikian. Doktrinisasi dan kaderisasi akan hancur ditelan arus pembawakan idea dan pemikiran. Kebebasan berfikir dan percambahan idea tidak hanya terletak pada melontarkan hak bersuara tapi pada hak sebesar-besar nikmat yang Allah berikan iaitu hak BERFIKIR.





p/s : Aku harap mesej aku 'jelas'

 

Selasa, 7 Ogos 2012

Muhasabah Ramadhan

30 Ramadhan 1426

Hari ini, hari terakhir aku mengerjakan ibadah puasa. Hari ini adalah hari terakhir aku menghirup udara di bulan penuh barakah ini. Hari ini ialah hari terakhir pahala dan dosaku digandakan. Hari ini, hari terakhir aku menatap wajah jejaka Ramadhan!

Wajahku duka, sayu melihat dia mengemas pakaiannya, mengebas capalnya. Seraya wajahnya yang berseri bulan purnama tersenyum padaku.

"Jangan sedih, doakan ini bukanlah pertemuan yang terakhir."

Aku peluk wajah Ramadhan. Kehangatan ku rasa, belai cinta Rabbul Izzati mengusap kemudian mengelus wajah dukaku yang penuh dosa.

Ku tangisi perpisahan ini.

1 Ramadhan 1428

Hari ini Ramadhan menjelmakan dirinya. Hatiku kegirangan tatkala mendengar pengumuman bermulanya puasa pada malam semalam. Tatkala itu, bertambahnya sinar kebahagiaan pabila mendengar azan subuh berkumandang gah pada pagi 1 Ramadhan di Masjid Muhammadi. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi peluang sekali lagi kepadaku menatap kembali wajah cemerlang Ramadhan dan mendakapnya; melepaskan kerinduan yang terperam beratus hari lamanya.

Bulan barakah ini adalah bulan kerinduan para muwahhidun, yang padanya bisa diratah ibadah, bisa dipinta selautan rahmat dan maghfirah.

Aku berkira-kira, adakah sebetulnya aku merindui Ramadhan?

18 Ramadhan 1433

Malam ini dibaluti sunyi. Mula memuhasabah diri. Ramadhan yang kian berbaki. Lailatulqadr, entah aku ketemu atau tidak. Atmosfera pesimis menghembus. Tuhan, aku bukan hamba yang baik bukan?

Sukar diurus. Ketenangan bulan barakah ini bukan milikku.

Ingin memberitahu sesuatu tapi bibir kelu. Ingin menyapa seseorang tapi hanya menghela dengan pandangan kosong. Ingin mengetuk pintu cinta Tuhan tapi terasa malu dan mahu sembunyi?

Lalu lirik lagu Ramadhan 2 Zaman aku ulang-ulang. 

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga...

Lantas sebuah hadis terngiang-ngiang, minta dinukilkan;

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, 'Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'.

(HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban)

Nah, mampukah hati merasa tenang mendengar perkhabaran ini? Jika berlalunya Ramadhan namun dosa kita tidak diampunkan, maka kita didoakan oleh Jibril AS sebagai celaka. Diaminkan pula oleh Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang pernah wujud di muka bumi ini.

Dan perubahan tidak akan terjadi selagi tubuh tidak dihayun melakukan tindakan!

Ramadhan Kareem.
 

.

Khamis, 5 Julai 2012

Muslimat Lembik? Sudah-sudahlah...

Entahlah, kadang-kadang saya rasa bab-bab BM boleh jadi lialibiliti besar pada muslimat kalau tidak diurus dengan baik. Mudah kata muslimat akan memang jadi lembik kalau macam ini caranya.

Maaf, jika perkataan lembik di situ kasar bunyinya. Sekadar untuk 'menggegarkan' minda orang perempuan agar tidak meletakkan punca masalah pada orang lain, kalau penyelesaiannya sudah ada di tangan kita sendiri.

Seorang sahabat saya pernah mengadu, memberitahu pelbagai usaha yang beliau lakukan demi mendapatkan pasangan yang baik malah dikatakan sefikrah dan sejemaah. Namun, usahanya menemui jalan buntu kerana dikatakan muslimin ni memilih, mencari yang ayu-ayu saja dan sebagainya. Beliau kecewa, menyalahkan pihak 'sana' kerana taste mereka yang tinggi sehinggakan muslimat yang biasa-biasa saja lahiriahnya terpaksa mencari pasangan yang bukan sefikrah.

Saya merasakan keperluan, citarasa dan kehendak seseorang itu berbeza. Kecenderungan seseorang pada ciri-ciri tertentu itu merupakan fitrah dan sama sekali tidak boleh dipersalahkan. Malah jika seorang lelaki hanya melihat faktor fizikal perempuan semata-mata pun saya tidak berasa pelik. Mereka memilih yang cantik di pandangan mereka, itu hak mereka. Muslimat tidak perlu berasa hal itu memberi kesan lantas melarakan hati kerana sudah termaktub bahawa jodoh itu telah sedia tertulis di Luh Mahfuz.

Saya menulis ini kerana saya juga seorang perempuan yang mempunyai keperluan dan kehendak sama dengan sahabiah sekalian. Saya dapat merasakan apa yang kalian rasakan namun kita tak perlu membiarkan faktor luar mempengaruhi cara kita menyelesaikan masalah. Proaktif dan positif, bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Bahagia, derita, gembira, sedih adalah pilihan kita sendiri, atas tindakan kita sendiri.

Usaha yang sebenar-benarnya seorang muslimat dalam mencari jodoh yang baik (selain usaha teknikal) ialah mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan. Usaha untuk men'solehahkan' diri lebih dituntut. Namun, ramai dari kita mengabaikan perkara ini.

Liabiliti yang saya maksudkan di atas ialah apabila muslimat fikir kesempurnaan BM ini hanya dengan mendapatkan pasangan sefikrah sejemaah, maka kebahagiaan mutlak dapat dicapai. Muslimin salah bila letak demand tinggi-tinggi dan muslimat juga salah bila terlalu fikirkan demand muslimin dan akhirnya jadi takut dan plastik.

Malah, orang tengah (unit BM) berperanan hanya mempermudahkan untuk meraikan fitrah, bukannya untuk menjodohkan. 

Suka saya untuk kongsikan petikan beberapa perenggan dari artikel Ustaz Hasrizal berkenaan dengan ini;

"Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbbang untuk berumahtangga dengan pasangan 'itu' walaupun mungkin 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya. 

Apa yang dibimbangkan, jika berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI." 

Kesimpulannya, jangan sesekali kita ketepikan usaha MENJADI di samping usaha MENCARI. 

Takdok benda hok jatuh kecuali ada hok jung kutip


Jodoh ini rahsia Allah, Allah yang tetapkan.
Dan siapa lagi yang tahu apa yang baik untuk kita kecuali Allah?


Bahkan kata pujangga, "Jangan letak syarat dalam cinta kerana bila bertemu yang berkenan di dada, semua syarat itu hilang maknanya." 


Paling penting, jangan lupa letak cinta Allah paling utama, nescaya bahagia itu tak perlu dicari tetapi bahagia akan mencari kita. 

Tuntasnya 

Suka sekali saya mengajak sahabat sahabiah sekalian memuhasabah diri.

Apa matlamat hidup kita? Ia sudah pun termaktub indah pada ayat 56, surah az Zaariyat. Ia mematri kita untuk meletakkan seluruh kecintaan kepada yang utama. Kehidupan yang Allah beri pada kita hari ini merupakan wasilah atau cara kita mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar benda. Semua tidak terlepas dari perkiraan Allah.

Dalam soal jodoh dan pertemuan pun, ia tetap berupa WASILAH, bukan matlamat. Sekalipun Allah tidak beri setelah kita berusaha, cinta kita kepada Allah tetap tidak berkurang.

Moga Allah beri kita sekian petunjuk, agar kita tidak terkeliru antara wasilah dan matlamat.

.

Rabu, 25 April 2012

Sebenar-benarnya Penjara

Sangat tepat pesanan Hasan al-Hudhaibi ;

“Penjara bukanlah tembok tebal atau jeriji besi. Penjara yang sebenarnya adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian”. 

Ternyata sekalipun jasad para ulama’ terpenjara, namun perasaan dan fikiran mereka ternyata masih bebas merdeka. Pemerintah zalim gagal memenjarakan perasaan dan fikiran mereka. Sehinggakan para ulama’ yang dipenjara mampu menghasilkan buah tangan yang terlalu istimewa tatkala mendiami tirai besi untuk seluruh umat Islam yang tercinta.

Diari asam garam perjalanan hidup Syeikh Abdul Aziz al-Badri penuh dengan warna-warni. Beliau tidak keberatan untuk mencoretkan kisah yang dihadapinya tatkala menulis kitab‘al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam’. Pada muqaddimah kitab tersebut, beliau menceritakan segala-galanya; “Sesungguhnya aku (Sheikh Abdul Aziz al-Badri) ditahan secara paksa di rumahku selama setahun. (Zaman pemerintahan Abdul Karim Qasim pada 2 Disember 1959 dan dibebaskan pada 2 Disember 1960) Bagi aku penahanan ini merupakan satu nikmat Allah s.w.t kepada ku. Pada waktu itu, aku sempat menyelidiki buku-buku sirah, sejarah dan sejarah hidup para ulama’ Islam. Aku lakukannya untuk mengetahui pendirian dan prinsip ulama’ salafussalih bersama pemerintah disepanjang kewujudan Daulah Islamiyyah sejak ia dibangunkan oleh penghulu kita Rasulullah s.a.w yang mulia di Madinah Al-Munawwarah sehinggalah orang-orang kafir menghapuskan Daulah Islamiyyah pada tahun 1343 Hijrah. Pengetahuan terhadap sejarah mereka yang merupakan pendorong untuk aku menulis pendirian itu samada secara ringkas dan menyeluruh serta aku mengumpulkannya dengan perkara yang termampu bagiku dan bantuan taufiq dari Allah s.w.t kepadaku.

Apabila aku ditahan buat kali keduanya, (Pada 7 Ogos 1961 dan dibebaskan pada hari pengampunan pada 4 Disember 1961), aku memohon pertolongan kepada Allah s.w.t agar mengemaskini tulisan ku ini dengan memilih perkara yang sesuai dan memberi komentar terhadap tulisannya agar penulisan ini dalam ruang lingkup perbincangan dan tidak keluar dari dasar penulisannya. ..”. Akhirnya dari penahanannya membuahkan kitab al-Islam Baina al-Ulama’ wa al-Hukkam.


Lebih hebat lagi dapat kita perhatikan pada seorang fuqaha' besar daripada al-Hanafiah; Syamsul A‘immah As-Sarkhasi. Beliau telah berjaya menghasilkan sebuah kitab fiqh yang mempunyai 30 jilid tatkala beliau dipenjarakan di penjara 'Bauzajund'. Kitab ini dihasilkan tanpa dirujuk mana-mana kitab-kitab lain. Bahkan kitab ini disiapkan dengan buah fikirannya dan disalin kembali oleh murid-muridnya yang berada di atas tembok penjara. Akhirnya kitab yang 30 jilid ini dapat disiapkan sehinggakan diakhir suatu bab dituliskan; "telah selesailah syarahan berhubung dengan 'al-aqrar' yang mengandungi pelbagai rahsia didalamnya, ia disiapkan oleh seorang yang tahanan yang dikelilingi oleh banduan". Betapa berkuasanya Allah Yang Maha Agung. Ketakjuban ini dihikayatkan dalam al-Fawaid al-Bahiyyah Fi Tarajim al-Hanafiah.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah tidak ketinggalan untuk membawa buah tangan dari penjara. Tatkala menempuh hidupnya di penjara Qal'ah yang menjadi tempat terakhir kehidupannya. Beliau mengisi waktu yang ada dengan beribadah kepada Allah s.w.t, membaca al-Quran. Bukan setakat itu, bahkan puntung-puntung kayu yang menjadi arang dijadikan pena bagi menulis kitab-kitab serta menjawab terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh penentang-penentang nya. Namun setelah pemerintah mendapati sebahagian daripada kitab beliau mendapat sambutan, pemerintah pun menegah beliau dari menulis dan membuat sebarang kajian. Peristiwa ini disematkan dalam Tazkiratul Huffaz oleh Ibnu Abdul Hadi.

Suatu mutiara kata yang sangat bermakna pernah terbit dari mulut Imam Ibn Taimiyyah sebagaimana yang diceritakan oleh muridnya Imam Ibn Al-Qayyim Al-Jauzi yang turut dipenjarakan bersama beliau;

"Banduan yang sebenar ialah mereka yang hatinya terpenjara dari tuhannya, manakala orang tawanan yang sebenar ialah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya!". 

Terdetik sejenak, adakah kita sekarang seorang banduan atau tawanan? Atau benar-benar bebas dan merdeka?

dipetik dari solleh-fatimi.blogspot.com

Sabtu, 24 Mac 2012

'Masalah Hati'

Masalah hati.


Hati, penjagaannya cerewet sekali. Masalahnya bukan sekadar berkisar tentang hubungan dengan Allah s.w.t. malah dengan manusia juga. Lebih-lebih lagi yang berlawanan jantina. Sememangnya Allah ciptakan fitrah lelaki akan cenderung pada wanita dan begitu juga sebaliknya. Namun, bagi hati-hati yang mencintai Tuhannya dan meletakkan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya, PASTI tidak mahu fokusnya 'distracted' kepada perkara lain yang tidak sepatutnya.

Masalah hati yang dimaksudkan di sini berkenaan dengan kesan kecenderungan antara lelaki dan perempuan dalam skop pembinaan jati diri para daei. Jujur, ini artikel ekslusif. Sebelum mudah melompat dan membuat kesimpulan, eloklah menghadam artikel ini terlebih dahulu. 

Kadang-kadang masalah hati akan mudah bercambah dengan sikap-sikap orang di sekeliling. Bagi orang yang faham, matang dan berilmu, mereka memahami bahawa perkara ini adalah fenomena biasa, ujian untuk orang yang menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan yang paling penting mereka meraikan permasalahan ini dengan cara yang ilmiah dan tidak membesar-besarkannya. Malah mereka akan menolong dan mendorong individu yang mempunyai masalah ini ke jalan yang benar, samada baitul muslim atau proses-proses meneutralkan kembali antara keberadaan fitrah dan fitnah dalam hati.

Namun, lain pula bagi orang yang bersikap sebaliknya atau dengan kata lain, tidak faham, tak matang atau tidak mengetahui adab-adab sebenar dalam hal ini. Mereka kurang sensitiviti, bersikap kurang matang, dan yang paling membarahkan keadaan ; mereka mencambahkan lagi benih-benih masalah hati dengan membesar-besarkannya, mengusik hati dan perasaan, mendorong individu tersebut kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Sepatutnya, langkah sebagai daei diteguhkan dengan iman dan taqwa. Apa saja perkara yang boleh menghalang, menghilangkan fokus sebenar dan mendorong kepada hal-hal yang boleh merosakkan iman dan taqwa, didahului dengan mencegahnya.

Peranan Sahabat. 

Orang di sekeliling atau lebih mesra dinamakan dengan sahabat, sepatutnya mengambil peranan sebagai orang yang FAHAM. Pertama-tamanya, jangan sesekali mengeruhkan keadaan dengan meraikannya dengan cara yang salah. Pandu mereka ke arah cinta yang sebenar dan memberi cadangan yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah. BUKAN dengan mengusik, menunjukkan sikap tidak matang anda dalam hal-hal sensitif seperti ini atau yang paling mendatangkan caca merba, menghebohkan seantero dunia tentang masalah individu tersebut! Di sinilah kepentingan kerahsiaaan dalam menghadapi hal-hal seperti ini. Etika ini, bukan hanya kaunselor saja yang perlu patuh.

Astaghfirullahal 'azhim.

Penyesalan.

Catatan ini merupakan manifestasi penyesalan. Biarpun manusia di sekeliling tetap tidak mengerti betapa sakitnya hati saat dicuit cinta (kononnya), tapi sebenarnya adalah pintu yang membuka lagi pintu-pintu dosa dan kemaksiatan. Biarpun ia sekadar dinilai kecil kesannya oleh manusia lain, tapi bagi diri yang kerdil dan penuh dosa ini tidak mahu menambah lagi berat timbangan sebelah kiri. Tingkah dan perlakuan yang menodai kesucian hati, bukannya meraikan fitrah malah mencambah fitnah. Terasa disiat-siat hati tatkala terkenang kembali saat noda hitam itu muncul.

Sesal. Cukup sekadar itu.

Jumaat, 30 Disember 2011

Akhlak Kita

Akhlak buruk orang tak suka. Allah lagi tak suka. Kita ni banyak sangat cakap tapi tak buat. Kita nak orang buat macam ni macam tu kat kita tapi kita sendiri terhadap orang lain?

Pentingkan diri sendiri. Rasa diri lagi mulia dari orang lain. Akhlak nabi ke tu?
Kalau betul kita sayangkan baginda, selawat hari-hari tapi sunnah mulia Nabi kita tinggalkan; apa erti mengaku baginda pesuruh Allah?

Kita yang banyak bercakap dan buat kesimpulan sendiri. Melahirkan sangka-sangka buruk yang macam-macam. Mencanang kesalahan-kesalahan manusia yang kita sendiri buat. Ibarat mencalit lumpur ke muka sendiri. Mengadu domba, membuka aib dan rahsia, bercakap bukan perkara benar… aduh, sejauh mana kita mampu pergi dengan akhlak sebegini? Akhirnya kita terperosok. Allah tak pandang, manusia menyampah. huh

Dan akhirnya aku tersedar. hem

Rabu, 28 Disember 2011

Aku sedang FUTUR


Aku sedang futur,
solatku umpama persinggahan hambar,
puasa?
Ah, perutku tak tahan lapar,
malamku berlalu tanpa qiamullail,
mushafku tersisih tagih perhatian,
catatan amalanku mengeluh hampa.

Aku sedang futur,
melangkah ke jilsah terasa susah,
mendengar pengisian terasa muak,
aku mahukan bebas dan rehat,
bukan langkah yang sering diatur,
bukannya taklifan yang sering membeban.

Aku sedang futur,
bermalas santai menonton filem,
bertukar cerita berbual kosong,
lebih ku suka dan ku damba,
dari ziarah yang belum tentu hasilnya,
dari tazkirah yang belum pasti penerimaannya.

Aku sedang futur,
dakwah bagai merampas segala,
studyku, wangku, masa lapangku,
amar maa'rufku bukannya dipeduli,
nahi mungkarku dibiar sepi,
jadi, untuk apa aku bertahan lagi?

Ya, aku memang sedang futur!
Tapi kenapa kalian menjauh?
Mengapa tiada tangan yang menghulur,
memaut bahu berkongsi kekuatan,
menutur mau’izah mendamai jiwa?
Bukankah kita umpama bangunan,
saling menguatkan pabila lemah,
saling memperingat tatkala lupa?

-quoted


 Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Selasa, 27 September 2011

Sentimental



Tiba-tiba tersentimental. Ah, sesekali. Alunan piano kadang memberi kelainan. Kesannya kepada jiwa juga asing dan tak pernah dirasai.

Orang kata jiwa halus ni sentimental. Jiwanya sensitif dan mudah terasa. Namun seseorang yang berjiwa halus, mudah terasa, sensitif dan sentimental ini ialah bukan orang yang sempit jiwanya, kebudak-budakan nilainya, pesimis orangnya.

Jiwa yang halus dan sensitif tidak bermaksud emosi berlebih-lebihan. Ia adalah jiwa yang peka dengan keadaan sekeliling. Jiwa ini harus ada pada daei yang menanggapi umat.

Marilah kita berjiwa sentimental tanpa negatif ragu!

Ahad, 25 September 2011

Revolusi Penghujung September

September yang kian berpenghujung, blog yang kian bersawang dan sunyi dari bebelan pemiliknya. Tulisan yang menggugah jiwa dan mencerna minda kian kering dakwatnya. Facebook kian berpengaruh walaupun aplikasinya selalu munafik berubah. Malam minggu ku gagahkan diri sign in akaun blog dan akhirnya tulisan-tulisan ini terpapar.

Perkara-perkara yang sering aku lupakan akan mudahnya menjelma dalam minda pada waktu dan ketika ini. Malam menjadi waktu berehat dari ribut dan kabut siang yang menghijab ketajaman pena.

Melihat dan memerhati manusia sekeliling menghantar ku ke dunia penilaian. Aku bukanlah menilai dan kemudian melabel tidak tentu hala. Cuma aku beringat, yang aku tidak sesekali menghipokritkan diri menghakimi manusia lain dan kemudian tanpa sedar seperti dihipnosis meniru perbuatan yang sama.

Klise.

Tidak sesekali aku biarkan suasana sekeliling mengemudiku! Jiwa hamba yang matang tidak akan reaktif dengan suasana kehidupan yang mendatang. Menjadi proaktif, tidak semata-mata menyalahkan keadaan sekeliling kerana kebungkaman yang mencengkam.

Seboleh-bolehnya aku tidak mahu unsur klise, stereotaip bertamu di  revolusi sikapku.

Tamat.

Rabu, 3 Ogos 2011

Ubat Mengantuk

Akhirnya saya mengerti. Ubat paling mujarab untuk orang yang mengantuk ialah tidur!


Mengantuk mesti tidur.

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk ketika sembahyang, hendaklah dia itu tidur sehinggalah dia tahu apa yang dibaca akan dia” – riwayat al-Bukhari.

Apakah ada urusan yang lebih penting daripada solat? Sedangkan solat juga jangan sampai melanggar hukum alam ini.

Seringkali saya akan menyalahkan diri sendiri kalau kepala sudah mula terangguk-angguk di dalam kelas. Gejala mengantuk saya sudah diketahui rakan-rakan dan mereka sudah lali melihat saya menahan ngantuk. Dari sekolah menengah hinggalah ke kampus. Gejala mengantuk saya bagai tiada ubatnya, meskipun saya berusaha untuk tidur awal sebelah malamnya dan cuba untuk tidak berjaga.

Hakikatnya, lesu itu tanda penyakit. Mengantuk tak bermakna tidak cukup tidur. Mungkin tidur tidak berkualiti dan kemudian mencambah kelesuan. Saya persetankan anggapan manusia. Mengantuk bukan kehendak saya.

Mungkin kena ubah tajuk entry di atas. Sebetulnya mencari ubat kelesuan. huh

Isnin, 2 Mei 2011

Budak Pondok

"Farid, tolong jelaskan kat Kak Yang bab Tauhid Tiga tu. Kenapa ia jadi perbahasan? Berlawanan ke konsep tu dengan sifat 20?", tanya saya bertalu-talu kepada adik lelaki saya, Farid.


Budak pondok itu hanya tersenyum dan menghiling kepalanya berkali-kali. Setiap kali saya bertanyakan tentang hal-hal agama, dia sebolehnya mengelak dan berkata, "Farid dok cukup ilmu lagi, Yang." Namun, selepas beberapa kali didesak akhirnya dia mengalah dan mula menjelaskan satu persatu. Walaupun pada peringkat awal, agak susah juga untuk saya memahami penjelasan tersebut, lebih-lebih lagi kalau Farid mula mengambil mana-mana kitab yang telah dipelajarinya dan menterjemahkan isi kitab kepada saya dalam bahasa Kelantan pondok yang ada "maka terjadilah sesuatu itu dengan sesuatu yang lain" (erk?). Begitu pun, Farid, seorang budak pondok ada kepakaran khusus bagi menjelaskan kepada saya.

Biasanya, dia akan menerangkan sesuatu perkara dengan begitu mudah dan jelas sekali kepada saya. Aura murabbi terasa. Tak dapat saya nafikan budak pondok ada kelainannya berbanding dengan lepasan institusi agama yang lain.

Beberapa tahun yang lalu, saya cukup prejudis dengan pondok. Kerana pada waktu itu, Farid pernah mengambil keputusan drastik berhenti sekolah semata-mata mahu meneruskan pengajian di pondok. Dia nekad meninggalkan alam persekolahan ketika akhir tahun dia berada di tingkatan 2 di Maahad Muhammadi (L). Sebelum itu, dia tinggal di rumah sewa berhampiran dengan kawasan Pondok Pasir Tumboh dan belajar secara tidak formal di pondok setiap kali pengajian waktu hujung minggu semasa tingkatan 2.

Ibu saya pula jenis yang tidak suka memaksa anak-anaknya dan dia meredhai adik saya berhenti sekolah serta mengikuti pengajian di pondok sepenuh masa walaupun jauh dari sudut hatinya, dia lebih suka Farid bersekolah. Namun, tidak bagi saya. Hampir setengah tahun rasanya saya terasa 'jauh' dengan budak pondok itu sedangkan dalam kalangan adik beradik, Farid adalah adik yang paling rapat dengan saya. Setelah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah, dia akhirnya pulang dan pada waktu itu saya 'memboikot' dia selama 3 hari. Sungguh, saya cukup tidak setuju dengan tindakannya. Sementelahan pula, dia cuba membawa 'dakwah' pondoknya ke rumah dengan menegur kami adik beradik dengan keras sekali.

Saya mempersoalkan kerelevanan dia untuk tidak bersekolah. Farid menolak mentah-mentah sekolah boleh memberi pendidikan terbaik kepadanya. Pandangannya yang ekstrim dan lebih malang lagi dia berpendapat sekolah arus perdana sebagai keduniaan dan sebagainya. Bagi dia, pondok lebih membawa erti pendidikan yang sebenar dan tidak bersifat exam-oriented seperti sekolah. Ya, saya faham kebobrokan sistem pendidikan yang ada, namun keperluan untuk mengikut arus zaman tidak boleh diketepikan.

Fenomena yang biasa berlaku. Budak baru belajar katakan. Selepas beberapa bulan kemudian, barulah ia mula berkurangan. Mungkin hikmah yang telah ditunjukkan abang dan kakak dalam meladeni jiwa remajanya.


Akhirnya, budak pondok itu 'insaf' dan mengembalikan senyuman kepada ahli keluarganya. Kami boleh berdiskusi secara ilmiah dengan baik, mengambil buah hikmah dan pada masa yang sama Farid mula mengakui pendidikan perdana negara mempunyai kepentingan dalam hidupnya. Kini, dia sudah kembali ke alam persekolahan dan sedang bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini.

Saya lihat kombinasi yang indah selepas dia mula positif untuk bersekolah kembali. Pengalaman berdepan dengan kekerasan kepala seorang remaja lelaki berumur 15 tahun 'membuka' luas mata saya untuk tidak menidakkan kepentingan sistem pengajian pondok. Kombinasi yang sangat signifikan. Sungguh, saya tak nafikan pengaruh pondok ke dalam rumah saya. Aura tarbiyah yang dibawa oleh Farid ke dalam keluarga kami sungguh menambat hati. Proses tarbiyyah ruhiyyah dijalankan secara konsisten dan suasana di rumah terasa lebih tenang dengan kehadiran Farid.

Farid menjadi tempat rujukan saya dan adik beradik yang lain tentang hukum hakam berkaitan agama. Suasana ilmiah dalam perbincangan yang sihat dapat dirasai. Kami berkongsi pelbagai pendapat dan perkara. Saya amat menyukai gaya penerangannya dan ia secara tidak langsung memberi perspektif positif dan motivasi kepada saya tentang pembelajaran di pondok. Saya berasa lebih selesa berbanding dulu untuk membuka kitab lama dan bolehlah sikit-sikit cuba belek dan baca.


Tidak saya nafikan, sistem pengajian pondok mempunyai nilai tarbiyah yang sangat tinggi. Penuntutnya bukan saja melalui jadual belajar yang padat, malah beberapa corak pendidikan yang saya fikir sepatutnya ada dalam sistem pendidikan negara sudah terlebih dahulu mengakar umbi dalam sistem pondok. Fokus sistem pencapaian pondok bukanlah dinilai pada A berderet-deret, bukanlah bersifat exam-oriented semata-mata tapi pada perkembangan ilmu yang berlaku seiring dengan potensi akhlak hasil dari tarbiyah pondok itulah yang menjadi ukuran. Ia bisa melahirkan penuntut ilmu yang benar-benar ikhlas dan bukan berjenama duniawi. Sistem pondok melahirkan ulama' yang bukan saja faqih malah dapat membantu dalam mendidik masyarakat.

Namun, beberapa teguran ringan patut saya lontarkan di sini. Pelajar pondok seharusnya menjenguk keluar dan melihat kepada ilmu moden. Gabungan 2 sistem pengajian ini dilihat mampu melahirkan seorang Ulama' yang bisa mendepani cabaran semasa. Pelajar pondok bukan berada dalam atma ketenangan tetapi mampu mendepani cabaran yang ada di luar sana hari ini. Dakwah yang akan dipantulkan bakal menghasilkan gabungan yang luar biasa.

Budak pondok juga seharusnya tidak terlalu ekstrem atau terlampau taksub sehingga tidak mampu menerima pendapat orang lain. Sedarilah bahawa perpecahan dan perbezaan pendapat itu adalah 2 perkara yang berbeza. Harus diingat, yang membawa kepada perpecahan itu adalah kerana tidak menghormati perbezaan pendapat.

Rabu, 30 Mac 2011

Kemenangan Adalah Milik Allah

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.

Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.

Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!


Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.

Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.

Wallahua'lam.

-Artikel Iluvislam

Rabu, 15 Disember 2010

Kuasa Perubahan

Muharram menjengah, satu perkataan yang tertera di minda kita. Hijrah… Apa lagi yang mahu diperkatakan tentang Hijrah?

Menjengah tahun baru Islam, Muharram sekali lagi dikenang. Azam baru mula kita perdebatkan memberi landasan kepada tindakan-tindakan yang bakal dilakukan demi menunaikan azam. Namun, sejauh mana langkah perubahan yang diorak menjadi persoalan. Sekian banyak tahun berlalu meninggalkan diri kita terpinga-pinga dengan perubahan-perubahan fizikal, akhirnya kita tersedar pembangunan mental, jatidiri dan pegangan, cara kita memandang diri dan kehidupan mengalami retardation - tidak berkembang dan tak membangun seperti mana pesatnya perubahan fizikal kita.

Akhirnya, azam hanya tinggal azam semata-mata.


Ada sesuatu yang payah dalam diri kita, yang payah lebih payah dari apa-apa saja yang payah, iaitu melakukan perubahan.

“Hijrah umat Islam yang pertama adalah hijrah gerombolan Mekah mendapatkan perlindungan di Habshah, semasa perjanjian Aqabah, Nabi SAW menerima ikrar setia dari rombongan Yathrib, Baginda SAW bersembunyi bersama-sama Abu Bakr di Gua Thur….”, semua penjelasan secara naratif ini boleh dirujuk di pelbagai sumber yang ada. Bahkan saban tahun kita sering mengulanginya. Namun, apakah lagi yang boleh kita belajar dari Hijrah itu?


Berhijrah sepertimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dari Makkah ke Madinah bukanlah escapism iaitu melarikan diri dari masalah sebagaimana fikrah picisan orientalis-orientalis Barat itu. Hijrah adalah signifikan mudah dan ibrah metah yang Allah lontarkan ke atas kepala dan pundak kita.

Selepas peristiwa pembukaan kota Makkah, tiada lagi hijrah yang sama dilakukan baginda s.a.w. dan para sahabat. Namun, hijrah yang lebih maknawi dituntut demi menjana kecemerlangan diri sebagai muslim yang bertaqwa.

Mungkin kita boleh alih tumpu perspektif hijrah kita kepada proses perpindahan diri kita dari zon selesa (comfort zone) ke zon yang mencabar (courage zone).


Perubahan bukanlah satu pilihan, namun ia menjadi satu kemestian. Berubah menjadi lebih baik, kemudian menjadi hebat juga bukan pilihan. Ia satu kemestian. Kerana hanya orang yang hebat saja yang layak untuk menghuni syurga. Jikalau kita tidak mahu 'memilih' syurga sebagai destinasi terakhir kita dan tidak mahu menjadi hebat untuk ke syurga, maka ke tempat manalah lagi yang kita tuju selain syurga?

Lebih baik susah dari berubah! (barangkali)

Sabtu, 20 November 2010

Anda Matang Bila...

Anda dapat bertenang dan bersabar seandainya hajat anda tidak tercapai.

Anda mampu menyembunyikan perasaan anda yang luka dan tersinggung oleh seseorang dalam kumpulan dan berlaku sebagai biasa.

Anda tidak merasa iri hati bila melihat orang lain dipuji dan disanjung.

Anda dapat menghadapi kebencian orang yang anda benar-benar merasa tidak sewajar dengan mereka.

Anda mampu menguasai nafsu gelojoh walaupun anda ingin mendapat perkara yang anda fikir boleh dapat.

Anda dapat menahan rasa sakit hati dan malu seandainya anda tidak dapat hidup setaraf dengan rakan sejawat anda yang lain.

Anda terus berlaku adil dan saksama walaupun suasana sekeliling menghalang maksud anda.

Anda dapat menerima kritik atau salah faham orang tanpa memperbesar-besarkannya.

Anda memandang jauh kedepan, umpamanya dengan sabar menangung kesusahan demi kepentingan masa depan, tanpa merasa resah, bimbang dan ragu.


Anda memberi persetujuan kepada pendapat- pendapat yang anda tidak setujui dalam perdebatan tanpa merasa sakit hati atau tidak senang.

Anda berbahagia bersendirian dengan mempunyai satu kegemaran atau hobi yang benar-benar anda minati.

Anda mengaku dengan jujur tidak tahu bila anda betul-betul tidak tahu, tanpa merasa malu.

Anda menghadapi orang-orang tua atau orang-orang yang lebih berpengaruh tanpa sentiasa berusaha untuk menimbulkan kesan-kesan negatif.

Anda akan cuba melakukan sesuatu dengan sederhana bukannya berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa anda dapat melakukannya dengan lebih sempurna.

Anda dapat mendahulukan kepentingan orang lain walaupun anda tidak merasa senang kerananya.

Anda boleh berlaku wajar dan saksama terhadap orang-orang yang tidak anda sukai.

Anda dapat mengujudkan rasa kasih-sayang, cinta atau boleh bersahabat tanpa mendapat tempat yang utama dalam hidup mereka.

Sekiranya anda lelaki, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan wanita tanpa berfikir bahawa anda adalah lelaki yang jadi idaman setiap wanita.

Sekiranya anda wanita, anda dapat bekerjasama atau bersahabat dengan orang lelaki secara jujur.

- Artikel iluvislam.com

Ya, kamu matang bila kamu memandang semua ujian adalah ujian dari Allah s.w.t. Senyum dalam payah lebih bermakna dari tawa dalam senang. Pedulikan sekelilingmu yang mungkin tak menyebelahimu kerana kau perlu tahu, ada Allah di sisi. Kerana Allah tidak membebani hambaNya dengan sesuatu perkara yang tidak mampu kamu lakukan. Ayuh, bergerak menuju kejayaan! Sesungguhnya diri kamu unik, maka jadilah ibarat bintang yang paling bercahaya antara bintang-bintang lain.

Matang itu perbuatan, sikap. Bukan omong saja.

Allah, beri hamba kekuatan!

Rabu, 4 Ogos 2010

Jangan Lupa Palestin!

Hampir tiga bulan berlalu peristiwa kapal misi bantuan ke Gaza diserang serta 'dirompak' dari Israel di perairan antarabangsa. Beberapa bulan sudah, seluruh rakyat dunia menyatakan kecaman dan kutukan terhadap perbuatan Israel ; tak terkecuali masyarakat Malaysia khususnya umat Islam.Tidak dapat dinafikan, isu umat Palestin menyatukan umat, menolak perbezaan agama, bangsa, fahaman dan ideologi. Demonstrasi beramai-ramai, bakar bendera, berarak di jalan raya, solat hajat, pendek kata apa sahaja dilakukan demi menyatakan ledakan kemarahan dengan tindakan biadap itu.

Namun, saya dapat merasakan ada sesuatu yang lebih penting dan lebih jauh dari itu. Jauh yang bererti, perkara itu sangat jauh di hati kita. Ia terperosok di satu sudut, yang dengan sebelah mata pun kita tidak peduli dan buat-buat tidak tahu dan menyedari.

Seperti yang diketahui, isu Palestin bukanlah perkara yang baru terjadi. Sejak dulu lagi, Palestin adalah 'medan perang' dan antara musibah untuk umat Islam [ingat Nakbah Palestin]. Qunut nazilah disyariatkan sememangnya untuk menghadapi situasi begini. Janganlah qunut nazilah hanya terhad pada masa isu Palestin kecoh di bibir kita. Sedarlah bahawa Palestin adalah suatu musibah yang masih lagi panjang! Qunut nazilah tiada tempoh yang terhad. artikel. Di samping itu, doa kesejahteraan saudara kita di sana dan kesejahteraan seluruh umat amnya dari pelbagai agenda Zionis yang menyerang dari sudut yang tidak kita sedari.


Agenda Zionis menguasai dunia dari semua sudut, tidak kira dari segi politik, sosial dan ekonomi. Mereka telah menjalankan pelbagai perancangan demi menjatuhkan kuasa dunia yang lain. Namun, satu-satunya halangan terakhir mereka ialah ISLAM. Jadi, mereka telah memerah seluruh keringat, tenaga dan buah fikiran bagi menghancurkan satu-satunya 'ancaman' yang membuatkan mereka ketakutan seperti tikus dikejar kucing.

Palestin bukanlah satu-satunya isu umat yang teranaiya. Banyak lagi episod konflik umat Islam yang hidup menderita dan ditindas di negara lain yang belum dirungkai. Antaranya di Iraq, Afganistan, malah di benua Asia sendiri tidak ketinggalan, antaranya Filipina (Mindanao), Uyghur, Ambon. Usah pergi terlalu jauh, cukuplah Selatan Thai menceritakan segala keperitan umat Islam dalam menghadapi kebencian kuffar yang dengki dengan cahaya kebenaran ini.

Semua perkara ini menuntut mujahadah dan jihad.

Kami Anak Palestin


Kami anak Palestin
tak takut digugah musuh
dibedil dengan raifal solsadu
biarpun kami bersenjata tulus ; hanya batu dan balingan padu
biarpun dunia hanya pedulikan kami di meja bersidang
terus beromong kosong, menggoncangkan tangan
kemudian menemui kami di celah puing

Kami anak Palestin
tak gentar disergah Ehud
biarpun wajahnya sebengis Obama menangis
kami lali dengan 'keberanian' Yahudi di hadapan kami anak Palestin
menatap kami dengan mata redup
silau dengan cahaya di dada kami

Kami anak Palestin
andai dunia memekakkan telinga
mendengar esak tangis ibu dan saudara perempuan kami
kami tetap dibayar Allah syurga akhirat
kerana syahid itu dambaan kami
mati mempertahankan agama dan tanahair Palestin ;
bukan mati kekenyangan dunia yang disogok durjana!

Rabu, 2 Jun 2010

Qunut Nazilah

Selepas konvoi Life Line 4 Gaza diserang tentera Israel di perairan antarabangsa, umat Islam kembali 'sedar' akan musibah yang tiada penghujung ini dan mula menyatakan manifesto kebencian dan mengecam kebobrokan Israel. Qunut nazilah menjadi 'sandaran' umat Islam untuk mengadu dan meminta pertolongan dari yang Maha Esa. Antara kepentingan qunut Nazilah adalah ketika umat Islam ditimpa musibah.

Definisi Qunut adalah suatu doa di dalam solat pada tempat yang khusus dalam keadaan berdiri. Manakala Nazilah mempunyai pengertian malapetaka yang turun menimpa umat islam dalam bentuk gempa, banjir, peperangan, penganaiyaan dan sebagainya.

Qunut nazilah adalah antara amalan Rasulullah dan para sahabat. Rasulullah s.a.w. pernah berqunut selama sebulan berturut-turut, tanpa terlepas sehari pun dan setiap waktu solat. Baginda membaca doa qunut nazilah setiap rakaat terakhir selepas membaca  سمع الله لمن حمده . Baginda mendoakan kebinasaan ke atas puak dari Bani Salim dan doa tersebut diaminkan oleh makmum di belakangnya.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq juga pernah membaca doa qunut nazilah ketika berhadapan dengan masalah penentangan Musailamah al-Kazab yang mengaku sebagai nabi ketika itu. Namun, tiada riwayat solat hajat berjemaah diadakan.

Qunut nazilah disyariatkan dan disunatkan ketika terjadi suatu musibah. Hukumnya sunat muakkad menurut pendapat jumhur ulama'.

Imam Syafii berkata : “apabila turun musibah ke atas kaum muslimin maka disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh solat wajib.”

Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata : “ apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaklah imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang di belakangnya.”

Di samping itu, Syeikh Ibnu Taymiyyah berpendapat : “ di kalangan ulama’ ada 3 pendapat tentang qunut. Yang paling benar dari 3 pendapat itu ialah qunut disunatkan ketika ada keperluan.”

Pendapat-pendapat ini semua dari hadis-hadis yang sohih seperti hadis Anas bin Malik, riwayat Bukhori & Muslim, hadis Ibnu Abbas riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan yang menjelaskan bahawa pelaksanaan qunut nazilah oleh Rasulullah s.a.w. selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 orang sahabat penghafaz al-Quran.

Rasulullah s.a.w. telah berqunut selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 orang sahabat penghafaz al-Quran. Namun, ini tidaklah menunjukkan bahawa pelaksanaan qunut nazilah hanya terbatas selama sebulan sahaja. Qunut nazilah tetap dilaksanakan sampai musibah tersebut diangkat daripada kaum muslimin walaupun tempohnya melebihi sebulan. Ini fatwa dari Syeikh Abdul Muhsin Al-Abid, tokoh ilmuan hadis di Madinah masa kini.

Baginda melakukan pada seluruh solat wajib dan lebih mengutamakan pelaksanaannya pada solat maghrib dan subuh. Akan tetapi baginda tidak melakukan qunut setiap hari pada seluruh solat 5 waktu sekaligus (Ibnu Taymiyyah). Qunut dilaksanakan sebelum ruku’ atau selepas ruku’ di dalam solat. Namun, pelaksanaan selepas ruku’ lebih banyak dilakukan oleh Rasulullah.

Lafaz qunut nazilah pula tidak disyariatkan secara khusus. Tidak ada hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan adanya doa khusus dalam qunut nazilah. Doa yang digunakan bersesuaian dengan keadaan musibah dan keperluan mereka. Al-Qodhi ‘Iyad menukilkan kesepakatan jumhur ulama’ bahawa tidak ada doa khusus dalam qunut. Ibnu Solah pula menganggap orang yang berpendapat ada doa khusus dalam qunut adalah pendapat yang tertolak dan menyelisihi jumhur ulama’.

Bagi persoalan qunut nazilah dilakukan di dalam solat bersendirian, belum ditemui nas daripada nabi s.a.w. dan para sahabat yang menunjukkan pelaksanaan qunut secara sendirian. Malah, Ibnu Qudamah dalam kitabnya, Al-Mughni menulis : “ tidak ada pelaksanaan qunut secara individu.” Hukum ini juga berlaku pada kaum wanita, iaitu tidak disunatkan bagi mereka melakukan qunut nazilah kecuali pada solat berjemaah.

Doa qunut nazilah harus diaminkan. Disyariatkan makmum mengaminkan doa qunut nazilah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yg diriwayatkan Abu Daud. Ibnu Qudamah menegaskan dalam al-Mughni ; “ apabila imam melakukan qunut hendaknya diaminkan oleh makmum.” Perlu diingatkan bahawa pengaminan diucapkan pada lafaz-lafaz doa, bukan pada lafaz pujian (pendapat Imam Ahmad dan dibenarkan oleh Syeikh Ibnu Taymiyyah, al-Hafiz Ibnu Hajar, Syeikh Ibnu Asimin dll).

Contoh bacaan yang biasa dibaca :



Ya Allah, sesungguhnya kami meletakkanMu di leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan Mu daripada kejahatan mrk. Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah-belahkan kesatuan mereka, goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka. Wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang penuh raksasa, wahai Tuhan yang bersifat murka, Ya Allah 3x. Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, wahai Tuhan yang menggerakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab. Kalahkan mereka 3x dan menangkanlah kami ke atas mereka.!!

Selasa, 9 Mac 2010

Nikmat yang Agung...

"Dua nikmat agung yang diabaikan kebanyakan orang ialah kesihatan dan masa lapang." Hadis riwayat Imam Bukhari, Tirmidzi dan Ibn Majah.

Ini adalah cerita bergambar yang sebenar. Ianya boleh merubah hidup kita, cara kita berfikir serta maksud hidup kita. Ini adalah kisah seorang lelaki dari Bahrain yang bernama Ibrahim Nasser. Dia telah lumpuh sepenuhnya sejak lahir dan hanya boleh mengerakkan kepala dan jari-jari. Pernafasannya juga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.


Ibrahim telah menanam keinginan untuk bertemu dengan Sheik Nabeel Al-Wadi iaitu seorang ulama’ dari Kuwait. Ayah Ibrahim telah memohon kepada Syeikh Nabeel Al-Wadi agar dapat menunaikan hajat anaknya Ibrahim untuk berjumpa dengannya.

 
Syeikh Nabeel di Lapangan Terbang dalam perjalanan untuk berjumpa dengan Ibrahim.

Ibrahim tersangat gembira dapat berjumpa dengan Sheikh Nabeel bila beliau membuka pintu biliknya. Kegembiraannya dapat digambarkan pada raut wajahnya sehingga sukar baginya untuk berkata-kata pada mulanya.


 
Saat-saat bila Syeikh Nabeel masuk ke dalam bilik Ibrahim 
Dan ini adalah wajah kegembiraan Ibrahim bila dapat berjumpa dengan Syeikh Nabeel

 
Perhatikan alat pernafasan dileher Ibrahim…dia tidak dapat bernafas secara normal.


 
Syeikh Nabeel mencium dahi Ibrahim

 
Ibrahim bersama-sama ayah, bapa saudaranya dan Syeikh Nabeel

Syeikh Nabeel dan Ibrahim berkongsi cerita tentang dakwah melalui internet dan segala macam usaha yang diperlukan olehnya. Mereka juga berkongsi cerita tentang perkara lain.


Semasa perbualan mereka , Syeikh Nabeel telah bertanyakan satu soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan tangisan lantas menghamburkan air mata.

Ibrahim tidak dapat menahan air mata yang mengalir apabila mengenangkan pengalaman yang menyedihkan

 
Syeikh Nabil mengusapkan air mata Ibrahim

Tahukah anda apakah soalan yang telah menyebabkan Ibrahim tidak dapat menahan kesedihan sehingga menangis sepuas-puasnya?

Syeikh Nabeel telah bertanya kepada beliau, sekiranya Allah memberikan dia nikmat kesihatan sehingga dia boleh berjalan, apakah yang akan dilakukan olehnya ?

Mendengarkan soalan ini, Ibrahim telah menangis sepuas-puasnya sehingga ayahnya, bapa saudaranya dan kesemua orang di dalam bilik itu termasuk juga jurugambar telah menangis .

Dia telah menjawab, "Demi Allah, jika saya boleh berjalan maka saya akan menunaikan solat saya di masjid dengan penuh gembira dan akan menggunakan segala nikmat kesihatan untuk mendapat redha Allah".

Wahai saudara-saudara sekelian, Allah telah memberikan kita semua nikmat kesihatan dan kita semua boleh berjalan dengan tidak ada masalah. Adakah kita menunaikan solat kita di masjid ataupun kita hanya membuang masa berjam-jam di depan TV dan komputer ?

Jumaat, 26 Februari 2010

Antara Sabar & Mengeluh

Pada zaman dahulu, ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Ketika sedang bertawaf tiba-tiba dia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu dia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"

Wanita itu menjawab, pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana dia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membedakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."

Dan sabdanya pula, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika dia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)

Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

Selasa, 23 Februari 2010

Imam Syafe'i Wahabi?

Saya agak terkejut ketika membaca tajuk ini pada masa yang sama teruja untuk mengulasnya. Sangkaan Imam Syafii adalah wahabi adalah tidak masuk akal sama sekali kerana jauhnya beda zaman dan tahap ilmu antara Imam Syafii dan tokoh yang dikatakan ‘wahabi’ iaitu Muhammad Bin Abdul Wahab. Namun realiti sebahagian alim ulama’ yang masing-masing bersandarkan apa yang dipegang dan pada masa yang sama menolak ketulusan ijtihad, lantas bertaqlid buta membuatkan sesak nafas orang-orang awam semakin lelah di samping banyak lagi masalah yang membelenggu masyarakat – yang seharusnya diberi perhatian lebih lagi oleh alim ulama’ dari pertikaian tentang perkara furu’ yang dahulu, kini dan selamanya tidak tamat-tamat.

Ini sebenarnya adalah antara reaksi terhadap peristiwa tangkapan Dr. Asri oleh pihak JAIS pada November 2009 yang lalu. Peristiwa ini menimbulkan pelbagai tindakbalas dan secara tidak langsung membuatkan lebih ramai lagi individu yang berminat mengkaji apakah sebenarnya fahaman Wahabi dan bagaimana fahaman ini dianggap ekstrem malah dikatakan terkeluar dari aqidah Ahl Sunnah wal Jamaah. Ini kerana Dr. Asri dianggap sebagai pengikut fahaman Wahabi yang mana diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab.

Antara elemen terpenting yang menggambarkan seseorang itu adalah pengikut fahaman Wahabi ialah mengamalkan talfiq. Talfiq adalah perbuatan mengikuti hukum tentang sesuatu perkara bersumberkan daripada pelbagai mazhab. Talfiq adalah lawan kepada taqlid. Dalam konteks Imam Syafii sendiri, beliau tidak pernah menyuruh untuk menerima bulat-bulat pendapatnya malah beliau menyeru supaya diteliti dengan kacamata al-Quran dan as-Sunnah terlebih dahulu. Mengatakan Imam Syafii adalah wahabi adalah tidak patut sama sekali kerana beliau tidak memaksa pengikutnya menerima sepenuhnya pendapat beliau. Banyak perkara yang menjadi perselisihan dalam perbincangan tentang isu fahaman wahabi ini, antaranya tentang lafaz niat sebelum mengerjakan solat, zikir beramai-ramai selepas solat, kenduri arwah dan sebagainya.

Pada pandangan saya, isu yang berbangkit kebanyakannya hal yang bersifat zhonni, bukannya qot’i. Tidak wajar dipertikaikan apalagi dengan cara keras dan ekstrem. Cukuplah dengan mengemukakan hujah kepada apa yang dirasakan lemah dan jika tidak diterima, maka adalah lebih baik berlapang dada saja. Janganlah mudah mengatakan orang sebagai wahabi kerana ia tidak tepat sama sekali kerana pendapat yang diterima pakai adalah sebenarnya bukanlah ijtihad wahabi tetapi pendapat dari kalangan mazhab-mazhab empat. Wahabi bukannya mazhab fiqh atau aqidah dan tidak mempunyai definisi jelas mengenainya dalam kalangan para cendekiawan Islam sedunia.

Namun begitu, jangan pula terlalu ringan menghakimi dan cepat mengatakan sesuatu perkara itu sebagai bidaah, sesat dan pelbagai lagi gelaran yang boleh mengguris hati dan perasaan umat Islam yang lain. Dalam hal ini, janganlah menggunakan ‘hukuman’ dan kejian tetapi mestilah menggunakan hikmah dalam memberi panduan yang sebenarnya terhadap perkara yang sudah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat. Di sini memerlukan kekreatifan seorang daei dalam mengajak mad’unya ke arah kebenaran.

Teringat saya akan kata-kata Ibn Sirin : “Sesiapa yang tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun menghidu bau fiqh itu.”

Kesimpulannya, dari segi ilmiahnya, janganlah lupa mengiktiraf pihak lain yang juga berniat baik untuk kemaslahatan Islam kerana masing-masing merasakan pendekatan mereka lebih tepat. Seharusnya para alim ulama’ memberi tumpuan dalam menyelesaikan masalah umat sekarang yang semakin meruncing. Orang awam sebenarnya menjadi ‘mangsa’ dalam pertikaian-pertikaian sebegini kerana mereka tidaklah tahu menahu dalam hal ni malah mereka masih lagi terbelenggu dalam kehidupan yang dibimbangi tidak menepati landasan Islam. Sedarlah, kerana ini juga merupakan perancangan musuh-musuh Islam dalam memecahbelahkan umat Islam dan mengalih perhatian alim ulama’ dari memantapkan mobilisasi ummah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...