Memaparkan catatan dengan label muslimah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muslimah. Papar semua catatan

Khamis, 5 Julai 2012

Muslimat Lembik? Sudah-sudahlah...

Entahlah, kadang-kadang saya rasa bab-bab BM boleh jadi lialibiliti besar pada muslimat kalau tidak diurus dengan baik. Mudah kata muslimat akan memang jadi lembik kalau macam ini caranya.

Maaf, jika perkataan lembik di situ kasar bunyinya. Sekadar untuk 'menggegarkan' minda orang perempuan agar tidak meletakkan punca masalah pada orang lain, kalau penyelesaiannya sudah ada di tangan kita sendiri.

Seorang sahabat saya pernah mengadu, memberitahu pelbagai usaha yang beliau lakukan demi mendapatkan pasangan yang baik malah dikatakan sefikrah dan sejemaah. Namun, usahanya menemui jalan buntu kerana dikatakan muslimin ni memilih, mencari yang ayu-ayu saja dan sebagainya. Beliau kecewa, menyalahkan pihak 'sana' kerana taste mereka yang tinggi sehinggakan muslimat yang biasa-biasa saja lahiriahnya terpaksa mencari pasangan yang bukan sefikrah.

Saya merasakan keperluan, citarasa dan kehendak seseorang itu berbeza. Kecenderungan seseorang pada ciri-ciri tertentu itu merupakan fitrah dan sama sekali tidak boleh dipersalahkan. Malah jika seorang lelaki hanya melihat faktor fizikal perempuan semata-mata pun saya tidak berasa pelik. Mereka memilih yang cantik di pandangan mereka, itu hak mereka. Muslimat tidak perlu berasa hal itu memberi kesan lantas melarakan hati kerana sudah termaktub bahawa jodoh itu telah sedia tertulis di Luh Mahfuz.

Saya menulis ini kerana saya juga seorang perempuan yang mempunyai keperluan dan kehendak sama dengan sahabiah sekalian. Saya dapat merasakan apa yang kalian rasakan namun kita tak perlu membiarkan faktor luar mempengaruhi cara kita menyelesaikan masalah. Proaktif dan positif, bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Bahagia, derita, gembira, sedih adalah pilihan kita sendiri, atas tindakan kita sendiri.

Usaha yang sebenar-benarnya seorang muslimat dalam mencari jodoh yang baik (selain usaha teknikal) ialah mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan. Usaha untuk men'solehahkan' diri lebih dituntut. Namun, ramai dari kita mengabaikan perkara ini.

Liabiliti yang saya maksudkan di atas ialah apabila muslimat fikir kesempurnaan BM ini hanya dengan mendapatkan pasangan sefikrah sejemaah, maka kebahagiaan mutlak dapat dicapai. Muslimin salah bila letak demand tinggi-tinggi dan muslimat juga salah bila terlalu fikirkan demand muslimin dan akhirnya jadi takut dan plastik.

Malah, orang tengah (unit BM) berperanan hanya mempermudahkan untuk meraikan fitrah, bukannya untuk menjodohkan. 

Suka saya untuk kongsikan petikan beberapa perenggan dari artikel Ustaz Hasrizal berkenaan dengan ini;

"Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbbang untuk berumahtangga dengan pasangan 'itu' walaupun mungkin 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya. 

Apa yang dibimbangkan, jika berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI." 

Kesimpulannya, jangan sesekali kita ketepikan usaha MENJADI di samping usaha MENCARI. 

Takdok benda hok jatuh kecuali ada hok jung kutip


Jodoh ini rahsia Allah, Allah yang tetapkan.
Dan siapa lagi yang tahu apa yang baik untuk kita kecuali Allah?


Bahkan kata pujangga, "Jangan letak syarat dalam cinta kerana bila bertemu yang berkenan di dada, semua syarat itu hilang maknanya." 


Paling penting, jangan lupa letak cinta Allah paling utama, nescaya bahagia itu tak perlu dicari tetapi bahagia akan mencari kita. 

Tuntasnya 

Suka sekali saya mengajak sahabat sahabiah sekalian memuhasabah diri.

Apa matlamat hidup kita? Ia sudah pun termaktub indah pada ayat 56, surah az Zaariyat. Ia mematri kita untuk meletakkan seluruh kecintaan kepada yang utama. Kehidupan yang Allah beri pada kita hari ini merupakan wasilah atau cara kita mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar benda. Semua tidak terlepas dari perkiraan Allah.

Dalam soal jodoh dan pertemuan pun, ia tetap berupa WASILAH, bukan matlamat. Sekalipun Allah tidak beri setelah kita berusaha, cinta kita kepada Allah tetap tidak berkurang.

Moga Allah beri kita sekian petunjuk, agar kita tidak terkeliru antara wasilah dan matlamat.

.

Sabtu, 24 Mac 2012

'Masalah Hati'

Masalah hati.


Hati, penjagaannya cerewet sekali. Masalahnya bukan sekadar berkisar tentang hubungan dengan Allah s.w.t. malah dengan manusia juga. Lebih-lebih lagi yang berlawanan jantina. Sememangnya Allah ciptakan fitrah lelaki akan cenderung pada wanita dan begitu juga sebaliknya. Namun, bagi hati-hati yang mencintai Tuhannya dan meletakkan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya, PASTI tidak mahu fokusnya 'distracted' kepada perkara lain yang tidak sepatutnya.

Masalah hati yang dimaksudkan di sini berkenaan dengan kesan kecenderungan antara lelaki dan perempuan dalam skop pembinaan jati diri para daei. Jujur, ini artikel ekslusif. Sebelum mudah melompat dan membuat kesimpulan, eloklah menghadam artikel ini terlebih dahulu. 

Kadang-kadang masalah hati akan mudah bercambah dengan sikap-sikap orang di sekeliling. Bagi orang yang faham, matang dan berilmu, mereka memahami bahawa perkara ini adalah fenomena biasa, ujian untuk orang yang menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan, dan yang paling penting mereka meraikan permasalahan ini dengan cara yang ilmiah dan tidak membesar-besarkannya. Malah mereka akan menolong dan mendorong individu yang mempunyai masalah ini ke jalan yang benar, samada baitul muslim atau proses-proses meneutralkan kembali antara keberadaan fitrah dan fitnah dalam hati.

Namun, lain pula bagi orang yang bersikap sebaliknya atau dengan kata lain, tidak faham, tak matang atau tidak mengetahui adab-adab sebenar dalam hal ini. Mereka kurang sensitiviti, bersikap kurang matang, dan yang paling membarahkan keadaan ; mereka mencambahkan lagi benih-benih masalah hati dengan membesar-besarkannya, mengusik hati dan perasaan, mendorong individu tersebut kepada perkara yang tidak sepatutnya.

Sepatutnya, langkah sebagai daei diteguhkan dengan iman dan taqwa. Apa saja perkara yang boleh menghalang, menghilangkan fokus sebenar dan mendorong kepada hal-hal yang boleh merosakkan iman dan taqwa, didahului dengan mencegahnya.

Peranan Sahabat. 

Orang di sekeliling atau lebih mesra dinamakan dengan sahabat, sepatutnya mengambil peranan sebagai orang yang FAHAM. Pertama-tamanya, jangan sesekali mengeruhkan keadaan dengan meraikannya dengan cara yang salah. Pandu mereka ke arah cinta yang sebenar dan memberi cadangan yang sepatutnya untuk menyelesaikan masalah. BUKAN dengan mengusik, menunjukkan sikap tidak matang anda dalam hal-hal sensitif seperti ini atau yang paling mendatangkan caca merba, menghebohkan seantero dunia tentang masalah individu tersebut! Di sinilah kepentingan kerahsiaaan dalam menghadapi hal-hal seperti ini. Etika ini, bukan hanya kaunselor saja yang perlu patuh.

Astaghfirullahal 'azhim.

Penyesalan.

Catatan ini merupakan manifestasi penyesalan. Biarpun manusia di sekeliling tetap tidak mengerti betapa sakitnya hati saat dicuit cinta (kononnya), tapi sebenarnya adalah pintu yang membuka lagi pintu-pintu dosa dan kemaksiatan. Biarpun ia sekadar dinilai kecil kesannya oleh manusia lain, tapi bagi diri yang kerdil dan penuh dosa ini tidak mahu menambah lagi berat timbangan sebelah kiri. Tingkah dan perlakuan yang menodai kesucian hati, bukannya meraikan fitrah malah mencambah fitnah. Terasa disiat-siat hati tatkala terkenang kembali saat noda hitam itu muncul.

Sesal. Cukup sekadar itu.

Sabtu, 10 Mac 2012

Oki Melukis Pelangi Di Kelantan

Oki Setiana Dewi, beliau sudah jadi ikon muslimah. Saya pun tidak meragui untuk meminatinya, malah tidak dapat dinafikan, kehadiran Oki dalam dunia industri hiburan sedikit sebanyak pengaruh dakwah menjadi mudah tersebar. Tidak keterlaluan jika saya katakan beliau adalah ikon muda baru yang menambat hati semua lapisan masyarakat.


Negeri serendah sekebun bunga menjemput beliau ke rancangan Bicara Selebriti yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KBTC). Program ini merupakan siri bual bicara bersama selebriti yang ke-4 diadakan di bumi Cik Siti Wan Kembang ini.

Hari ini, Oki Setiana Dewi melukis pelangi indah di Kelantan. Beliau 'melukis pelangi' di hati orang-orang yang hadir. Di samping mempromosi buku tulisannya. Melukis Pelangi, beliau juga turut mencipta puisi indah sempena kunjungan beliau ke negeri 'termiskin' ini. Sedikit sebanyak terubat dengan puisi yang beliau deklamasikan.

Negeri Kelantan seindah namamu
Tanah serendah sekebun bunga
Negeri tadahan wahyu
Cik Siti Wan Kembang
Cukup indah namamu
Seindah negerimu

Duhai wajahmu yang indah persis Jeddah
Yang pernah kulewati
Taat menjunjung Al Quran
Teguh menggalas syariat
Yang tidak pernah goyah

Tersentuh hati kudusku
Lantaran aku disini
Biar tidak pernah kuduga
Bertemu dengan seorang ulama'
Yang dicintai rakyatnya

Lalu kuntum rindu yang lama tersimpan
Terubat jua akhirnya
Biar sekelumit cinta

Beruntung rakyatnya
Menumpang teduh seorang ulama'
Yang lembut tapi tegas beribadah
Yang pengasih
Namun tidak goyah
Pada percikan kealpaan dunia

Pasti aku merindui mu lagi
Entah kapan bisa diubati
Cuma setitis doa bisa kutitip buatmu
Memacu, membangun Islam bersama

Semoga kita bertemu kembali.



Oki Setiana Dewi, 10 Mac 2012, Kelantan Trade Centre

sempat mempromosi Tahun Melawat Kelantan

bergambar dengan TGNA

pose di hadapan menara masjid

Oki di Kuliah Jumaat di KB

Jumaat, 29 Oktober 2010

Ketika Muslimah Jatuh Cinta

Penyelesaian untuk masalah ummah yang sedang melanda. Untukmu sahabat-sahabatku yang sedang mengalaminya. Aku memahamimu. :)

Muslimah jatuh cinta?


Tiada yang aneh kerana mereka juga adalah manusia. Bukankah cinta adalah fitrah manusia? Tak bolehkah muslimah jatuh cinta? Mereka juga punya hati dan rasa.

Tapi tahukah kalian betapa berbezanya saat cinta seorang lelaki menyapa hatinya? Tiada senyum bahagia, tiada rona malu di wajah, tiada buncah suka dan gembira di dada.

Namun yang berlaku adalah sebaliknya!

Ketika muslimah jatuh cinta, yang mereka rasakan adalah penyesalan yang amat sangat atas sebuah hijab yang tersingkap.

Ketika lelaki yang tidak halal baginya mula bergelayut dalam fikirannya, yang mereka rasakan adalah ketakutan yang begitu besar akan cinta sebenar-benarnya tidak suci lagi.

Ketika rasa rindu mulai merekah di hatinya, yang mereka rasakan adalah kesedihan yang perit atas sebuah rasa yang tak sepatutnya.

Tiada senyum bahagia, tiada rona malu. Yang ada adalah malam-malam yang dipenuhi air mata penyesalan atas cintaNya yang ternoda. Yang ada adalah kegelisahan, kerana rasa yang salah arah. Yang ada adalah penderitaan akan hati yang mulai sakit.

Ketika muslimah jatuh cinta, bukan harapan untuk bertemu yang mereka nantikan, tapi yang ada adalah rasa ingin menghindar dan menjauh dari orang tersebut.

Tiada kata-kata cinta dan rayuan, yang ada hanyalah kekhuatiran yang amat sangat akan hati yang mulai merindukan lelaki yang belum halal atau bahkan tak akan pernah halal baginya.

Ketika mereka jatuh cinta, maka perhatikanlah kegelisahan di hatinya yang tak mampu lagi memberikan ketenangan di wajahnya yang dulu teduh.

Mereka akan terus berusaha mematikan rasa itu walaubagaimanapun caranya. Bahkan jikalau dia harus menghilang, maka itu pun akan mereka lakukan.

Alangkah kasihannya jika muslimah jatuh cinta, kerana yang ada adalah penderitaan!

Namun ukhti, bersabarlah. Ini ujian dari Rabbmu.

Matikan rasa itu secepatnya. Pasang tembok pembatas antara kau dan dia. Pasang duri dalam hatimu, agar rasa itu tak tumbuh bersemai. Cuci dengan air mata penyesalan akan hijab yang sempat tersingkap.

Putar balik kemudi hatimu, agar rasa itu tetap terarah hanya padaNya.

Pupuskan rasa rindu padanya dan kembalikan dalam hatimu rasa rindu akan cinta Rabbmu.

Jangan khuatir kau akan kehilangan cintanya kerana bila memang kalian ditakdirkan bersama, maka tak akan ada yang dapat mencegah kalian bersatu. Tapi ketahuilah, bagaimana pun usaha kalian untuk bersatu, jika Allah tak menghendakinya maka tak akan pernah kalian bersatu.

Ukhti, bersabarlah. Biarkan Allah yang mengaturnya. Maka yakinlah, semuanya akan baik-baik saja.


Semuanya akan indah pada waktunya. Percayalah.

Selasa, 26 Oktober 2010

Mencari Erti Sakinah


Sakinah. Seraut wajahnya bisa menenangkan ribut hati-hati manusia. Memandangnya bagai memandang bulan purnama, yang kian ditatap kian indah. Lirikan matanya bisa mengundang bahagia, senyumannya aduhai, bagaikan curahan air sejuk mengalir ke dalam jiwa! Kadang terasa bayu dingin menghembus kegersangan hati ketika Sakinah berbicara, mengeluarkan kata-kata memuji Tuhannya.


Dan setiap kali Sakinah mengalirkan air mata kerana merasakan kekerdilannya berbanding Allah yang Maha Esa, saat Sakinah tersedu-sedan mengenang dosanya yang lalu, pabila hatinya diketuk hiba bertalu-talu menembusi kanvas sirah Rasul, waktu dan ketika itu, alam dan isinya bagaikan terhenti dan mengikut alunan zikir hatinya.

Sakinah adalah dambaan manusia di sekelilingnya. Cantiknya Sakinah bukan pada rupanya, namun pada hati dan akhlaknya. Tentu Sakinah memilih untuk melindungi dirinya dengan hijab yang sopan, pergaulan yang menjaga dan yang paling utama adalah hatinya. Cinta Sakinah pada Rabbnya, adalah bilahan rindu yang kejap memangku Sakinah agar hatinya sentiasa dekat pada Tuhannya.


Dambaan Sakinah adalah keredhaan Allah.


Pakaian Sakinah adalah ketaqwaan.

 
Perhiasan Sakinah adalah malu.

 
Senyuman Sakinah adalah kerendahan hati.


Redup mata Sakinah adalah keizzahan Islam.


Sakinah adalah bunga indah, yang tanpanya hilang seri dunia. Sakinah ialah madu, penawar banyak perkara. Sakinah juga guru, mendidik dengan penuh mesra. Mencintai Sakinah bakal membawamu mencintai Allah.


Dia tiada sendirian di dunia kerana ada Allah yang menemaninya. Dialah wanita solehah yang ditarbiyah dengan nur Islam. Ada biah solehah, pengislah harapan agama di bahunya. Sakinah kuat dan tabah melawan mehnah, terus gagah dalam lembut dan ramah, menyebarkan dakwah tanpa lelah dan putus asa pada bangsa yang kian parah.

Dia bukan hanya sibuk membelai diri kerana dia sedar kelak dia akan ditanya di padang Mahsyar nanti, apa sumbangan pada agama yang suci ini. Dia tersenyum dalam payah, mengungkap doa mendamba kekuatan, menenangkan hati dengan munajat dan solat yang khusyuk.

Sakinah ibarat mawar berduri. Dari jauh kelihatan cantik dan lembut, namun bila didekati lelaki ajnabi, durinya jadi perisai untuk memelihara diri. Izzahnya dijaga, lembut bicaranya dikawal, lunak suaranya dicegah, anggun tingkahnya diperisai, ayu langkahnya diatur, pesona pandangannya ditundukkan.


Sakinah di hati itu, adalah yang bernama sebuah keutuhan sebentuk perlindungan. Menjadi perisai dan pelindung dari hujan, panas dan ribut dunia yang mencengkam akhir zaman ini. Aduhai penenang jiwa dan penyejuk mata sekalian, sudikah kau mengukir semanis senyuman dan segenggam tabah di hati?

Khamis, 25 Mac 2010

Muslimah & Gambar : Antara aurat & menundukkan pandangan

Alhamdulillah,.ade sahabat tego saya dalam hal ni.., moga sentiasa diperingatkan. Saya mencari locus standi untuk menyatakan ini dan artikel ini saya temukan. Terima kasih sahabat, kerana menjadi orang yang menyatakan kebenaran kepadaku.

Terkadang bila melayari weblog-weblog rakan, menjelajah ke dalam dunia maya bagi manusia yang memayakan diri mereka, saya merasa hairan melihat sesetengah weblog muslimah yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu pula untuk memaparkan gambar masing-masing. Tiadalah terlalu salah untuk memaparkan gambar anda, ya muslimah sekalian. Namun, sayangnya anda terlupa bahawa gambar yang anda posting itu adalah gambar sebesar skrin 17 inci! Setiap butir jerawat dan bulu halus di muka anda terpampang rapi!

Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya?

Tidaklah tujuan saya mengaibkan kalian. Saya adalah rakan kamu. Sahabat kamu. Yang enggan melihat wajah-wajah anda itu, dipaparkan sewenang-wenangnya kepada orang. Biarpun wajah bukan aurat mengikut sesetengah mazhab, namun tatkala fitnah mengundang, tidakkah ia melayakkan ianya ditutup dari pandangan umum?

Muslimahku,
Dunia internet semakin berkembang maju. Satu hari, satu weblog, mungkin berjuta-juta orang yang melihatnya setiap hari. Di kalangan mereka ada yang bagus, yang menundukkan pandangan selaras firman Allah dalam Surah An-Nur, “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan.” Namun, kita harus akui bahawa di kalangan jutaan orang itu ada yang hatinya sakit, ada yang jiwanya perit menanggung kesakitan akibat terlihat wajah-wajah kamu biarpun kamu bertudung litup.

Muslimahku,
Kalau kita lihat dunia gambar bukan main maju lagi. Dahulu, cuma setakat kamera yang perlu dicuci gambarnya. Kini, telefon juga menjadi kamera. Kamera pula lebih dahsyat, lebih instant, sesegera mee segera yang sama kerosakan yang dibawanya penyakit hati.

Alangkah malangnya, kalau wajah-wajah anda yang terpamer itu, mengundang gejolak rasa di jiwa insan bernama lelaki yang beriman akan beristighfar dan memujuk hati, manakala yang sakit jiwanya akan mula mengganggu anda. Mula memburu anda dengan SMS, telefon, hatta mungkin mendekati anda dengan tujuan memiliki anda….Hanya kerana satu kesilapan yang mungkin anda tidak terniat, wajah anda terpampang besar di internet!

Gambar adalah bayangan realiti. Namun mungkin juga ia fantasi. Kadangkala tertipu juga lelaki pada fantasi Photoshop, Fireworks dan seribu satu pengedit gambar lagi. Kalau itu memang tujuan anda, anda tanggung sendirilah. Tapi kalau niat anda cuma berkongsi, dengan tanpa sedar mengajak fitnah bertandang, maka amaran saya, hati-hatilah!

Penyelesaiannya

Andalah sahaja yang mampu menyelesaikannya. Bukan orang lain. Diri anda, andalah yang harus menjaganya. Apa tujuan anda bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan orang kepadamu? Maka, soalan saya, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah anda besar-besar menutup pandangan orang terhadap andakah?

Kerana weblog-weblog dan web foto itu milik anda, seharusnyalah anda kecilkan wajah-wajah anda dengan mengecilkan saiz gambar itu. Banyak cara boleh dilakukan menggunakan perisian pengedit gambar. Belajarlah daripada yang tahu. Hindarkanlah aksi-aksi dan posing-posing yang hanya akan menambahkan lagi kerosakan jiwa masyarakat. Sekiranya niat anda hanya ingin berkongsi dengan rakan muslimah anda, lakukanlah secara tertutup. Elakkan posting yang boleh dilihat oleh segala macam jenis orang. Kalau lebih mudah, anda kirim saja emel bergambar pada rakan muslimah anda itu.

Ingat, wajah anda, anugerah Allah. Anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Wallahu A’lam.

- dipetik dari blog wewr iaitu ~Khabar Dari Urdun~ dalam entri bertajuk Muslimah & Gambar : Ada apa dengannya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...