Isnin, 2 Mei 2011

Budak Pondok

"Farid, tolong jelaskan kat Kak Yang bab Tauhid Tiga tu. Kenapa ia jadi perbahasan? Berlawanan ke konsep tu dengan sifat 20?", tanya saya bertalu-talu kepada adik lelaki saya, Farid.


Budak pondok itu hanya tersenyum dan menghiling kepalanya berkali-kali. Setiap kali saya bertanyakan tentang hal-hal agama, dia sebolehnya mengelak dan berkata, "Farid dok cukup ilmu lagi, Yang." Namun, selepas beberapa kali didesak akhirnya dia mengalah dan mula menjelaskan satu persatu. Walaupun pada peringkat awal, agak susah juga untuk saya memahami penjelasan tersebut, lebih-lebih lagi kalau Farid mula mengambil mana-mana kitab yang telah dipelajarinya dan menterjemahkan isi kitab kepada saya dalam bahasa Kelantan pondok yang ada "maka terjadilah sesuatu itu dengan sesuatu yang lain" (erk?). Begitu pun, Farid, seorang budak pondok ada kepakaran khusus bagi menjelaskan kepada saya.

Biasanya, dia akan menerangkan sesuatu perkara dengan begitu mudah dan jelas sekali kepada saya. Aura murabbi terasa. Tak dapat saya nafikan budak pondok ada kelainannya berbanding dengan lepasan institusi agama yang lain.

Beberapa tahun yang lalu, saya cukup prejudis dengan pondok. Kerana pada waktu itu, Farid pernah mengambil keputusan drastik berhenti sekolah semata-mata mahu meneruskan pengajian di pondok. Dia nekad meninggalkan alam persekolahan ketika akhir tahun dia berada di tingkatan 2 di Maahad Muhammadi (L). Sebelum itu, dia tinggal di rumah sewa berhampiran dengan kawasan Pondok Pasir Tumboh dan belajar secara tidak formal di pondok setiap kali pengajian waktu hujung minggu semasa tingkatan 2.

Ibu saya pula jenis yang tidak suka memaksa anak-anaknya dan dia meredhai adik saya berhenti sekolah serta mengikuti pengajian di pondok sepenuh masa walaupun jauh dari sudut hatinya, dia lebih suka Farid bersekolah. Namun, tidak bagi saya. Hampir setengah tahun rasanya saya terasa 'jauh' dengan budak pondok itu sedangkan dalam kalangan adik beradik, Farid adalah adik yang paling rapat dengan saya. Setelah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah, dia akhirnya pulang dan pada waktu itu saya 'memboikot' dia selama 3 hari. Sungguh, saya cukup tidak setuju dengan tindakannya. Sementelahan pula, dia cuba membawa 'dakwah' pondoknya ke rumah dengan menegur kami adik beradik dengan keras sekali.

Saya mempersoalkan kerelevanan dia untuk tidak bersekolah. Farid menolak mentah-mentah sekolah boleh memberi pendidikan terbaik kepadanya. Pandangannya yang ekstrim dan lebih malang lagi dia berpendapat sekolah arus perdana sebagai keduniaan dan sebagainya. Bagi dia, pondok lebih membawa erti pendidikan yang sebenar dan tidak bersifat exam-oriented seperti sekolah. Ya, saya faham kebobrokan sistem pendidikan yang ada, namun keperluan untuk mengikut arus zaman tidak boleh diketepikan.

Fenomena yang biasa berlaku. Budak baru belajar katakan. Selepas beberapa bulan kemudian, barulah ia mula berkurangan. Mungkin hikmah yang telah ditunjukkan abang dan kakak dalam meladeni jiwa remajanya.


Akhirnya, budak pondok itu 'insaf' dan mengembalikan senyuman kepada ahli keluarganya. Kami boleh berdiskusi secara ilmiah dengan baik, mengambil buah hikmah dan pada masa yang sama Farid mula mengakui pendidikan perdana negara mempunyai kepentingan dalam hidupnya. Kini, dia sudah kembali ke alam persekolahan dan sedang bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini.

Saya lihat kombinasi yang indah selepas dia mula positif untuk bersekolah kembali. Pengalaman berdepan dengan kekerasan kepala seorang remaja lelaki berumur 15 tahun 'membuka' luas mata saya untuk tidak menidakkan kepentingan sistem pengajian pondok. Kombinasi yang sangat signifikan. Sungguh, saya tak nafikan pengaruh pondok ke dalam rumah saya. Aura tarbiyah yang dibawa oleh Farid ke dalam keluarga kami sungguh menambat hati. Proses tarbiyyah ruhiyyah dijalankan secara konsisten dan suasana di rumah terasa lebih tenang dengan kehadiran Farid.

Farid menjadi tempat rujukan saya dan adik beradik yang lain tentang hukum hakam berkaitan agama. Suasana ilmiah dalam perbincangan yang sihat dapat dirasai. Kami berkongsi pelbagai pendapat dan perkara. Saya amat menyukai gaya penerangannya dan ia secara tidak langsung memberi perspektif positif dan motivasi kepada saya tentang pembelajaran di pondok. Saya berasa lebih selesa berbanding dulu untuk membuka kitab lama dan bolehlah sikit-sikit cuba belek dan baca.


Tidak saya nafikan, sistem pengajian pondok mempunyai nilai tarbiyah yang sangat tinggi. Penuntutnya bukan saja melalui jadual belajar yang padat, malah beberapa corak pendidikan yang saya fikir sepatutnya ada dalam sistem pendidikan negara sudah terlebih dahulu mengakar umbi dalam sistem pondok. Fokus sistem pencapaian pondok bukanlah dinilai pada A berderet-deret, bukanlah bersifat exam-oriented semata-mata tapi pada perkembangan ilmu yang berlaku seiring dengan potensi akhlak hasil dari tarbiyah pondok itulah yang menjadi ukuran. Ia bisa melahirkan penuntut ilmu yang benar-benar ikhlas dan bukan berjenama duniawi. Sistem pondok melahirkan ulama' yang bukan saja faqih malah dapat membantu dalam mendidik masyarakat.

Namun, beberapa teguran ringan patut saya lontarkan di sini. Pelajar pondok seharusnya menjenguk keluar dan melihat kepada ilmu moden. Gabungan 2 sistem pengajian ini dilihat mampu melahirkan seorang Ulama' yang bisa mendepani cabaran semasa. Pelajar pondok bukan berada dalam atma ketenangan tetapi mampu mendepani cabaran yang ada di luar sana hari ini. Dakwah yang akan dipantulkan bakal menghasilkan gabungan yang luar biasa.

Budak pondok juga seharusnya tidak terlalu ekstrem atau terlampau taksub sehingga tidak mampu menerima pendapat orang lain. Sedarilah bahawa perpecahan dan perbezaan pendapat itu adalah 2 perkara yang berbeza. Harus diingat, yang membawa kepada perpecahan itu adalah kerana tidak menghormati perbezaan pendapat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...