Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label catatan. Papar semua catatan

Rabu, 5 Februari 2014

Huruf Hamzah

Setelah hampir sebulan tidak berkerja, akhirnya tawaran menjadi guru mengajar kelas tambahan menjengah. Sekadar guru tidak tetap, tempoh 3 bulan, 3 jam seminggu, mengajar Al-Quran dan bacaan Jawi, 15 orang pelajar tingkatan 1, bertujuan memantapkan penguasaan Al-Quran dan bacaan jawi mereka dalam menghadam pelajaran yang berorientasikan subjek agama. Dari goyang kaki tak tahu nak buat apa, tawaran tersebut saya terima separuh hati.

Pengajaran dimulakan pada suatu petang dengan meminta pelajar menyalin ayat Al-Quran selepas menghafal. Pelajar lelaki buat alasan, mereka tiada buku untuk menyalin. Lalu saya suruh mereka menulis satu persatu 5 ayat dari surah Al Baqarah di papan hitam. Seorang, satu ayat. Dengan muka malas-malas, mereka turutkan juga permintaan saya selepas puas dipujuk-pujuk. Saya periksa satu-satu ayat yang mereka tulis dan betulkan kesalahan tulisan mereka. Ada seorang pelajar ni, Arif namanya. Pendiam dan macam malu-malu sikit. Bila saya terangkan 1 kesalahan beliau yang tertinggal huruf hamzah dalam perkataan أولئك , muka beliau berkerut-kerut.

Saya panggil Arif ke depan, dekat dengan papan hitam. “Kamu tertinggal huruf hamzah kat sini.” Kata saya sambil menunjuk-nunjuk dengan kapur.

Muka beliau berkerut lagi. Aih, tak faham lagi agaknya. Lalu saya ambil Al-Quran dan buka surah Al Baqarah. Saya cari perkataan tersebut dan tunjuk pula di situ.

“Ni nampak hamzah kat sini? Kamu tulis kat depan ni, takde hamzah. Faham?” terang saya.



Muka beliau menunjukkan yang beliau baru mengerti maksud saya.

“Nah, betulkan. Tulis perkataan tu lagi 3 kali.” Arah saya, untuk kuatkan lagi pembetulan.

Arif menurut dan berlalu ke tempat duduk setelah selesai. Selepas sesi tersebut, Arif nampak lebih berkeyakinan dengan saya. (huhu). Apa yang suruh buat selepas itu, beliau lebih menurut berbanding dengan kawan-kawannya yang lain yang banyak soal jawab pulak dengan saya.

Waktu pulang, beliau menghulurkan tangan untuk bersalam dengan saya di meja guru. Hati menebak, pada zahirnya beliau tak ucap terima kasih di mulut, tapi bahasa tubuh dan eye contact beliau terhadap saya berlainan dari pertemuan pertama kali, tanda beliau menghargai dan berterima kasih di atas ajaran saya tadi memahamkan beliau dengan kedudukan huruf hamzah dan cara menulisnya. Saya menolak ringan dengan senyuman dan menepuk-nepuk bahu beliau sambil berkata-kata, “takpe-takpe, esok jumpa lagi.”

Huh, baru sorang dapat tackle hari ni.

Kejadian ni membuatkan saya terfikir-fikir. Sebenarnya, manusia ni memang Allah dah bagi fitrah berterima dan bersyukur, appreciative. Walaupun, berterima kasih tu kadang-kadang tak terucap tapi ia akan jadi situasi yang amat indah apabila manusia mula berterima kasih atas nikmat mereka yang dapat dengan menjadi lebih baik dan berakhlak.

Sebab tu, nikmat kefahaman adalah nikmat terbesar walaupun hanya sekecil huruf hamzah. Cukup untuk mengikat hati manusia untuk terus belajar dan mendalami. Indahnya perasaan selepas dapat mengetahui sesuatu perkara, dan ini adalah nikmat!

Nikmat mengajar dan nikmat mempelajari dan memahami. Besar sungguh kasih sayang Allah kan? :)


Khamis, 5 Disember 2013

Namun,

"Mereka sudah bertatih, berjalan, berlari malah terbang ke puncak tinggi, bahkan sampai ke cinta rafiqul a'la.

Namun aku? Masih di sini, jatuh, terluka dan berdiri lagi. Cuba berpaut, sedaya upaya, agar solsadu putus asa tidak mengasak menceroboh hati."


Setelah berbulan-bulan blog bersawang dan jauh dari suasana imarah. Terasa kekok pula sign in. Padahal dulu, ini hobi dan punca cari makan rohani yang ideal selepas kelelahan di kampus. 

Papan kekunci bagai terasa asing di jari. Bahkan mahu memulakan ayat pertama di atas, aku jeda seketika. Banyak benar perkara yang menyekat suara diterjemah ke skrin. Sesuatu yang tak mungkin difahami orang, bahkan diriku sendiri. 

Alam kampus mempersembahkan segala teori, idea dan pemikiran. Namun (ada 'namun' di situ), praktikal dan realiti luar kampus tidak-tidak malu menampakkan diri. Ia menerjah dengan sangat mudah, tangkas dan jitu menumbuk-numbuk, menampar-nampar wajah diri. 

Cabaran di luar kampus tidak sekadar mempersembahkan realiti yang perlu dihela dengan nafas panjang, NAMUN menguji sejauh mana benteng pertahanan dalam diri samada boleh mengharungi luas mehnah yang tidak bertepi ini atau tenggelam dan lemas tanpa disedari (na'uzubillah).

Oleh itu, 



Kerana jihad yang paling besar adalah jihad yang melawan nafsu. Kerana itulah, perjuangan mendidik diri adalah lebih dituntut demi melangsungkan perjuangan yang mempunyai matlamat yang lebih besar dari kepentingan diri. Moga Allah permudahkan.

Ahad, 6 Januari 2013

Bukan perasaan, tapi IMAN

Sedaya upaya, saya menahan marah. Sungguh! Begitu kuat ia membuak. Setiap kali perasaan marah itu datang, cepat-cepat saya mengingatkan diri ; kau mesti tak mahu kalau Allah marah kamu kan? Jadi, jangan marah orang.

Kemudian, saya sendirian bungkam. Disebabkan 'tidak boleh' marah, maka perasaan tersebut bertukar menjadi pendam atau 'dendam'. Ia tertanam dan kemudian tumbuh mencengkam. Setiap kali saya berpeluang untuk membalasnya, saya akan balas.

Buruk kan? Tapi itu sajanya cara untuk keadaan menjadi lebih stabil. Itu lebih baik dari saya balas dendam cara jahat gila.

Tapi, musim muhasabah datang. Hati saya meronta mohon dibuang kesumat dendam sia-sia itu. Hati memohon agar pintu kemaafan dibuka. Dia kata,

"Sila buka luas-luas pintu kemaafan tersebut sepertimana kamu mahu Allah membuka seluas-luasnya pintu rahmat keampunanNya ke atas kamu!"

Dan sekian kali, air mata mengalir deras. Mengenangkan segala keperitan yang dialami, yang ditahan selama ini demi menjaga hati orang lain dengan hati sendiri yang tertusuk luka. Allah, begitu susah rupanya hati saya untuk memberi maaf. Kenapakah duhai diri? Kenapa begitu keras sekali menanggapi manusia? Kenapa tidak boleh menerima hakikat sakitnya bergaul dengan manusia?

"Hak orang lain, sedaya upaya kita tunaikan. Hak kita? Biar Allah yang tunaikan." :)

Sudahlah Yang, hati kau tak mampu dibebani perkara sebegini. Lepaskanlah, kerana kebaikan pasti kau dapati dengan memberi kemaafan. Cukuplah Yang, jangan diulang tingkah laku memberontak itu. Buruk sebagai mukmin. Cukup dan cukup, kemudian berserahlah pada Allah. Biar Allah tunaikan untukmu dengan caraNya.

Karena beda antara kau dan aku sering jadi sengketa
Karena kehormatan diri sering kita tinggikan di atas kebenaran
Karena satu kesalahanmu padaku seolah menghapus sejuta kebaikan yang lalu
Wasiat Sang Nabi itu rasanya berat sekali;
"Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara."


Mungkin lebih baik kita berpisah sementara, sejenak saja
Menjadi kepompong dan menyendiri
Berdiri malam-malam, bersujud dalam-dalam
Bertafakur bersama iman yang menerangi hati
Hingga tiba waktunya menjadi kupu-kupu yang terbang menari
Melantunkan kebaikan di antara bunga, menebar keindahan pada dunia


-Petikan Dalam Dekapan Ukhuwah, A. Salim Fillah

Tiba masanya, kau harus bergerak sendiri, berpendapat sendiri, bebas dan tidak menjadi lalang. Mungkin tiba masanya, kau harus melepaskan pergi kepahitan walaupun di sebalik kepahitan tersebut, ada manisnya yang membuat kau lupa pada luka. Mungkin setakat ini saja perjalanannya. Mungkin ini yang terbaik buat kamu dan orang lain. Mungkin sudah sampai waktu kau berbuat sesuatu bukan untuk perhatian manusia tapi untuk Allah. Mungkin sudah tiba waktu kau hadkan suara dan mula diam buat kerja!


Yang tercalar sebenarnya bukan perasaan tapi Iman. Iman yang tercalar, bakal mencalarkan hati dan perasaan. Kerana rukunnya orang beriman itu bersaudara, berpesan-pesan atas kebenaran dan penuh kesabaran. Bersabarlah, moga Allah balas kesabaran kamu bergaul dengan manusia dengan sesuatu yang tidak kamu jangka. :)
.
.
.

Ahad, 12 Ogos 2012

Mukmin Itu

Mukmin itu
Pabila merengkuh nikmat
Ada bibit syukur menerpa
Dan bibir mungil berzikir hamdalah

Mukmin itu
Pabila musibah pula datang berpuing
ada jiwa hamba yang redha
dan sabar itu hadir berpusu
memenuhi setiap kerdip mata

Mukmin itu
Pabila berbicara
Ada hati yang tersentuh
Lantas deburan tangis berlanjut
Kerana takutkan Tuhannya

Mukmin itu
Pabila memandang
Pandangannya tembus
Menerobos ke hati-hati
Mata hatinya membaca
Langsung segalanya
Terbentang, bongkar


















Siti Yang Latifah
Machang, 23 Ramadhan 1433

Selasa, 7 Ogos 2012

Muhasabah Ramadhan

30 Ramadhan 1426

Hari ini, hari terakhir aku mengerjakan ibadah puasa. Hari ini adalah hari terakhir aku menghirup udara di bulan penuh barakah ini. Hari ini ialah hari terakhir pahala dan dosaku digandakan. Hari ini, hari terakhir aku menatap wajah jejaka Ramadhan!

Wajahku duka, sayu melihat dia mengemas pakaiannya, mengebas capalnya. Seraya wajahnya yang berseri bulan purnama tersenyum padaku.

"Jangan sedih, doakan ini bukanlah pertemuan yang terakhir."

Aku peluk wajah Ramadhan. Kehangatan ku rasa, belai cinta Rabbul Izzati mengusap kemudian mengelus wajah dukaku yang penuh dosa.

Ku tangisi perpisahan ini.

1 Ramadhan 1428

Hari ini Ramadhan menjelmakan dirinya. Hatiku kegirangan tatkala mendengar pengumuman bermulanya puasa pada malam semalam. Tatkala itu, bertambahnya sinar kebahagiaan pabila mendengar azan subuh berkumandang gah pada pagi 1 Ramadhan di Masjid Muhammadi. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi peluang sekali lagi kepadaku menatap kembali wajah cemerlang Ramadhan dan mendakapnya; melepaskan kerinduan yang terperam beratus hari lamanya.

Bulan barakah ini adalah bulan kerinduan para muwahhidun, yang padanya bisa diratah ibadah, bisa dipinta selautan rahmat dan maghfirah.

Aku berkira-kira, adakah sebetulnya aku merindui Ramadhan?

18 Ramadhan 1433

Malam ini dibaluti sunyi. Mula memuhasabah diri. Ramadhan yang kian berbaki. Lailatulqadr, entah aku ketemu atau tidak. Atmosfera pesimis menghembus. Tuhan, aku bukan hamba yang baik bukan?

Sukar diurus. Ketenangan bulan barakah ini bukan milikku.

Ingin memberitahu sesuatu tapi bibir kelu. Ingin menyapa seseorang tapi hanya menghela dengan pandangan kosong. Ingin mengetuk pintu cinta Tuhan tapi terasa malu dan mahu sembunyi?

Lalu lirik lagu Ramadhan 2 Zaman aku ulang-ulang. 

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga...

Lantas sebuah hadis terngiang-ngiang, minta dinukilkan;

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, 'Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'.

(HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban)

Nah, mampukah hati merasa tenang mendengar perkhabaran ini? Jika berlalunya Ramadhan namun dosa kita tidak diampunkan, maka kita didoakan oleh Jibril AS sebagai celaka. Diaminkan pula oleh Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang pernah wujud di muka bumi ini.

Dan perubahan tidak akan terjadi selagi tubuh tidak dihayun melakukan tindakan!

Ramadhan Kareem.
 

.

Jumaat, 23 Mac 2012

Rintihan

Minggu pertama Latihan Mengajar. Cukup membuat saya berfikir, "adakah aku layak untuk berada di dalam profesion perguruan?" Bebanan sebagai guru bukan sekadar mengajar malah mendidik, pun begitu perjalanan sistem persekolahan membutuhkan guru-guru untuk menjalankan prosesnya.

Panggilan "Cikgu" biar pun guru agama adalah fenomena biasa sekolah-sekolah di Johor. Menghadapi seribu ragam dan perangai pelajar, membuatkan saya makin tenggelam dalam dunia sendiri, berfikir dan kemudian tiba-tiba merasakan, mampukah aku?

Dua perenggan di atas sudah cukup menunjukkan yang saya masih ragu-ragu dengan kemampuan diri ini. Ditambah lagi perlu menyiapkan laporan ROS, orientasi guru di sekolah, berkenaan sekolah, persekitaran dan sebagainya - sedikit sebanyak membuat mata ini memerah dan berair.

Biarpun diadu kebungkaman ini kepada insan yang paling rapat dan sayang sekalipun, tetap ia berupa masalah yang tak terselesai. Kerana tindakan tersebut ada pada tangan ini, mahu dihayun atau tidak saja.

Hati kemudian, terang beristighfar. Saya cuba kuatkan diri mengingati firmanNya sentiasa memotivasi diri ini. Seolah sebuah azimat, "Kerana Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu."

Allah tidak akan membebani hambaNya dengan sesuatu yang tidak mampu dilakukan. Dia Maha Mengetahui, Dia Maha Memahami mana yang paling buat hambaNya. Segala keperitan ini bakal menjadi kaffarah kepada dosa-dosa yang lalu.

Sungguh, hanya Allah lah tempat sandaran sepenuhnya. Kerana mutlak Allah itu Maha Mendengar dan pasti merupakan Pendengar yang baik, yang akan memberi 'nasihat', kekuatan,. Allah mahu melihat kesabaran dan ketabahan hambaNya.

ALLAH menguji keikhlasan apabila bersendirian. ALLAH memberi kedewasaan apabila ditimpa masalah. ALLAH melatih kesabaran dalam kesakitan. Dan ALLAH tidak pernah mengambil sesuatu yang kita sayang, kecuali menggantikannya dengan yang lebih baik.

Ketika hati bersedih kita perlu untuk memilih,
Pilihlah untuk senyum, walaupun kita memiliki seribu alasan untuk muram..
Pilihlah untuk bangkit walaupn kita telah jatuh dan malu..
Pilihlah untuk sabar dan redha walaupun kita ada alasan untuk kecewa..
Kerana ingatlah, ALLAH sentiasa bersama orang yang bersabar. :)


Bila Allah tarik satu persatu perkara yang kita sayang, suka dan cinta....

ketahuilah sebenarnya, Dia sedang mengajarkan kita sesuatu yang lebih hakiki dan realistik iaitu mencintaiNya lebih dari segala perkara yang kita sayang, suka dan cinta.

:)

dan kadang Allah hadirkan juga satu persatu perkara yang kita benci, tak suka dan kurang menyenangkan hati...

kerana Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. :)

*kena banyak senyum. :)



Rintihan - Hijjaz

Biar berlinangan air mata
Ku takkan hentikannya
Biarkan ia menyembuh luka
Hilanglah rasa duka

Tidak ku termampu merentasi liku-liku

Oh sungguh ku tak mampu menghadapi semua itu
Oh sungguh ku tak upaya

Jangan dibiarkan jerih perih kehidupan

Bisa meleraikan iman...
Kan hancur semuanya

Walaupun menitis air mata darah
Tak bisa merubah segalanya
Melainkan taubat nasuha
Moga kan diterima...

Namun ku percaya

Masih ada kesudahannya
Kerana Allah itu
Maha Kaya Maha Mendengar
Rintihan hamba-hambanya
Kerana sesiapa bertaqwa kepadanya
Pasti akan ada
Jalan keluarnya
Rezeki yang tidak disangka-sangka
Cukup Allah baginya berkuasa segala-galanya
Terima seadanya

Khamis, 8 Mac 2012

Resepi Asam Pedas

Bahan-bahan :

Bawang merah
Kunyit
Halia
Belacan
Cili kisar
Ikan
Air asam jawa
Bawang besar
Gula dan garam

Cara menyediakannya :

1. Tumbuk bawang merah, kunyit, halia sikit dan belacan sikit.

2. Tumis bahan-bahan yang ditumbuk tadi  sampai garing.

3. Kemudian masukkan cili kisar sesedap rasa. Kalau nak pekat dan pedas, letak banyak sikit. Agak-agak la, ikut size periuk. Tumis sehingga pecah minyak dan garing.

4.  Masukkan ikan dan air asam jawa.

5. Masukkan sedikit air dan hirisan bawang besar. Kalau nak masukkan daun kunyit atau bunga kantan pun boleh.

6. Biar didih sepenuhnya sampai ikan masak. Letak garam dan gula secukup rasa.



Selamat mencuba! :)

Rabu, 22 Februari 2012

Secebis Gambar

Akhirnya, ada juga secebis kenangan. Saya jumpa gambar ini di simpanan saudara terdekat saya. Saya kurang mempunyai simpanan gambar sendiri ketika zaman kanak-kanak.

Abah, berdarah Jawa Perak, lahir di Teluk Intan, Perak pada tahun 1938. Dewasa ini, kerap juga saya berkunjung ke negeri kelahiran Abah andai berkelapangan dan berkesempatan. Menara Condong yang berada di tengah bandar Teluk Anson itu menyimpan kenangan saya bersama Abah sewaktu kecil-kecil dulu. Kami akan mengunjungi menara tersebut setiap kali pulang ke Perak. Ia begitu dekat hati saya, biarpun cerita ini sudah lebih 16 tahun berlalu.

Sewaktu Abah nazak, saya berada di asrama sekolah di Kota Bharu. Saya menerima berita kematian Abah dengan kedatangan kakak angkat saya yang dijaga Abah sejak kecil. Minggu sebelumnya, kami sebenarnya merancang untuk pulang bersama-sama ke kampung.

Saya bersedia menerima berita itu. Sudah dapat menebak kerana saya mengalami mimpi dan sebagainya; tanda orang yang membesarkan saya itu akan meninggalkan dunia ini.

Cuma, yalah. Kadang, hati ini diceroboh rindu. Keinginan untuk berbapa masih lagi utuh. Mudah saja mata ini berkaca, langsung mengundang sebak di dada.

Antara yang ingatan-ingatan yang paling terpahat ialah kami anak beranak akan solat berjemaah pada waktu Maghrib dan Isyak dan waktu itu, Abah akan ajar kami zikir-zikir dan selawat. Seingat saya ada 20 zikir semuanya (yang sempat diajar), tapi sekarang hampir semuanya lupa kecuali ini ;

لا اله إلا انت ، سبحانك إني كنت من الظالمين

Abah juga merupakan pengamal seni tempur persilatan (Silat Kalimah). Pada malam tertentu, Abah akan melakukan latihan silat di halaman rumah suasana (seingat saya) sebijik macam scene-scene dalam cerita Melayu purbakala! Ada kayu yang dinyalakan api akan diletak di pagar rumah (tak tahu nama spesifiknya, obor kot).

Bila bercakap tentang susuk tubuh seorang abah, ketahuilah ada helaan rindu yang cukup mendalam.

Saat diimbas kenangan belajar menunggang basikal dengan abah, adalah motivasi jatuh kemudian bangun semula.

Waktu sakit perut yang memulas memaksa tubuh budak perempuan berumur 8 tahun menahan sakit dan mengerang, abah tampil di sisi mengusap minyak, memberi ubat dan menepuk-nepuk, melenakan malam yang panjang itu.

Bila, saat dan waktu itu berlalu.. hati ini haru!

Rabu, 1 Februari 2012

Musafir Kasih


Musafirku belum berpenghujung. Mungkin juga tidak berpenghujung. Mungkin juga ia bakal berpenghujung tika suatu saat taman-taman indah menjadi ruangan halaman mata ini. Moga-moga.

"Berangkatlah kamu (untuk berperang pada jalan Allah), samada dalam keadaan ringan mahupun dalam keadaan berat dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah. Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."

At-Taubah, ayat 41.

Panjang perjalanan, luas pemandangan. Begitulah pepatah yang biasa kita dengar, bukan? Namun, ingin sekali saya menyambung pepatah di atas. Selain luas pemandangan, ia juga menambah luas pengalaman dan ilmu serta peluang mengenali teman permusafiran kita. Pernah suatu ketika saya terdengar atau terbaca antara cara untuk mengenali sahabat atau kawan ialah dengan bermusafir bersama selain makan dan tidur bersama.

Sekian kali, walaupun permusafiran mengundang berat dan nestapa, lapar dan dahaga, perit dan gembira, senyum dan duka, namun ia kemudian terubat dengan sahabat yang memahami dan menukarkan nestapa, dahaga, perit dan duka itu kepada gembira dan senyum.

saya adalah kamu 
kamu adalah saya 
kami adalah satu ruh 
yakni dalam satu jasad  

Permusafiran menjadikan kita semakin mengenali antara satu sama lain. Mengetahui sisi lain yang belum diketahui dan kemudian fasa memahami dan membaca fikiran dihuni. Alhamdulillah.

Semakin saya membuka ruang untuk mendekati, semakin saya memahami. Semakin saya meluaskan medan komunikasi, semakin ringan beban di hati. Tahu apa rahsia memahami?

HUSNU ZHON.

Pabila Allah takdirkan sesuatu untuk kita
rasai ibrah dan kasih sayangNya yang mengalir di setiap deruan darah ke jantung
setiap helaan dan hembusan nafas yang mendesah
setiap putik cinta yang subur padaNya
RasulNya
perjuanganNya 
dan pemilik cintaNya.
.

Sabtu, 14 Januari 2012

Mengundang Rindu (2)

Pabila ditoleh kembali kemanisan berjuang di wadi biah solehah itu, air mata ini cepat benar merembes ke pipi. Menandakan kerinduan begitu memuncak mendambakan saat berada di lapangan rumput hijau tarbiyah yang begitu hening terbentang di padang. Kasur perjalanan itu sungguh indah walau pahit dirasai, kerana cinta Allah yang menyelimuti hambaNya yang dhoif ini. Walau hidup dalam ramai tapi hakikatnya berseorangan dalam meneruskan perjuangan; kerana hanya orang tertentu mengerti hakikatnya.

Jauh sekali jalan itu ditinggalkan dan kini aku kembali menata lembaran hakikat kehidupan manusia yang mendamba keredhaanNya. Ya Allah, rindunya aku pada diriku yang dulu! Menjadi pelita kepada kegelapan hati insan yang mendambakan cintaMu. Ibarat membawa seseorang ke satu tempat bercahaya; pada masa yang sama keindahan cahaya itu dinikmati bersama-sama dengan orang yang dipimpin. Begitu unik dan simboliknya hukum dakwah itu sendiri. Membantu diri dan juga orang lain.


Berbahagialah sesiapa yang hidup dalam bulatan gembira ini. Penuh kasih sayang dinuansa dengan kata-kata penguat jiwa. Perjuangan yang dilalui terasa lancar dengan adanya sahabat seperjuangan yang mengingatkan Allahlah sebaik-baik penolong.

Rindu sungguh ya Allah, dengan kata-kata ‘ana uhibbuki liLLah ya ukhti’, dengan terma-terma seperti ukhuwah fillah, jihad, mehnah, usrah, qiammullail, mukhayyam, muktamar, liqa’, doa robitoh, amal jamaie, amal fardi, amal ijtimaei, munajat, wehdatul amal, wehdatul fikr dan sebagainya. Ya Allah, Subhanallah, Masya Allah, aku rindu ya Allah.. Apa daya aku untuk menjadikan diriku seperti dahulu… penuh semangat, tetap pendirian dan berbagai kehebatan jiwa yang lalu.

Aku rindu zaman ketika halaqah adalah kebutuhan, bukan sekadar mengisi waktu lapang apalagi hiburan.
Aku rindu zaman ketika membina adalah kewajiban bukan pilihan apalagi beban dan paksaan.
Aku rindu zaman ketika dauroh menjadi kebiasaan, bukan sekadar pelengkap program yang dipaksakan.
Aku rindu zaman ketika thiqah menjadi kekuatan, bukan keraguan apalagi kecurigaan.
Aku rindu zaman ketika tarbiyah adalah pengorbanan, bukan tuntutan dan mencari kepentingan.
Aku rindu zaman ketika nasihat menjadi kesenangan, bukan su’u zhon atau menjatuhkan.
Aku rindu zaman ketika kita semua memberikan segalanya untuk dakwah ini.
Aku rindu zaman ketika nasyid ghuraba' ibarat menjadi lagu kebangsaan.
Aku rindu zaman ketika hadir liqa' adalah kerinduan dan terlambat adalah kelalaian.
Aku rindu zaman ketika pergi usrah selalu membawa duit RM1, alat tulis, buku catatan dan tafsir Al Quran serta ditambah sedikit hafalan.

Aku rindu zaman itu, ya Rabb. Jangan Kau buang kenikmatan berdakwah dari hati-hati kami. Teguhkan kami di jalan yang Kau redhai...

Selasa, 27 September 2011

Sentimental



Tiba-tiba tersentimental. Ah, sesekali. Alunan piano kadang memberi kelainan. Kesannya kepada jiwa juga asing dan tak pernah dirasai.

Orang kata jiwa halus ni sentimental. Jiwanya sensitif dan mudah terasa. Namun seseorang yang berjiwa halus, mudah terasa, sensitif dan sentimental ini ialah bukan orang yang sempit jiwanya, kebudak-budakan nilainya, pesimis orangnya.

Jiwa yang halus dan sensitif tidak bermaksud emosi berlebih-lebihan. Ia adalah jiwa yang peka dengan keadaan sekeliling. Jiwa ini harus ada pada daei yang menanggapi umat.

Marilah kita berjiwa sentimental tanpa negatif ragu!

Ahad, 25 September 2011

Revolusi Penghujung September

September yang kian berpenghujung, blog yang kian bersawang dan sunyi dari bebelan pemiliknya. Tulisan yang menggugah jiwa dan mencerna minda kian kering dakwatnya. Facebook kian berpengaruh walaupun aplikasinya selalu munafik berubah. Malam minggu ku gagahkan diri sign in akaun blog dan akhirnya tulisan-tulisan ini terpapar.

Perkara-perkara yang sering aku lupakan akan mudahnya menjelma dalam minda pada waktu dan ketika ini. Malam menjadi waktu berehat dari ribut dan kabut siang yang menghijab ketajaman pena.

Melihat dan memerhati manusia sekeliling menghantar ku ke dunia penilaian. Aku bukanlah menilai dan kemudian melabel tidak tentu hala. Cuma aku beringat, yang aku tidak sesekali menghipokritkan diri menghakimi manusia lain dan kemudian tanpa sedar seperti dihipnosis meniru perbuatan yang sama.

Klise.

Tidak sesekali aku biarkan suasana sekeliling mengemudiku! Jiwa hamba yang matang tidak akan reaktif dengan suasana kehidupan yang mendatang. Menjadi proaktif, tidak semata-mata menyalahkan keadaan sekeliling kerana kebungkaman yang mencengkam.

Seboleh-bolehnya aku tidak mahu unsur klise, stereotaip bertamu di  revolusi sikapku.

Tamat.

Sabtu, 27 Ogos 2011

Catatan Kelu

Malam ke 27 Ramadhan tiba.

Ruang tamu sunyi. Adik-adik sudah masuk ke bilik masing-masing. Hanya aku yang masih berada di ruang tamu, menemani ibu menonton berita dunia. Sayup kedengaran suara Adik membaca al Quran. Juzuk 21. Aku menghidupkan komputer riba, memasang broadband dan membuka laman sesawang. Seperti biasa, log in akaun facebook dan melihat news feed. Catatan-catatan tentang Ramadhan oleh rakan-rakan menjengah depan mata. Pelbagai lantunan nasihat terpapar. Mereka menasihatiku, tentang Ramadhan dan Lailatulqadr.

Tak sampai setengah jam, aku berbaring di sisi laptop. Terasa kosong tiba-tiba. Mula menghitung hari yang bakal meninggalkan Ramadhan. Menghitung hari untuk ke kampus semula. Ah, tak sampai seminggu saja.

Bangun kemudian mencapai mushaf. Membelek-belek seraya membacanya. Baca 2 ayat kemudian berhenti. Resah menggamam. Target khatam jauh sekali! Target tadabbur? Kholas! Aku menutup mushaf dan berbaring semula.

Betul, malam ini dibaluti sunyi. Mula memuhasabah diri. Ramadhan yang kian berbaki. Lailatulqadr, entah aku ketemu atau tidak. Atmosfera pesimis menghembus. Tuhan, aku bukan hamba yang baik bukan?

Sukar diurus. Ketenangan bulan barakah ini bukan milikku.

Ingin memberitahu sesuatu tapi bibir kelu. Ingin menyapa seseorang tapi hanya menghela dengan pandangan kosong. Ingin mengetuk pintu cinta Tuhan tapi terasa malu dan mahu sembunyi?

Sukar diduga. Mode hikikomori melanda dan lirik lagu Ramadhan 2 Zaman aku ulang-ulang.

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga...

Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, ketahuilah Ramadhan itu akan pergi! Lailatulqadr kan pergi menyepi. Hanya iman yang tegar menemani, mengharungi rimba dan semak 11 bulan yang mendatang.

Betul, perit. Walaupun Syawal tak sampai seminggu lagi, lagu raya sebolehnya dielak menjadi halwa telinga. Entah, terasa sedih dan ngilu. Tak pasti, samada menangisi Ramadhan yang bakal pergi atau menangisi diri yang tidak memanfaatkan sekali setahun berlepas diri dari godaan syaitan.

Catatan ini makin kering dakwatnya. Ternyata bebelan ku ini juga tidak mampu menggores senyum kemenangan. Aku yang susah untuk diurus dan diduga!

lapang yang terisi, cinta ilahi mengiringi~

Sabtu, 13 Ogos 2011

Hujan, Biru Langit & Disember

Pabila cuaca mendung dan suram, awan menjadi kelabu dan kemudian hujan pun turun. Kadang-kadang ianya lebat, kadang-kadang ia turun renyai-renyai. Ada juga hujan yang diiringi ribut, angin yang kencang.


Gerimis mewakili air hujan yang turun ringan. Bunyi air hujan gerimis jatuh mengenai zink rumah sangat mengujakan. Satu tabiat tegar saya ketika hujan turun ialah, saya akan duduk di tepi tingkap melihat air hujan membasahi halaman rumah. Sewaktu ketika kecil dulu, pantang hujan mesti sudah bersorak riuh rendah di luar rumah dan mandi hujan sepuasnya. Selagi hujan tak serik atau tidak dipanggil ibu, selagi itulah saya mandi hujan dengan gembiranya. Sampai biru-biru bibir sebab sejuk. Ah, indahnya zaman kanak-kanak! huhu

Saya suka hujan. Walaupun orang kata susah kalau hujan ni, banyak aktiviti tergendala dan sebagainya, namun kecintaan saya terhadap hujan tak terkesan. Kadang-kadang sengaja mencari alasan keluar ketika hujan; saja nak merasa sejuk. Selain hujan, saya suka cuaca mendung dan redup. Kalau sedang marah-marah atau sedih, cuaca mendung mempengaruhi saya. Sedikit sebanyak ia menghantar ketenangan.

Manusia terinspirasi dengan hujan. Lagu-lagu dicipta berinspirasikan hujan seperti lagu arwah Sudirman, Hujan. Lagu Gerimis, Fareast dan banyak lagi. Malah, Hujan juga adalah nama sebuah band indie yang terkenal di Malaysia!

Hujan juga tidak ketinggalan menginspirasikan lagu-lagu sentimental buat saya.

Ada juga sesetengah orang menganggap hujan adalah fenomena sedih dan muram atau menangisi sesebuah pemergian dan perpisahan. Namun hujan dalam Islam adalah sebuah rahmat malah waktu hujan merupakan antara waktu-waktu mustajab berdoa.

Dari Sahal bin Saad katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ada dua jenis doa yang tidak ditolak iaitu ketika azan dan ketika turun hujan.”

Ada sebuah doa yang elok dibaca ketika hujan turun.


Suasana mendung ketika hujan akan memancarkan warna langit yang sebenar. Warna biru langit atau di dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'azure'. Warna langit pada waktu malam akan bercampur-campur dengan warna seakan-akan jingga yang menandakan awan yang mengandungi air. Bagi saya, hujan sangat dekat dengan warna langit. Hujan, biru. Ah, mencambahkan lagi satu benda yang saya suka iaitu warna biru.


Saya peng'obses' warna biru. Hampir 80 peratus barang-barang peribadi kepunyaan saya berwarna biru. Kalau pergi membeli belah terutama pakaian, mata saya lebih cenderung kepada pakaian berwarna biru, tak kira apa pun. Lukisan saya waktu kecil dulu juga didominasi dengan warna biru, sampaikan pokok pun saya warnakan dengan warna biru!

Mengikut kajian, individu yang menyukai warna biru ini adalah seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Dia pandai berkawan dan mudah disenangi orang lain. Disebabkan itu, dia sangat mementingkan persahabatan dan suka memberikan dorongan kepada orang lain. Kadang-kadang lebih mengambil berat terhadap orang lain berbanding diri sendiri.

Satu lagi, dia seorang yang sensitif dan bersifat dalaman serta romantik. Jenis personaliti seperti ini cenderung kepada sifat yang setia, menghargai sesuatu perhubungan sesama manusia, suka pada pergaulan, kadangkala suka berimaginasi dan nampak tenang. Malah, sukakan penghargaan dan mahukan kasih sayang daripada orang lain.

Namun, satu saja keburukan orang yang suka warna biru ni iaitu kurang bercita-cita tinggi dan takut dikritik. erk, kebetulan kena dengan saya. huhu

Teori hujan, warna biru dan bulan Disember ada kaitannya.

Sewaktu zaman sekolah dulu, pernah menghadiri satu program motivasi ni. Penceramah membahagikan kami peserta kepada beberapa kumpulan mengikut bulan kelahiran. Beliau menerangkan sikap dominan setiap orang yang mewakili bulan kelahiran mereka. Saya dipanggil ke depan mewakili kumpulan saya. Selepas menanyakan beberapa soalan, beliau menyatakan, orang yang lahir bulan Disember tidak suka keluar rumah, sukakan hujan, suasana mendung kerana bulan Disember seperti yang kita tahu adalah musim hujan lebat dan musim banjir di Pantai Timur. Mungkin sebab itu orang yang lahir bulan Disember sangat 'dekat' dengan hujan. 

Beberapa personaliti yang berkaitan dengan seseorang yang lahir di bulan Disember, antaranya ; sangat setia dan pemurah. Dia bersifat patriotik dan sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Bersikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Sangat bercita-cita tinggi dan suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Beliau seronok didampingi dan suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Antara kelemahan yang dikaji, tidak pandai berpura-pura dan cepat marah serta perangai yang berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi dan benci pada kongkongan. Suka berlawak dan pandai buat lawak dan menceriakan orang lain serta berfikiran logik.

Tak jauh bezanya personaliti bulan Disember dan individu yang sukakan warna biru. Kebanyakan ciri-ciri yang dikaji itu kena dengan saya. Ada juga yang tiada kaitan langsung. Namun sekurang-kurangnya, ada ayat dan perkataan yang mengungkapkan peribadi saya.

Sebentar, ia membuatkan saya terfikir.

Kadang-kadang kita tak kenal diri sendiri pun. Kita tak tahu potensi diri kita, kelebihan dan kekurangan, apa sifat dominan kita, apa yang kita suka dan benci. Kadang kita membiarkan diri menyukai perkara yang Allah benci dan membenci sesuatu perkara yang Allah suka. Kita menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dunia dan akhirat dan kita menerima dengan senang hati perkara yang membinasakan kita.

Tak kenal maka tak cinta.
Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.
Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.
Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah?

Ya, kita lupa yang kita gagal mencintai diri sendiri apabila kita gagal mencintai Allah. Sesungguhnya hujan, warna biru langit dan Disember juga adalah ciptaan Allah dan merupakan salah satu keindahan alam dan dunia untuk saya, kamu dan kita semua manfaatkan untuk lebih mendekatiNya.

Ramadhan kareem!

Selasa, 9 Ogos 2011

nice, cool & humble

I am not a perfect person and I don't want to be perfect. Perfect make people judging others, lack of common sense and further from being considerable to themselves either.

Don't expect much. You'll dying to see all the bad side even the good side is not bad. True color of me is truly just make people sick.

I'm sick of being shameless upon Allah. I'm dying thinking about what i suppose to answer in front of Allah; good deed or evil deed in this short life.

O myself!
just being yourself.

Be nice, cool and humble.
Be nice, cool and humble on what u've face.

Be nice to all creatures in this world. Be cool and not rushly deciding things. Be humble and respect others.  

And don't forget to expect Allah, more.
















p/s : that cute little blue kittten is mine!

Rabu, 3 Ogos 2011

Ubat Mengantuk

Akhirnya saya mengerti. Ubat paling mujarab untuk orang yang mengantuk ialah tidur!


Mengantuk mesti tidur.

Daripada Anas radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: “Apabila salah seorang daripada kamu mengantuk ketika sembahyang, hendaklah dia itu tidur sehinggalah dia tahu apa yang dibaca akan dia” – riwayat al-Bukhari.

Apakah ada urusan yang lebih penting daripada solat? Sedangkan solat juga jangan sampai melanggar hukum alam ini.

Seringkali saya akan menyalahkan diri sendiri kalau kepala sudah mula terangguk-angguk di dalam kelas. Gejala mengantuk saya sudah diketahui rakan-rakan dan mereka sudah lali melihat saya menahan ngantuk. Dari sekolah menengah hinggalah ke kampus. Gejala mengantuk saya bagai tiada ubatnya, meskipun saya berusaha untuk tidur awal sebelah malamnya dan cuba untuk tidak berjaga.

Hakikatnya, lesu itu tanda penyakit. Mengantuk tak bermakna tidak cukup tidur. Mungkin tidur tidak berkualiti dan kemudian mencambah kelesuan. Saya persetankan anggapan manusia. Mengantuk bukan kehendak saya.

Mungkin kena ubah tajuk entry di atas. Sebetulnya mencari ubat kelesuan. huh

Khamis, 21 Julai 2011

Ayat-ayat Cinta

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” Surah At-Taubah, ayat 40.

Ayat 40, Surah At-Taubah ini cukup bermakna kepada saya. Terutama di frasa "La tahzan, inna Allaha ma'ana". Cukup memberi kesan.

22 Januari 2005

Bersekolah di Maahad dan tinggal di asrama dan kemudian ditaklifkan menjadi ketua bilik yang dihuni oleh hampir 30 orang. Budak mentah tingkatan 3 bakal menghadapi pelbagai ragam pelajar asrama. Menjadi pengawas sekolah ditambah pula dengan jawatan ketua bilik di asrama menyebabkan segolongan pelajar yang dikatakan bermasalah jengkel terhadap saya. Sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya kadang lebih junior dari mereka.

Tanpa saya sedari, banyak tekanan tertimpa kepada saya. Aktiviti persatuan, belajar, menghadapi kerenah-kerenah rakan-rakan sebaya menyebabkan waktu remaja menjadi adalah waktu murung dan emosional.

30 April 2006

Hari ini jumpa dengan Hajar dan kemudian langsung meminta nasihat dan tazkirah darinya. Dia kata, Allah sentiasa mendengar dan memerhatikan hambaNya. Dia suruh saya buka mana-mana muka surat Al Quran selepas solat secara rambang.

Dia kata lagi, “Nantikan bicara Allah denganMu.”

Saya tersenyum dan mengangguk setuju akan melakukan hal itu.

10 Mei 2007

Selepas hari yang memenatkan, sengaja tidur lewat malam ini. Sengaja mencari waktu orang lain dibuai mimpi. Jam sudah menunjukkan 1 pagi, namun mata masih tidak mahu lelap. Saya mencapai Al Quran tafsir usai solat sunat hajat. Sebelum saya membuka mushaf, terdetik di hati saya, “Ya Allah, kau Maha Mengetahui apa yang ku alami. Berilah kata-kata semangat kepadaku untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.”

Selepas itu, Al Quran dibuka di muka surat tengah. Serta merta mata saya terpacak kepada bilahan ayat bahasa syurga itu pada bahagian, “La tahzan innaAllaha ma’ana.” Allahuakbar! Air mata terus melaju turun lebat di pipi. Saya menangis teresak-esak. Menekup mulut, bimbang esakan saya didengari rakan-rakan hostel yang lain yang sedang tidur.

Tidak pernah saya berasa begitu dihargai melainkan ketika terasa belaian Allah melalui ayat itu! Dalam esakan yang perih, segala pengharapan dan meluahkan segala yang terpendam dan terbuku di hati dinyatakan. Saya nyatakan segala kebimbangan dan kebungkaman. Saya pinta segala pintu ketenangan di depan mata. Merasakan betapa indahnya cinta Allah kepada hambaNya. Terbukti, apa yang saya dengari selama ini bahawa cinta yang paling agung di dunia ini ialah cinta Allah kepada makhlukNya.


Rasa gembira. Terasa tidak keseorangan. Terasa gagah. Terasa kuat. Menyerap kekuatan dengan kembali kepada Allah. Kalau manusia mengatakan cinta sesama mereka adalah teragung, cinta Allah kepada makhlukNya adalah segala keagungan yang dipuja di dunia ini!

21 Julai 2011

Andai bisa ku mengulang
Waktu hilang dan terbuang
Andai bisa perbaiki segala yang terjadi

Tapi waktu tak berhenti
Tapi detik tak kembali

Harap ampunkan hambaMu ini...

Isnin, 2 Mei 2011

Budak Pondok

"Farid, tolong jelaskan kat Kak Yang bab Tauhid Tiga tu. Kenapa ia jadi perbahasan? Berlawanan ke konsep tu dengan sifat 20?", tanya saya bertalu-talu kepada adik lelaki saya, Farid.


Budak pondok itu hanya tersenyum dan menghiling kepalanya berkali-kali. Setiap kali saya bertanyakan tentang hal-hal agama, dia sebolehnya mengelak dan berkata, "Farid dok cukup ilmu lagi, Yang." Namun, selepas beberapa kali didesak akhirnya dia mengalah dan mula menjelaskan satu persatu. Walaupun pada peringkat awal, agak susah juga untuk saya memahami penjelasan tersebut, lebih-lebih lagi kalau Farid mula mengambil mana-mana kitab yang telah dipelajarinya dan menterjemahkan isi kitab kepada saya dalam bahasa Kelantan pondok yang ada "maka terjadilah sesuatu itu dengan sesuatu yang lain" (erk?). Begitu pun, Farid, seorang budak pondok ada kepakaran khusus bagi menjelaskan kepada saya.

Biasanya, dia akan menerangkan sesuatu perkara dengan begitu mudah dan jelas sekali kepada saya. Aura murabbi terasa. Tak dapat saya nafikan budak pondok ada kelainannya berbanding dengan lepasan institusi agama yang lain.

Beberapa tahun yang lalu, saya cukup prejudis dengan pondok. Kerana pada waktu itu, Farid pernah mengambil keputusan drastik berhenti sekolah semata-mata mahu meneruskan pengajian di pondok. Dia nekad meninggalkan alam persekolahan ketika akhir tahun dia berada di tingkatan 2 di Maahad Muhammadi (L). Sebelum itu, dia tinggal di rumah sewa berhampiran dengan kawasan Pondok Pasir Tumboh dan belajar secara tidak formal di pondok setiap kali pengajian waktu hujung minggu semasa tingkatan 2.

Ibu saya pula jenis yang tidak suka memaksa anak-anaknya dan dia meredhai adik saya berhenti sekolah serta mengikuti pengajian di pondok sepenuh masa walaupun jauh dari sudut hatinya, dia lebih suka Farid bersekolah. Namun, tidak bagi saya. Hampir setengah tahun rasanya saya terasa 'jauh' dengan budak pondok itu sedangkan dalam kalangan adik beradik, Farid adalah adik yang paling rapat dengan saya. Setelah berbulan-bulan tidak pulang ke rumah, dia akhirnya pulang dan pada waktu itu saya 'memboikot' dia selama 3 hari. Sungguh, saya cukup tidak setuju dengan tindakannya. Sementelahan pula, dia cuba membawa 'dakwah' pondoknya ke rumah dengan menegur kami adik beradik dengan keras sekali.

Saya mempersoalkan kerelevanan dia untuk tidak bersekolah. Farid menolak mentah-mentah sekolah boleh memberi pendidikan terbaik kepadanya. Pandangannya yang ekstrim dan lebih malang lagi dia berpendapat sekolah arus perdana sebagai keduniaan dan sebagainya. Bagi dia, pondok lebih membawa erti pendidikan yang sebenar dan tidak bersifat exam-oriented seperti sekolah. Ya, saya faham kebobrokan sistem pendidikan yang ada, namun keperluan untuk mengikut arus zaman tidak boleh diketepikan.

Fenomena yang biasa berlaku. Budak baru belajar katakan. Selepas beberapa bulan kemudian, barulah ia mula berkurangan. Mungkin hikmah yang telah ditunjukkan abang dan kakak dalam meladeni jiwa remajanya.


Akhirnya, budak pondok itu 'insaf' dan mengembalikan senyuman kepada ahli keluarganya. Kami boleh berdiskusi secara ilmiah dengan baik, mengambil buah hikmah dan pada masa yang sama Farid mula mengakui pendidikan perdana negara mempunyai kepentingan dalam hidupnya. Kini, dia sudah kembali ke alam persekolahan dan sedang bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM hujung tahun ini.

Saya lihat kombinasi yang indah selepas dia mula positif untuk bersekolah kembali. Pengalaman berdepan dengan kekerasan kepala seorang remaja lelaki berumur 15 tahun 'membuka' luas mata saya untuk tidak menidakkan kepentingan sistem pengajian pondok. Kombinasi yang sangat signifikan. Sungguh, saya tak nafikan pengaruh pondok ke dalam rumah saya. Aura tarbiyah yang dibawa oleh Farid ke dalam keluarga kami sungguh menambat hati. Proses tarbiyyah ruhiyyah dijalankan secara konsisten dan suasana di rumah terasa lebih tenang dengan kehadiran Farid.

Farid menjadi tempat rujukan saya dan adik beradik yang lain tentang hukum hakam berkaitan agama. Suasana ilmiah dalam perbincangan yang sihat dapat dirasai. Kami berkongsi pelbagai pendapat dan perkara. Saya amat menyukai gaya penerangannya dan ia secara tidak langsung memberi perspektif positif dan motivasi kepada saya tentang pembelajaran di pondok. Saya berasa lebih selesa berbanding dulu untuk membuka kitab lama dan bolehlah sikit-sikit cuba belek dan baca.


Tidak saya nafikan, sistem pengajian pondok mempunyai nilai tarbiyah yang sangat tinggi. Penuntutnya bukan saja melalui jadual belajar yang padat, malah beberapa corak pendidikan yang saya fikir sepatutnya ada dalam sistem pendidikan negara sudah terlebih dahulu mengakar umbi dalam sistem pondok. Fokus sistem pencapaian pondok bukanlah dinilai pada A berderet-deret, bukanlah bersifat exam-oriented semata-mata tapi pada perkembangan ilmu yang berlaku seiring dengan potensi akhlak hasil dari tarbiyah pondok itulah yang menjadi ukuran. Ia bisa melahirkan penuntut ilmu yang benar-benar ikhlas dan bukan berjenama duniawi. Sistem pondok melahirkan ulama' yang bukan saja faqih malah dapat membantu dalam mendidik masyarakat.

Namun, beberapa teguran ringan patut saya lontarkan di sini. Pelajar pondok seharusnya menjenguk keluar dan melihat kepada ilmu moden. Gabungan 2 sistem pengajian ini dilihat mampu melahirkan seorang Ulama' yang bisa mendepani cabaran semasa. Pelajar pondok bukan berada dalam atma ketenangan tetapi mampu mendepani cabaran yang ada di luar sana hari ini. Dakwah yang akan dipantulkan bakal menghasilkan gabungan yang luar biasa.

Budak pondok juga seharusnya tidak terlalu ekstrem atau terlampau taksub sehingga tidak mampu menerima pendapat orang lain. Sedarilah bahawa perpecahan dan perbezaan pendapat itu adalah 2 perkara yang berbeza. Harus diingat, yang membawa kepada perpecahan itu adalah kerana tidak menghormati perbezaan pendapat.

Isnin, 14 Mac 2011

Reload | Aim | Shot!

Airmata ini mudah benar mengalir. Ya, kadang menangisi diri sendiri yang makin kurang hamasahnya, menginsafi kelemahan dan ketelanjuran mulut, mata, telinga dan hati sehari-harian tika berhadapan dengan manusia. Sungguh, menghadapi manusia akan membuatkan kita lelah tanpa disedari. Saya jadi terfikir-fikir, kadang Allah hantarkan petanda. Hubungan dengan manusia kacau bilau dek kerana tali ikatan cinta dengan Allah s.w.t. sudah longgar dan kendur.

Ia minta untuk diperkuatkan kembali.

Hati manusia mahu dikuasai, namun hati sendiri masih ditakluki nafsu dan syaitan. Menegakkan Islam bukannya omongan kosong, yang senang-senang dilaksanakan. Ada harga yang perlu dibayar. Harganya 'mahal' sebagai mahar untuk mendapatkan cinta Allah dan ganjaran yang dijanjikanNya.

Sesekali bila menghadapi manusia, jangan mudah berputus asa.

Pabila keindahan Islam menyapa ke dalam hati sanubari seseorang, dia boleh berubah daripada api menjadi air. Mungkin juga dari sekuntum bunga dedap menjadi melur berbau harum. Saat sapaan hidayah dan tarbiyah itu mengusap kegersangan hati, segalanya menjadi tenang dan senang kerana Allah sentiasa menemani hamba yang ikhlas padaNya.

Tanpa disangka, seseorang itu boleh berubah 360 darjah! Hanya kerana hidayah Allah menyapa. Raut wajah yang kusam dulu, kan bisa menjadi bercahaya ibarat bulan cerah mengambang.

Namun, ada hati yang masih lagi keras menyambut seruan hayya ‘alal falah itu. Terus seruan itu dihindar, ditutup telinganya, ditarik selimut buat menyelimuti tubuhnya dari kaki sampai ke kepala. Terselimut dan tertutuplah hatinya sepertimana tertutupnya tubuh dengan selimut. Aduhai, betapa rugi mereka yang menolak seruan Allah!

Sebab itu, hidayah bukan milik kita.

Saya bermuhasabah . Daie hanya penyeru, bukan penghukum. Sesekali tidak untuk berkata benci kepada mad'u, namun manifestasi benci harus diterjemah pada kemungkaran yang dilakukan.

Hate the sin, not the sinner.

Sesekali jangan bersalah sangka. Percaya bahawa Allah sedang mengatur sesuatu, yang terbaik untuk dirinya. Tegakkan Islam dan maaruf dalam diri kita, benamkan kemungkaran dan dosa yang bermaharaja lela. Teguhkan keyakinan dan keimanan dan percayalah ; tidak ada sesuatu di dalam dunia ini yang tiada hikmahnya. IKHLASkan hati, bersihkan niat hanya semata-mata kerana Allah.

Satu azimat saya sentiasa ulang-ulang, sesungguhnya Allah tidak melihat pada keputusan atau hasil tapi Allah melihat percambahan usaha dan kesungguhan kita melaksanakan dakwah ini. Tiada jalan dakwah yang sunyi dari dugaan dan cabaran.Allah.

Taqarub ila Allah.

Tiba-tiba, saya tersentak. Ya, habluminnAllah. Perkukuhkan tali ikatan cinta kita dengan yang Maha Penyayang, yang tidak pernah terlupakan untuk menghembus hamasah kekuatan pada kita. Sesungguhnya Allah mencintai hambaNya yang berdoa di sepertiga malam, menangisi dosa-dosa semalam, memohon ampunan dan rahmat yang takkan pernah terputus.

Tersenyum bila teringatkan kembali sms kak Umi Kalsom, mantan MPMUTM 10/11 yang banyak memberi tunjuk ajar semasa menjadi calon umum untuk PRK lalu yang berbunyi, "Reload-aim-shot!"

Mari kita RELOAD kekuatan dari Allah. AIM kan kembali matlamat kita. Serta jangan lupa SHOT!

Catatan-catatan ini makin kering dakwatnya

Moga Allah kuatkan saya, kamu dan kita semua untuk terus bermuhasabah, mengecas kembali iman & taqwa dan kemudian bangkit semula.

Allahuakbar!

Ahad, 16 Januari 2011

Sekuntum Mawar Putih ~

Sekuntum mawar putih dalam hatiku
yang telah kusemat dekat di dahimu
betapa manisnya!
ia gementar menahan malu.


Mawar putih, bentuknya tak kalah cantik dengan mawar merah...


Warnanya putih, suci dan berseri...


Tak perlu melindungi diri dengan duri...


Bunga yang tidak banyak permintaan,..


Ia dapat tumbuh di mana sahaja...


Bahkan dengan penjagaan yang sederhana...


Semoga ia bisa menjadi nyata!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...