Sabtu, 13 Ogos 2011

Hujan, Biru Langit & Disember

Pabila cuaca mendung dan suram, awan menjadi kelabu dan kemudian hujan pun turun. Kadang-kadang ianya lebat, kadang-kadang ia turun renyai-renyai. Ada juga hujan yang diiringi ribut, angin yang kencang.


Gerimis mewakili air hujan yang turun ringan. Bunyi air hujan gerimis jatuh mengenai zink rumah sangat mengujakan. Satu tabiat tegar saya ketika hujan turun ialah, saya akan duduk di tepi tingkap melihat air hujan membasahi halaman rumah. Sewaktu ketika kecil dulu, pantang hujan mesti sudah bersorak riuh rendah di luar rumah dan mandi hujan sepuasnya. Selagi hujan tak serik atau tidak dipanggil ibu, selagi itulah saya mandi hujan dengan gembiranya. Sampai biru-biru bibir sebab sejuk. Ah, indahnya zaman kanak-kanak! huhu

Saya suka hujan. Walaupun orang kata susah kalau hujan ni, banyak aktiviti tergendala dan sebagainya, namun kecintaan saya terhadap hujan tak terkesan. Kadang-kadang sengaja mencari alasan keluar ketika hujan; saja nak merasa sejuk. Selain hujan, saya suka cuaca mendung dan redup. Kalau sedang marah-marah atau sedih, cuaca mendung mempengaruhi saya. Sedikit sebanyak ia menghantar ketenangan.

Manusia terinspirasi dengan hujan. Lagu-lagu dicipta berinspirasikan hujan seperti lagu arwah Sudirman, Hujan. Lagu Gerimis, Fareast dan banyak lagi. Malah, Hujan juga adalah nama sebuah band indie yang terkenal di Malaysia!

Hujan juga tidak ketinggalan menginspirasikan lagu-lagu sentimental buat saya.

Ada juga sesetengah orang menganggap hujan adalah fenomena sedih dan muram atau menangisi sesebuah pemergian dan perpisahan. Namun hujan dalam Islam adalah sebuah rahmat malah waktu hujan merupakan antara waktu-waktu mustajab berdoa.

Dari Sahal bin Saad katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ada dua jenis doa yang tidak ditolak iaitu ketika azan dan ketika turun hujan.”

Ada sebuah doa yang elok dibaca ketika hujan turun.


Suasana mendung ketika hujan akan memancarkan warna langit yang sebenar. Warna biru langit atau di dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'azure'. Warna langit pada waktu malam akan bercampur-campur dengan warna seakan-akan jingga yang menandakan awan yang mengandungi air. Bagi saya, hujan sangat dekat dengan warna langit. Hujan, biru. Ah, mencambahkan lagi satu benda yang saya suka iaitu warna biru.


Saya peng'obses' warna biru. Hampir 80 peratus barang-barang peribadi kepunyaan saya berwarna biru. Kalau pergi membeli belah terutama pakaian, mata saya lebih cenderung kepada pakaian berwarna biru, tak kira apa pun. Lukisan saya waktu kecil dulu juga didominasi dengan warna biru, sampaikan pokok pun saya warnakan dengan warna biru!

Mengikut kajian, individu yang menyukai warna biru ini adalah seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Dia pandai berkawan dan mudah disenangi orang lain. Disebabkan itu, dia sangat mementingkan persahabatan dan suka memberikan dorongan kepada orang lain. Kadang-kadang lebih mengambil berat terhadap orang lain berbanding diri sendiri.

Satu lagi, dia seorang yang sensitif dan bersifat dalaman serta romantik. Jenis personaliti seperti ini cenderung kepada sifat yang setia, menghargai sesuatu perhubungan sesama manusia, suka pada pergaulan, kadangkala suka berimaginasi dan nampak tenang. Malah, sukakan penghargaan dan mahukan kasih sayang daripada orang lain.

Namun, satu saja keburukan orang yang suka warna biru ni iaitu kurang bercita-cita tinggi dan takut dikritik. erk, kebetulan kena dengan saya. huhu

Teori hujan, warna biru dan bulan Disember ada kaitannya.

Sewaktu zaman sekolah dulu, pernah menghadiri satu program motivasi ni. Penceramah membahagikan kami peserta kepada beberapa kumpulan mengikut bulan kelahiran. Beliau menerangkan sikap dominan setiap orang yang mewakili bulan kelahiran mereka. Saya dipanggil ke depan mewakili kumpulan saya. Selepas menanyakan beberapa soalan, beliau menyatakan, orang yang lahir bulan Disember tidak suka keluar rumah, sukakan hujan, suasana mendung kerana bulan Disember seperti yang kita tahu adalah musim hujan lebat dan musim banjir di Pantai Timur. Mungkin sebab itu orang yang lahir bulan Disember sangat 'dekat' dengan hujan. 

Beberapa personaliti yang berkaitan dengan seseorang yang lahir di bulan Disember, antaranya ; sangat setia dan pemurah. Dia bersifat patriotik dan sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Bersikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Sangat bercita-cita tinggi dan suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Beliau seronok didampingi dan suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Antara kelemahan yang dikaji, tidak pandai berpura-pura dan cepat marah serta perangai yang berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi dan benci pada kongkongan. Suka berlawak dan pandai buat lawak dan menceriakan orang lain serta berfikiran logik.

Tak jauh bezanya personaliti bulan Disember dan individu yang sukakan warna biru. Kebanyakan ciri-ciri yang dikaji itu kena dengan saya. Ada juga yang tiada kaitan langsung. Namun sekurang-kurangnya, ada ayat dan perkataan yang mengungkapkan peribadi saya.

Sebentar, ia membuatkan saya terfikir.

Kadang-kadang kita tak kenal diri sendiri pun. Kita tak tahu potensi diri kita, kelebihan dan kekurangan, apa sifat dominan kita, apa yang kita suka dan benci. Kadang kita membiarkan diri menyukai perkara yang Allah benci dan membenci sesuatu perkara yang Allah suka. Kita menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dunia dan akhirat dan kita menerima dengan senang hati perkara yang membinasakan kita.

Tak kenal maka tak cinta.
Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.
Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.
Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah?

Ya, kita lupa yang kita gagal mencintai diri sendiri apabila kita gagal mencintai Allah. Sesungguhnya hujan, warna biru langit dan Disember juga adalah ciptaan Allah dan merupakan salah satu keindahan alam dan dunia untuk saya, kamu dan kita semua manfaatkan untuk lebih mendekatiNya.

Ramadhan kareem!

1 ulasan:

  1. Terima kasih atas nota ini.
    Saya juga menggemari suasana redup, mendung dan hujan. Rasa tenang. Lahir jg bln disember,27. Suka merenung langit biru tp stakat ni biru belum lg jd wrna kegemaran :). Apa pun ini jd bacaan santai sy. Salam ziarah :)

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...