Memaparkan catatan dengan label cetusan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label cetusan. Papar semua catatan

Selasa, 8 Januari 2013

Idea Kena Senyap

Idealisme dibina dengan membaca dan melalui proses pembelajaran. Capaian idea bukan sekadar pidato malah kepada penulisan, video dan seumpama dengannya. Kadang tidak perlu berkata banyak, satu paparan atau perkataan bisa menyampaikan berlapis-lapis mesej.

Sedia rentak tempur redah onak lumpur
Maju tiada undur tak kenal uzur
Hingga jasad kita terkubur
Kalau kurang kaki tangan
Lutut dan siku dihulur
Ini malam kita pakai tanjak sonsang
Askar jati gerak senyap yang lain berkompang
Berani segerombolan tak takut bila seorang
Kuatkan benteng jangan biar ada yang berlobang 


Jadi bangkit berkumpul di bawah panji berbulan sabit
Tak sujud pada sesiapa di bawah langit
Tak mengalah walaupun bertambah sakit
Sebelum layar bahtera mari kita
Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian


-Petikan lirik lagu Bangkit oleh Altimet, DJ Fuzz & Salam

Semampu manakah idea sebegini boleh disenyapkan? Adakah dengan ugutan nyawa dan ancaman kelaparan bisa mensilentkan sebuah idea dan pemikiran? Silap sekali sesiapa berfikir demikian. Doktrinisasi dan kaderisasi akan hancur ditelan arus pembawakan idea dan pemikiran. Kebebasan berfikir dan percambahan idea tidak hanya terletak pada melontarkan hak bersuara tapi pada hak sebesar-besar nikmat yang Allah berikan iaitu hak BERFIKIR.





p/s : Aku harap mesej aku 'jelas'

 

Ahad, 6 Januari 2013

Bukan perasaan, tapi IMAN

Sedaya upaya, saya menahan marah. Sungguh! Begitu kuat ia membuak. Setiap kali perasaan marah itu datang, cepat-cepat saya mengingatkan diri ; kau mesti tak mahu kalau Allah marah kamu kan? Jadi, jangan marah orang.

Kemudian, saya sendirian bungkam. Disebabkan 'tidak boleh' marah, maka perasaan tersebut bertukar menjadi pendam atau 'dendam'. Ia tertanam dan kemudian tumbuh mencengkam. Setiap kali saya berpeluang untuk membalasnya, saya akan balas.

Buruk kan? Tapi itu sajanya cara untuk keadaan menjadi lebih stabil. Itu lebih baik dari saya balas dendam cara jahat gila.

Tapi, musim muhasabah datang. Hati saya meronta mohon dibuang kesumat dendam sia-sia itu. Hati memohon agar pintu kemaafan dibuka. Dia kata,

"Sila buka luas-luas pintu kemaafan tersebut sepertimana kamu mahu Allah membuka seluas-luasnya pintu rahmat keampunanNya ke atas kamu!"

Dan sekian kali, air mata mengalir deras. Mengenangkan segala keperitan yang dialami, yang ditahan selama ini demi menjaga hati orang lain dengan hati sendiri yang tertusuk luka. Allah, begitu susah rupanya hati saya untuk memberi maaf. Kenapakah duhai diri? Kenapa begitu keras sekali menanggapi manusia? Kenapa tidak boleh menerima hakikat sakitnya bergaul dengan manusia?

"Hak orang lain, sedaya upaya kita tunaikan. Hak kita? Biar Allah yang tunaikan." :)

Sudahlah Yang, hati kau tak mampu dibebani perkara sebegini. Lepaskanlah, kerana kebaikan pasti kau dapati dengan memberi kemaafan. Cukuplah Yang, jangan diulang tingkah laku memberontak itu. Buruk sebagai mukmin. Cukup dan cukup, kemudian berserahlah pada Allah. Biar Allah tunaikan untukmu dengan caraNya.

Karena beda antara kau dan aku sering jadi sengketa
Karena kehormatan diri sering kita tinggikan di atas kebenaran
Karena satu kesalahanmu padaku seolah menghapus sejuta kebaikan yang lalu
Wasiat Sang Nabi itu rasanya berat sekali;
"Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara."


Mungkin lebih baik kita berpisah sementara, sejenak saja
Menjadi kepompong dan menyendiri
Berdiri malam-malam, bersujud dalam-dalam
Bertafakur bersama iman yang menerangi hati
Hingga tiba waktunya menjadi kupu-kupu yang terbang menari
Melantunkan kebaikan di antara bunga, menebar keindahan pada dunia


-Petikan Dalam Dekapan Ukhuwah, A. Salim Fillah

Tiba masanya, kau harus bergerak sendiri, berpendapat sendiri, bebas dan tidak menjadi lalang. Mungkin tiba masanya, kau harus melepaskan pergi kepahitan walaupun di sebalik kepahitan tersebut, ada manisnya yang membuat kau lupa pada luka. Mungkin setakat ini saja perjalanannya. Mungkin ini yang terbaik buat kamu dan orang lain. Mungkin sudah sampai waktu kau berbuat sesuatu bukan untuk perhatian manusia tapi untuk Allah. Mungkin sudah tiba waktu kau hadkan suara dan mula diam buat kerja!


Yang tercalar sebenarnya bukan perasaan tapi Iman. Iman yang tercalar, bakal mencalarkan hati dan perasaan. Kerana rukunnya orang beriman itu bersaudara, berpesan-pesan atas kebenaran dan penuh kesabaran. Bersabarlah, moga Allah balas kesabaran kamu bergaul dengan manusia dengan sesuatu yang tidak kamu jangka. :)
.
.
.

Ahad, 12 Ogos 2012

Mukmin Itu

Mukmin itu
Pabila merengkuh nikmat
Ada bibit syukur menerpa
Dan bibir mungil berzikir hamdalah

Mukmin itu
Pabila musibah pula datang berpuing
ada jiwa hamba yang redha
dan sabar itu hadir berpusu
memenuhi setiap kerdip mata

Mukmin itu
Pabila berbicara
Ada hati yang tersentuh
Lantas deburan tangis berlanjut
Kerana takutkan Tuhannya

Mukmin itu
Pabila memandang
Pandangannya tembus
Menerobos ke hati-hati
Mata hatinya membaca
Langsung segalanya
Terbentang, bongkar


















Siti Yang Latifah
Machang, 23 Ramadhan 1433

Khamis, 5 Julai 2012

Muslimat Lembik? Sudah-sudahlah...

Entahlah, kadang-kadang saya rasa bab-bab BM boleh jadi lialibiliti besar pada muslimat kalau tidak diurus dengan baik. Mudah kata muslimat akan memang jadi lembik kalau macam ini caranya.

Maaf, jika perkataan lembik di situ kasar bunyinya. Sekadar untuk 'menggegarkan' minda orang perempuan agar tidak meletakkan punca masalah pada orang lain, kalau penyelesaiannya sudah ada di tangan kita sendiri.

Seorang sahabat saya pernah mengadu, memberitahu pelbagai usaha yang beliau lakukan demi mendapatkan pasangan yang baik malah dikatakan sefikrah dan sejemaah. Namun, usahanya menemui jalan buntu kerana dikatakan muslimin ni memilih, mencari yang ayu-ayu saja dan sebagainya. Beliau kecewa, menyalahkan pihak 'sana' kerana taste mereka yang tinggi sehinggakan muslimat yang biasa-biasa saja lahiriahnya terpaksa mencari pasangan yang bukan sefikrah.

Saya merasakan keperluan, citarasa dan kehendak seseorang itu berbeza. Kecenderungan seseorang pada ciri-ciri tertentu itu merupakan fitrah dan sama sekali tidak boleh dipersalahkan. Malah jika seorang lelaki hanya melihat faktor fizikal perempuan semata-mata pun saya tidak berasa pelik. Mereka memilih yang cantik di pandangan mereka, itu hak mereka. Muslimat tidak perlu berasa hal itu memberi kesan lantas melarakan hati kerana sudah termaktub bahawa jodoh itu telah sedia tertulis di Luh Mahfuz.

Saya menulis ini kerana saya juga seorang perempuan yang mempunyai keperluan dan kehendak sama dengan sahabiah sekalian. Saya dapat merasakan apa yang kalian rasakan namun kita tak perlu membiarkan faktor luar mempengaruhi cara kita menyelesaikan masalah. Proaktif dan positif, bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Bahagia, derita, gembira, sedih adalah pilihan kita sendiri, atas tindakan kita sendiri.

Usaha yang sebenar-benarnya seorang muslimat dalam mencari jodoh yang baik (selain usaha teknikal) ialah mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan. Usaha untuk men'solehahkan' diri lebih dituntut. Namun, ramai dari kita mengabaikan perkara ini.

Liabiliti yang saya maksudkan di atas ialah apabila muslimat fikir kesempurnaan BM ini hanya dengan mendapatkan pasangan sefikrah sejemaah, maka kebahagiaan mutlak dapat dicapai. Muslimin salah bila letak demand tinggi-tinggi dan muslimat juga salah bila terlalu fikirkan demand muslimin dan akhirnya jadi takut dan plastik.

Malah, orang tengah (unit BM) berperanan hanya mempermudahkan untuk meraikan fitrah, bukannya untuk menjodohkan. 

Suka saya untuk kongsikan petikan beberapa perenggan dari artikel Ustaz Hasrizal berkenaan dengan ini;

"Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbbang untuk berumahtangga dengan pasangan 'itu' walaupun mungkin 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya. 

Apa yang dibimbangkan, jika berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI." 

Kesimpulannya, jangan sesekali kita ketepikan usaha MENJADI di samping usaha MENCARI. 

Takdok benda hok jatuh kecuali ada hok jung kutip


Jodoh ini rahsia Allah, Allah yang tetapkan.
Dan siapa lagi yang tahu apa yang baik untuk kita kecuali Allah?


Bahkan kata pujangga, "Jangan letak syarat dalam cinta kerana bila bertemu yang berkenan di dada, semua syarat itu hilang maknanya." 


Paling penting, jangan lupa letak cinta Allah paling utama, nescaya bahagia itu tak perlu dicari tetapi bahagia akan mencari kita. 

Tuntasnya 

Suka sekali saya mengajak sahabat sahabiah sekalian memuhasabah diri.

Apa matlamat hidup kita? Ia sudah pun termaktub indah pada ayat 56, surah az Zaariyat. Ia mematri kita untuk meletakkan seluruh kecintaan kepada yang utama. Kehidupan yang Allah beri pada kita hari ini merupakan wasilah atau cara kita mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar benda. Semua tidak terlepas dari perkiraan Allah.

Dalam soal jodoh dan pertemuan pun, ia tetap berupa WASILAH, bukan matlamat. Sekalipun Allah tidak beri setelah kita berusaha, cinta kita kepada Allah tetap tidak berkurang.

Moga Allah beri kita sekian petunjuk, agar kita tidak terkeliru antara wasilah dan matlamat.

.

Isnin, 16 Januari 2012

Rahmat Perkumpulan Itu

Menjadi sebuah kebutuhan kepada hati-hati yang damba dan cintakan kebaikan untuk kemakmuran alam ini, juga menyintai perkumpulan dan tidak suka duduk berseorangan, menanti diterkam kejahatan syaitan.

Menjadi rahmat dan nikmat bagi orang yang menyukai perkumpulan yang baik-baik. Barang yang baik-baik itu hanyalah bertepatan pada al Quran dan as Sunnah, yang diredhai Allah Azzawajalla.

Menjadi bahagia sebahagia bahagianya pabila perkumpulan rahmat itu penuh nuansa ketenangan dan kematangan, lalu medan bersua menjelma mudah di laluan masa.


Semoga hati-hati itu sentiasa berpadu, berlari-lari menuju cintaNya, tatkala rahmat dan nikmatNya turun semberono saat kesatuan menjadi kuat, saat buah fikiran sabar dihadam, saat rukun persaudaraan dilangsaikan.

Maka tersenyumlah Islam, kerana perkumpulan itu menjadi rahmat kepada penghuninya.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Hujan, Biru Langit & Disember

Pabila cuaca mendung dan suram, awan menjadi kelabu dan kemudian hujan pun turun. Kadang-kadang ianya lebat, kadang-kadang ia turun renyai-renyai. Ada juga hujan yang diiringi ribut, angin yang kencang.


Gerimis mewakili air hujan yang turun ringan. Bunyi air hujan gerimis jatuh mengenai zink rumah sangat mengujakan. Satu tabiat tegar saya ketika hujan turun ialah, saya akan duduk di tepi tingkap melihat air hujan membasahi halaman rumah. Sewaktu ketika kecil dulu, pantang hujan mesti sudah bersorak riuh rendah di luar rumah dan mandi hujan sepuasnya. Selagi hujan tak serik atau tidak dipanggil ibu, selagi itulah saya mandi hujan dengan gembiranya. Sampai biru-biru bibir sebab sejuk. Ah, indahnya zaman kanak-kanak! huhu

Saya suka hujan. Walaupun orang kata susah kalau hujan ni, banyak aktiviti tergendala dan sebagainya, namun kecintaan saya terhadap hujan tak terkesan. Kadang-kadang sengaja mencari alasan keluar ketika hujan; saja nak merasa sejuk. Selain hujan, saya suka cuaca mendung dan redup. Kalau sedang marah-marah atau sedih, cuaca mendung mempengaruhi saya. Sedikit sebanyak ia menghantar ketenangan.

Manusia terinspirasi dengan hujan. Lagu-lagu dicipta berinspirasikan hujan seperti lagu arwah Sudirman, Hujan. Lagu Gerimis, Fareast dan banyak lagi. Malah, Hujan juga adalah nama sebuah band indie yang terkenal di Malaysia!

Hujan juga tidak ketinggalan menginspirasikan lagu-lagu sentimental buat saya.

Ada juga sesetengah orang menganggap hujan adalah fenomena sedih dan muram atau menangisi sesebuah pemergian dan perpisahan. Namun hujan dalam Islam adalah sebuah rahmat malah waktu hujan merupakan antara waktu-waktu mustajab berdoa.

Dari Sahal bin Saad katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ada dua jenis doa yang tidak ditolak iaitu ketika azan dan ketika turun hujan.”

Ada sebuah doa yang elok dibaca ketika hujan turun.


Suasana mendung ketika hujan akan memancarkan warna langit yang sebenar. Warna biru langit atau di dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'azure'. Warna langit pada waktu malam akan bercampur-campur dengan warna seakan-akan jingga yang menandakan awan yang mengandungi air. Bagi saya, hujan sangat dekat dengan warna langit. Hujan, biru. Ah, mencambahkan lagi satu benda yang saya suka iaitu warna biru.


Saya peng'obses' warna biru. Hampir 80 peratus barang-barang peribadi kepunyaan saya berwarna biru. Kalau pergi membeli belah terutama pakaian, mata saya lebih cenderung kepada pakaian berwarna biru, tak kira apa pun. Lukisan saya waktu kecil dulu juga didominasi dengan warna biru, sampaikan pokok pun saya warnakan dengan warna biru!

Mengikut kajian, individu yang menyukai warna biru ini adalah seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Dia pandai berkawan dan mudah disenangi orang lain. Disebabkan itu, dia sangat mementingkan persahabatan dan suka memberikan dorongan kepada orang lain. Kadang-kadang lebih mengambil berat terhadap orang lain berbanding diri sendiri.

Satu lagi, dia seorang yang sensitif dan bersifat dalaman serta romantik. Jenis personaliti seperti ini cenderung kepada sifat yang setia, menghargai sesuatu perhubungan sesama manusia, suka pada pergaulan, kadangkala suka berimaginasi dan nampak tenang. Malah, sukakan penghargaan dan mahukan kasih sayang daripada orang lain.

Namun, satu saja keburukan orang yang suka warna biru ni iaitu kurang bercita-cita tinggi dan takut dikritik. erk, kebetulan kena dengan saya. huhu

Teori hujan, warna biru dan bulan Disember ada kaitannya.

Sewaktu zaman sekolah dulu, pernah menghadiri satu program motivasi ni. Penceramah membahagikan kami peserta kepada beberapa kumpulan mengikut bulan kelahiran. Beliau menerangkan sikap dominan setiap orang yang mewakili bulan kelahiran mereka. Saya dipanggil ke depan mewakili kumpulan saya. Selepas menanyakan beberapa soalan, beliau menyatakan, orang yang lahir bulan Disember tidak suka keluar rumah, sukakan hujan, suasana mendung kerana bulan Disember seperti yang kita tahu adalah musim hujan lebat dan musim banjir di Pantai Timur. Mungkin sebab itu orang yang lahir bulan Disember sangat 'dekat' dengan hujan. 

Beberapa personaliti yang berkaitan dengan seseorang yang lahir di bulan Disember, antaranya ; sangat setia dan pemurah. Dia bersifat patriotik dan sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Bersikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Sangat bercita-cita tinggi dan suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Beliau seronok didampingi dan suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Antara kelemahan yang dikaji, tidak pandai berpura-pura dan cepat marah serta perangai yang berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi dan benci pada kongkongan. Suka berlawak dan pandai buat lawak dan menceriakan orang lain serta berfikiran logik.

Tak jauh bezanya personaliti bulan Disember dan individu yang sukakan warna biru. Kebanyakan ciri-ciri yang dikaji itu kena dengan saya. Ada juga yang tiada kaitan langsung. Namun sekurang-kurangnya, ada ayat dan perkataan yang mengungkapkan peribadi saya.

Sebentar, ia membuatkan saya terfikir.

Kadang-kadang kita tak kenal diri sendiri pun. Kita tak tahu potensi diri kita, kelebihan dan kekurangan, apa sifat dominan kita, apa yang kita suka dan benci. Kadang kita membiarkan diri menyukai perkara yang Allah benci dan membenci sesuatu perkara yang Allah suka. Kita menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dunia dan akhirat dan kita menerima dengan senang hati perkara yang membinasakan kita.

Tak kenal maka tak cinta.
Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.
Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.
Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah?

Ya, kita lupa yang kita gagal mencintai diri sendiri apabila kita gagal mencintai Allah. Sesungguhnya hujan, warna biru langit dan Disember juga adalah ciptaan Allah dan merupakan salah satu keindahan alam dan dunia untuk saya, kamu dan kita semua manfaatkan untuk lebih mendekatiNya.

Ramadhan kareem!

Selasa, 22 Mac 2011

Seteguh Karang (2)

"Mahu aku ceritakan kisah manusia agung tetapi dibenci manusia?", Hira' melafazkan kata keramat. mengiringi ion-ion positif dengan sebentuk senyuman. :)

Sera terkedu. "Sera mahu dengar."

"Sera, kamu tahu kan, manusia agung itu dibenci orang kampungnya sendiri. Malah, dibenci saudara mara yang sangat menyayanginya, masyarakat yang sangat percaya akan kejujurannya bahkan pernah dicederakan sehingga kasut penuh berisi darah." Hira' melantunkan hikayat benar sang manusia agung.

Sera segera memalingkan wajah. Berusaha menyembunyikan sebak di hati. Sesungguhnya manusia agung itu sangat dikenali susuk sejarahnya. Namun, gelora yang bermandala di hatinya tidak mampu dibendung. Sera terasa dunia begitu tidak adil pada dirinya!


Catatan diari dua hari yang lalu terimbau dalam ingatan.

21 Februari 2010

Dun know why, feel like that i really miss my ‘sahabat’ right now. Dun know why, i feel i don’t have any permanent fred that could be the shoulder that i can lean on. No, i am an independent person! I don’t like to hang 24 hours to my fren! juz,. I need a fren that are truly understand me. Understand who i am, knoe me better inside, not on my appearance only.

So difficult. Nowadays, i juz get fren that pretend know me better than myself. Easy to disrespect me, without care what are going on my side. Selfish maybe. Or do not play part. Easy to so-called people wif many call but onto myself i juz trying my best to be a good fren.

Entahla. Aku jadi rindu sahabat-sahabat aku. Menangis pasal kawan ni, dah cukup pengalaman bagi aku. Aku rasa aku yang salah kalau ade apa-apa hal berlaku. Tapi. Aku takkan penah terasa hati kalau kawan dengan orang yang betul-betul beriman. Letak kebenaran, akhlak dan ilmu di hadapan. Masya Allah, sangat seronok. Rindu orang yang support aku dari belakang dengan apa-apa saja yang aku buat. Bagi semangat kalau aku lemah. Tegur aku berhemah kalau aku buat salah. Respek aku dengan berpatutan., bukan benarkan segala kata-kata aku. Seronok. Sangat seronok kalau ada sahabat macam ni. Dulu ada. Sekarang ni masing-masing jauh. Jumpa pun jarang2.

Yang paling sedih pasal kawan ni, kalau tak respek aku. Huuu,. Aku bukannya ketagih sangat respek tu. Tapi kan memang hak asasi manusia. Sedangkan orang kafir pun kita bagi ruang kebebasan kepada dia, why not kepada seorang kawan? Hormat. Itu yang aku mahu. Unless, kalau aku anggap diorang macam budak-budak kecik jalanan yang ejek-ejek orang. Takkan nk layan pulak. Nanti dengan aku sekali sama bodoh.

Kawan. Kawan. Apa makna kawan kalau bukan kerana Allah. Macamana kawan kerana Allah tu? Betul ke kalau kita kawan kerana Allah tu, Allah akan uji?

Entahla. Yang aku tahu aku nak nangis. Aku makin bertambah kecewa kalau kawan yang aku cuba maafkan tak berubah-ubah malah tak ambil pengajaran dari yang lalu. Aku sedih, kecewa. Aku akan menangis dan cuba jauhkan diri. Cuba jauhkan diri sejauh mungkin. Sejauh mungkin. Sampai orang tak nampak aku. Sebab aku tahu aku siapa. Kawan, kawan.

Allah, aku tak nak perasaan ni. Aku tak nak. Aku tak nak menyampah manusia. Aku tak suka. Tapi, kenapa hati aku tak berhenti menangis melihat mereka? Entah. Hati macam berdarah berulang kali. Luka, sembuh lepas tu ditoreh kembali. Sampai aku rasa tak boleh percaya manusia. Jangan percaya siapa-siapa. Jangan. Nanti kau merana.

Nak membenci kawan? Tak boleh. Sebab ada manusia yang berhati mulia, yang ada taman dalam hatinya. Yang sudi memahami aku walaupun aku tak minta. Tapi kawan macam ni ‘mahal’. Bukan selalu boleh jumpa. Ade masa jumpa. Kalau dah jumpa, macam cas bateri. Bertenaga balik aku. Tersenyum aku. Hati aku tersenyum. Tak boleh berhenti senyum. Puas. Aku bebas menjadi diri sendiri bila bersama mereka. Aku bebas meluahkan apa sahaja. Bebas. Seronok. Seolah-olah beban yang terbeban tu keluar kejap. Uh, besar kuasa seorang ‘sahabat’ dalam kehidupan kan? Besar, sungguh besar.

Boleh aku menangis? Aku menangis. Menangis. Untuk lepaskan apa yang terbuku. Kawan., kenapa aku begini? Sahabat, aku merinduimu. Temankan aku di sini. Ku tak mampu tarikan penaku andai tanganmu tak mengesat lelah air mataku. 

Hira' memahami keributan hati Sera. Sera begitu terkesan dengan rakan-rakan sekelasnya, tidak memahami dirinya yang sedang melalui proses perubahan.

Ya, Sera berubah kerana ingin menjadi yang lebih baik. Dia sudah bosan hidup tanpa halatuju yang jelas. Hati Sera kosong, merengek mahu diisi dan kemudian tarbiyah datang dan hidayah pun menyapa.


bersambung...

Isnin, 14 Mac 2011

Seteguh Karang

Menjadi seteguh karang. Keras membatu pabila diterjah ombak. Tak sedikit pun terkesan. Tak sedikit pun beralih tempat dan beundur. Malah terus mendongak langit dan menunggu ribu-ribu titisan cinta Allah jatuh dan turun memberkatinya.

Sera terdiam memandang karang. Pandangannya dijatuhkan kepada seluruh sudut laut yang terbentang di hadapannya bagai sedang menonton layar biru. Warna laut kian jernih dan biru saat ditatap Sera. Sera cuba sedaya upaya menghirup ketenangan saat angin laut Selat Melaka memukul tudung labuhnya yang sedang meliang-liuk, namun seolah bayu semilir itu tidak mampu menghampar sakinah dalam hatinya.

Hira' datang menyapa, menepuk bahu dan menghadiahkan senyuman buat sahabatnya. Sera membatu seperti karang. Tidak mampu membalas. Membiarkan sentuhan hangat mata sahabatnya. Hira’mendesah nafas.

“Masih fikirkan tentang hal itu?” soal Hira’. Semampu mungkin cuba menenangkan hati sahabatnya.

“Aku mampu buat apa kalau orang dah benci?” Sera melepaskan keluhan sambil menguis-nguis pasir di kaki, direnung langit kelam dengan wajah kuyu, kosong perasaan.

bersambung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...