Rabu, 2 Jun 2010

Qunut Nazilah

Selepas konvoi Life Line 4 Gaza diserang tentera Israel di perairan antarabangsa, umat Islam kembali 'sedar' akan musibah yang tiada penghujung ini dan mula menyatakan manifesto kebencian dan mengecam kebobrokan Israel. Qunut nazilah menjadi 'sandaran' umat Islam untuk mengadu dan meminta pertolongan dari yang Maha Esa. Antara kepentingan qunut Nazilah adalah ketika umat Islam ditimpa musibah.

Definisi Qunut adalah suatu doa di dalam solat pada tempat yang khusus dalam keadaan berdiri. Manakala Nazilah mempunyai pengertian malapetaka yang turun menimpa umat islam dalam bentuk gempa, banjir, peperangan, penganaiyaan dan sebagainya.

Qunut nazilah adalah antara amalan Rasulullah dan para sahabat. Rasulullah s.a.w. pernah berqunut selama sebulan berturut-turut, tanpa terlepas sehari pun dan setiap waktu solat. Baginda membaca doa qunut nazilah setiap rakaat terakhir selepas membaca  سمع الله لمن حمده . Baginda mendoakan kebinasaan ke atas puak dari Bani Salim dan doa tersebut diaminkan oleh makmum di belakangnya.

Saidina Abu Bakar As-Siddiq juga pernah membaca doa qunut nazilah ketika berhadapan dengan masalah penentangan Musailamah al-Kazab yang mengaku sebagai nabi ketika itu. Namun, tiada riwayat solat hajat berjemaah diadakan.

Qunut nazilah disyariatkan dan disunatkan ketika terjadi suatu musibah. Hukumnya sunat muakkad menurut pendapat jumhur ulama'.

Imam Syafii berkata : “apabila turun musibah ke atas kaum muslimin maka disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh solat wajib.”

Imam Ahmad bin Hanbal pula berkata : “ apabila turun bencana kepada kaum muslimin, hendaklah imam melakukan qunut dan diaminkan oleh orang yang di belakangnya.”

Di samping itu, Syeikh Ibnu Taymiyyah berpendapat : “ di kalangan ulama’ ada 3 pendapat tentang qunut. Yang paling benar dari 3 pendapat itu ialah qunut disunatkan ketika ada keperluan.”

Pendapat-pendapat ini semua dari hadis-hadis yang sohih seperti hadis Anas bin Malik, riwayat Bukhori & Muslim, hadis Ibnu Abbas riwayat Abu Daud dengan sanad yang hasan yang menjelaskan bahawa pelaksanaan qunut nazilah oleh Rasulullah s.a.w. selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 orang sahabat penghafaz al-Quran.

Rasulullah s.a.w. telah berqunut selama sebulan pada peristiwa pembunuhan 60 orang sahabat penghafaz al-Quran. Namun, ini tidaklah menunjukkan bahawa pelaksanaan qunut nazilah hanya terbatas selama sebulan sahaja. Qunut nazilah tetap dilaksanakan sampai musibah tersebut diangkat daripada kaum muslimin walaupun tempohnya melebihi sebulan. Ini fatwa dari Syeikh Abdul Muhsin Al-Abid, tokoh ilmuan hadis di Madinah masa kini.

Baginda melakukan pada seluruh solat wajib dan lebih mengutamakan pelaksanaannya pada solat maghrib dan subuh. Akan tetapi baginda tidak melakukan qunut setiap hari pada seluruh solat 5 waktu sekaligus (Ibnu Taymiyyah). Qunut dilaksanakan sebelum ruku’ atau selepas ruku’ di dalam solat. Namun, pelaksanaan selepas ruku’ lebih banyak dilakukan oleh Rasulullah.

Lafaz qunut nazilah pula tidak disyariatkan secara khusus. Tidak ada hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan adanya doa khusus dalam qunut nazilah. Doa yang digunakan bersesuaian dengan keadaan musibah dan keperluan mereka. Al-Qodhi ‘Iyad menukilkan kesepakatan jumhur ulama’ bahawa tidak ada doa khusus dalam qunut. Ibnu Solah pula menganggap orang yang berpendapat ada doa khusus dalam qunut adalah pendapat yang tertolak dan menyelisihi jumhur ulama’.

Bagi persoalan qunut nazilah dilakukan di dalam solat bersendirian, belum ditemui nas daripada nabi s.a.w. dan para sahabat yang menunjukkan pelaksanaan qunut secara sendirian. Malah, Ibnu Qudamah dalam kitabnya, Al-Mughni menulis : “ tidak ada pelaksanaan qunut secara individu.” Hukum ini juga berlaku pada kaum wanita, iaitu tidak disunatkan bagi mereka melakukan qunut nazilah kecuali pada solat berjemaah.

Doa qunut nazilah harus diaminkan. Disyariatkan makmum mengaminkan doa qunut nazilah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yg diriwayatkan Abu Daud. Ibnu Qudamah menegaskan dalam al-Mughni ; “ apabila imam melakukan qunut hendaknya diaminkan oleh makmum.” Perlu diingatkan bahawa pengaminan diucapkan pada lafaz-lafaz doa, bukan pada lafaz pujian (pendapat Imam Ahmad dan dibenarkan oleh Syeikh Ibnu Taymiyyah, al-Hafiz Ibnu Hajar, Syeikh Ibnu Asimin dll).

Contoh bacaan yang biasa dibaca :



Ya Allah, sesungguhnya kami meletakkanMu di leher musuh-musuh kami dan kami berlindung dengan Mu daripada kejahatan mrk. Ya Allah, leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka, pecah-belahkan kesatuan mereka, goncangkan pendirian mereka dan hantarkanlah anjing-anjing kamu kepada mereka. Wahai Tuhan yang gagah perkasa, wahai Tuhan yang penuh raksasa, wahai Tuhan yang bersifat murka, Ya Allah 3x. Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, wahai Tuhan yang menggerakkan awan, wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab. Kalahkan mereka 3x dan menangkanlah kami ke atas mereka.!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...