Rabu, 25 April 2012

Sebenar-benarnya Penjara

Sangat tepat pesanan Hasan al-Hudhaibi ;

“Penjara bukanlah tembok tebal atau jeriji besi. Penjara yang sebenarnya adalah keadaan dalam perasaan dan fikiran kalian”. 

Ternyata sekalipun jasad para ulama’ terpenjara, namun perasaan dan fikiran mereka ternyata masih bebas merdeka. Pemerintah zalim gagal memenjarakan perasaan dan fikiran mereka. Sehinggakan para ulama’ yang dipenjara mampu menghasilkan buah tangan yang terlalu istimewa tatkala mendiami tirai besi untuk seluruh umat Islam yang tercinta.

Diari asam garam perjalanan hidup Syeikh Abdul Aziz al-Badri penuh dengan warna-warni. Beliau tidak keberatan untuk mencoretkan kisah yang dihadapinya tatkala menulis kitab‘al-Islam Baina al-Ulama’ Wa al-Hukkam’. Pada muqaddimah kitab tersebut, beliau menceritakan segala-galanya; “Sesungguhnya aku (Sheikh Abdul Aziz al-Badri) ditahan secara paksa di rumahku selama setahun. (Zaman pemerintahan Abdul Karim Qasim pada 2 Disember 1959 dan dibebaskan pada 2 Disember 1960) Bagi aku penahanan ini merupakan satu nikmat Allah s.w.t kepada ku. Pada waktu itu, aku sempat menyelidiki buku-buku sirah, sejarah dan sejarah hidup para ulama’ Islam. Aku lakukannya untuk mengetahui pendirian dan prinsip ulama’ salafussalih bersama pemerintah disepanjang kewujudan Daulah Islamiyyah sejak ia dibangunkan oleh penghulu kita Rasulullah s.a.w yang mulia di Madinah Al-Munawwarah sehinggalah orang-orang kafir menghapuskan Daulah Islamiyyah pada tahun 1343 Hijrah. Pengetahuan terhadap sejarah mereka yang merupakan pendorong untuk aku menulis pendirian itu samada secara ringkas dan menyeluruh serta aku mengumpulkannya dengan perkara yang termampu bagiku dan bantuan taufiq dari Allah s.w.t kepadaku.

Apabila aku ditahan buat kali keduanya, (Pada 7 Ogos 1961 dan dibebaskan pada hari pengampunan pada 4 Disember 1961), aku memohon pertolongan kepada Allah s.w.t agar mengemaskini tulisan ku ini dengan memilih perkara yang sesuai dan memberi komentar terhadap tulisannya agar penulisan ini dalam ruang lingkup perbincangan dan tidak keluar dari dasar penulisannya. ..”. Akhirnya dari penahanannya membuahkan kitab al-Islam Baina al-Ulama’ wa al-Hukkam.


Lebih hebat lagi dapat kita perhatikan pada seorang fuqaha' besar daripada al-Hanafiah; Syamsul A‘immah As-Sarkhasi. Beliau telah berjaya menghasilkan sebuah kitab fiqh yang mempunyai 30 jilid tatkala beliau dipenjarakan di penjara 'Bauzajund'. Kitab ini dihasilkan tanpa dirujuk mana-mana kitab-kitab lain. Bahkan kitab ini disiapkan dengan buah fikirannya dan disalin kembali oleh murid-muridnya yang berada di atas tembok penjara. Akhirnya kitab yang 30 jilid ini dapat disiapkan sehinggakan diakhir suatu bab dituliskan; "telah selesailah syarahan berhubung dengan 'al-aqrar' yang mengandungi pelbagai rahsia didalamnya, ia disiapkan oleh seorang yang tahanan yang dikelilingi oleh banduan". Betapa berkuasanya Allah Yang Maha Agung. Ketakjuban ini dihikayatkan dalam al-Fawaid al-Bahiyyah Fi Tarajim al-Hanafiah.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah tidak ketinggalan untuk membawa buah tangan dari penjara. Tatkala menempuh hidupnya di penjara Qal'ah yang menjadi tempat terakhir kehidupannya. Beliau mengisi waktu yang ada dengan beribadah kepada Allah s.w.t, membaca al-Quran. Bukan setakat itu, bahkan puntung-puntung kayu yang menjadi arang dijadikan pena bagi menulis kitab-kitab serta menjawab terhadap tuduhan yang dilemparkan oleh penentang-penentang nya. Namun setelah pemerintah mendapati sebahagian daripada kitab beliau mendapat sambutan, pemerintah pun menegah beliau dari menulis dan membuat sebarang kajian. Peristiwa ini disematkan dalam Tazkiratul Huffaz oleh Ibnu Abdul Hadi.

Suatu mutiara kata yang sangat bermakna pernah terbit dari mulut Imam Ibn Taimiyyah sebagaimana yang diceritakan oleh muridnya Imam Ibn Al-Qayyim Al-Jauzi yang turut dipenjarakan bersama beliau;

"Banduan yang sebenar ialah mereka yang hatinya terpenjara dari tuhannya, manakala orang tawanan yang sebenar ialah orang yang ditawan oleh hawa nafsunya!". 

Terdetik sejenak, adakah kita sekarang seorang banduan atau tawanan? Atau benar-benar bebas dan merdeka?

dipetik dari solleh-fatimi.blogspot.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...