Khamis, 5 Disember 2013

Namun,

"Mereka sudah bertatih, berjalan, berlari malah terbang ke puncak tinggi, bahkan sampai ke cinta rafiqul a'la.

Namun aku? Masih di sini, jatuh, terluka dan berdiri lagi. Cuba berpaut, sedaya upaya, agar solsadu putus asa tidak mengasak menceroboh hati."


Setelah berbulan-bulan blog bersawang dan jauh dari suasana imarah. Terasa kekok pula sign in. Padahal dulu, ini hobi dan punca cari makan rohani yang ideal selepas kelelahan di kampus. 

Papan kekunci bagai terasa asing di jari. Bahkan mahu memulakan ayat pertama di atas, aku jeda seketika. Banyak benar perkara yang menyekat suara diterjemah ke skrin. Sesuatu yang tak mungkin difahami orang, bahkan diriku sendiri. 

Alam kampus mempersembahkan segala teori, idea dan pemikiran. Namun (ada 'namun' di situ), praktikal dan realiti luar kampus tidak-tidak malu menampakkan diri. Ia menerjah dengan sangat mudah, tangkas dan jitu menumbuk-numbuk, menampar-nampar wajah diri. 

Cabaran di luar kampus tidak sekadar mempersembahkan realiti yang perlu dihela dengan nafas panjang, NAMUN menguji sejauh mana benteng pertahanan dalam diri samada boleh mengharungi luas mehnah yang tidak bertepi ini atau tenggelam dan lemas tanpa disedari (na'uzubillah).

Oleh itu, 



Kerana jihad yang paling besar adalah jihad yang melawan nafsu. Kerana itulah, perjuangan mendidik diri adalah lebih dituntut demi melangsungkan perjuangan yang mempunyai matlamat yang lebih besar dari kepentingan diri. Moga Allah permudahkan.

Sabtu, 8 Jun 2013

Beramal Sosial

Tak sampai dua minggu, secara tak rasminya menamatkan pelajaran ijazah di kampus. Setelah berhempas pulas menyiapkan PSM a.k.a. Projek Sarjana Muda (atau Projek Sampai Mati! :P) dan assignment yang diberi pensyarah, akhirnya tiba pula peperiksaan akhir semester. Minggu-minggu akhir ni, banyak benda terpacul di ingatan. Mengenang pahit maung 4 tahun di selatan tanah air, mengejar segulung ijazah yang mungkin pada harga ilmunya tidaklah setinggi mana namun tidak sedikit masa, keringat dan wang yang dicurahkan. 

Warna-warni kehidupan yang dilalui sepanjang itu cukup banyak. Mungkin lelah juga kalau nak disenaraikan satu-satu tapi cukuplah diberitahu bahawa; tidak sekadar belajar nak dapat ijazah tapi belajar macamana nak hidup, survive dengan dunia kini yang sangat banyak cabaran. 

Dalam banyak-banyak hal berlaku dalam kehidupan, ada yang betul-betul bagi pengajaran pada diri. Terutama cara pergaulan, cara berinteraksi dengan manusia.

Zaman sekolah dulu, masalah interaksi kurang. Mungkin sebab, suasana dan biah di Maahad yang cukup tenang, aura tarbiyyah cukup kuat di situ. Aura tersebut menerobos tidak kira pada guru, pelajar hatta pak cik tukang kebun sekalipun. Bila dah habis belajar di situ dan ‘berpindah’ ke tempat lain, suasana baru dihadapi, orang baru, budaya dan pemikiran yang baru.

Di sinilah ‘masalah’ bermula. Kalau belajar subjek psikologi sosial, ada 1 topik bincang pasal loneliness. Punca utama loneliness ni berpunca dari kurangnya social skills seseorang individu. Dan banyak lagi punca lain yang mungkin dari sudut Islam, tak berapa nak betul sangat pun. Aku menyedari ‘kelemahan’ tersebut dan cuba menjadikan ‘loneliness’ tersebut sebagai satu nikmat. Hakikatnya, hidup kita tidak pernah keseorangan. Kita ada Allah, selagi mana tindakan kita selaras dengan kehendak Allah. Kalau keseorangan kita disebabkan hubungan dengan manusia bermasalah, yang paling utama untuk diperiksa adalah hubungan dengan Allah. 


Satu perkara yang aku belajar, kita tak boleh paksa orang lain berfikir macam cara kita berfikir. Latar belakang, perkara yang dilalui dalam kehidupan, ilmu dan pengalaman yang ditimba adalah aspek-aspek yang mungkin membezakan kita dengan orang lain. Item-item tersebutlah yang membentuk cara manusia berfikir. So, expect orang untuk berfikir sepertimana cara kita berfikir walaupun kita rasa cara kita berfikir diiktiraf sarjana dunia dan paling ideal dalam sejarah peradaban manusia sekalipun adalah sia-sia.

Lahir dari budaya pemikiran yang ‘pekat’ dan kental menyebabkan lahirnya satu kekurangan yang menjadi kesalahan besar dalam berhubungan dengan manusia ialah ‘aku je yang betul, kau salah’. Menyalahkan, melabel, menghakimi adalah titik tolak menjadikan orang di sekeliling tak pernah berasa selesa. Aku tidak menjadi rahmat pada orang di sekeliling.

Padahal Islam dah ajar, cara yang paling ideal untuk bergaul dengan manusia yang mungkin menyebabkan akulah manusia yang paling bodoh sebab ‘terlepas pandang’. Dan sehingga kini, aku cuba supaya tidak pernah berhenti belajar cara beramal sosial seperti yang Rasulullah ajarkan. Menerima dan kurang menghakimi, mengajar dan kurang menunjuk kesalahan, memahami dan tidak skeptikal. Agar sekurang-kurangnya keberadaan aku dengan manusia lain tidak menjadi ‘azab’.

Kadang-kadang, aku mengimpikan dunia Melayu-Islam di Malaysia yang lebih aman. Dalam aspek pendidikan misalnya, alangkah bestnya kalau kita boleh bawa balik cara orang Barat, Jepun bahkan Korea yang dipalit K-pop semata, cara mereka meladeni kemanusiaan. Ya, mungkin tidak semua namun ada beberapa sudut yang kita banyak ketinggalan. Yang paling signifikan, apa yang mereka amalkan adalah sangat sejajar dengan ajaran Islam. Cara mereka menyusun sistem pendidikan, berinteraksi dengan manusia, cara mereka address sesama mereka dalam hirearki masyarakat, bagi aku agak mengagumkan. Walaupun pada syariatnya, mereka mungkin dilihat ‘ketinggalan’ jauh namun apa yang beza sangat dengan kita kalau Islam kita mungkin hanya pada kad pengenalan, tudung, jubah dan kopiah tapi cara kehidupan kita kosong dari sunnatullah.

sekadar gambar hiasan yang banyak maknanya

Nabi tak pernah kata pada siapa-siapa pun, ‘kau salah yang ini, kau tak patut macam ni, kau ni bodoh!’ tapi nabi tunjuk cara yang betul. Nabi demo depan-depan orang yang buat salah tu. Kata-kata nabi tak pernah mencederakan perasaan orang yang di sekelilingnya. Rasulullah tegas dengan caranya yang tersendiri, yang tak pernah sekali-kali orang di sekelilingnya berasa direndah-rendahkan, dipijak atau dihina. Memang sah baginda adalah rahmat untuk sekalian alam! Bahkan cara nabi bersiasah dan berhadapan musuh pun menjadi art of war yang paling ideal dalam sejarah. 

Benda-benda ni lah yang aku rasa banyak lagi yang aku kena belajar. Pembudayaan pemikiran dan pengamalan sosial yang baik boleh melahirkan masyarakat yang lebih aman. Benda-benda ni jugak takkan terjadi kalau cara pendidikan kita tidak dibaiki selari dengan apa yang Islam nak.

Kita tidak mahu terpalit dengan isu payah menyelami hati mad'u semata. Mungkin ada sesuatu yang kita tinggalkan, yang perlu kita kutip kembali. Sunnah beramal sosial seperti ini;



Selasa, 8 Januari 2013

Idea Kena Senyap

Idealisme dibina dengan membaca dan melalui proses pembelajaran. Capaian idea bukan sekadar pidato malah kepada penulisan, video dan seumpama dengannya. Kadang tidak perlu berkata banyak, satu paparan atau perkataan bisa menyampaikan berlapis-lapis mesej.

Sedia rentak tempur redah onak lumpur
Maju tiada undur tak kenal uzur
Hingga jasad kita terkubur
Kalau kurang kaki tangan
Lutut dan siku dihulur
Ini malam kita pakai tanjak sonsang
Askar jati gerak senyap yang lain berkompang
Berani segerombolan tak takut bila seorang
Kuatkan benteng jangan biar ada yang berlobang 


Jadi bangkit berkumpul di bawah panji berbulan sabit
Tak sujud pada sesiapa di bawah langit
Tak mengalah walaupun bertambah sakit
Sebelum layar bahtera mari kita
Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian


-Petikan lirik lagu Bangkit oleh Altimet, DJ Fuzz & Salam

Semampu manakah idea sebegini boleh disenyapkan? Adakah dengan ugutan nyawa dan ancaman kelaparan bisa mensilentkan sebuah idea dan pemikiran? Silap sekali sesiapa berfikir demikian. Doktrinisasi dan kaderisasi akan hancur ditelan arus pembawakan idea dan pemikiran. Kebebasan berfikir dan percambahan idea tidak hanya terletak pada melontarkan hak bersuara tapi pada hak sebesar-besar nikmat yang Allah berikan iaitu hak BERFIKIR.





p/s : Aku harap mesej aku 'jelas'

 

Ahad, 6 Januari 2013

Bukan perasaan, tapi IMAN

Sedaya upaya, saya menahan marah. Sungguh! Begitu kuat ia membuak. Setiap kali perasaan marah itu datang, cepat-cepat saya mengingatkan diri ; kau mesti tak mahu kalau Allah marah kamu kan? Jadi, jangan marah orang.

Kemudian, saya sendirian bungkam. Disebabkan 'tidak boleh' marah, maka perasaan tersebut bertukar menjadi pendam atau 'dendam'. Ia tertanam dan kemudian tumbuh mencengkam. Setiap kali saya berpeluang untuk membalasnya, saya akan balas.

Buruk kan? Tapi itu sajanya cara untuk keadaan menjadi lebih stabil. Itu lebih baik dari saya balas dendam cara jahat gila.

Tapi, musim muhasabah datang. Hati saya meronta mohon dibuang kesumat dendam sia-sia itu. Hati memohon agar pintu kemaafan dibuka. Dia kata,

"Sila buka luas-luas pintu kemaafan tersebut sepertimana kamu mahu Allah membuka seluas-luasnya pintu rahmat keampunanNya ke atas kamu!"

Dan sekian kali, air mata mengalir deras. Mengenangkan segala keperitan yang dialami, yang ditahan selama ini demi menjaga hati orang lain dengan hati sendiri yang tertusuk luka. Allah, begitu susah rupanya hati saya untuk memberi maaf. Kenapakah duhai diri? Kenapa begitu keras sekali menanggapi manusia? Kenapa tidak boleh menerima hakikat sakitnya bergaul dengan manusia?

"Hak orang lain, sedaya upaya kita tunaikan. Hak kita? Biar Allah yang tunaikan." :)

Sudahlah Yang, hati kau tak mampu dibebani perkara sebegini. Lepaskanlah, kerana kebaikan pasti kau dapati dengan memberi kemaafan. Cukuplah Yang, jangan diulang tingkah laku memberontak itu. Buruk sebagai mukmin. Cukup dan cukup, kemudian berserahlah pada Allah. Biar Allah tunaikan untukmu dengan caraNya.

Karena beda antara kau dan aku sering jadi sengketa
Karena kehormatan diri sering kita tinggikan di atas kebenaran
Karena satu kesalahanmu padaku seolah menghapus sejuta kebaikan yang lalu
Wasiat Sang Nabi itu rasanya berat sekali;
"Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara."


Mungkin lebih baik kita berpisah sementara, sejenak saja
Menjadi kepompong dan menyendiri
Berdiri malam-malam, bersujud dalam-dalam
Bertafakur bersama iman yang menerangi hati
Hingga tiba waktunya menjadi kupu-kupu yang terbang menari
Melantunkan kebaikan di antara bunga, menebar keindahan pada dunia


-Petikan Dalam Dekapan Ukhuwah, A. Salim Fillah

Tiba masanya, kau harus bergerak sendiri, berpendapat sendiri, bebas dan tidak menjadi lalang. Mungkin tiba masanya, kau harus melepaskan pergi kepahitan walaupun di sebalik kepahitan tersebut, ada manisnya yang membuat kau lupa pada luka. Mungkin setakat ini saja perjalanannya. Mungkin ini yang terbaik buat kamu dan orang lain. Mungkin sudah sampai waktu kau berbuat sesuatu bukan untuk perhatian manusia tapi untuk Allah. Mungkin sudah tiba waktu kau hadkan suara dan mula diam buat kerja!


Yang tercalar sebenarnya bukan perasaan tapi Iman. Iman yang tercalar, bakal mencalarkan hati dan perasaan. Kerana rukunnya orang beriman itu bersaudara, berpesan-pesan atas kebenaran dan penuh kesabaran. Bersabarlah, moga Allah balas kesabaran kamu bergaul dengan manusia dengan sesuatu yang tidak kamu jangka. :)
.
.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...