Selasa, 2 Ogos 2011

Lilin Agama

Hari ini tiada senda dalam bicara. Zakiah terpaku memandang sebuah potret yang diambil sewaktu majlis watikah perlantikan berlangsung enam bulan lalu. Deru ombak kegelisahan kian mengganak tatkala terpandang sebuah wajah yang membawa duka dalam kamar hatinya. Hati Zakiah berzikir dan beristighfar melawan api amarahnya yang menyala.

Sememangnya hati manusia begitu mudah untuk berubah dan semberono saja insan sekeliling memandang serong susuk tubuh yang berlindung di balik hijab yang labuh itu. Sememangnya Zakiah tidak memahami rasuk apakah yang menggila dalam sanubari sahabat seperjuangannya, Khadijah. Khadijah tidak seteguh yang disangka, tidak sekukuh yang diidam, tidak sehebat walau sepicing pun persis Khadijah Khuwailid, zaujah Rasulullah yang memangku baginda saat senang dan derita. Begitu mudah Khadijah dimain-mainkan perasaannya, menukar aqidahnya bagi membayar harga cinta yang terlalu murah! Sesungguhnya cinta yang diagungkan begitu bodoh sekali tafsirannya, bersandarkan rupa dan wajah yang tidak kekal!

Zakiah mendengus geram. Hatinya bagai disiat tatkala dia menuntut penjelasan dari Khadijah. Seolah-olah tersimpan sesuatu yang dalam. Wajahnya tidak mempamer ceria tapi ucapan cinta memekar di bibirnya.
“Ben yang ku cintai, tiada tandingannya.”

Itulah ucap keramat dilafazkan Khadijah di saat Zakiah mempersoal kehadiran Ben dalam kehidupan gadis campuran Melayu-Arab itu. Pemuda Portugis beragama Kristian itu cukup bijak memikat hati gadis semulus Khadijah. Ben menjanjikan harga cinta menggunung. Tiada tawaran pada gadis lain, hanya pada Khadijah seorang.

Gadis Islam ini bukan calang-calang orangnya. Dia punya peribadi anggun, akhlak yang mulia dan berhemah tinggi. Penuh santun pada adab perilakunya. Penuh susunan kata bicara yang keluar dari bibir mungilnya. Penuh ilmu di dadanya.

Namun, apakah yang merasuk jiwanya?

Aduhai Iwan...

"Abang ni, pakai tu elok-elok la sikit." kata Na (nama sebenar Salina) lembut sambil membetulkan pakaian Iwan. Iwan tersenyum memandang isterinya."Cantik isteri abang hari ni." Iwan mencubit pipi Na lembut.

"Ayah, ayah, cepat la yah." Lisa dan Afiq meluru masuk ke bilik kerana dah tak sabar-sabar nak bertolak pulang ke kampung.

"Yelah, yelah, ayah dah siap ni." Na hanya tersenyum melihat suaminya itu melayan karenah anak-anak mereka yang comel dan manja.

"Abang, dah lama kita tak balik kampung macam ni, kan?"
 "Yalah, maklumlah abang ni sibuk dengan urusan perniagaan. Baru kali ni abang ada peluang untuk cuti panjang." Iwan berkata kepada isterinya tercinta.

Perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Pasir Puteh mengambil masa lebih kurang 8 jam. Lisa dan Afiq sudah pun terlelap di kerusi belakang. Begitu juga dengan isterinya, Na.

"Tak sabar rasanya nak tiba kat kampung," Iwan berkata dalam hati.

Sedikit demi sedikit Iwan menekan minyak keretanya. Semakin lama keretanya semakin laju dan Iwan semakin seronok. Iwan dah tak sabar untuk segera sampai ke kampungnya. Pedal minyak ditekannya lagi dan Honda Civicnya mula memecut. Iwan cilok kiri, cilok kanan. Habis semua kenderaan dipotongnya. Bangga betul Iwan masa tu. Terlupa dia sekejap pada anak dan isterinya yang sedang tidur.

"Eh abang, kenapa bawa laju sangat ni?" tiba-tiba Na terjaga dari tidurnya.
 "Tak ada apa la sayang, rileks. Cepat sikit kita sampai kampung nanti."
 "Sabar bang, sabar. Biar lambat tak apa, jangan laju sangat bang, Na takut." Na cuba memujuk Iwan supaya memperlahankan kenderaannya.
"Rilek, Na. Tak ada apa-apa," Iwan terus memotong bas ekspres di depannya tanpa was-was.
"Haaa..kan, tengok. Tak ada apa-apa kan? kan?" kata Iwan setelah berjaya memotong bas ekspres tadi. "Sudah la tu bang."
"Ha... tu ada satu lagi bas ekspres. Na tengok abang motong dia aaa....", Iwan terus masuk gear 3, pedal minyak ditekannya hingga jejak ke lantai.

Iwan terus membelok ke kanan untuk memotong dan di depannya tersergam sebuah lori balak yang besar dan gagah dan..... BANG!!

"Iwan...., bangun Wan," sayup-sayup terdengar suara emaknya. Iwan membuka matanya. Dia terlihat emaknya di situ.

"Mana Na mak? Macammana dengan Na mak? Lisa, Afiq....mana anak-anak saya mak?" Bertubi-tubi Iwan menyoal emaknya. Iwan tak dapat menahan kesedihannya lagi. Iwan menangis semahu-mahunya di depan emaknya.

Emaknya memandang Iwan tepat-tepat.

"Macamana dengan isteri Iwan mak, Na?" Iwan masih terus menangis.

PANGGG!!

Kepala botak Iwan itu ditampar oleh emaknya dengan tiba-tiba. Iwan terdiam. Kenapa emaknya buat dia macam tu?

"Banyak la engkau punya isteri! Kerja pun malas ada hati nak berbini. Tu la, tidur lagi senja-senja macam ni! Dah! Bangun pegi sembahyang!" emaknya terus merungut sambil berlalu keluar.

Dan Iwan tersengih keseorangan. Rasa macam nak masuk dalam tin biskut! Malu beb!! :D

10 Syarat Menjadi Imam

Syarat-syarat sah untuk seseorang itu menjadi Imam ialah :

1) Islam, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang kafir.

2) Berakal, tidak sah solat yang diimamkan oleh seseorang yang gila. Tetapi jika gila itu bermusim maka solat ketika dia sihat sah tetapi adalah tidak digalakkan. Ini kerana dikhuatiri penyakit gilanya itu berulang ketika dia menunaikan solat.

3) Baligh, tidak sah solat yang diimamkan seseorang mumaiyiz kepada seorang yang baligh di dalam solat wajib dan sunat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas dan Ibn Mas’ud, “Janganlah diimamkan solat itu oleh seorang budak sehingga dia baligh”.

Ini kerana solat itu adalah dalam keadaan sempurna sedangkan kanak-kanak itu bukan daripada ahli yang sempurna. Imam Syafie berpendapat, harus orang yang baligh menjadi makmum kepada imam yang belum Mumaiyiz sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Amr bin Salamah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Aku telah mengimamkan solat di zaman Rasulullah s.a.w sedang aku adalah anak yang baru berumur tujuh tahun.” (Riwayat Bukhari)

4) Lelaki yang sejati sekiranya yang menjadi makmum itu adalah lelaki. Tidak sah solat yang diimamkan oleh seorang perempuan atau khunsa bagi makmum lelaki sama ada solat fardu atau sunat. Sekiranya yang menjadi makmum itu perempuan semata-mata maka tidak disyaratkan lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.

5) Bersih daripada hadas dan kekotoran. Tidak sah menjadi imam yang berhadas atau orang yang terdapat najis pada badannya, pakaiannya sama ada dia mengetahui hal tersebut atau lupa.

6) Baik bacaannya dan mengetahui rukun-rukunnya. Seseorang imam hendaklah baik bacaannya kerana solat tidak sah melainkan dengan bacaan dan mengetahui rukun-rukun solat. Tidak sah seseorang qari menjadi makmum kepada seseorang yang buta huruf (jumhur) dan wajib bagi qari mengulangi solatnya. Seperti mana keadaannya tidak menjadi makmum kepada seseorang yang tidak mampu rukuk, sujud atau tidak boleh duduk ataupun tidak mampu mengadap kiblat.

7) Keadaan yang bukan makmum.Tidak sah solat makmum mengikut makmum lain sebagai imam. Mengikut seseorang yang sudah terputus dengan imamnya disebabkan masbuk :
i- Al-Hanafiah: tidak harus menjadi seseorang masbuq itu sebagai ikutan kerana dia telah mengikut (makmum). Oleh yang demikian, yang diikut tidak boleh diikuti.
ii- Al-Malikiah: tidak harus menjadikan seseorang yang masbuk itu sebagai ikutan kerana dia tadi mengikut (makmum). Namun adapun yang mudrik (tidak sempat rakaat bersama imam boleh diikuti apabila dia
bangkit untuk menunaikan solatnya dan hendaklah mudrik yang tidak sempat rakaat tadi berniat menjadi imam. Kerana ketika itu dia sedang solat berseorangan dan tidak thabit hukum makmum.
iii- Al-Syafieyyah: terputus ikutan / menurut imam dengan semata-mata keluarnya imam dari solat sama ada dengan memberi salam atau dengan sebab terbatalnya wuduk. Ini kerana terkeluarnya dari ikatan di antara imam dan makmum maka pada ketika itu dia boleh mengikuti orang lain yang ganti imam atau orang lain yang mengikutnya sebagai imam.

Kesimpulannya : al-Hanafiah dan Malikiah tidak mengharuskan mengikut seseorang yang asalnya mengikut selepas imam memberi salam, dan harus pada Al-Syafieyyah dan al-Hanabilah. Ini adalah lebih utama.
Syarat khas pada al-Hanafiah dan al-Hanabilah: sejahtera daripada keuzuran.Tidak lawas ketika buang air, kerap terkentut dan batuk makruh ke atas orang yang mempunyai penyakit-penyakit ini menjadi imam.
Sekiranya seseorang yang mempunyai satu keuzuran adalah lebih utama menjadi imam daripada orang yang mempunyai dua keuzuran.Adapun pendapat al-Malikiah tidak mensyaratkan syarat ini tetapi dihukum makruh menjadi imam selagi mana tidak terbatal wuduknya.Begitu juga pendapat bagi Al-Syafieyyah tidak mensyaratkan syarat ini dan sah menjadi imam orang yang mempunyai keuzuran ini dan tidak perlu mengulangi solat tersebut.

9) Imam mesti seorang yang fasih al-lisan. Mampu menyebut huruf-huruf di dalam al-Quran dari makhrajnya.

10) Al-Hanafiah dan Al-Syafieyyah mensyaratkan supaya solat itu diimamkan oleh orang yang bermazhab yang sama dengan makmum.Sekiranya seseorang yang bermazhab Hanafi solat di belakang seorang imam bermazhab Syafie yang mengalir darah pada tubuhnya dan tidak berwuduk selepas itu atau solat seorang yang bermazhab Syafie di belakang seseorang bermazhab Hanafi yang menyentuh perempuan dan tidak berwuduk, maka solat makmum itu batal kerana setiap mazhab melihat kepada batalnya solat imam itu tadi.Al-Hanafiah berpendapat solat di belakang imam yang bermazhab Syafie adalah makruh.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...