Selasa, 1 September 2009

Free Thinker?


Golongan yang menolak kepercayaan kepada Tuhan ialah golongan yang secara tidak langsung tidak mempercayai kewujudan Tuhan, tidak mengakui bahawasanya alam ini ada penciptanya dan menolak kehidupan beragama. Golongan ini juga selalu disebut sebagai ateis iaitu tidak mempercayai Tuhan dan juga ‘free thinker’, yang bebas berfikir dan memberi pendapat tanpa batasan. Mereka mengatakan bahawa dunia ini terjadi dengan sendirinya iaitu semulajadi. Semestinya kehidupan mereka tidak berkait langsung dengan mana-mana agama mana sekalipun. Golongan seperti ini sentiasa wujud di mana sahaja, bahkan menjadi ancaman kepada mana-mana agama yang secara total mempercayai wujudnya Tuhan kerana fahaman mereka yang menyesatkan itu.

Golongan ini menolak habis-habisan kepercayaan kepada Tuhan. Sedangkan setiap manusia mempunyai naluri dan fitrah bertuhan di dalam diri mereka. Bukti bahawasanya Allah itu wujud ialah alam semesta ini sendiri. Mana mungkin alam yang serba indah dan luas ini tidak ada kuasa yang mengaturnya? Siapakah mengatur perjalanan planet-planet di alam semesta ini? Siapakah pula yang mengatur siang dan malam dengan tepat dan tidak terlewat? Siapakah yang menurunkan hujan dan menerbitkan matahari? Firman Allah S.W.T dalam ayat 13, Surah Fathir yang bermaksud :
“Allah jua yang memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti) dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagiNyalah kuasa pemerintahan; sedang mereka yang kamu sembah (yang lain dari Allah) tidak mempunyai sesuatu pun walau senipis selaput biji kurma. “

Adapun tanda wujudnya Allah Taala ialah dunia ini yang asalnya tidak ada tapi menjadi ada. Pada diri manusia sendiri terdapat banyak tanda-tanda kebesaran Allah S.W.T.. Di dalam Al-Quran sendiri Allah sudah menceritakan tentang kejadian manusia sepertimana firmanNya yang berikut, ayat 12-14, Surah Al-Mukminun :
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk ia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

Golongan yang menolak kepercayaan kepada Allah S.W.T. ini sebenarnya berpegang kepada lojik akal semata-mata dalam banyak pertimbangan kehidupan mereka termasuklah konsep ketuhanan. Mereka percaya bahawa setiap yang wujud ini terjadi hasil fenomena alam dan sentiasa berubah sejak kecil hingga besar dan ini semua terjadi secara kebetulan. Teori inilah menjadikan ramai manusia kufur dengan Allah. Mereka inilah orang munafik, walaupun di depannya sudah tersedia bukti-bukti kewujudan Allah S.W.T., mereka tetap juga berpaling dari hidayah dan tidak mahu mengakui kewujudan Allah. Mereka inilah yang disebut Allah dalam firmanNya yang berbunyi : “Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun). Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran). Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.” Surah Al-Baqarah, ayat 17-19.

Mereka juga selalu menanyai kewujudan Allah S.W.T melalui zat Allah. Mereka menafikan kewujudan Allah kerana tidak dapat dilihat, disentuh dan dirasai. Sesungguhnya mereka lupa bahawa akal manusia tidak mampu untuk menanggapi hakikat semua perkara meskipun sudah mencapai tahap kecerdikan yang tinggi. Sehingga ke saat ini akal tidak mampu meraih hakikat sebenarnya kejadian alam ini sekalipun, jadi adakah akal mampu untuk mengetahui bagaimana rupa zat Allah S.W.T.?? Allah S.W.T. sudah menceritakan di dalam Al-Quran bagaimana keadaan Nabi Musa ketika baginda mahu melihat zat Allah S.W.T., firmanNya :
“Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (DzatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada ditempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu". Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajallaNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)".”

Kesimpulannya, dakyah-dakyah golongan ini haruslah dijauhi dari mempercayainya dan dipengaruhi tentangnya. Ilmu agama terutama yang berkaitan dengan aqidah Islamiah dan tauhid, konsep ketuhanan, perlulah dihadami agar kita tidak terjebak mudah dalam fahaman sesat ini yang menafikan kewujudan Allah.

Allah menerangkan (kepada sekalian maklukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbir (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...