Sabtu, 27 Ogos 2011

Catatan Kelu

Malam ke 27 Ramadhan tiba.

Ruang tamu sunyi. Adik-adik sudah masuk ke bilik masing-masing. Hanya aku yang masih berada di ruang tamu, menemani ibu menonton berita dunia. Sayup kedengaran suara Adik membaca al Quran. Juzuk 21. Aku menghidupkan komputer riba, memasang broadband dan membuka laman sesawang. Seperti biasa, log in akaun facebook dan melihat news feed. Catatan-catatan tentang Ramadhan oleh rakan-rakan menjengah depan mata. Pelbagai lantunan nasihat terpapar. Mereka menasihatiku, tentang Ramadhan dan Lailatulqadr.

Tak sampai setengah jam, aku berbaring di sisi laptop. Terasa kosong tiba-tiba. Mula menghitung hari yang bakal meninggalkan Ramadhan. Menghitung hari untuk ke kampus semula. Ah, tak sampai seminggu saja.

Bangun kemudian mencapai mushaf. Membelek-belek seraya membacanya. Baca 2 ayat kemudian berhenti. Resah menggamam. Target khatam jauh sekali! Target tadabbur? Kholas! Aku menutup mushaf dan berbaring semula.

Betul, malam ini dibaluti sunyi. Mula memuhasabah diri. Ramadhan yang kian berbaki. Lailatulqadr, entah aku ketemu atau tidak. Atmosfera pesimis menghembus. Tuhan, aku bukan hamba yang baik bukan?

Sukar diurus. Ketenangan bulan barakah ini bukan milikku.

Ingin memberitahu sesuatu tapi bibir kelu. Ingin menyapa seseorang tapi hanya menghela dengan pandangan kosong. Ingin mengetuk pintu cinta Tuhan tapi terasa malu dan mahu sembunyi?

Sukar diduga. Mode hikikomori melanda dan lirik lagu Ramadhan 2 Zaman aku ulang-ulang.

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga...

Barangsiapa yang menyembah Ramadhan, ketahuilah Ramadhan itu akan pergi! Lailatulqadr kan pergi menyepi. Hanya iman yang tegar menemani, mengharungi rimba dan semak 11 bulan yang mendatang.

Betul, perit. Walaupun Syawal tak sampai seminggu lagi, lagu raya sebolehnya dielak menjadi halwa telinga. Entah, terasa sedih dan ngilu. Tak pasti, samada menangisi Ramadhan yang bakal pergi atau menangisi diri yang tidak memanfaatkan sekali setahun berlepas diri dari godaan syaitan.

Catatan ini makin kering dakwatnya. Ternyata bebelan ku ini juga tidak mampu menggores senyum kemenangan. Aku yang susah untuk diurus dan diduga!

lapang yang terisi, cinta ilahi mengiringi~

Rabu, 17 Ogos 2011

Ramadhan Dua Zaman :: Inteam & Nazrey


Ramadhan satu nasib tak serupa
peluangnya sama natijah berbeza

Ramadhan mereka gembira cemerlang
mukmin berjasa diawal zaman

Ramadhan kami malam terbuang
muslim berdosa di akhir zaman

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya

puasa sekadar lapar dan dahaga... 

Sabtu, 13 Ogos 2011

Hujan, Biru Langit & Disember

Pabila cuaca mendung dan suram, awan menjadi kelabu dan kemudian hujan pun turun. Kadang-kadang ianya lebat, kadang-kadang ia turun renyai-renyai. Ada juga hujan yang diiringi ribut, angin yang kencang.


Gerimis mewakili air hujan yang turun ringan. Bunyi air hujan gerimis jatuh mengenai zink rumah sangat mengujakan. Satu tabiat tegar saya ketika hujan turun ialah, saya akan duduk di tepi tingkap melihat air hujan membasahi halaman rumah. Sewaktu ketika kecil dulu, pantang hujan mesti sudah bersorak riuh rendah di luar rumah dan mandi hujan sepuasnya. Selagi hujan tak serik atau tidak dipanggil ibu, selagi itulah saya mandi hujan dengan gembiranya. Sampai biru-biru bibir sebab sejuk. Ah, indahnya zaman kanak-kanak! huhu

Saya suka hujan. Walaupun orang kata susah kalau hujan ni, banyak aktiviti tergendala dan sebagainya, namun kecintaan saya terhadap hujan tak terkesan. Kadang-kadang sengaja mencari alasan keluar ketika hujan; saja nak merasa sejuk. Selain hujan, saya suka cuaca mendung dan redup. Kalau sedang marah-marah atau sedih, cuaca mendung mempengaruhi saya. Sedikit sebanyak ia menghantar ketenangan.

Manusia terinspirasi dengan hujan. Lagu-lagu dicipta berinspirasikan hujan seperti lagu arwah Sudirman, Hujan. Lagu Gerimis, Fareast dan banyak lagi. Malah, Hujan juga adalah nama sebuah band indie yang terkenal di Malaysia!

Hujan juga tidak ketinggalan menginspirasikan lagu-lagu sentimental buat saya.

Ada juga sesetengah orang menganggap hujan adalah fenomena sedih dan muram atau menangisi sesebuah pemergian dan perpisahan. Namun hujan dalam Islam adalah sebuah rahmat malah waktu hujan merupakan antara waktu-waktu mustajab berdoa.

Dari Sahal bin Saad katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda : “Ada dua jenis doa yang tidak ditolak iaitu ketika azan dan ketika turun hujan.”

Ada sebuah doa yang elok dibaca ketika hujan turun.


Suasana mendung ketika hujan akan memancarkan warna langit yang sebenar. Warna biru langit atau di dalam bahasa Inggeris ia dipanggil 'azure'. Warna langit pada waktu malam akan bercampur-campur dengan warna seakan-akan jingga yang menandakan awan yang mengandungi air. Bagi saya, hujan sangat dekat dengan warna langit. Hujan, biru. Ah, mencambahkan lagi satu benda yang saya suka iaitu warna biru.


Saya peng'obses' warna biru. Hampir 80 peratus barang-barang peribadi kepunyaan saya berwarna biru. Kalau pergi membeli belah terutama pakaian, mata saya lebih cenderung kepada pakaian berwarna biru, tak kira apa pun. Lukisan saya waktu kecil dulu juga didominasi dengan warna biru, sampaikan pokok pun saya warnakan dengan warna biru!

Mengikut kajian, individu yang menyukai warna biru ini adalah seseorang yang mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Dia pandai berkawan dan mudah disenangi orang lain. Disebabkan itu, dia sangat mementingkan persahabatan dan suka memberikan dorongan kepada orang lain. Kadang-kadang lebih mengambil berat terhadap orang lain berbanding diri sendiri.

Satu lagi, dia seorang yang sensitif dan bersifat dalaman serta romantik. Jenis personaliti seperti ini cenderung kepada sifat yang setia, menghargai sesuatu perhubungan sesama manusia, suka pada pergaulan, kadangkala suka berimaginasi dan nampak tenang. Malah, sukakan penghargaan dan mahukan kasih sayang daripada orang lain.

Namun, satu saja keburukan orang yang suka warna biru ni iaitu kurang bercita-cita tinggi dan takut dikritik. erk, kebetulan kena dengan saya. huhu

Teori hujan, warna biru dan bulan Disember ada kaitannya.

Sewaktu zaman sekolah dulu, pernah menghadiri satu program motivasi ni. Penceramah membahagikan kami peserta kepada beberapa kumpulan mengikut bulan kelahiran. Beliau menerangkan sikap dominan setiap orang yang mewakili bulan kelahiran mereka. Saya dipanggil ke depan mewakili kumpulan saya. Selepas menanyakan beberapa soalan, beliau menyatakan, orang yang lahir bulan Disember tidak suka keluar rumah, sukakan hujan, suasana mendung kerana bulan Disember seperti yang kita tahu adalah musim hujan lebat dan musim banjir di Pantai Timur. Mungkin sebab itu orang yang lahir bulan Disember sangat 'dekat' dengan hujan. 

Beberapa personaliti yang berkaitan dengan seseorang yang lahir di bulan Disember, antaranya ; sangat setia dan pemurah. Dia bersifat patriotik dan sangat aktif dalam permainan dan pergaulan. Bersikap kurang sabar dan tergesa-gesa. Sangat bercita-cita tinggi dan suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi. Beliau seronok didampingi dan suka bercampur dengan orang. Suka dipuji, diberi perhatian dan suka dibelai. Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur. Antara kelemahan yang dikaji, tidak pandai berpura-pura dan cepat marah serta perangai yang berubah-ubah. Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi dan benci pada kongkongan. Suka berlawak dan pandai buat lawak dan menceriakan orang lain serta berfikiran logik.

Tak jauh bezanya personaliti bulan Disember dan individu yang sukakan warna biru. Kebanyakan ciri-ciri yang dikaji itu kena dengan saya. Ada juga yang tiada kaitan langsung. Namun sekurang-kurangnya, ada ayat dan perkataan yang mengungkapkan peribadi saya.

Sebentar, ia membuatkan saya terfikir.

Kadang-kadang kita tak kenal diri sendiri pun. Kita tak tahu potensi diri kita, kelebihan dan kekurangan, apa sifat dominan kita, apa yang kita suka dan benci. Kadang kita membiarkan diri menyukai perkara yang Allah benci dan membenci sesuatu perkara yang Allah suka. Kita menolak sesuatu yang memberi manfaat kepada kita dunia dan akhirat dan kita menerima dengan senang hati perkara yang membinasakan kita.

Tak kenal maka tak cinta.
Tak kenal diri maka tak cinta diri sendiri.
Tak cinta diri sendiri maknanya tak cinta Allah.
Tak cinta Allah maknanya tak kenal Allah?

Macamana nak cinta Allah kalau tak kenal Allah? Bagaimana nak cinta diri sendiri kalau tak cinta Allah?

Ya, kita lupa yang kita gagal mencintai diri sendiri apabila kita gagal mencintai Allah. Sesungguhnya hujan, warna biru langit dan Disember juga adalah ciptaan Allah dan merupakan salah satu keindahan alam dan dunia untuk saya, kamu dan kita semua manfaatkan untuk lebih mendekatiNya.

Ramadhan kareem!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...