Ahad, 25 Julai 2010

Usikan Cinta


Usikan Cinta I

Hati seorang pemuda
Mudah bangat terpaut
Pada kulit luar yang licin
Tanpa mengetahui isi dalamnya yang mentah
Barangkali indah khabar dari rupa!

Usikan cinta II

Lumrah jalan ini
Ada manis madu menyinggah
Halwa cinta yang dikecap
Tidak sedar sebuah mainan
Sang perosak amalan
Yang dilagukan
Untuk insan yang ragu iman

 Usikan Cinta III
Sabar menahan
Maraknya api cinta
Dari membakar tiang agama
Lebih mulia ; teramat mulia
Menepis rasa cinta
Dari membukit memudar atma
Demi menjemput cahaya
Yang cintanya melebihi segalanya
Sabar ada yang menanti
 Di hujung sana menatang cahaya yang sama...

Aspuri MMP,
17 Ogos 2009


Ahad, 18 Julai 2010

Catatan Masa Lalu (2)

Hari ini saya ingin bercerita. Kisah pengalaman saya dulu,. di waktu sekolah, di maahad yang banyak membentuk jati diri saya sehingga jadi insan seperti hari ini. Menjadi antara orang yang sedar akan hakikat membina jambatan hati antara sesama insan adalah salah satu rencah dalam hubungan antara seorang daie dan mad'u, antara seorang guru dan anak muridnya, antara seorang sahabat dengan sahabatnya DAN antara seorang senior dan juniornya.


Semasa di tingkatan 4 dulu, saya dilantik menjadi penolong ketua bilik bagi bilik 5A, sebuah bilik atau dorm yang menampung hampir 40 orang pelajar lebih. Semasa di tingkatan 5, saya jadi ketua bilik di bilik 2A yang sama saiz dan kuantitinya dengan bilik 5A. Pelajar-pelajar yang menghuni dorm tersebut terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur, tingkatan, sikap dan 'geng'. Seingat saya, pelajar asrama memang terkenal dengan 'geng'nya dan semangat ukhuwah sesama mereka. Walaupun dari pelbagai fahaman dan pendapat, kami tidak mengabaikan perpaduan sesama 'umat'., pada waktu itu.

Amanah sebagai pemantau atau dalam erti kata lain menjaga kebajikan, disiplin, kebersihan, dan sewaktu dengannya jatuh ke atas pundak ketua bilik dan penolongnya. Di samping itu, tidak ketinggalan juga dengan pembentukan tarbiyah untuk mereka,. mengambil berat keperluan mereka dan melayani mereka seperti adik beradik sendiri. =) Kenangan di sini sememangnya terpahat dan takkan hilang rasanya.

Namun, tak ketinggalan juga berhadapan dengan pelajar bermasalah (tidaklah bermasalah sangat pun tapi lebih kepada meladeni jiwa remaja yang sedang memberontak). Jiwa-jiwa seperti harus (la budda) dilayan sehalus mungkin,. tidak terlalu ditekan atau mengarahkan mereka mematuhi peraturan sedia ada, tapi membantu mereka mengenal potensi diri dan pencipta yang pentingnya.

Di bilik 5A, saya berkenalan dengan seorang junior bernama Farah (bukan nama sebenar) yang muda dua tahun dari saya. Kemudiannya, kami sebilik pula pada tahun seterusnya di bilik 2A. Farah yang saya kenal adalah seorang yang sangat bijak, cantik dan mempunyai nilai tambah yang tersendiri ; antaranya sangat fasih berbahasa Inggeris kerana pernah berada di USA sewaktu kecil dahulu, mengikut bapanya melanjutkan pelajaran di sana. Farah agak kebaratan sedikit ; dapat dilihat pada citarasanya, pemikiran, minat. Ayahnya seorang saintis dan berfikrah agama. Berasal dari Kuala Lumpur dan berada di maahad bukan ke atas kehendak dirinya sendiri. Biasanya pelajar yang dipaksarela berada di maahad antara pelajar yang 'memberontak' jiwa remaja mereka, kerana tidak dapat dinafikan peraturan di sekolah agama lebih-lebih lagi dikelolakan oleh kerajaan Kelantan adalah tidak 'ngam' dengan jiwa mereka.

Hobi saya dan Farah adalah sama iaitu membaca buku. Selalu saja dia menyelongkar rak buku saya, mencari apa-apa bahan menarik untuk dibaca dan saya sendiri tidak ketinggalan menanyakan buku baru setiap kali dia pulang dari keluar Kota Bharu atau dari Kuala Lumpur selepas bercuti, terutama bahan bacaan bahasa Inggeris. Saya sangat seronok berbual dengan Farah, sebab dia betul-betul mencabar minda dan cara penyampaian saya. Dia bukanlah sebarangan orang untuk menerima bulat-bulat apa yang kita perkatakan, kerana tidak dapat tidak perkara itu harus jadi darah daging perbuatan kita terlebih dahulu. Cakap memang kena serupa bikin.

Dengan Farah, saya banyak ajak dia berfikir, berdiskusi, berkongsi buku dan risalah, bercerita pengalaman, bertukar pendapat dan pandangan dalam apa saja isu. Sekurang-kurangnya darah panas yang mengalir dalam diri dapat disejukkan dengan hembusan peringatan mengenai Allah, Nabi Muhammad dan hikmah Islam meletakkan peraturan agar nafsu dapat dikandang (tengok filem Sang Murabbi).

Dia banyak mempersoalkan kembali apa-apa saja yang saya cuba utarakan. Masih segar di ingatan saya, bagaimana kami berhujah mempertahankan akal fikiran masing-masing. Sesungguhnya, agama bukan ditanggapi dengan akal. Jangan sesekali mencerna agama dengan kudrat akal fikiran kita yang terbatas ini. Banyak persoalan agama yang dia tanggapi dengan akal. Kenapa kena pakai tudung, kenapa kena solat, kenapa begitu, kenapa begini. Ah, banyak lagilah persoalan yang dia utarakan. Sedikit sebanyak mengajar saya supaya bercakap dan berhukum pada Al-Quran dan sunnah Rasul. Dari situlah saya belajar menangkis tuduhan dan anggapan palsu terhadap susunan Islam yang indah ini.

Setiap kali persoalan Farah yang tidak dapat saya jawab serta merta, saya akan meminta dia supaya 'menunggu' dulu supaya dapat saya rujuk kepada ustaz ustazah di sekolah di samping 'search' di loker buku dan maktabah sekolah. "Okey Farah, hold dulu. Nanti k.Yang tanya ustaz." Itulah ayat yang selalu saya ucapkan setiap kali perbincangan kami diakhiri tanpa kesimpulan yang kukuh.

Terkesan dengan sikap Farah, saya banyak berfikir. Di samping berfikir persoalan-persoalan dan cara untuk menyampaikannya dengan hikmah, saya juga berfikir bagaimana cara untuk mengubah caranya berfikir. Landasan fikirannya bakal membawa dia kepada aliran fikiran lojik semata-mata tanpa mempedulikan keterbatasan akal manusia. Bagus juga, kerana kita ikut agama bukan ikut-ikut. Tapi, ada bahayanya jika semata-mata bersandar hukum pada akal saja.

Semasa saya di tingkatan 6, saya tidak lagi tinggal di asrama dalam. Ustaz Lokman meminta saya menjadi musyrifah di asrama luar. Kami tidak lagi bertemu seperti biasa. Namun, cerita-cerita yang kurang enak tentang dirinya mula kedengaran di telinga saya. Saya tidak sempat bertemu dengannya sehinggalah dia dibuang sekolah kerana melakukan kesalahan yang tak dapat diterima, ditambah rekodnya yang terdahulu yang sudah banyak tercatat pelbagai kesalahan.

Selepas meninggalkan alam persekolahan, saya cuba menghubunginya. Mahu tahu perkembangan dia sekarang selepas dia meninggalkan maahad. Saya cuba bertanya kepada teman-teman rapatnya yang berada di sekolah. Khabarnya, dia berpindah ke sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Namun, ada khabar yang lebih menyedihkan ; Farah sudah mula keluar rumah tanpa bertudung!

Masya Allah... saya mengucap beberapa kali semasa mendengar berita itu dari mulut teman rapatnya. Dahla cantik...hati saya berkata-kata. Farah, kenapa jadi macam ni.. tak ingat dah ke apa yang kita bincangkan dulu. Kenapa Allah syariatkan menutup aurat, dan sebagainya. Tanpa dipinta, hati saya sebak dan air mata mula menakung di tubir mata. Dan jauh ke dalam hati saya, saya sayang Farah! Tanpa sempat, saya ucapkan sayang kepadanya, dia sudah meninggalkan saya. Sayang sebagai saudara seagama, sayang kerana dia saudaraku, sayang kerana Allah!

Cukup saya sesali. Sikap saya! Sikap saya kerana meninggalkan dia selepas meninggalkan asrama! Saya tidak follow up, saya tak mahu mendengar dengan baik masalah dan persoalan dia ketika dia berjumpa dengan saya awal tahun dulu.

Sewaktu ber'jalan-jalan' di fb, saya terjumpa namanya di fb. Gambar profilnya terpampang. Dan seperti yang dikatakan, benarlah dia sudah tidak bertudung. Sungguh! Hidayah itu bukan milik kita, mutlaknya dimiliki Allah. Saya merenung gambarnya. Hati saya terusik, sedih. Di depan laptop itu juga saya menangis serta merta berdoa ; memohon Allah membuka pintu hatinya pulang ke pangkal jalan!

Kehidupan hari ini adalah pengajaran pada fasa kehidupan yang lalu. Saya cukup belajar dari pengalaman ini. Sehingga hari ini, jika saya teringatkan Farah atau apa-apa saja yang mengingatkan saya pada dia, terdetik doa untuknya. Ya Allah, kurniakan hidayah buat adikku, bantulah dia dalam mencari petunjuk Mu,.. bantulah dia untuk mendekatiMu.. Ya Allah..

Jumaat, 16 Julai 2010

Pada Mu Ku Bersujud

PadaMu Ku Bersujud – Afghan

Ku menatap dalam kelam
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya namaMu ya Allah

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salahku
Lindungi aku dari segala fitnah

Kau tempatku meminta
Kau beriku bahagia
Jadikan aku selamanya
HambaMu yang selalu bertakwa

Ampuniku ya Allah
Yang sering melupakanMu
Saat Kau limpahkan karuniaMu
Dalam sunyi aku bersujud
Pada Mu...


Khamis, 15 Julai 2010

Bercerita Tentang Kehidupan

Biarkan malam bertamu
Biarkan senja menjengah suasana
Biarkan warna jingga menyelubungi alam
Biarkan camar bersiponggang di kaki langit
Kan tetap berpasak jiwa nan teguh
Kan tetap berkemudi hati nan lara
Kan tetap menyinar matahari nan senja
Kan tetap bertamu redha dan sabar di musafir lalu...
Pada insan yang tulus, mulus dan bukan fulus jiwanya.

11 April 2008

Bercerita tentang kehidupan adalah bercerita tentang motivasi untuk terus berkhidmat, menjadi hamba yang diredhai Allah. Jalan perjuangan dalam mencari bekalan akhirat, la budda akan diiringi dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Samada ujian-ujian itu akan dilepasi atau tidak, bergantung kepada kita dalam menyambutnya. Tenang setenang air di kali kah atau seperti tsunami yang meribut menghempas ombak hitam ke pantai?

Ya Allah, adakah aku memandang setiap ujian Mu dengan penuh ibrah? Adakah aku betul-betul mengambil pengajaran dari setiap ujian yang kau kurniakan kepadaku? Ya, Allah memberi ibrah dalam setiap ujian yang Dia titipkan untuk kita. Tiada ungkapan indah dalam menuturkan semua ini, melainkan hati yang redha dan sabar yang mampu mengungkapkan apakah sebenarnya tujuan Allah memberi kita suatu suratan bernama UJIAN.

Ujian itu tidak semestinya setiap segala yang bernama kesusahan dan keperitan. Tapi, Allah juga mengirimkan kesenangan dan keselesaan dalam ujian yang Dia hantarkan. Namun, hakikatnya manusia akan lebih beringat dengan kesusahan dan keperitan daripada kesenangan dan keselesaan. Manusia akan lebih mudah hanyut dan tenggelam dalam kenikmatan.

Setiap kita diuji, sedang diuji dan bakal diuji. Setiap kata-kata juga diuji. Sesekali bila kita bercerita tentang kehidupan, jangan lupa untuk rasa bermotivasi menjadi hamba Allah yang taat kepadaNya. Jangan lupa untuk bermotivasi menggapai redha Allah di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Bercerita tentang kehidupan saya kini, adalah bercerita tentang hari ini yang (jika diizinkan Allah) akan lebih baik dari hari semalam. INSYA ALLAH. Dan esok lebih baik dari hari ini.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada Nya, dan berjihadlah di jalan Nya, agar kamu beruntung.”
Surah Al Maidah, ayat 35

Khamis, 8 Julai 2010

Menangis Di Bahu Mu

Luluh jiwaku dalam rona cintaMu
Ronta rasaku di sejadah syahdu
Aminkan doa dalam sendu..

Hati menangis, mengerdip
Membongkar rasa malu berzaman
Tanpa sedar kesilapan lalu yang dilakukan
Sesak dada ini saat ia menujah
Menikam-nikam sukma, membuai air mata
Aduh… sakitnya penghinaan ini!
Penghinaan pada wajah yang duka
Sarat dengan debu dosa

Pengharapan yang menggunung
Ku halakan padaMu
Agar bisa ku tampung
Tiap detik yang resah ku mainkan
Tiap saat yang pilu ku dendangkan
Kesedihan, kepiluan, keresahan, kekecewaan
Semuanya bagai tersimpul mati
Tidak mampu terurai
Mendalam dalam lurah atma ini
Sayup jauh jaraknya dari jalanMu


Biarkan aku kelu
Lemas dalam pengaduanku
Biarkan aku huraikan satu persatu
Duniaku yang mengikatku menjauhi Mu
Biarkan ribu-ribu tasbih itu
Memuji Mu dalam ribu-ribu mutiara rindu
Membasahi gersang kalbuku

Tuhan…
Arah manakah lagi mampu ku halakan
Jika tidak pada cahaya cintaMu
Yang nun jauh sayup di pandanganku

Izinkan aku berlari mencapainya
Berlari sederasnya
Menuju ke pelukanMu
Merasai hangatnya belaianMu
Menikmati derasnya turun air mataku
Membasahi bahu Mu..

Menangis di bahu Mu....


yanglatif
1.50 pagi, 8 Julai 2010
teratak seni

hAshum.!

"Haaaa..shum!!.." saya bersin dengan sekuatnya. Selalunya akan diiringi dengan sebutan 'ma.." di belakang. Setiap pagi, tabiat bersin semakin menjadi-jadi. Kadang-kadang, tanpa mempedulikan orang lain, saya bersin sekuat hati dengan berulang-ulang kali. Hidung menjadi merah, gatal dan berair selagi tidak mandi. Sama keadaannya jika saya mula mengemas dan membuang habuk. Memang bersin tak boleh dipisahkan oleh saya. Selagi saya mampu bersin, saya akan bersin bagi melegakan hidung.

Saya selalu tertanya-tanya, kenapa bersin begitu sinonim dengan saya. Pantang bangun pagi, jumpa benda berhabuk atau alah. Katanya saya ni berpenyakit resdung. Tapi sejauh mana kebenaran itu, saya sendiri tidak pasti.

Tapi, bersin adalah salah satu pertahanan tubuh untuk mencegah masuk zat-zat asing ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan kuat melalui hidung dan mulut dengan kelajuan sekitar 161 km/jam!

Dalam Syarh Riyadhus Shalihin, Syeikh Utsaimin mengatakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan tubuh. Jadi sebab itulah setelah bersin, seeloknya kita mengucapkan hamdalah sebagai bukti syukur kita kepada Allah SWT.

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jika salah seorang di antara kalian bersin, ucapkan 'alhamdulillah' (segala pujian bagi Allah). Dan hendaklah orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan yarhamukallah (semoga Allah merahmatimu). Dan orang yang bersih tadi membaca doa yahdikumullahu wa yushlihu balakum (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu)." HR Bukhari

Mendoakan orang bersin adalah antara hak seorang muslim ke atas muslim yang lain. Ini berdasarkan hadis ini ;
"Hak seorang muslim atas muslim lainnya ada lima iaitu menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar jenazah, memenuhi undangan dan menjawab orang bersin." HR Bukhari dan Muslim

Bersin adalah salah satu nikmat Allah kurniakan kepada kita daripada nikmat-nikmatNya yang lain yang tidak terhitung.

Selasa, 6 Julai 2010

Biarkan Aku Seorang....

Biar aku
seorang terluka
tercedera lara
hingga tidak mampu bersuara

biar aku
seorang sepi
sunyi sendiri
hingga tidak berdiri lagi

biar aku
seorang kecewa
hampa nestapa
hingga tidak mampu ketawa

biar aku
seorang tersepit
kecil diri terhimpit
hingga tidak lagi suara menjerit

biar aku
seorang merana
asal kamu semua bahagia
hingga tidak lagi muncul sengketa antara kita

~angkasa
10.51pm
7hb April 2010
Lagu Khabar Cinta
Puisi Biar Aku Seorang
Hilal Asyraf
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...