Selasa, 7 Ogos 2012

Muhasabah Ramadhan

30 Ramadhan 1426

Hari ini, hari terakhir aku mengerjakan ibadah puasa. Hari ini adalah hari terakhir aku menghirup udara di bulan penuh barakah ini. Hari ini ialah hari terakhir pahala dan dosaku digandakan. Hari ini, hari terakhir aku menatap wajah jejaka Ramadhan!

Wajahku duka, sayu melihat dia mengemas pakaiannya, mengebas capalnya. Seraya wajahnya yang berseri bulan purnama tersenyum padaku.

"Jangan sedih, doakan ini bukanlah pertemuan yang terakhir."

Aku peluk wajah Ramadhan. Kehangatan ku rasa, belai cinta Rabbul Izzati mengusap kemudian mengelus wajah dukaku yang penuh dosa.

Ku tangisi perpisahan ini.

1 Ramadhan 1428

Hari ini Ramadhan menjelmakan dirinya. Hatiku kegirangan tatkala mendengar pengumuman bermulanya puasa pada malam semalam. Tatkala itu, bertambahnya sinar kebahagiaan pabila mendengar azan subuh berkumandang gah pada pagi 1 Ramadhan di Masjid Muhammadi. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi peluang sekali lagi kepadaku menatap kembali wajah cemerlang Ramadhan dan mendakapnya; melepaskan kerinduan yang terperam beratus hari lamanya.

Bulan barakah ini adalah bulan kerinduan para muwahhidun, yang padanya bisa diratah ibadah, bisa dipinta selautan rahmat dan maghfirah.

Aku berkira-kira, adakah sebetulnya aku merindui Ramadhan?

18 Ramadhan 1433

Malam ini dibaluti sunyi. Mula memuhasabah diri. Ramadhan yang kian berbaki. Lailatulqadr, entah aku ketemu atau tidak. Atmosfera pesimis menghembus. Tuhan, aku bukan hamba yang baik bukan?

Sukar diurus. Ketenangan bulan barakah ini bukan milikku.

Ingin memberitahu sesuatu tapi bibir kelu. Ingin menyapa seseorang tapi hanya menghela dengan pandangan kosong. Ingin mengetuk pintu cinta Tuhan tapi terasa malu dan mahu sembunyi?

Lalu lirik lagu Ramadhan 2 Zaman aku ulang-ulang. 

Mereka gembira kerana kedatanganmu
kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al Quran
tapi malam kami muram bertemukanmu

Mereka berlumba mengejar makrifat
tapi kami lesu diburu nafsu

Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan
hadiah mujahadah sebulan Ramadhan

Takbir kami lesu tak bermaya
tanda kalah lemah tak berdaya
puasa sekadar lapar dan dahaga...

Lantas sebuah hadis terngiang-ngiang, minta dinukilkan;

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu berkata, 'Celakalah orang yang melewatkan bulan Ramadhan begitu saja sehingga dia tidak diampuni'. Aku berkata, 'Amin'.

(HR Al-Bukhari, Al-Baihaqi, Al-Hakim, dan Ibnu Hibban)

Nah, mampukah hati merasa tenang mendengar perkhabaran ini? Jika berlalunya Ramadhan namun dosa kita tidak diampunkan, maka kita didoakan oleh Jibril AS sebagai celaka. Diaminkan pula oleh Rasulullah SAW, semulia-mulia manusia yang pernah wujud di muka bumi ini.

Dan perubahan tidak akan terjadi selagi tubuh tidak dihayun melakukan tindakan!

Ramadhan Kareem.
 

.

Khamis, 5 Julai 2012

Muslimat Lembik? Sudah-sudahlah...

Entahlah, kadang-kadang saya rasa bab-bab BM boleh jadi lialibiliti besar pada muslimat kalau tidak diurus dengan baik. Mudah kata muslimat akan memang jadi lembik kalau macam ini caranya.

Maaf, jika perkataan lembik di situ kasar bunyinya. Sekadar untuk 'menggegarkan' minda orang perempuan agar tidak meletakkan punca masalah pada orang lain, kalau penyelesaiannya sudah ada di tangan kita sendiri.

Seorang sahabat saya pernah mengadu, memberitahu pelbagai usaha yang beliau lakukan demi mendapatkan pasangan yang baik malah dikatakan sefikrah dan sejemaah. Namun, usahanya menemui jalan buntu kerana dikatakan muslimin ni memilih, mencari yang ayu-ayu saja dan sebagainya. Beliau kecewa, menyalahkan pihak 'sana' kerana taste mereka yang tinggi sehinggakan muslimat yang biasa-biasa saja lahiriahnya terpaksa mencari pasangan yang bukan sefikrah.

Saya merasakan keperluan, citarasa dan kehendak seseorang itu berbeza. Kecenderungan seseorang pada ciri-ciri tertentu itu merupakan fitrah dan sama sekali tidak boleh dipersalahkan. Malah jika seorang lelaki hanya melihat faktor fizikal perempuan semata-mata pun saya tidak berasa pelik. Mereka memilih yang cantik di pandangan mereka, itu hak mereka. Muslimat tidak perlu berasa hal itu memberi kesan lantas melarakan hati kerana sudah termaktub bahawa jodoh itu telah sedia tertulis di Luh Mahfuz.

Saya menulis ini kerana saya juga seorang perempuan yang mempunyai keperluan dan kehendak sama dengan sahabiah sekalian. Saya dapat merasakan apa yang kalian rasakan namun kita tak perlu membiarkan faktor luar mempengaruhi cara kita menyelesaikan masalah. Proaktif dan positif, bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan memutuskan tindakan atas pilihan sendiri. Bahagia, derita, gembira, sedih adalah pilihan kita sendiri, atas tindakan kita sendiri.

Usaha yang sebenar-benarnya seorang muslimat dalam mencari jodoh yang baik (selain usaha teknikal) ialah mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan. Usaha untuk men'solehahkan' diri lebih dituntut. Namun, ramai dari kita mengabaikan perkara ini.

Liabiliti yang saya maksudkan di atas ialah apabila muslimat fikir kesempurnaan BM ini hanya dengan mendapatkan pasangan sefikrah sejemaah, maka kebahagiaan mutlak dapat dicapai. Muslimin salah bila letak demand tinggi-tinggi dan muslimat juga salah bila terlalu fikirkan demand muslimin dan akhirnya jadi takut dan plastik.

Malah, orang tengah (unit BM) berperanan hanya mempermudahkan untuk meraikan fitrah, bukannya untuk menjodohkan. 

Suka saya untuk kongsikan petikan beberapa perenggan dari artikel Ustaz Hasrizal berkenaan dengan ini;

"Maka jika mahu mendapatkan yang soleh, kurangkan sedikit agenda menCARI si Soleh, tetapi berusahalah menJADI yang solehah. Jika inginkan yang solehah, janganlah cerewet sangat menCARI yang solehah, tetapi berusahalah menJADI yang soleh.

Bertemu yang solehah, solehahnya belum tentu kekal. Bertemu yang soleh, solehnya boleh berubah kerana si solehah dan si soleh adalah insan biasa.

Tetapi jika semua orang fokus kepada JADI dan bukannya CARI, maka ramailah calon dan mudahlah sedikit kehidupan. Dan kita sendiri tidak bimbbang untuk berumahtangga dengan pasangan 'itu' walaupun mungkin 100% (30% pun belum tentu) mengenalinya. 

Apa yang dibimbangkan, jika berkahwin sebagai sebahagian daripada proses untuk MENJADI, bukan MENCARI." 

Kesimpulannya, jangan sesekali kita ketepikan usaha MENJADI di samping usaha MENCARI. 

Takdok benda hok jatuh kecuali ada hok jung kutip


Jodoh ini rahsia Allah, Allah yang tetapkan.
Dan siapa lagi yang tahu apa yang baik untuk kita kecuali Allah?


Bahkan kata pujangga, "Jangan letak syarat dalam cinta kerana bila bertemu yang berkenan di dada, semua syarat itu hilang maknanya." 


Paling penting, jangan lupa letak cinta Allah paling utama, nescaya bahagia itu tak perlu dicari tetapi bahagia akan mencari kita. 

Tuntasnya 

Suka sekali saya mengajak sahabat sahabiah sekalian memuhasabah diri.

Apa matlamat hidup kita? Ia sudah pun termaktub indah pada ayat 56, surah az Zaariyat. Ia mematri kita untuk meletakkan seluruh kecintaan kepada yang utama. Kehidupan yang Allah beri pada kita hari ini merupakan wasilah atau cara kita mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar benda. Semua tidak terlepas dari perkiraan Allah.

Dalam soal jodoh dan pertemuan pun, ia tetap berupa WASILAH, bukan matlamat. Sekalipun Allah tidak beri setelah kita berusaha, cinta kita kepada Allah tetap tidak berkurang.

Moga Allah beri kita sekian petunjuk, agar kita tidak terkeliru antara wasilah dan matlamat.

.

Ahad, 3 Jun 2012

Pesanan Buat Pejuang


"Aku adalah anak-anak panah Islam. Campakkanlah aku ke mana sahaja, aku tetap berjuang demi Islam." -Saad bin Abi Waqqas

"Orang yang hidup bagi dirinya sendiri akan hidup sebagai orang kerdil dan mati sebagai orang kerdil. Tapi orang yang hidup bagi orang lain akan hidup sebagai orang besar dan mati sebagai orang besar." -Syed Qutb

Rasullullah bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah Radhiyallahu’anhu, ”Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika jawatan kepimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggungjawab itu sendirian, sedang jika kepimpinan itu diberikan kepada kamu bukan kerana permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” [Bukhari & Muslim]

"Singa yang tidak meninggalkan tempat rehatnya di rimba,
tidak akan menjumpai makanannya.

Anak panah yang tidak meninggalkan busurnya,
tidak akan menemui sasarannya."

Syair Imam Asy-Syafie.

Renggangnya saf dalam solat menghilangkan khusyu' sementara renggangnya saf dalam jamaah boleh menghilangkan kekuatan. ~ Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...