Khamis, 12 Ogos 2010

Secangkir Rindu Ramadhan

Ramadhan datang lagi. Rindu langsung terubat. Entah kenapa hati ini dihambat rindu kepada Ramadhan. Setiap hari, status di FB akan bertukar cerita mengenai Ramadhan. Sepanjang hidup bernafas di bumi Allah ini, sampai saat ini barulah jiwa terasa kerdil, andai kata diri ini tidak sempat bertemu Ramadhan untuk kali kedua puluh satu - seiring usia yang semakin meningkat. Terus hati dicuit kebimbangan, kerana amal entah menyamai atau tidak titisan air di hujung jari. 

1 Ramadhan 1416H
Rumah quaters Stesen Keretapi Tanah Melayu Temangan bising dengan suara keanak-anakan saya dan juga Fadhli. Riuh suara ma menyuruh abah menghentikan hilai tawa kami bergurau senda sedang sebentar lagi azan maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa akan berkumandang kurang 5 minit. Abah memeluk kami berdua, mencium pipi kami bertalu-talu. Makin kuat hilai tawa kami kerana geli digesel misai dan janggut abah yang dicukur nipis itu. Nora dengan wajah kurang mengerti, memerhati jauh dari dukungan ma.


Di depan kami sudah tersedia hidangan kegemaran abah. Antaranya kuih lompat tikam, kuah kacang dan rojak mee, tempe dan pelbagai lagi. Itu semua juga kegemaran saya dan adik beradik yang lain. Sebaik saja azan berkumandang, kami sekeluarga duduk mengelilingi hidangan, membaca doa diketuai Fadhli (dengan bahasa pelatnya!) dan diaminkan. Hidangan mula disantap, dan mulut saya yang petah mula berbicara, menanyakan itu dan ini tentang segala benda yang berkaitan dengan puasa dan Ramadhan. Sememangnya abah dan ma begitu sabar melayani keletah saya.

"Abah, puasa ni sakit tak? Boleh mati tak kalau tak makan sehari?". Abah tersenyum geli hati mendengar pertanyaan anaknya yang tak surut-surut perasaan ingin tahu.

"Abah tak mati pun. Masa abah umur 6 tahun, abah dah puasa sampai petang." pertanyaan ku dijawab motivasi. Menyuntik semangat aku untuk berpuasa penuh esoknya, kerana siang tadi aku sudah berbuka jam 11 pagi!

29 Ramadhan 1422H
Juadah berbuka puasa hari ini ala kadar saja. Tiada kuih istimewa kesukaan kami. Lalu azan maghrib berkumandang. Ma membawa dulang berisi teko dan cawan ke meja makan. Saya membawa lauk-pauk yang sekian tadi disediakan. Farid tiba-tiba menangis kerana diusik Fadhli, diambil lauk ayam gorengnya sambil membawa pinggan ke depan televisyen. Kedengaran suara abah mengerang di sudut bilik, menyatakan kejengkelannya mendengar hiruk pikuk kami di meja makan.

Lalu ma bersuara lemah, "Yang, pergi pujuk Farid." Saya patuh, langsung mendekati Farid yang sedang merengek-rengek. Memujuk dia dan melayan adik-adik yang lain agar berbuka puasa dengan tenang untuk hari terakhir Ramadhan tahun ini. Ma membawa makanan untuk abah yang sedang terlantar di bilik.

Selepas solat Maghrib, kami adik beradik berkumpul di ruang tamu. Kami bercerita tentang aktiviti pagi raya esok. Kegembiraan terpancar di wajah kami. Tiba-tiba, kedengaran bunyi mercun yang kuat sedang meletup dari luar rumah dan itu hampir membuat abah histeria memarahi kebisingan yang begitu menjengkelkan dia. Kesakitan yang dia alami makin bertambah barangkali tatkala terpaksa menelan sebarang 'pencemaran bunyi'.

Lalu, tak lama kemudian, takbir raya kedengaran dari surau berdekatan. Kami bertakbir beramai-ramai (walaupun kami berada di rumah). Hampir terlupa tentang abah, namun berasa pelik, kenapa abah tidak bising pula? Kami bising bukan kepalang lagi! Lantas, saya ke balik dinding di tepi bilik abah. Mendengar esak tangisnya mengikut takbir raya walaupun lidahnya sudah keras. Sambil mengesat air mata, ma menyuapkan makanan ke mulut abah. Abah menolak dan berkeras mengikut takbir dengan suara lemah. Saya mengeluh sendirian. Ah, jauhnya kematian.

11 Ramadhan 1426H
Saya mengusap wajah selepas menunaikan solat witir sendirian di masjid. Sengaja tidak menyertai solat witir berjemaah tadi, saya mengambil waktu membaca Al-Quran sementara. Masjid asrama kian lengang, barangkali ramai yang sudah ke urusetia menikmati juadah moreh di situ pula. Saya mencapai mushaf usai berdoa. Pandangan saya terpamit pada kalendar hijrah yang tergantung di sisi tingkap bersebelahan rak Al-Quran.

11 hari sudah berlalu di bulan ini. Peperiksaan SMU yang sedang berlangsung lantas menjelma di fikiran. Harap-harap dapat jawab! Saya menyambung bacaan Al-Quran yang terhenti tadi. Target saya Ramadhan kali ini saya dapat menghabiskan 30 juzuk! Begitu tegar menghabiskan 1 juzuk dalam sehari, saya berdoa supaya Ramadhan kali ini saya dapat berpuasa penuh. Barulah target mencapai 30 juzuk Ramadhan ini berjaya.


Setiap kali selepas solat maghrib berjemaah, saya akan menuruni tangga masjid dan duduk di kerusi batu sambil menghirup udara malam di situ. Tak ketinggalan nota pelajaran turut dibawa bersama sambil mulut terkumat-kamit menghafaz isi pelajaran. Melihat langit, rasa Ramadhan kali ini begitu membahagiakan. Kadang langit malam cemerlang dan indah disimbah cahaya bulan. Tampak jelas bintang bertaburan, berkelip indah membuatkan saya tak terlupakan. Kadang gelap zulumat menandakan cuaca bakal mendung keesokkan harinya, membawa suasana violet biru kesukaan saya. Begitu indah kekuasaan Allah s.w.t., bibir tak lekang berzikir memujiNya atau menyanyikan nasyid memuja Allah. Ah, tenang menyelimuti. Banyak permasalahan hidup saya kadang terselesai dengan beriktikaf di hamparan begitu, terus-terusan mengingati Nya.

"Kak Yang, tak nak balik blok ke? Dah pukul 11 lebih ni." suara yang ku kenal, Hafizah juniorku mengejutkan aku dari lamunan. Lantas mengingatkan aku supaya berpijak di bumi yang nyata.

2 Ramadhan 1431H
"Jadikan tentangan sebagai peluang, jadikan kesulitan sebagai kemudahan. Susah bukan untuk lemah. Senang bukan untuk selesa. Positiflah memandang kehidupan, kerana ketahuilah Allah itu maha mengetahui." Begitulah status di fb saya. Menjadikan setiap tentangan, kekangan, halangan sebagai pemangkin untuk terus maju. Memandang semua itu sebagai peluang-peluang untuk lebih ke hadapan. Tanpa menoleh ke belakang. Tanpa mendengar cakap-cakap orang. Ramadhan ini adalah sekolah tarbiyah hati dan semangat kental seperti Nabi Muhammad s.a.w. Teruskan sunnah perjuangan Rasulullah sebagai pekerjaan pendamping kehidupan yang paling mulia.

Ramadhan bukanlah kekangan untuk menjadi pasif malah kurang dinamik. Puasa menguatkan fizikal dan akal, demi menjemput sebuah keredhaan Allah s.w.t., lantas ia tidak mudah. Hanya yang tegar melalui hari-hari dengan penuh ketaqwaan, tanpa ragu-ragu meyakini hikmah Allah menjadikan manusia itu hebat di dunia dan di akhirat.

Secangkir rindu Ramadhan tetap bertamu di setiap tahun usia menjengah di kehidupan.

Insya Allah.

Ameen.

Rabu, 4 Ogos 2010

Jangan Lupa Palestin!

Hampir tiga bulan berlalu peristiwa kapal misi bantuan ke Gaza diserang serta 'dirompak' dari Israel di perairan antarabangsa. Beberapa bulan sudah, seluruh rakyat dunia menyatakan kecaman dan kutukan terhadap perbuatan Israel ; tak terkecuali masyarakat Malaysia khususnya umat Islam.Tidak dapat dinafikan, isu umat Palestin menyatukan umat, menolak perbezaan agama, bangsa, fahaman dan ideologi. Demonstrasi beramai-ramai, bakar bendera, berarak di jalan raya, solat hajat, pendek kata apa sahaja dilakukan demi menyatakan ledakan kemarahan dengan tindakan biadap itu.

Namun, saya dapat merasakan ada sesuatu yang lebih penting dan lebih jauh dari itu. Jauh yang bererti, perkara itu sangat jauh di hati kita. Ia terperosok di satu sudut, yang dengan sebelah mata pun kita tidak peduli dan buat-buat tidak tahu dan menyedari.

Seperti yang diketahui, isu Palestin bukanlah perkara yang baru terjadi. Sejak dulu lagi, Palestin adalah 'medan perang' dan antara musibah untuk umat Islam [ingat Nakbah Palestin]. Qunut nazilah disyariatkan sememangnya untuk menghadapi situasi begini. Janganlah qunut nazilah hanya terhad pada masa isu Palestin kecoh di bibir kita. Sedarlah bahawa Palestin adalah suatu musibah yang masih lagi panjang! Qunut nazilah tiada tempoh yang terhad. artikel. Di samping itu, doa kesejahteraan saudara kita di sana dan kesejahteraan seluruh umat amnya dari pelbagai agenda Zionis yang menyerang dari sudut yang tidak kita sedari.


Agenda Zionis menguasai dunia dari semua sudut, tidak kira dari segi politik, sosial dan ekonomi. Mereka telah menjalankan pelbagai perancangan demi menjatuhkan kuasa dunia yang lain. Namun, satu-satunya halangan terakhir mereka ialah ISLAM. Jadi, mereka telah memerah seluruh keringat, tenaga dan buah fikiran bagi menghancurkan satu-satunya 'ancaman' yang membuatkan mereka ketakutan seperti tikus dikejar kucing.

Palestin bukanlah satu-satunya isu umat yang teranaiya. Banyak lagi episod konflik umat Islam yang hidup menderita dan ditindas di negara lain yang belum dirungkai. Antaranya di Iraq, Afganistan, malah di benua Asia sendiri tidak ketinggalan, antaranya Filipina (Mindanao), Uyghur, Ambon. Usah pergi terlalu jauh, cukuplah Selatan Thai menceritakan segala keperitan umat Islam dalam menghadapi kebencian kuffar yang dengki dengan cahaya kebenaran ini.

Semua perkara ini menuntut mujahadah dan jihad.

Kami Anak Palestin


Kami anak Palestin
tak takut digugah musuh
dibedil dengan raifal solsadu
biarpun kami bersenjata tulus ; hanya batu dan balingan padu
biarpun dunia hanya pedulikan kami di meja bersidang
terus beromong kosong, menggoncangkan tangan
kemudian menemui kami di celah puing

Kami anak Palestin
tak gentar disergah Ehud
biarpun wajahnya sebengis Obama menangis
kami lali dengan 'keberanian' Yahudi di hadapan kami anak Palestin
menatap kami dengan mata redup
silau dengan cahaya di dada kami

Kami anak Palestin
andai dunia memekakkan telinga
mendengar esak tangis ibu dan saudara perempuan kami
kami tetap dibayar Allah syurga akhirat
kerana syahid itu dambaan kami
mati mempertahankan agama dan tanahair Palestin ;
bukan mati kekenyangan dunia yang disogok durjana!

Ahad, 25 Julai 2010

Usikan Cinta


Usikan Cinta I

Hati seorang pemuda
Mudah bangat terpaut
Pada kulit luar yang licin
Tanpa mengetahui isi dalamnya yang mentah
Barangkali indah khabar dari rupa!

Usikan cinta II

Lumrah jalan ini
Ada manis madu menyinggah
Halwa cinta yang dikecap
Tidak sedar sebuah mainan
Sang perosak amalan
Yang dilagukan
Untuk insan yang ragu iman

 Usikan Cinta III
Sabar menahan
Maraknya api cinta
Dari membakar tiang agama
Lebih mulia ; teramat mulia
Menepis rasa cinta
Dari membukit memudar atma
Demi menjemput cahaya
Yang cintanya melebihi segalanya
Sabar ada yang menanti
 Di hujung sana menatang cahaya yang sama...

Aspuri MMP,
17 Ogos 2009


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...