Ahad, 16 Ogos 2009

Coretan Basa-basi


Aku ingin hidup secerah mentari. Yang cahayanya lambat-lambat menerangi bumi. Perlahan-lahan menyusup ke segenap ruang, yang jauh terperosok, yang terlindung di mana sahaja. Cahaya mentari itu takkan luput mudah, walaupun senja kan datang dan malam jua turut sama berlabuh. Ia tetap menyebarkan panasnya dan panahannya tidak mengenal siapa.

Kehidupan harus diharungi, jangan putus asa!

Terasa rindu untuk meratah pengisian yang sebenarnya. Rindu untuk mendengar tazkirah yang menginsafkan, yang memuhasabah diri sehingga mengalirkan air mata kerana terasa kekerdilan diri di hadapan Sang Khaliq. Rindu untuk hadam sirah perjuangan Rasulullah dan sejarah hidup para sahabat dan salafussaleh; terutama sekali kisah kehidupan mata-mata rantai yang menyambung perjuangan Rasulullah. Tak kiralah kisah itu sangat terkenal di bibir kalangan kita, atau yang kisahnya tiada siapa tahu gambarannya melainkan yang bersamanya. Rindu sangat pada asam garam perjuangan yang pahitnya maungnya tidak dirasakan seorang diri! Ya Allah, rindu!

Sewaktu mendapat tahu yang saya bakal melanjutkan pelajaran seterusnya di UTM, pelbagai perkara bermain dalam fikiran saya. Pertama-tamanya ialah bagaimana keadaan biah dan waqi’ tarbiyah di sini? Bila sampai di sini, satu cabaran yang paling besar saya dapat rasakan ialah bagaimana nak hirasatuddin dalam setiap pekerjaan yang dilakukan? Iya, beginilah orang yang pertama kali keluar dari kepompong sekolah dan hidup dalam kalangan orang ‘baik-baik’ saja. Bila baru mengenal dunia luar, iya..beginilah keadaannya. Satu fakta menarik ialah kursus saya adalah satu-satunya kursus agama di sini! Tidak hairanlah kerana di sini bukanlah tempat yang tepat untuk menuntut ilmu agama setulennya. Mahu gomol ilmu agama betul? Pondok pun okey jugak! Di kampus kita bebas jadi apa yang kita mahu,.

Sebetulnya adik lelaki saya yang belajar di pondok itu amat risau pasal saya. Dia bimbang kalau-kalau saya jadi ‘orang lain’ dan …uh, nauzubillah! Selalu jugalah dia menelefon, menanyakan keadaan saya dan soalan yang pertama yang ditanyakannya ialah ; “Ada masalah agama tak?” . Saya tersenyum sendirian mengenangkan ‘take care’nya adik saya. Kalau dia begitu bimbang tentang diri saya, saya apatah lagi. Moga Allah jauhkan saya dari perkara-perkara yang tidak baik itu!

Masih basah lagi kata-kata sahabat seperjuangan bahawa setiap kata-kata itu bakalan diuji. Saya berdoa agar Allah menetapkan saya di jalanNya yang diredhai. Ya, cita-cita saya ialah ingin terus menjadi diri sendiri dan tidak terkesan dengan air masin di sekeliling ibarat ikan di laut. Isinya tetap tawar. Tetapi bila ikan tu dah mati dan dilumur garam dan dibuat ikan kering, pasti rasanya masin. Begitulah hati kalau sudah mati, jadi rapuh dan mudah dipengaruhi.

2 ulasan:

  1. berhati2lah dalam dunia baru..
    jgn mudah terjerumus dalam lelah nafsu remaja
    yang tidak berkesudahan...
    semoga terus kekal gemilang dalam nafas dakwah islam yang hakiki...
    semoga mu juga terus berjaya dalam semua bidang lain.....sesungguhnya,tarbiyyah bknlah segala2nya,namun,tanpa tarbiyyah,segala2nya hilang....

    BalasPadam
  2. salam yang...
    di mana pn kita berada,ujian itu pasti mengekori..hati yang tidak diuji ibarat rumah tidak berpenghuni.dan tempat iman itu adalah hati.sunyilah iman tanpa ujian..kuatkan semangat..perjuangan itu perlu diteruskan walaupun kta berseorangn.yakin la dgn bantuan ALLAH..salam juang dan rindu!

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...