Guru merupakan antara orang yang terdekat dengan saya di sekolah dulu selepas rakan-rakan seperjuangan. Bagi saya, guru amat memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi pelajar terhadap pelajaran yang diajarnya. Bagaimana seorang guru mengajar, cara beliau menarik perhatian pelajar dan memanipulasikan keadaan supaya pelajar berminat dengan subjek pengajarannya adalah antara peranannya. Tidak keterlaluan jika saya katakan cemerlangnya satu-satu subjek itu bergantung sejauh mana guru memberi kesan terhadap pelajar.
Menurut Islam, proses menuntut ilmu harus diiringi dengan keharmonian komunikasi dua hala antara dua pihak – guru dan pelajar. Dengan wujudnya kerelaan atau keredhaan antara guru dan pelajar, barulah proses ini berjalan dengan lancar. Guru sedia mencurahkan ilmu dan menghalalkannya dan pelajar pula berminat, sedia menerima dan menjaga adab sebagai penuntut ilmu. Di sini, persoalan keberkatan dalam menuntut ilmu amat dititikberatkan oleh Islam. Kedua-dua pihak haruslah sama-sama bekerjasama dan bertolak-ansur dalam menjana seluasnya medan ilmu untuk kemajuan wadah keintelektualan itu sendiri.
Di zaman persekolahan dulu, rasanya tidaklah ramai guru yang saya tidak saya sukai. Ini kerana, saya percaya semua guru mahukan kejayaan pelajarnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Sudah lumrah seorang manusia tidak maksum, malah ada banyak kekurangan dan kesilapan dalam berinteraksi dengan manusia begitu juga dengan seorang guru. Tidak dapat dinafikan, ada beberapa sikap guru yang tidak saya sukai dan saya merasakan tidak sepatutnya sikap itu dimiliki oleh seorang guru. Sikap inilah yang perlu saya hindari jika saya ditakdirkan melangkah ke alam perguruan suatu hari nanti yang bakal saya huraikan selepas ini.
Antara sikap yang tidak sepatutnya ditonjolkan oleh seorang guru ialah melakukan sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan imejnya sebagai seorang guru. Seorang guru adalah menjadi contoh kepada pelajarnya untuk diikuti. Dalam hal ini, jika perkara yang dilakukan itu adalah perkara baik, maka ia akan memberi contoh yang baik kepada pelajarnya dan begitulah juga sebaliknya apabila guru melakukan perkara yang buruk atau tidak baik maka ia seolah-olah memberi ‘lampu hijau’ kepada pelajar untuk turut melakukan perkara yang sama. Keadaan ini amat bertepatan sekali dengan peribahasa ini apabila guru kencing berdiri, anak murid pula kencing berlari. Di samping itu juga, ia turut memberi kesan kepada pandangan pelajar terhadap guru. Persepsi pelajar terhadap guru akan berlainan dan menyebabkan proses komunikasi menjadi hambar dan pasti sudah ada ‘mental block’ dalam minda pelajar terhadap guru. Contohnya, seorang guru adalah perokok dan merokok di dalam kawasan sekolah atau di mana sahaja. Ini sudah pasti akan memberi anggapan buruk kepada pelajar, mungkin akan timbulnya ketidakpuashatian pelajar terhadap guru tersebut dan pada masa yang sama menjatuhkan imejnya sebagai seorang guru di pandangan pelajar.
Selain itu juga, sikap seorang guru yang tidak saya sukai ialah terlalu garang atau keras dalam manyampaikan pengajarannya. Saya berpendapat, guru yang bersikap seperti ini akan dihindari oleh pelajarnya sekaligus menjauhkan guru dari pelajarnya. Akibatnya, pengajaran menjadi tidak berkesan dan pelajar hanya bersungguh-sungguh ketika di hadapannya sahaja. Fitrah manusia itu sendiri ialah lembut dan tidak sukakan kekerasan. Manusia tidak sukakan paksaan dan tekanan, lebih-lebih lagi golongan remaja. Justeru itu, sikap garang atau keras tak bertempat ini tidak boleh ada dalam diri seseorang guru. Sifat berlembut tetapi tegas adalah lebih dituntut terutama dalam menasihati pelajar supaya melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah An-Nahl, ayat 125 yang bermaksud : “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”
Di samping itu juga, seorang guru juga tidak boleh membeza-bezakan pelajarnya dalam apa jua keadaan sekalipun. Ada sesetengah guru lebih ‘mengagungkan’ atau mengambil berat terhadap pelajar yang pintar dan lebih berpotensi di samping tidak mempedulikan keadaan pelajar yang lemah atau kurang berbanding yang lain. Sikap pilih kasih ini menyebabkan pelajar yang lemah akan merasa semakin merendah diri dan tidak yakin pada diri sendiri. Mereka akan merasakan diri mereka tidak boleh berjaya seperti rakan-rakan lain dan ini akan membantutkan potensi mereka secara tidak langsung. Sepatutnya guru harus memberi lebih perhatian kepada pelajar lemah kerana mereka yang perlu diberi penekanan. Seorang guru harus sedar bahawa semua pelajar harus menerima layanan yang sama dari segi pelajaran dan kemampuan pelajar-pelajar adalah berbeza antara satu sama lain. Jadi, seorang guru wajib mengajar dengan ikhlas dan tidak membeza-bezakan kemampuan pelajar.
Kesimpulannya, ciri-ciri guru yang tidak saya sukai ialah guru yang tidak menjadikan disiplin ilmu itu sebagai wasilah untuk pelajar mencintai ilmu dengan sebaiknya. Sikap guru yang mementingkan material dari nilai ilmu adalah harus dijauhi. Sesungguhnya pekerjaan guru adalah sangat mulia dan amat diiktiraf dalam Islam sehinggakan Imam Syafei amat memuliakan seorang Arab Badwi yang telah mengajarnya cara membezakan anjing yang sudah dewasa dan kecil melalui cara kencing! Janganlah para guru bersikap jumud, pasif malah fanatik kerana sikap tersebut menyempitkan ruang keluasan ilmu itu dan menyebabkan tersekat perkembangan pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan