Sebelum pulang ke Kelantan untuk menghabiskan cuti semester, saya membunuh waktu di kedai buku MPH di Jusco. Terjumpa buku yang sangat menarik, sesuai dengan jiwa bakal seorang guru. Menitipkan sunnah Rasulullah dalam menata jiwa umatnya. Nah, di sini saya titipkan sinopsisnya!
Dunia hari ini membayangkan bahawa kerjaya sebagai guru semakin tidak dihormati dan dihargai. Sebahagiannya berpunca dari para guru itu sendiri, tetapi bak kata pepatah ‘disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga’. Maka, kerjaya seorang guru itu dipandang rendah masyarakat.
HEBATNYA CARA RASULULLAH MENDIDIK mengupas tentang peranan para guru dalam membimbing anak bangsa bukan hanya sekadar mengajar bahkan menitikberatkan akhlak para guru ketika mengajar dan membimbing pelajar agar keberkesanan dalam pengajarannya dapat dirasai oleh para guru seterusnya juga diterima baik oleh anak didik.
Buku ini juga memberi tumpuan kepada kaedah-kaedah yang digunakan oleh Rasulullah S.A.W. dalam menyampaikan ilmu serta nasihat kepada para sahabat. Diselitkan juga cara-cara Rasulullah S.A.W. bersoal jawab, bergurau senda, memberi nasihat dan pada masa yang sama meraikan para pelajarnya.
Pengarangnya, Razali Saaran menulis buku ini khas untuk panduan para asatizah mengambil pengajaran dari cara tarbiyah Rasulullah yang mulia. Beliau teruja untuk memberitahu dunia bahawasanya Islam mempunyai kaedah tersendiri yang sangat relevan untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah. Teori tersebut tidak akan lapuk walaupun ia telah wujud sejak lebih 1400 tahun yang lalu.
Kebanyakan kaedah-kaedah mengajar yang sering digunakan di pusat pengajian tinggi awam atau swasta bagi melahirkan para pendidik adalah menggunakan tulisan orang Barat, sedangkan Islam yang syumul ini mempunyai kaedah yang jauh lebih baik melalui pendekatan Rasulullah yang unggul. Beliau menyuntik persoalan, mengapa kaedah mengajar acuan Islam ini tidak diiktiraf sedangkan ianya sangat praktikal untuk diguna pakai di dalam bilik darjah.
Semoga buku ini memberi manfaat dan panduan kepada semua guru dan dapat melahirkan generasi guru yang berjiwa daie dan murobbi pada masa akan datang.
terima kasih, dah lama saya tercari-cari teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
BalasPadam